{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Antara halal dan 'umum al-balwa'

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Oleh Salleh Buang

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapa menunjukkan dua laporan analisis makmal Jabatan Kimia terhadap sampel Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan Cadbury Dairy Milk Hazelnut yang disahkan tiada Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi di Putrajaya, kelmarin. - BERNAMA

MINGGU lalu apabila media tempatan menyiarkan berita mengenai dua produk coklat jenama Cadbury dikatakan mengandungi DNA babi (porcine), masyarakat Muslim negara ini gempar, terkejut campur marah. Reaksi ini boleh kita faham kerana apa sahaja produk makanan yang mengandungi daging babi atau bahan yang ada kaitan dengan babi bukan sahaja tidak halal (haram), bahkan najis.

Beberapa NGO Islam segera mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia membantu sesiapa sahaja anggota masyarakat yang telah tertipu membeli dan memakan barang tidak halal dan najis itu untuk mengambil tindakan terhadap syarikat pembuat coklat tersebut.

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Sukaguam menyatakan mereka bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu mengambil tindakan menuntut ganti rugi sehingga RM100 juta terhadap syarikat tersebut.

Perlu ditegaskan di sini bahawa bukan semua orang berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembuat coklat itu.

Untuk memastikan seorang itu ada locus standi memfailkan tuntutan di mahkamah, orang itu mestilah ada bukti bahawa dia sememangnya telah membeli produk buatan syarikat itu daripada pengedarnya yang sah (dan ada menyimpan resit untuk membuktikan transaksi pembelian itu) dan selepas itu produk itu telah pun diserahkan kepada pihak lain yang diiktiraf ada kepakaran menjalankan ujian, dan hasil kajian itu sah membuktikan barang itu ada mengandungi DNA babi seperti yang dilaporkan oleh media.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah memaklumkan dalam sidang akhbar di pejabatnya minggu lalu bahawa menjual produk mengandungi DNA babi tanpa memaklumkan masyarakat Muslim di negara ini adalah satu 'penipuan jahat dan harus dibendung'. Perbuatan syarikat itu merupakan satu 'penghinaan yang amat dahsyat', tambahnya lagi.

Beliau menambah; "Setakat ini kami telah menerima 700 emel dan pesanan ringkas daripada rakyat Malaysia yang mahu kami mewakili mereka menyaman Cadbury. Kami akan memfailkan saman ini dan menganggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta."

Kenyataan JMM itu dibuat ekoran pendedahan Kementerian Kesihatan dan Jakim sebelumnya yang mengesahkan bahawa dua produk berjenama Cadbury (iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam) mengandungi DNA babi. Jakim telah juga menarik balik sijil halalnya mengenai produk berkenaan. Syarikat Cadbury telah kemudian menarik kedua-dua produk tersebut dari semua premis perniagaan yang menjual produk tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Sukaguam Kebangsaan, Ahmad Zuhairi Ahmad Pu'aat berkata bahawa tindakan undang-undang yang mungkin diambil terhadap syarikat pembuat coklat itu adalah tuntutan gantirugi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Hamdan Adnan pula menyeru agar tindakan lebih tegas diambil terhadap syarikat berkenaan agar peristiwa buruk seperti ini tidak berulang.

Tidak cukup dengan kejutan pendedahan kewujudan DNA babi dalam produk makanan kegemaran kanak-kanak ini, keadaan menjadi lebih keliru dan kelam-kabut lagi apabila media memetik pandangan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, yang khabarnya menyatakan bahawa produk buatan Cadbury itu 'yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asalnya, iaitu halal dimakan' (sila lihat http://www.astroawani.com/news/show/coklat-cadbury-halal-majlis-fatwa-kebangsaan-36793?cp)

Abdul Shukor berkata, perkara ini termasuk dalam kategori keadaan 'umum al-balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

Dalam kenyataan penuhnya yang dikeluarkan minggu lalu, Abdul Shukor menjelaskan; "Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai halal tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, muzakarah memutuskan bahawa ia dikategorikan sebagai 'umum al-balwa'.

Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan.

Kenyataan Abdul Shukor ini mengingatkan perbualan saya dengan arwah ayah sewaktu saya masih muda dulu. Dalam bahasa mudah yang kita fahami, ayah menyatakan kepada saya bahawa istilah 'umum al-balwa' boleh diertikan sebagai 'bala atau musibah yang tidak boleh dielakkan' atau 'sukar dielakkan'.

Yang menggusarkan banyak pihak (termasuklah beberapa sahabat saya di kalangan warga peguam) adalah kemungkinan besar kes melibatkan coklat Cadbury ini akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat. Tindakan undang-undang ini boleh berupa guaman sivil (tuntutan ganti rugi pihak-pihak berkenaan di bawah Akta tertentu atau di bawah common law), dan juga boleh berupa prosiding jenayah (oleh pihak berkuasa tertentu di bawah undang-undang negara tertentu berkaitan produk halal).

Jadi, kalau kita sudah menjangkakan guaman sivil dan prosiding jenayah ini akan diambil oleh pihak-pihak berkenaan, kenapakah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan merasa perlu (seolah terburu-buru) membuat kenyataan tentang perihal pencemaran atau kontaminasi yang berlaku 'adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan'?

Tidakkah perbuatan Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan pendapat sedemikian itu seperti mendahului kerja dan peranan mahkamah?

Kita langsung tidak berniat menafikan kepakaran dan ketokohan Jawatankuasa Fatwa dalam aspek pentafsiran 'umum al-balwa' ini dari segi hukum syarak. Pun begitu, perlu ditegaskan bahawa apa yang rakyat kita hadapi sekarang adalah dua isu perundangan yang amat serius, iaitu:

Pertama, ia membabitkan isu product liability oleh syarikat pembuat (sebahagian daripada undang-undang kecuaian) berasaskan common law dan statut; Kedua, ia membabitkan aspek jenayah, iaitu pelanggaran peraturan negara kita sendiri, antaranya Trade Descriptions (Definition Of Halal) Order 2011.

Di bawah Peraturan 2011 itu, apabila suatu barang makanan atau barang lain dinyatakan sebagai halal dan boleh dimakan oleh seorang Muslim, barang itu mestilah, antara lain, 'tidak mengandungi bahan daripada apa-apa haiwan yang dilarang oleh hukum syarak ke atas seorang Muslim untuk memakannya.'

Sekiranya seorang itu disabitkan kesalahan melanggar Peraturan 2011 itu, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Jika yang bersalah itu adalah satu syarikat, denda boleh dikenakan ke atasnya tidak melebihi RM5 juta.

Rakyat negara ini berhak bertanya dan mahkamah nanti berhak memeriksa keterangan untuk memutuskan sendiri (membuat penghakimannya), apakah syarikat berkenaan telah bertindak dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab memastikan barang buatan mereka sentiasa halal - bukan hanya di peringkat pembuatan, bahkan di peringkat selepas itu sehinggalah barang buatan mereka itu dibeli dan dimakan oleh pelanggan mereka (rakyat jelata yang membelinya).

Mahkamah perlu memutuskan sendiri apakah pencemaran atau kontaminasi barang makanan coklat itu 'di luar kawalan dan amat sukar dielakkan'.

Sementara semua ini masih lagi menjadi tanda tanya, selagi ia tidak dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah, rakyat jelata juga perlu diperingatkan bahawa status satu fatwa' itu wujud dari sudut undang-undang dan mengikat semua umat Islam di sebuah negeri itu hanya setelah apa yang dikatakan 'fatwa' itu telah disetujui oleh Majlis Fatwa Negeri dan selepas itu telah disiarkan dalam Warta Kerajaan negeri berkenaan.

Berkorban perangi isu seleweng diesel

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Oleh Abu Kassim Mohamed

Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK memeriksa pam yang digunakan oleh sindiket mencuri minyak diesel dalam serbuan di sebuah premis yang terletak di Taman Angsamas, Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - BERNAMA

"MAHU pendapatan lumayan dengan mudah, jual diesel bersubsidi". Ini antara jenaka yang kita dengar kebelakangan ini.

Ada yang bergurau aktiviti menyeleweng bahan api bersubsidi sebagai satu 'kerjaya' yang sangat mudah tanpa modal besar. Mampu memperoleh antara RM200 hingga RM300 sehari dengan mudah.

Pokoknya, ia perbuatan yang tidak wajar. Kita tidak mahu lihat perbuatan tidak bermoral ini berterusan.

Kita perlu mengakui penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi satu 'kanser jenayah'.

Di sebalik gurauan tidak membina ini, ramai bertanya apa yang kita perlu lakukan bagi mengatasi isu penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.

Jawapan saya: Kita perlu ambil tindakan segera. Tetapi ini memerlukan pengorbanan semua.

Pihak berkuasa perlu mengkaji semula mekanisme pengagihan bahan api bersubsidi ini. Ini antara opsyen diberikan kepada kerajaan.

Pada masa sama, ada juga yang bertanya apa yang dilakukan oleh pasukan penguat kuasa dalam mengatasi masalah ini. Bukankah ini kerja penguat kuasa? Tanya mereka.

Benar! Saya juga bersetuju kita perlu memperkasa pasukan penguat kuasa dan pada masa sama, kita perlu mengkaji semula mekanisme pengagihan subsidi bahan api.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat penyelewengan bahan api bersubsidi ini sebagai satu isu yang serius khususnya sejak skim subsidi diperkenalkan. Sudah tiba masa masalah ini diselesaikan dengan mengadakan satu pendekatan baharu yang lebih efisien dan bersepadu.

Disebabkan keseriusan ini, SPRM meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara.

SPRM, sebagai agensi pencegahan rasuah, mahu bantuan kewangan dalam bentuk subsidi sampai kepada kumpulan sasaran. Ia hanya perlu dinikmati oleh golongan kurang berada. Bukannya digunakan untuk mengaut keuntungan ataupun disalurkan kepada warga asing.

Dalam kenyataan media sebelum ini, saya telah menekankan bahawa saranan mengkaji semula mekanisme ini sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian di pihak kerajaan.

Jika ketirisan ini dapat dikurangkan, lebihan peruntukan itu boleh disalurkan kepada perkara membabitkan kepentingan rakyat.

Jadi, SPRM mengalu-alukan pendekatan terbaharu yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan yang diumumkan pada Ahad lalu.

Mengikut laporan media, kerajaan sudah memutuskan untuk memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak mulai 1 September ini. Sistem yang sama bagi kenderaan persendirian juga akan dilaksanakan pada Oktober atau November.

Bermakna kenderaan komersial dan persendirian tertakluk kepada peraturan terbaharu ini. Kita tunggu butiran mekanisme yang hendak diperkenalkan.

Kerajaan dilaporkan menyasarkan penjimatan sebanyak RM9.8 bilion melalui pelaksanaan sistem baharu yang dijamin lebih efektif.

Seperti ditekankan oleh kerajaan, SPRM juga yakin sistem baharu itu diyakini mampu memastikan bahan api bersubsidi itu dinikmati oleh hanya rakyat yang benar-benar layak dan ia juga mampu mengurangkan salah guna dan mengelak berlakunya ketirisan dan pembaziran.

Tidak dapat dinafikan bahawa penyelewengan bahan api bersubsidi ini meliputi pihak berkuasa dan kumpulan tidak bertanggungjawab. Hasil siasatan mendapati mereka yang terbabit begitu mudah cuba merasuah pihak berkuasa.

Pihak berkuasa dan orang ramai perlu tampil mengemukakan aduan bagi membantu SPRM membendung penyelewengan diesel dan memberi jaminan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Sementara kerajaan mengambil langkah segera ini, saya merasakan agensi-agensi penguat kuasa perlu mencari langkah jangka panjang.

Isu penyelewengan ini, seperti saya katakan awal tadi, merupakan satu jenayah bersindiket - ada elemen rasuah dan juga ada elemen bukan rasuah. Kita mengharapkan pengorbanan semua pihak jika mahu mengelakkan kerugian dan ketirisan.

SPRM beri jaminan dan komited untuk menangani isu ini dari sudut rasuah dan salah guna kuasa. SPRM tidak akan lari daripada tanggungjawab mengesan pihak yang terlibat dalam gejala rasuah di sebalik penyelewengan bahan api bersubsidi.

Tetapi usaha ini sebenarnya merentasi elemen rasuah. Justeru, ia memerlukan pendekatan bersepadu.

Pendekatan penyelesaian diumumkan kerajaan kemungkinan akan membebankan rakyat. SPRM berpandangan bahawa rakyat perlu membuat sedikit pengorbanan. Rakyat perlu menerima pendekatan terbaharu kerajaan bagi menangani penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi dengan terbuka.

Saya berharap anggota penguat kuasa juga akan melakukan pengorbanan dengan menjalankan tugas dengan berkesan. Negara masih ada pegawai penguat kuasa yang berintegriti dan beramanah. Jadi, setiap anggota perlu memainkan peranan. Jika setiap anggota mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, kita boleh berjaya.

Saya selalu berpegang kepada pendirian bahawa kita boleh menyelesaikan separuh daripada masalah rasuah jika setiap rakyat ada nilai integriti. Isu penyelewengan bahan api bersubsidi merupakan satu lagi contoh kita boleh menyelesaikan masalah rasuah jika setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing.

Kita perlu berikrar atau berjanji: Jangan beli diesel jika tidak perlu. Jangan jual diesel atau petrol kepada warga asing. Lapor jika ada pihak yang menjual diesel atau petrol kepada rakyat atau pengguna dari negara jiran. Ambil tindakan tegas jika ada yang menjual 'secara tidak sah' atau cuba menyogok pihak berkuasa.

Kita tidak ada pilihan kecuali berkorban dan beramanah. Hargai harta dan kekayaan negara.

TAN Sri Abu Kassim Mohamed ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat