Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Rejim penjagaan kulit HerskinOleh ALIF ABU BAKAR AMALAN turun-temurun dan petua orang lama menjadi panduan Hani Elia Rousli, 29, dalam menjaga kecantikan dan kesihatan kulit wajah. Keberkesanan madu sebagai penawar masalah kulit diakui Hani Elia yang dahulu sering membekukan hasil lebah itu bersama perahan lemon untuk digunakan kemudiannya. Menginjak dewasa, pengasas label fesyen Muslimah tempatan, Al-Humaira Contemporary (Al-Humaira) itu masih meneruskan tradisi klasik tersebut. Begitupun, kesukaran mendapatkan produk penjagaan kulit yang menggunakan bahan semula jadi seperti madu sebagai kandungan utama mengecewakan Hani Elia. Lantas, dia mengambil keputusan mewujudkan jenama produk penjagaan kulit sendiri. Selepas enam bulan melalui proses penyelidikan dan pembangunan, terciptalah Herskin iaitu set penjagaan kulit berasaskan kandungan semula jadi tanpa bahan kimia berbahaya. "Terlalu banyak lambakan produk dan kosmetik di pasaran tetapi tidak ada satu pun menepati keinginan saya. Tujuan Herskin dibangunkan adalah untuk mereka yang mahukan produk yang relevan digunakan untuk tempoh panjang," jelas Hani Elia ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Mula dipasarkan pada penghujung Mei lalu, Herskin terdiri daripada empat produk penjagaan asas kulit iaitu pencuci muka, penyegar, krim siang dan krim malam. Ia diformulasi dari Switzerland dan disesuaikan mengikut kulit masyarakat Asia. Sebagai set penjagaan kulit yang menerapkan konsep Flawless Skin Total Repair, Herskin cuba mendokong falsafah kecantikan dari sudut berbeza. Bukan fungsi pemutihan atau pencerahan dikejar jenama itu, sebaliknya ia cuba menekankan kepentingan kulit sihat berseri. Digunakan bagi mengatasi masalah kulit, Herskin sesuai digunakan untuk semua jenis kulit tanpa mengira warna. Seperti yang dijelaskan Hani Elia, apalah maknanya kalau kulit putih dan cerah tetapi tidak sihat.
Ukuran kecantikan seharusnya dinilai berdasarkan kesihatan kulit dan bukan berasaskan kecerahan warna kulit seseorang. Stereotaip sebegini perlu dihentikan agar lebih ramai wanita dapat menghargai tona kulit sendiri dan menumpukan kepada cara mendapatkan kulit sihat berseri. Kombinasi bahan Seperti produk penjagaan kulit yang lain, Herskin juga diperakui selamat dan diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun keistimewaan jenama ini terletak pada kombinasi bahan semula jadinya yang terbukti efektif bagi merawat, menyihat dan mencantikkan kulit. Madu mendahului senarai kandungan yang berfungsi untuk mengatasi masalah kulit. Kuasa minyak argan dalam dunia kecantikan juga bukan lagi rahsia, justeru ia dijadikan sebagai bahan utama dalam majoriti produk Herskin. Minyak jojoba, ekstrak timun dan tumbuhan alpine dari Switzerland turut mengisi label kandungan jenama ini sekali gus membentuk 95 peratus ekstrak tumbuh-tumbuhan secara keseluruhan. Disifatkan sebagai produk tanpa ekstrak haiwan, Herskin bagaimanapun tetap memilih kolagen ikan kod sebagai salah satu ramuan untuk produknya. Menyentuh aspek pensijilan halal, Pengarah Urusan Herskin, Humaidi Fadzil, 32, meyakini produk mereka sebagai selamat dan sesuai digunakan semua pengguna termasuk orang Islam berikutan majoriti bahan semula jadi. "Kebanyakan produk kecantikan yang memerlukan sijil halal adalah dalam bentuk suplemen yang perlu diminum atau dimakan. Kosmetik kurang diberi penekanan khususnya yang menggunakan tumbuh-tumbuhan. "Kalau kelak sijil halal itu diperlukan, kami pasti membuat permohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," ujar Humaidi yang juga suami kepada Hani Elia. Sebelum dilancarkan, Herskin telah melalui proses percubaan dan menerima testimoni positif dari pengguna. Hani Elia sendiri telah mencuba produknya untuk tempoh lima bulan dan hasilnya amat memuaskan hati. HERSKIN mengandungi ramuan semula jadi tanpa bahan kimia berbahaya. Sepanjang menggunakan set penjagaan kulit itu, Hani Elia mendapati masalah bintik gelap dan liang pori terbuka dapat diatasi dengan efektif. Jerawat yang baharu hendak tumbuh juga dapat dikecutkan sebelum ia sempat mencacatkan seri wajah. Paling menarik ialah hasil yang diperoleh seorang pengguna yang mempunyai masalah resdung. Walaupun hidungnya gatal teruk selepas menggunakan set produk itu dalam tempoh tiga hari, masalah kegatalan akibat resdungnya banyak berkurang selepas dua minggu. Kesannya, masalah jerawat dan kulit berminyak yang disebabkan kegatalan dapat diatasi. Rejim peribadi Selain menggunakan produk yang disasarkan kepada individu yang benar-benar menghargai penggunaan bahan semula jadi itu, Hani Elia juga mempunyai rejim peribadi untuk dikongsikan. Amalan minum air kosong secukupnya mungkin agak klise tetapi itulah yang banyak membantu kesihatan kulitnya. Kebiasaan meneguk segelas air kosong sejurus bangun tidur juga membantu melancarkan sistem pencernaan pada waktu pagi. Tambah Hani Elia, penggunaan pelembap dan krim pelindung matahari bersama nilai perlindungan yang secukupnya sangat penting bagi memelihara kesihatan kulit. "Sebelum membeli krim pelindung matahari, periksa dahulu nilai perlindungannya. Kebiasaannya ia ditetapkan pada nilai SPF15++ atau SPF30++. Memandangkan negara kita beriklim tropika, krim pelindung dengan SPF30++ adalah paling sesuai," saran Hani Elia. Herskin dijual pada harga RM220 (Semenanjung Malaysia) dan RM230 (Sabah dan Sarawak) untuk satu set lengkap. Sebagai satu bentuk pendidikan kepada masyarakat agar menggunakan set lengkap sesuatu jenama, produk Herskin tidak dijual berasingan. | ||
Posted: Busana lima budaya SarawakPERGERAKAN tarian etnik Sarawak menggambarkan aktiviti harian mereka. SIULAN persis burung kenyalang membuka tirai persembahan Kumpulan Tari Kampung Budaya Sarawak dari Sarawak dengan lenggok seakan-akan burung yang sedang terbang. Perhiasan wanita seperti sugu tinggi, bidang berhias duit syiling, selampai dan marek empang yang diperbuat daripada manik menghasilkan alunan bunyi mengikut hayunan kaki dan tangan penari. Penari lelaki yang memakai cawat dengan tenunan mewah, tali pinggang lampit sambil membawa sebatang sumpit mengatur langkah gagah bak pahlawan Bumi Kenyalang. Bertempat di Restoran Zende, Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, Kumpulan Tari Kampung Budaya Sarawak mempersembahkan siri tarian lima suku di Sarawak. Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Kampung Budaya Sarawak, Wynner Samud berkata, tarian yang dipersembahkan melibatkan suku Iban, Orang Ulu, Melanau, Bidayuh dan kaum Melayu Sarawak. Wynner memberitahu, walaupun setiap suku mempunyai tarikan busana yang berbeza, namun mereka mempunyai kesamaan dari sudut hiasan dan jahitan. Katanya, suatu ketika dahulu perhiasan seperti manik, tenunan dan perak merupakan perlambangan status dalam kalangan masyarakat. "Semakin banyak tenunan dan perhiasan manik yang digayakan, maka semakin tinggi status individu tersebut. Mereka biasanya terdiri daripada golongan pahlawan, ketua suku ataupun orang yang kaya-raya. PERHIASAN kepala yang diperbuat daripada bulu brung helang atau kenyalang hanya dipakai oleh golongan pahlawan atau ketua. "Pada masa dahulu kebanyakan busana diperbuat daripada kulit kayu. Demi mengukuhkan jahitan, benang daripada daun pandan liar digunakan," katanya ketika ditemui Stailo. Tenunan Menyentuh tentang warna, etnik Sarawak gemar pada warna hitam, kuning dan merah. Cawat merupakan busana penting bagi suku Iban dan Orang Ulu. Tenunan pua atau dikenali sebagai tenunan ikat adalah seni tenunan yang dihasilkan oleh wanita Iban yang sering dijadikan cawat. Reka corak yang biasa digunakan adalah anak kunci, lengkar, rombus atau batu berlian. Ujar Wynner, tenunan merupakan warisan tradisi kaum Iban hanya boleh dilakukan mereka yang berpengalaman. "Rekaan tenunan yang rumit dihasilkan oleh penenum berpengalaman. Terdapat jenis-jenis tenunan yang hanya boleh dipakai mengikut majlis sama ada perayaan dan keramaian tertentu. "Hanya mereka yang berstatus tinggi mampu menggayakan tenunan daripada golongan yang berpengalaman ini," katanya. Bercerita mengenai suku Melanau, tona busana yang digayakan sama ada lelaki dan wanita ialah berwarna hitam. Golongan lelaki lazimnya memperagakan baju satin berwarna gelap yang dipadankan dengan kain songket bunga tabur. WANITA Melayu Sarawak tampil sopan dalam baju kurung teluk belanga dan selendang bersulam bunga tabur. Tidak seperti lelaki suku Iban dan Orang Ulu yang memperagakan hiasan kepala daripada bulu burung kenyalang dan helang, lelaki Melanau memakai penutup kepala seakan-akan ikatan dari Jawa. Wanita Melanau pula bertali pinggang pending besar, baju baldu hitam bersama songket tenunan Sarawak dan hiasan kepala. Uniknya tarian suku Melanau, menurut Wynner, hanya dipersembahkan jika ada kematian. "Tujuan utama tarian tersebut dipersembahkan ialah untuk mengurangkan perasaan hiba dalam kalangan keluarga dan pelawat ke atas kehilangan insan tersayang. "Selain kematian, setiap suku juga meraikan musim tuaian dengan tarian bagi berkongsi kegembiraan atas hasil tanaman mereka," ujarnya. Busana suku Melayu Sarawak memperlihatkan golongan lelaki memperagakan baju Melayu cekak musang dan sampin songket. Golongan wanita pula berbaju kurung dengan jahitan teluk belanga dan kepala mereka ditutup sopan dengan selendang bersulam bunga tabur. Selempang songket turut menjadi hiasan tambahan melengkapkan busana wanita Melayu Sarawak. Keberanian Wynner memberitahu, bulu dalam suku Sarawak membawa maksud keberanian. Katanya, bukan sebarang orang boleh memperagakan perhiasan bulu tersebut. "Selalunya perhiasan bulu di kepala menggunakan bulu burung helang dan kenyalang manakala selempang yang diperbuat daripada bulu kambing dan rusa hanya dipakai oleh pahlawan dan ketua suku," katanya. Mengulas mengenai pergerakan dan lenggok tarian, ia adalah saduran daripada pergerakan dalam kehidupan seharian seperti memburu dan pergerakan burung kenyalang dan helang. - AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA | ||
Alyah 'jual' tudung Aalia di laman sosial Posted: Alyah 'jual' tudung Aalia di laman sosialOleh AHMAD ISYAFIQ MAD DESA ALYAH (tiga dari kiri) bersama Kirpal (empat dari kiri) dan Jaslen (empat dari kanan) di majlis memperkenalkan duta baharu rangkaian tudung Aalia dan Fiesta Fabrik Raya 2014 di Kuala Lumpur baru-baru ini. GEDUNG fabrik dan busana eksklusif, Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulati's) buat julung kalinya melantik duta bagi rangkaian terbaharu tudung dan selendang Aalia bertempat di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pelantun lagu Kisah Hati, Alyah dipilih sebagai duta selama setahun sepanjang produk itu berada di pasaran. Membariskan tudung dan selendang berkualiti tinggi, Pengarah Urusan Gulati's, Pavitar Singh memberitahu, setiap rekaan direka eksklusif pasukan pereka di Gulati's. "Nilai eksklusif yang tinggi tatkala pelanggan menggayakan rekaan kami amat dititikberatkan. Kami mahu pelanggan tampak berbeza ketika menggayakan busana dari Gulati's," ujarnya ketika ditemui Kosmo!. Pada majlis tersebut turut dilancarkan laman web rasmi Aalia dan Fiesta Fabrik Raya 2014. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Euro Moda, Jasleen Kaur. Dedah Pavitar lagi setiap fabrik, corak dan material yang digunakan dalam pembuatan barisan selendang dan tudung Aalia diinspirasikan oleh Pengasas Gulati's, Kirpal Kaur.
Tampil dengan rekaan baharu dan segar, Aalia menawarkan pilihan tudung sifon polos atau bercorak mahupun yang bertatahkan manik atau mutiara. Tudung sifon digandingkan dalam beberapa lapisan untuk menambahkan lagi seri keanggunan si pemakai. Dalam pada itu, Alyah memberitahu, sering memilih rangkaian fabrik dari Gulati's dalam rekaan busananya terutama melibatkan majlis anugerah berprestij dan beraksi di pentas. Pengiktirafan Teruja dengan pelantikan itu, Alyah menganggapnya sebagai pengiktirafan kepada wanita berhijab dan akan menggalas tanggungjawab tersebut sebaik-baiknya. "Sebagai duta saya akan menggayakan tudung Aalia dan menggunakan laman sosial sebagai interaktif memperkenalkan selendang dan tudung Aalia kepada wanita berhijab di luar sana. "Selain mengikut peredaran fesyen terkini, saya amat menitikberatkan aspek keselesaan. Aalia berjaya memberikan saya perasaan itu.
"Selendang dan tudung Aalia yang sememangnya eksklusif turut selesa untuk diperagakan," katanya yang kali pertama menggalas tanggungjawab sebagai duta rangkaian hijab selepas 14 tahun dalam industri hiburan. Sementara itu, Jasleen berkata, sempena Fiesta Fabrik Raya 2014, pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus untuk fabrik manakala 50 peratus bagi tudung. "Pelanggan yang kami cintai berpeluang mendapatkan pilihan fabrik seperti rekaan Sofea Crepe Retro, Sutera Itali berbatu Swarovski dan sifon silky yang sangat berkualiti pada nilai hebat. "Promosi pada fiesta kali ini turut melibatkan jualan baju Melayu dan baju kurung siap pada harga berpatutan," katanya. Tambah beliau, ribuan pilihan fabrik berkualiti dan terkini boleh didapati di 20 cawangan Euro Moda Gulati's seluruh negara. Dalam perkembangan lain, Gulati's bakal membuka dua cawangan lain bagi memenuhi permintaan pelanggan. "Kita masih belum tahu bila cawangan ini akan dibuka. Bagaimanapun, kita sudah mempunyai dua lokasi strategik iaitu di Kubang Kerian, Kelantan dan Taipan Ipoh, Perak," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |