Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
Lakar, reka, cipta mesin sendiri Posted: Lakar, reka, cipta mesin sendiri Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI TATKALA melangkah ke kilang 'kecil' yang terletak di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Dengkil, Selangor, kelihatan susuk tubuh lelaki bernama Mujib Ahmad Abd. Rashid, 50, begitu tekun melicinkan permukaan papan propeller yang cukup sinonim dengan pencinta sukan udara. Propeller merupakan sejenis kipas yang berfungsi menghantar kuasa tujahan dengan menukar gerakan putaran pada bahagian enjin untuk terbang. Beliau yang lengkap memakai gogal, topeng muka dan kasut keselamatan cuba disapa berkali-kali namun tidak disahut kerana tenggelam dengan bunyi mesin perata. Siapa sangka kilang yang menjadi rumah keduanya itu bagi menghasilkan propeller atau bilah kipas berjaya menembusi pasaran luar negara. Antara pelanggan setianya ialah Majlis Perbandaran Klang, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, universiti tempatan dan orang persendirian. Beliau merupakan Pengarah Perkasa Prima Enterprise. Cukup membanggakan apabila produk anak desa itu mula mendapat tempahan dari cawangan sekolah penerbangan England di India. Kegigihan lelaki yang mesra disapa Mujib itu cukup mengagumkan sesiapa yang mengenali dirinya. Tiada rotan, akar pun berguna menjadi prinsip hidup yang dipegang Mujib. Beberapa mesin utama yang terdapat di kilangnya dilakar, direka dan dicipta sendiri menggunakan bahan terbuang. Minat Antara mesin tersebut ialah mesin pembelah dan pemotong kayu, pemampat gam, pembuat propeller, alat pengimbang serta ketuhar atau pengering cat alas. Mesin-mesin berkenaan rekaannya sendiri kerana beliau menghadapi kekangan bajet untuk membeli mesin sebenar yang harganya sangat mahal. ROHAIZI (kanan) menunjukkan lokasi propeller yang dipasang pada bahagian enjin paramotor kepada pasukan pengakap udara pada Festival Belia 2014 di Putrajaya baru-baru ini. Menurut Mujib, beliau tidak pernah mengikuti kelas formal dalam bidang penerbangan mahupun pembuatan propeller namun semuanya bertitik tolak daripada minat yang mendalam. "Cabaran utama adalah untuk menghasilkan propeller yang benar-benar seimbang di sayap kanan dan kiri supaya mesin atau enjin pada paramotor atau bot udara tidak bergegar yang seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan. "Propeller ini diperbuat daripada kayu atas faktor keselamatan. Ini kerana, sifat propeller kayu yang lebih rendah risiko kemalangan membuatkan ia lebih baik digunakan berbanding propeller besi," jelasnya. Sebagai contoh, propeller kayu mungkin akan patah sekiranya ia menghentam permukaan tanah ketika proses pendaratan. Penggunaan propeller besi pula tidak diamalkan oleh juruterbang paramotor kerana ia lebih bahaya ekoran sifatnya yang tidak mudah dilentur atau kemungkinan besar juruterbang melantun sekiranya propeller terkena objek keras. Jenis kayu yang digunakan Mujib untuk menghasilkan propeller ialah nyatoh, rengas dan kembang semangkuk. Bekalan kayu tempatan diperoleh daripada beberapa pembekal kayu di sekitar Bangi, Selangor manakala kayu import seperti mahogani dan birch dibeli di Kuala Lumpur. Seunit propeller menggunakan beberapa lapisan kayu yang berbeza bagi memastikan ia ringan namun pada masa sama cukup kuat untuk memberikan daya tujahan yang sempurna kepada mesin. Proses awal adalah membelah kayu dengan ukuran seragam dan mencantumkan papan tersebut menggunakan gam kayu sebelum dimampatkan selama beberapa jam. Lapisan kayu yang telah dimampatkan akan dipotong bagi menghasilkan bilah kipas yang berbentuk aerofoil di bahagian atas dan permukaan rata di bahagian bawah. Selepas bentuk kasar propeller dihasilkan, keseimbangannya diukur menggunakan alat pengimbang. "Propeller yang seimbang akan berada dalam keadaan melintang dan tidak bergerak langsung. Benda asing walaupun ringan seperti kertas yang diletakkan pada salah satu bilah kipas boleh menganggu keseimbangannya. "Kebiasaannya, saya buat ujian keseimbangan pada waktu pagi kerana tiada gangguan angin," ujarnya yang telah memiliki 20 jenis templat propeller berlainan saiz dan bentuk. Selain itu, sudut pada permukaan propeller di sayap kiri dan kanan diseragamkan menggunakan jangka sudut agar ia 100 peratus seimbang. Seterusnya, propeller diratakan menggunakan kertas pasir, disembur cat alas dan dimasukkan ke dalam ketuhar bersuhu sekitar 40 Celsius selama setengah jam untuk mengeringkannya. MUJIB menunjukkan fungsi propeller yang dipakai pada enjin paramotor. Diakui Kualiti buatan Mujib yang setanding produk antarabangsa diakui Timbalan Presiden Paramotor Persekutuan Sukan Udara Malaysia, Rohaizi Md. Hussin yang kini menjadi pelanggan tetapnya. "Sebelum ini, saya terpaksa import propeller dari luar negara kerana tidak terdapat propeller tempatan. Harga pada ketika itu sekitar RM1,400 hingga RM1,600 seunit. "Pada tahun 2006, Mujib yang merupakan kenalan lama saya berjaya menghasilkan propeller sendiri yang dijual pada harga jauh lebih rendah. Ia cuma sekitar RM300 hingga RM700 seunit bergantung kepada saiz dan jenis," katanya ketika ditemui di ruang pameran pengakap udara di Festival Belia Putrajaya baru-baru ini. Setakat ini, Rohaizi sudah memiliki enam propeller buatan Mujib tidak termasuk satu yang diimport dari luar negara. Dia turut memiliki tiga mesin paramotor yang bernilai sekitar RM23,000 setiap satu. Rohaizi yang mula aktif dalam arena sukan udara pada tahun 1998 memilih paramotor sebagai mod penerbangan yang paling digemarinya. Menurutnya, paramotor tidak begitu popular suatu masa dahulu kerana ia lebih kepada aktiviti rekreasi. Kini, selepas banyak pendedahan mengenainya di internet dan media, semakin ramai yang berminat untuk mencuba sukan tersebut. Kos bagi sekali sesi penerbangan ialah RM120 hingga RM150 bagi tempoh 15 minit. |
Posted: Terap amalan kitar semula Oleh HAFIZ AHMAD TONG kitar semula disediakan bagi kemudahan pengunjug. KEMPEN kitar semula yang telah dijalankan sekian lama jelas tidak memberi impak yang signifikan kepada penduduk Malaysia. Walau pelbagai kaedah dapat dilihat melalui media massa, keprihatinan dan kepedulian masyarakat tempatan masih kurang memberangsangkan. Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini mendedahkan kadar kitar semula dalam negara berada pada tahap 10.5 peratus. Angka itu jauh ke belakang berbanding negara-negara maju yang mencatatkan sehingga 70 peratus. Memburukkan situasi, jumlah pembuangan sampah dalam sehari pada tahun 2012 adalah antara 30,000 hingga 33,000 tan. Sedangkan jumlah tersebut merupakan jangkaan kementerian bagi tahun 2020. Cuba menarik generasi muda untuk mewujudkan kesedaran mengenai alam sekitar dan kepentingan kitar semula, sekumpulan pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam di Selangor menganjurkan program Junk It! di Shah Alam baru-baru ini. LAKMAN HAKIM duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada botol plastik. Pengurus Projek, Lakman Hakim Azmi, 23, berkata, program tersebut bertujuan untuk mempromosi dan menjadikan amalan kitar semula sebagai satu gaya hidup terutamanya kepada golongan belia. "Penerapan dari peringkat awal diharap dapat mewujudkan generasi yang peka terhadap isu-isu alam sekitar dan menjadikan kitar semula sebagai satu amalan positif dalam kehidupan mereka," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada acara tersebut. Kreativiti Bagi Muhammad Shaufie Mohd. Yatim, 21, bahan-bahan terbuang boleh menghasilkan satu seni yang kreatif dan boleh menjana pendapatan tinggi. BARANGAN terpakai boleh diubah kepada perkakasan rumah seperti lampu hiasan (atas) atau seni luar yang mempesona (bawah). "Bayangkan, bahan terbuang seperti besi buruk boleh dijadikan seni arca yang dijual pada harga yang tinggi," kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam yang menyertai pertandingan seni kitar semula yang menawarkan hadiah utama bernilai RM1,000. Turut serta dalam pertandingan tersebut ialah Mohammad Haziq Syawal, 21, yang menghasilkan sebuah lukisan cat di atas kotak terpakai. "Banyak faedah yang boleh diperoleh menerusi amalan kitar semula. Ia termasuk mencipta barangan hiasan rumah yang diperbuat dari item-item terpakai," kongsinya. Tidak hanya menganjurkan aktiviti berkaitan kitar semula, pihak penganjur turut mengenakan peraturan yang melarang penggunaan beg plastik oleh peniaga gerai jualan yang menyertai program berkenaan. BAHAN terbuang seperti tin kosong boleh dijadikan sebuah hasil seni yang boleh dijual pada harga yang tinggi. "Disebabkan itu, kami menggalakkan pengunjung untuk membawa beg beli-belah mereka sendiri," kata Lakman Hakim. Mendapat sokongan dari program 1Malaysia For Youth (IM4U), acara kemuncak Junk It! adalah persembahan alat genderang yang menggunakan barangan kitar semula. Ia dimainkan oleh pelajar-pelajar UiTM Shah Alam dan kumpulan bebas seperti No Noise Percussion yang pernah mengiringi penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna. |
Perisian analisis risiko tanah runtuh Posted: Perisian analisis risiko tanah runtuholeh HAFIZ AHMAD PROF. Dr. Fauziah (tengah) percaya USlopeM mampu memberikan input berguna dalam menyelesaikan masalah di kawasan cerun, HUJAN lebat dan pembangunan pesat di kawasan cerun bukit menyebabkan kita sentiasa terdedah dengan risiko tanah runtuh. Malah, bencana yang turut menyebabkan kerosakan teruk harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa itu sering terpampang di media massa. Antara kejadian tanah runtuh yang menjadi tumpuan adalah di Highland Towers, Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993; jalan susur Genting Highlands (30 Jun 1995); Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor (6 Disember 2008) dan perumahan lereng bukit Bandar Ramai-Ramai, Kampung Gelam dan Kampung Sundang Darat di Sandakan, Sabah (29 Januari 2011). Sehubungan itu, penyelidik dan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Fauziah Ahmad telah menghasilkan sebuah perisian bagi mengkaji keselamatan sesuatu cerun. Perisian kestabilan cerun inovatif yang dikenali sebagai USlopeM itu dianggap sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia dapat menganalisis keselamatan dan kestabilan cerun berdasarkan beberapa lapisan tanah. KEJADIAN tanah runtuh memberi kesan terhadap infrastruktur dan kehidupan kawasan sekeliling. "Perkara paling penting dalam analisis seperti ini ialah faktor keselamatan berdasarkan permukaan gelinciran," katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini. USlopeM digunakan untuk menganalisis keselamatan cerun berdasarkan data rekod kajian tanah daripada aspek geologi dan geomorfologi. Ia juga mampu mempamerkan keputusan kajian dalam masa kurang dua minit bagi 10,000 pengiraan atau percubaan. Menurut Fauziah, perisian sedia ada yang sering digunakan adalah teknologi daripada Kanada yang diberi nama Slope/W dan Slide yang hanya mengkaji satu lapisan tanah. Hasil daripada data yang dikaji oleh perisian terbaharu tersebut, jurutera boleh menasihati pihak pemaju sama ada kawasan yang dikaji sesuai atau tidak untuk sebarang pembangunan. "Data yang diperoleh berdasarkan plot warna yang ditunjukkan menentukan tahap keselamatan sesuatu cerun dan membantu para jurutera untuk menentukan kaedah penyelesaian masalah cerun tersebut," jelasnya. Perisian yang telah menerima hak cipta dan tanda dagangan itu sudah dipasarkan pada harga RM2,500 seunit. Ini jauh lebih rendah berbanding perisian yang sedia ada yang dijual di antara RM7,000 hingga RM13,000 seunit. USlopeM telah memenangi pingat emas dan juga Anugerah Khas Vifotec (Pereka Wanita Terbaik) di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini. "Ini adalah kali keenam saya menerima anugerah khas melalui pelbagai kajian yang telah dijalankan sebelum ini termasuk empat anugerah di Korea dan satu di Vietnam serta Sweden," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |