Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Terima pencen penakat Perkeso
- Raja Muda Perlis edar takwim MAIPs
- Sistem kupon: Kerajaan Pulau Pinang terburu-buru
Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST SABRY Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan cek kepada Maharani Othman sambil diperhatikan oleh Mohd. Asri Mohd. Rasid (kanan) di Jalan Santan, Padang Lati, Kangar, Perlis, kelmarin. KANGAR 18 Jan. - Seorang suri rumah yang menghidap penyakit jantung sejak berusia 12 tahun menerima pencen penakat berjumlah RM1,099.58 bagi membantu meringankan bebannya berikutan kematian suami pada pertengahan Disember lalu. Maharani Othman, 41, yang merupakan isteri kepada Allahyarham Che Bakri Yahaya, 49, menerima bayaran pencen itu daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Allahyarham Che Bakri yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta meninggal dunia pada 14 Disember lalu akibat serangan jantung. Maharani yang tidak bekerja selepas melahirkan anak tunggalnya, Nurul Ain, 13, menerima pencen penakat sebanyak RM659.75 sebulan sepanjang hidup manakala Nurul Ain mendapat RM439.80 sebulan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama di universiti tempatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Sabry Ahmad menyampaikan wang pencen itu ketika melawat rumah wanita berkenaan di Kilometer 7.2, Jalan Santan, Padang Lati di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Perkeso negeri, Mohd. Asri Mohd. Rasid. Sabry berkata, pentingnya majikan mencarum setiap pekerja kerana apabila berlaku sebarang kemalangan atau kematian maka Perkeso akan dapat membantu termasuk pemberian pampasan. Selain itu katanya, bukan sahaja pekerja sahaja perlu arif fungsi Perkeso malah juga kalangan ahli keluarga. "Faktor kurang prihatin akan menyebabkan ramai dalam kalangan balu atau duda atau waris lambat atau langsung tidak membuat tuntutan pampasan selepas berlaku insiden melibatkan kematian di luar waktu kerja," katanya. Beliau berkata, pada sepanjang tahun lalu Perkeso negeri ini menerima 37 permohonan kes pencen penakat berbanding 65 kes pada tahun 2012. Sabry berkata, jumlah pencen penakat yang dibayar sehingga 31 Disember lalu adalah sebanyak RM43,904.33 berbanding RM71,091.02 pada tahun 2012. |
Raja Muda Perlis edar takwim MAIPs Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) menyampaikan taqwim 1435 Hijrah kepada anggota PGA sambil diperhatikan oleh Zull Aznam Haron (dua dari kiri) di pos kawalan Charlie 23 sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, baru-baru ini. - BERNAMA PADANG BESAR 18 Jan. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan taqwim 1435 Hijrah dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos kawalan Charlie 23 sempadan Malaysia-Thailand dalam Program Kayuhan Berbasikal Border Ride Siri 3 2014 dekat sini, baru-baru ini. Turut sama Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron. Program Kayuhan Berbasikal Border Ride Siri 3 2014 ini melibatkan kayuhan sejauh 24 kilometer bermula dari pekarangan Kilang Gula Felda Chuping dan berakhir di pekarangan Balai Polis Padang Besar Utara. Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut singgah di beberapa pos kawalan sempadan dan mengedarkan buku bertajuk Personaliti Kerja keluaran Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kepada anggota Batalion 3 Senoi Praq PGA yang sedang bertugas mengawal sempadan. - BERNAMA |
Sistem kupon: Kerajaan Pulau Pinang terburu-buru Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST PULAU PINANG 18 Jan. - Kerajaan negeri DAP dilihat tidak serius dan bertindak terburu-buru dalam melaksanakan sistem letak kereta berkupon di negeri ini sehingga menyusahkan pengguna. Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, perkara itu jelas selepas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menarik balik penguatkuasaan sistem berkenaan buat sementara waktu kelmarin. Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini bersungguh-sungguh dan langsung tidak mempedulikan bantahan penjaga tempat letak kereta yang bimbang kehilangan punca pendapatan ekoran pelaksanaan sistem berkenaan. "Apabila dibantah, kerajaan negeri tetap berkeras melaksanakan sistem ini tetapi baru dua minggu dilaksanakan terpaksa ditarik semula. Kenapa ini berlaku dan bagaimana kupon letak kereta boleh tidak cukup? "Kerajaan negeri DAP jangan mempermainkan rakyat yang selama ini menuruti segala pelaksanaan baharu yang diperkenalkan dan apakah sistem kupon ini merupakan taktik halus dalam menghalau penjaga letak kereta di negeri ini?," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Kelmarin menerusi laman Facebook Buletin Mutiara, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow mengesahkan penarikan semula penggunaan sistem letak kereta berkupon di negeri ini oleh MPPP dengan alasan kupon yang disediakan tidak mencukupi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |