Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Wajah Kepayang selepas dua dekad Posted: Wajah Kepayang selepas dua dekadBERHANTU. Itulah antara persepsi awal atau ayat pertama yang terhambur sebaik melihat sederet bangunan lama terbiar menjadi padang kulat sedangkan kenderaan bertali arus di hadapannya dengan jarak kurang tiga meter. Bagaimanapun, di sebalik pemandangan menakutkan dengan daun liar menjalar di pipi bangunan, terdapat dua buah kedai yang masih menawarkan perkhidmatannya di pekan lama Kampung Kepayang, Ipoh, Perak. Kedai itu masing-masing menawarkan perkhidmatan membuat batu nisan dan menggunting rambut. Namun, kedai gunting rambut itu lebih awal membuka pintu rezekinya. Seorang pemuda bernama Mooventhan Rathinava, 28, menjalankan rutin hariannya dengan mengelap cermin kedai. Dihimpit bangunan yang menunggu masa hendak runtuh di kiri dan kanan, terdetik di fikiran penulis, bagaimanakah kedai itu mampu bertahan dan siapakah yang ingin menggunting rambut di tempat sedemikian? Sekitar pukul 10.30 pagi, dua lelaki memberhentikan motosikal mereka di hadapan kedai tersebut. Mooventhan menyambut mesra kedatangan mereka dan salah seorang diajak untuk duduk di kerusi gunting rambut. Tanpa perlu memberitahu jenis potongan yang diingini, pemuda India itu terus mengambil penyembur air dan membasahkan rambut Muhd. Syamil Mohd. Noor Azman, 18. Sisi kepala remaja itu dinipiskan dan bahagian atas rambutnya dikemaskan. Selepas siap memotong sekitar 15 minit, dia kemudian menyapukan krim mencukur di dagu dan pipi. Dengan teliti pisau cukur dileretkan membuang buih dan jambang yang tumbuh merata. Siap melayan Muhd. Syamil, kini giliran abangnya, Muhd. Faris, 20, mengambil tempat duduk. "Saya menjadi pelanggan di kedai ini sejak darjah satu dan kawasan ini merupakan tempat persinggahan saya sebelum pulang ke rumah di Taman Seri Raia. Dahulu, saya bersekolah di belakang bangunan ini, Sekolah Kebangsaan Sungai Raya dan ketika itu terdapat beberapa buah kedai lain seperti kedai runcit yang menjual keropok dan alat permainan kanak-kanak. "Ayah yang merupakan pelanggan tetap di kedai ini sering membawa saya menggunting rambut di sini," jelasnya yang sedang menunggu panggilan Program Latihan Khidmat Negara. Tambahnya, tukang gunting rambut di kedai itu juga memahami gaya-gaya rambut yang dibenarkan oleh guru di sekolahnya. Menurut pemiliknya, R. Gnasergaran, 63, kedainya tidak pernah putus pelanggan sejak dibuka iaitu pada era tahun 1950-an. Kini Mooventhan menjadi pembantunya untuk meneruskan perniagaan tersebut. Kedai itu dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 11 malam. DERETAN kedai di pekan lama Kampung Kepayang telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. Suram Ujarnya, walaupun kawasan di situ suram dengan warna cat bangunan yang melepuh dan turut dikenali sebagai pekan hantu, kedainya masih mendapat sambutan dengan jumlah pendapatan sekitar RM100 sehari. Meninjau keadaan sekeliling pekan, Gnasergaran berkata, kawasan tersebut dahulunya merupakan salah sebuah pekan yang sibuk dengan aktiviti perniagaan. Ia telah dibangunkan sebelum merdeka berikutan lokasinya yang terletak di jalan utama dan menjadi penghubung laluan bagi perjalanan dari utara ke selatan di sepanjang pantai barat Semenanjung. Keadaan aliran lalu lintas yang kurang sesak pada ketika itu menyebabkan pekan tersebut menjadi lokasi persinggahan utama pengguna jalan raya selain memudahkan urusan seharian penduduk sekitar. Bagaimanapun, wajah pekan itu berubah selepas pembangunan giat dijalankan sekitar tahun 1990-an. Seorang demi seorang pemilik kedai mula berhijrah ke bandar untuk mencari peluang perniagaan yang lebih baik. Tetapi, kedai tersebut tidak disewakan kepada sesiapa kerana khabar angin yang mengatakan pihak bertanggungjawab ingin menjadikan kawasan tersebut lebuh raya dengan memberi pampasan. Namun, apa yang berlaku ialah deretan kedai tersebut terbiar 'berulat' selama bertahun-tahun. Khabar angin mengatakan tinggalan kedai tersebut menjadi kegiatan pengamal ilmu hitam dan cerita hantu mula menular. Menjelang raya "Dahulu sederet dengan kedai ini ada kedai lain. Sebuah kedai motor, dua kedai dobi, empat kedai kopi dan kedai runcit. Di sini juga mempunyai sebuah pam minyak Shell yang dimiliki oleh lelaki bernama Nik Boya. ANTARA peralatan yang digunakan di kedai gunting rambut ini. "Selepas pembangunan mula dijalankan di bandar, peniaga mula berhijrah ke bandar dan kedai mereka terbiar kerana kehidupan di ibu kota lebih selesa," jelasnya yang meneruskan perniagaan ayahnya. Melangkah ke tahun 2000, hanya tiga buah kedai yang masih bertahan. Bagaimanapun, keadaan bak 'hidup segan mati tak mahu" itu diburukkan lagi dengan kegiatan samun yang membuatkan peniaga berasa takut. Gnasergaran berkata, kedai runcit yang menjual rokok sering menjadi sasaran, malah pintu rumahnya berhadapan kedai pernah diumpil. Mengulas tentang survival kedai tersebut, anak kelahiran Kedah itu berkata, dia akan meminta anak-anaknya meneruskan perniagaan berkenaan, walaupun mengetahui masing-masing telah mempunyai pekerjaan tetap. Ujarnya, hasil kedai tersebut boleh dijadikan 'duit poket' mereka tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak. Jika terpaksa, dia akan mencadangkan supaya mengupah orang lain menguruskan kedai tersebut. "Tetapi untuk memastikan perniagaan ini terus mendapat sambutan, mereka mestilah ikhlas melayan setiap pelanggan," katanya sambil menambah dia pernah menerima pelanggan sehingga tengah malam apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kini, bagi membekalkan keperluan kepada penduduk di kawasan berkenaan dan berhampiran, pihak berkuasa telah membangunkan rumah kedai baharu di kawasan bandar raya Ipoh, kira-kira lima kilometer dari pekan lama tersebut. Dalam pada itu, wajah pekan ini di kala senja pasti menakutkan mereka yang lemah semangat. Isi perut bangunan terburai dengan bangkai barang-barang lama dan akar daun yang membelit dinding membangkitkan suasana yang menyeramkan. Bagaimanapun, tatkala matahari berdiri tegak di atas kepala, pekan terbiar itu melahirkan pemandangan sebaliknya dan disifatkan memiliki nilai artistik oleh pengunjung yang bertandang. Mooventhan memberitahu, ramai pasangan raja sehari singgah di situ semata-mata ingin merakam gambar kenangan di bangunan lapuk. "Bangunan-bangunan lama yang dianggap menyeramkam pada waktu malam ini bertukar menjadi indah pada siang hari dan dijadikan latar belakang penuh nostalgia dalam potret perkahwinan mereka. "Apabila ditanya, rata-rata memberitahu wajah pekan lama ini sangat menarik seakan-akan membawa mereka ke suatu tempat yang lain, jauh dari bandar raya," jelasnya sambil menunjukkan gerbang berkulat yang sering menjadi sandaran pasangan bahagia. Tambahnya, selain pengantin baharu, terdapat juga pengguna jalan raya dari kawasan sekitar dan pelancong dari luar negara yang turut berhenti semata-mata ingin membawa balik kenangan di pekan Kampung Kepayang. Bertanya mengenai tanggapan segelintir pihak yang mengatakan pekan tersebut terbiar kerana pernah menjadi tempat penapakan pengamal ilmu hitam, Mooventhan hanya menggelengkan kepalanya. Ujarnya, selain mengambil upah bulanan di kedai gunting itu, dia juga menetap di bahagian atas kedai selama empat tahun. "Sepanjang saya tinggal di sini, saya tidak pernah mengalami pengalaman menakutkan seperti ternampak atau diganggu benda-benda halus," jelasnya sambil ketawa sinis. |
Ubah pangsapuri kepada restoran Posted: Ubah pangsapuri kepada restoranCOOKAPP membolehkan individu bertemu rakan baharu dan menikmati hidangan enak disediakan di kediaman cef-cef yang mengambil bahagian. SETIAP malam Ahad, Giuseppe Marrone akan mengajar sekumpulan orang yang tidak dikenali cara membuat gnocchi yang sempurna sambil menghirup koktel di sebuah pangsapuri di New York. Bekas pengurus restoran The Ritz yang berusia 29 tahun itu telah membuka restoran di rumahnya khusus untuk pencinta makanan yang mengimpikan pengalaman majlis makan malam di New York. Matlamat utama Marrone bersama rakannya, Chiara Mortaroli, 28, ialah untuk membuka sebuah restoran dan memperkenalkan keenakan hidangan makanan Itali kepada umum. Di sebuah bandar raya yang kaya dengan restoran hebat dan hanya segelintir individu yang mampu memiliki pangsapuri besar, makan di rumah adalah suatu yang luar biasa sehingga ada pihak yang sanggup mengeluarkan wang untuk dijemput menikmatinya. Kawan baharu Trend ini diperkenalkan menerusi laman CookApp yang bermula di Argentina dan berkembang ke New York sejak tiga bulan lalu, membenarkan cef-cef restoran mengubah kediaman mereka kepada sebuah restoran. PELANGGAN boleh membuat pilihan menu mengikut cita rasa mereka melalui laman CookApp. Mortaroli yang bekerja di sebuah galeri seni di kejiranan Chelsea telah menemui CookApp di laman sosial Facebook. Dia merasakan aplikasi tersebut merupakan satu cara yang baik untuk menggabungkan minatnya dalam bidang masakan dan bertemu orang baharu. "Ini adalah majlis makan malam kali kedua yang kami anjurkan. Saya pernah menyertai acara serupa sebagai tetamu sebanyak dua kali sebelum ini. "Pada mulanya, kami hanya membuat majlis makan malam bersama rakan-rakan dalam satu kumpulan yang besar dengan masing-masing membuat sumbangan wang. "Lama-kelamaan, mereka membuat permintaan untuk membawa rakan mereka bersama," kata Mortaroli sambil sibuk menyiapkan hidangan tart lemon. Menurut Marrone, beliau gemar bertemu rakan baharu, terutamanya yang mempunyai budaya berbeza, dan menggesa Mortaroli memulakan usaha tersebut bersama. Personaliti yang mesra dan bersahaja kedua-dua rakan itu menarik hati lapan orang tetamu yang turut diajak menyediakan hidangan gnocci bersama mereka. Sekiranya tiada internet, minat dalam hidangan Itali dan bertemu rakan baharu, kumpulan tetamu yang terdiri daripada golongan profesional muda itu pasti tidak akan bertemu. Berhimpun mengelilingi sebuah meja di ruang tamu, setiap tetamu diberi resipi hidangan gnocci dan tart lemon dalam bentuk gulungan kertas diikat reben. MARRONE (kiri) mengajar cara-cara membuat gnocchi kepada individu yang tidak dikenali di rumahnya. Suasana intim Majlis makan malam bermula dengan hidangan salad makanan laut, bruschetta dan pastri ikan salmon sebelum sajian gnocchi and ragu. "Saya sangat sukakannya. Saya menganggap acara ini sesuatu yang sangat menyeronokkan," ujar Lauren Ruotolo, seorang eksekutif di sebuah syarikat penyiaran. Menetap di Gramercy Park, dia tertunggu-tunggu peluang untuk melakukan suatu kelainan di New York, di samping mempelajari kuisin Itali. Dalam pada itu, Jeni Kreiger, 34, seorang pemandu pelancong yang mempunyai pengalaman makan malam di beberapa restoran terbaik di New York memaklumkan bahawa dia lebih gemarkan suasana intim yang disediakan di apartmen tersebut. Beliau mengakui sudah pandai membuat gnocchi di rumah dan kemahiran itu tidak boleh dimiliki jika datang makan malam di restoran. Sementara itu, menurut pengasas bersama CookApp, Pedro Rivas, laman tersebut diperkenalkan di New York pada Februari lalu susulan kejayaan di Buenos Aires, Argentina. Sehingga kini 57 acara makan malam telah dianjurkan di New York. "Bandar raya yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak lapan juta orang ini merupakan pasaran yang menarik dengan kekayaan budaya dan warisan kulinari serta obses penduduknya terhadap perkara-perkara baharu," katanya. Rival menambah, kebanyakan pelanggan Cookapp terdiri daripada golongan wanita yang berumur antara 25 hingga 45 tahun. Ini mungkin disebabkan wanita lebih dekat dengan budaya makanan. Kebanyakan daripada mereka menyertai CookApp melalui Facebook. Cef-cef yang berminat perlu mendapatkan kebenaran CookApp sebelum menganjurkan majlis makan malam pertama mereka. "Tiga faktor pemilihan ialah tahap kebersihan dan keselamatan lokasi, kemahiran memasak dan sikap mesra cef tersebut," ujar beliau. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |