Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Tiada kompromi, heret ke mahkamah
- UDA penyelamat projek rumah
- Ops Harga: Lapan peniaga bakal didakwa
Tiada kompromi, heret ke mahkamah Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh ASLIZA MUSA SHAMSUDIN Abu Hassan (dua dari kanan) membuat pemeriksaan terhadap alat timbang dan sukat sempena Ops Harga 2.0 bersama pegawai dan anggota penguat kuasa PDNKK di Pasar Besar Ipoh, Perak, semalam. - BERNAMA IPOH 20 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga di negeri ini yang mengambil kesempatan memanipulasi harga demi mengaut keuntungan berlebihan. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Shamsudin Abu Hassan berkata, peniaga yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu akan terus dihadapkan ke mahkamah berbanding sebelum ini hanya dikenakan kompaun. Katanya, tindakan tersebut merupakan amaran tegas dan diambil bagi memastikan peniaga tidak terus melakukan kesalahan sama berulang kali. "Kita memandang serius keluhan yang disuarakan rakyat. Oleh itu, mana-mana peniaga yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan akan terus diambil tindakan mahkamah. "Sekarang bukan lagi masa untuk memberi kompaun kerana kompaun yang diberikan seolah-olah menjadi amalan biasa bagi mereka (peniaga). Tindakan tegas ini bukannya bertujuan memberi tekanan kepada peniaga tetapi merupakan usaha kita dalam membantu menyelesaikan keluhan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Ops Harga 2 di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah PPDNKK Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor. Mengulas mengenai Ops Harga 2 yang dijalankan serentak di seluruh negara hari ini, Shamsudin berkata, sebanyak 18 peniaga di negeri ini dikenakan tindakan yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,159.60. Katanya, melalui pemeriksaan tersebut, sebanyak 515 premis telah diperiksa yang melibatkan lapan buah pasar basah di negeri ini iaitu di Tapah, Manjung, Teluk Intan, Ipoh, Taiping, Parit Buntar, Kuala Kangsar dan Gerik. "Kita berharap dengan pelancaran Ops Harga 2 dapat memberi pengajaran kepada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab bahawa PPDNKK serius untuk mengambil tindakan terhadap mereka," katanya. |
Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh Ani Awang PULAU PINANG 20 Jan. - UDA Holdings Berhad melalui anak syarikatnya UDA Land (North) Sdn. Bhd., berjaya menyiapkan projek perumahan di Taman Orkid Indah di daerah Seberang Perai Utara yang terbengkalai sejak tahun 2005. Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Ahmad Abu Bakar berkata, projek itu melibatkan pembinaan 70 unit rumah banglo setingkat di kawasan seluas 4.6 hektar. Katanya, projek itu telah diserahkan kepada 70 pembeli perumahan itu baru-baru ini. "UDA telah membelanjakan sejumlah RM9.02 juta untuk menyiapkan projek tersebut yang telah siap pada 15 September tahun lalu. "UDA dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meletakkan komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan projek terbengkalai walaupun tiada pulangan yang lumayan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Ahmad berkata, perumahan ini adalah projek terbengkalai yang diusahakan oleh Syarikat Sri Jeluda Sdn. Bhd., anak syarikat Koperasi Serbaguna Jelutong di negeri ini. Katanya, UDA diberi kepercayaan untuk menyiapkan projek terbengkalai itu berdasarkan prestasi syarikat itu yang baik selama ini. "Pihak kami telah mengambil cabaran tersebut dan menyifatkan langkah ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat demi memastikan pembeli tidak menanggung kerugian yang lebih besar serta tanda keprihatinan UDA dalam meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera," katanya. |
Ops Harga: Lapan peniaga bakal didakwa Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST PARA pegawai penguat kuasa PPDNKK Perlis membuat pemeriksaan harga sempena Ops Harga 2014 di Pasar Sena di Kangar, Perlis, semalam. - Utusan/Muhamad Iqbal Rosli. KANGAR 20 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri ini mengeluarkan saman ke atas lapan peniaga dalam operasi harga barangan (Ops Harga) 2014 yang diadakan di negeri ini hari ini. Pengarahnya, Khairul Amin Talib (gambar) berkata, lima peniaga akan didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala tiga lagi kesalahan disiasat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. "Kesemua peniaga ini akan dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin selepas siasatan lengkap dijalankan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai operasi itu di Pasar Sena di sini hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Razali Lebai Salleh. Khairul Amin berkata, pihaknya juga sebelum ini telah menjalankan pemeriksaan ke atas 168 premis sempena Ops Harga itu. "Pemeriksaan dijalankan di empat buah pasar iaitu Pasar Sena, Pasar Kuala Perlis, Pasar Burma di Kuala Perlis dan Pasar Simpang Empat," katanya. Beliau berkata, pihaknya juga telah merampas barangan bernilai RM2,004 sepanjang operasi tersebut. Sementara itu katanya, sebanyak 18 pegawai penguat kuasa dan 10 pemantau harga terlibat dalam Ops Harga yang dijalankan hari ini. Khairul Amin berkata, pihaknya mendapati peniaga masih berdegil dan tidak meletakkan tanda harga sekalipun menyedari ini merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah. Menurutnya, pihaknya percaya ini adalah salah satu dari taktik untuk mengelirukan pengguna. "Jika tiada tanda harga maka mereka (peniaga) mudah untuk menaikkan harga dengan sesuka hati bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda," katanya. Tambah beliau, sempena dengan Ops Harga ini pihaknya akan terus mengeluarkan saman ke atas peniaga yang degil supaya dapat didakwa selain menjadi satu pengajaran. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |