Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- UTHM sasar dapat sijil ISO
- UTM-NIMS jalin kerjasama kejuruteraan sains bahan
- Puspatri laksana Malaysian Miester tingkat kemahiran
Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT Oleh AZIZI MAJID Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali (duduk, tengah) bersama pelajar UTHM yang menyertai Program Komuniti di Kampung Haji Ghaffar, Yong Peng, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 3 Jun - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyasarkan untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 9001:2008 menerusi Projek Rakan Komuniti Khidmat Masyarakat UTHM 2014-2016 dengan menjadikan Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini sebagai Taman Contoh. Pengarah projek, Noor Zahin Sukor berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya merangka beberapa program dan aktiviti bersesuaian sepanjang dua tahun projek itu diadakan. Beliau berkata, antara yang diberi fokus termasuk aspek berkaitan kepemimpinan, keselamatan, kemahiran, kebersihan, kesihatan, sukan, ekonomi dan pendidikan. "Semua program dan aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa ini akan melibatkan penyertaan daripada pemimpin dan masyarakat setempat seperti program motivasi, kursus keusahawanan, kempen kebersihan, aktiviti gotong-royong dan kitar semula. "Sepanjang tempoh projek berlangsung, mahasiswa terlibat juga akan membuat kajian dan menghasilkan buku tentang projek ini. Oleh itu, kita sasarkan memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2008 dengan menjadikan Taman Cendana, Pasir Gudang sebagai Taman Contoh," katanya selepas pelancaran projek berkenaan di Dewan Taman Cendana di sini baru-baru ini. Majlis pelancaran projek tersebut disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disaksikan Naib Canselor UTHM, Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad. Noor Zahin berkata, projek khidmat masyarakat yang menawarkan satu jam kredit di bawah kursus kokurikulum itu yang disertai seramai 106 mahasiswa daripada pelbagai jurusan pengajian akan diteruskan mahasiswa lain pada tiga semester akan datang. Beliau berkata, bagi merapatkan hubungan antara UTHM dan masyarakat setempat, mahasiswa terlibat turut diambil sebagai anak angkat bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti yang dianjurkan. |
UTM-NIMS jalin kerjasama kejuruteraan sains bahan Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT Wahid Omar (tengah) bersama Sukekatsu Ushioda (dua dari kiri) bertukar dokumen selepas menandatangani MoU di UTM Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 3 Jun - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melebarkan jaringan kerjasama dengan pusat akademik luar negara apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan National Institute of Materials Science (NIMS), Jepun dalam bidang penyelidikan dan kejuruteraan sains bahan. Naib Canselornya, Prof. Dr. Ir. Wahid Omar berkata, MoU selama lima tahun itu bakal menyaksikan kedua-dua pusat akademik tersebut menjalinkan kerjasama dalam beberapa aspek termasuk teknologi nano dan bio. "Kerjasama ini dilaksanakan menerusi Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) yang terletak di kampus UTM Kuala Lumpur. "Selain kerjasama dalam bidang penyelidikan, MoU ini juga akan menyaksikan seramai 10 penuntut UTM berpeluang menimba ilmu daripada pakar-pakar yang terdapat di NIMS," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU antara UTM dan NIMS di Dewan Canselori UTM di sini baru-baru ini. Wahid berkata, kerjasama itu juga merupakan peluang terbaik kepada mahasiswa UTM untuk mempelajari teknologi berkaitan dan mendapat tunjuk ajar daripada pakar dalam bidang kejuruteraan sains bahan. "Selain tunjuk ajar dan panduan daripada pakar di Jepun, mereka juga berpeluang mengguna pakai teknologi dan peralatan yang tidak terdapat di negara ini," katanya. Sementara itu, Presiden NIMS, Prof. Dr. Sukekatsu Ushioda berkata, idea tentang jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak itu dimulakan sejak lebih setahun lalu apabila bekas Naib Canselor UTM, Datuk Seri Dr. Ir. Zaini Ujang melawat negara Matahari Terbit berkenaan. "Kerjasama yang terjalin antara UTM dan NIMS ini akan turut membantu meningkatkan keakraban hubungan antara dua buah negara," katanya. |
Puspatri laksana Malaysian Miester tingkat kemahiran Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT JOHOR BAHRU 3 Jun - Bagi memastikan keperluan tenaga mahir selari dengan perkembangan teknologi, Pusat Pembangunan Kemahiran (Puspatri) mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan program Malaysian Miester tidak lama lagi. Pengarah Urusan Puspatri, Ja'apar Samat berkata, program tersebut dilaksanakan secara usahasama pihaknya dengan Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dan Aachen Chamber of German dalam memberi latihan kepada mereka yang terlibat. Beliau berkata, peserta yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga akan dilatih bagi meningkatkan kemahiran sedia ada serta diberi pendedahan tentang pelbagai perubahan dan kemajuan dalam bidang yang disertai. "Pada permulaan, dua program yang akan dilaksanakan ialah Mekatronik dan kepakaran dalam teknologi solar yang mengambil tempoh selama 18 bulan pengajian. "Kursus dalam program Malaysian Miester ini ditambah dari semasa ke semasa dan antara bidang yang sedang difikirkan adalah automotif, kimpalan dan elektrik," katanya dalam Majlis Konvokesyen Puspatri 2014 di sini baru-baru ini. Lebih 500 pelatih menerima sijil masing-masing dalam majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan. Latihan kemahiran teknikal yang ditawarkan di Puspatri menyasarkan penyertaan tiga golongan iaitu mereka yang bekerja, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan ijazah atau diploma. Ja'apar berkata, program yang dilaksanakan di Puspatri digubal dan disusun dengan kerjasama dan pandangan pihak industri, selain mengambil kira keperluan kepakaran yang diperlukan industri berasaskan perkembangan teknologi semasa. "Berdasarkan kajian yang dijalankan, lebih 90 peratus pelatih Puspatri mendapat pekerjaan mengikut bidang masing-masing dan ada ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |