{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Pisang goreng keju semakin laris

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

DUA pekerja gerai pisang goreng keju menaburkan keju dan gula perang ke atas pisang goreng ciptaan Izham Ahmad yang semakin menjadi tumpuan di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini

ALOR SETAR 2 Jun - Pelbagai transformasi dibuat oleh pengusaha produk makanan dalam memperkenalkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidak kurang hebatnya dengan pisang goreng untuk sajian waktu petang itu telah diolah menjadi pisang goreng keju.

Mungkin bagi yang pertama kali mendengarnya, ia agak pelik namun di Alor Setar pisang goreng keju antara makanan yang menjadi sebutan dalam kalangan penggemar pisang goreng.

Sehinggakan ada pelanggan yang sanggup menunggu lebih dua jam untuk merasai keenakan pisang goreng keju, malah terdapat juga pelanggan yang membuat tempahan menerusi Facebook empat hari lebih awal.

Pengusahanya, Izham Ahmad, 36, berkata, dia terkejut dengan sambutan yang diterima daripada pengunjung sehinggakan mereka terpaksa mengambil tempahan menerusi panggilan telefon kira-kira lima jam sebelum beroperasi.

Katanya, perniagaan yang mula diusahakan dua tahun lalu itu pada mulanya hanyalah menjual pisang goreng sama seperti peniaga lain.

"Masa berniaga pisang goreng dahulu banyak persaingan di kawasan ini, jadi saya fikir perlu lakukan sesuatu untuk memberi kelainan kepada pelanggan.

"Dari situlah kami mula buat pisang goreng coklat, pisang goreng sarung dan pisang goreng rangup namun pisang goreng keju lebih mendapat sambutan berbanding yang lain sebab itulah kami fokuskan kepada satu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bekas chef yang berpengalaman dalam bidang makanan barat dan pastri ini memberitahu, kelainan pada pisang gorengnya adalah menggunakan tepung yang dihasilkan sendiri.

Menurut Izham, tepung segera yang diolah daripada resipi keluarga mertuanya itu merupakan bahan asas yang penting untuk tujuan merangupkan pisang goreng tersebut.

Selain itu katanya, kombinasi gula perang di atas parutan keju memberi rasa yang berbeza berbanding pisang goreng keju yang lain.

"Saya memilih untuk taburkan gula perang di atas parutan keju adalah kerana rasa gula itu yang kurang manis, jadi semua orang boleh makan," katanya.

Satu hari kira-kira 200 set pisang goreng keju yang dijual dengan memperuntukkan 50 hingga 60 sikat pisang.

Katanya, dalam memastikan pisang goreng yang dihasilkan berkualiti, Izham hanya menggunakan satu kuali sahaja.

"Ada pelanggan yang meminta saya tambah bilangan kuali, namun ia bukanlah perkara yang mudah kerana saya mahu pastikan goreng pisang itu tidak hangus di samping menjaga kualiti," katanya.

Katanya, dia amat menghargai pelanggannya yang sanggup menunggu lama untuk membeli pisang goreng keju yang dihasilkan.

"Kami juga berharap agar pelanggan menghubungi kami terlebih dahulu antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk membuat pesanan dan mengambil nombor angka giliran," katanya.

Pelanggan kini boleh mendapatkan pisang goreng keju di Jalan Langgar, belakang bangunan UNITAR International University (Unitar) bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang dan tutup pada hari Jumaat.

Waktu operasi pisang goreng keju di Jalan Gunung Keriang pula adalah pada pukul 2.30 petang hingga 7 petang dan tutup pada hari Isnin dan Selasa.

Pelanggan yang ingin membuat tempahan untuk membeli pisang goreng keju yang dijual dengan harga RM3 satu set bolehlah menghubungi Izham menerusi 017-607 0533.

Masyarakat pelbagai kaum perlu hidup harmoni

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Harun Aziz (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga emas sempena program Penghayatan 1Malaysia Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah di Tapak Pertanian, Kampung Pokok Sena, Baling, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Norlia Ramli

BALING 2 Jun - Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini disarankan supaya mempunyai satu matlamat untuk hidup dalam keadaan aman serta penuh kemakmuran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Aziz berkata, jika ahli komuniti mahu hidup dalam keadaan aman damai maka semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menjaga keamanan.

"Jika mahukan kemakmuran dan kebahagiaan, maka perlu ada keamanan dan kita semua perlu bertanggungjawab untuk menjaganya.

"Kepentingan hidup bersama dalam komuniti harus dititikberatkan dan dipupuk supaya terus kekal bagi memelihara kesejahteraan negara," katanya ketika berucap dalam majlis Penghayatan 1Malaysia Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah di Tapak Pertanian, Kampung Pokok Sena di sini baru-baru ini.

Program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran daripada agensi-agensi kerajaan di samping penjualan hasil produk komuniti dan juga sukaneka.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan turut diadakan bagi pengambilan anggota baru Askar Wataniah dan juga pelajar GiatMara.

Menurut Harun, Komuniti 1Malaysia (K1M) merupakan salah satu ejen kerajaan dalam usaha menyebarkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Pengerusi K1M, Jamaliah Azizan berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dalam melaksana transformasi untuk mendekatkan agensi kerajaan dengan ahli masyarakat.

"Usaha mempelbagaikan program dan pendekatan bersama rakyat menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha untuk memenangi hati rakyat.

"Jalinan ini perlu diperkukuh dengan menyemai rasa cinta rakyat kepada negara dan turut sama menghayati dan lebih bersepakat dalam menjaga perpaduan," katanya.

Bekalan makanan dijamin cukup

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Seorang peniaga, Ng Zi Yan menyusun beberapa kotak tepung gandum di kedainya di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

IPOH 2 Jun - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri tidak menerima sebarang laporan atau aduan tentang kekurangan barangan keperluan termasuk tepung dan minyak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan berkata, sehingga kini pemantauan yang dilakukan pegawai daripada PPDNKK di semua premis perniagaan mendapati keadaan adalah terkawal.

"Bagaimanapun, saya telah meminta semua pegawai KPDNKK negeri untuk mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa di semua premis perniagaan sama ada di kedai runcit, pasar mini dan juga pasar raya-pasar raya besar.

"Begitu juga ke atas pemborong dan peruncit. Hal ini bagi memastikan barangan keperluan tersebut sentiasa ada dan mencukupi," katanya di sini hari ini.

Samsuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum yang mula membelenggu pengguna di Kedah apabila peniaga dan orang ramai mengadu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan tersebut sejak 20 Mei lalu.

Dalam pada itu, Samsuddin turut memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku masalah kekurangan barangan menjelang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Jelas beliau, ini berikutan kementerian telah pun melakukan pemantauan yang teliti khususnya terhadap pembekal.

"Kita juga ingin memberi amaran kepada pemborong dan peruncit agar jangan sesekali bertindak menyorokkan barang keperluan untuk mewujudkan suasana panik dan resah di kalangan rakyat.

"Kepada pemborong, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Faa, 45, mengakui berdepan dengan masalah stok barang yang lewat dihantar ke premisnya sejak dua minggu lalu.

"Barang ada, cuma tidak banyak. Sejak dua minggu lalu, penghantaran yang dibuat ke kedai saya agak lewat, tetapi tidak sampai terputus terus. Selain itu, saya tidak menghadapi sebarang masalah," katanya.

Seorang lagi peniaga, Tan Mee Foong, 50, pula memberitahu premisnya masih menerima bekalan minyak masak dan tepung gandum seperti biasa.

"Setakat ini, semua barang keperluan mencukupi. Lazimnya tidak pernah berlaku sebarang masalah kekurangan stok bekalan meskipun pada musim perayaan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat