{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


UiTM Kampus Seremban anjur debat

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Mohammad Nor Othman (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada mahasiswa dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Seremban yang dinobatkan sebagai johan Debat Piala Dekan Universiti Teknologi Mara Se-Malaysia di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 3 Jun - Menyedari kepentingan debat dalam melahirkan mahasiswa yang berfikiran glokal, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) menerusi Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) menganjurkan Debat Piala Dekan Universiti Teknologi Mara Se-Malaysia.

Bertemakan Cakna Minda Pencetus Pemikiran Glokal Mahasiswa, debat kali ketiga dianjurkan itu berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Mei lalu di UiTM Kampus Seremban.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama persatuan dalaman termasuklah Persatuan Mahasiswa Pentadbiran Korporat (CASS) dan Persatuan Mahasiswa Sains Pentadbiran (BacAS).

Pengarah Program, Siti Nor Diana Abd. Majid berkata, program tersebut merupakan platform yang sangat sesuai bagi pihak FSPPP dalam usaha mencungkil bakat debat dalam kalangan pelajar fakulti.

Malah katanya, melalui debat juga, para mahasiswa turut didedahkan dengan pelbagai isu semasa dan fakta menerusi usul yang melibatkan isu-isu terkini yang berlaku di dalam mahupun luar negara.

"Program ini yang melibatkan peserta daripada UiTM Cawangan Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan negeri ini juga dapat melahirkan mahasiswa berfikiran kritis dan kreatif melalui pembentangan usul yang dikemukakan.

"Menerusi program ini, kita berharap agar para mahasiswa dapat memperoleh input yang berkesan daripada pertandingan yang mereka sertai ini," katanya di sini, baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban selaku tuan rumah dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Kesemua hadiah berupa trofi, plak dan sijil kepada pemenang disampaikan oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Seremban, Prof. Madya Mohammad Nor Othman.

Nor Fadli, Yeni Ermita dinobat Olahragawan dan Olahragawati UTeM

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Nor Fadli Normohamed (kiri) dan Yeni Ermita Daswir bersama hadiah masing-masing selepas merangkul Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem) 2013 sempena majlis Anugerah Sukan UTem di Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/FADZLY IZAB

MELAKA 3 Jun - Kecemerlangan Nor Fadli Normohamed dan Yeni Ermita Daswir dalam bidang sukan telah melayakkan mereka merangkul Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2013.

Kejayaan itu diterima kedua-dua pelajar berkenaan sempena majlis Anugerah Sukan UTem yang diadakan di Kampus UTeM Durian Tunggal, di sini baru-baru ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan UTeM, Nor Fadli dipilih menerima anugerah berkenaan hasil sumbangan dan pencapaian cemerlangnya dalam bidang olahraga termasuk merangkul tiga pingat emas dalam acara olahraga tahunan UTeM.

"Penganugerahan itu turut didorong kejayaan Nor Fadli yang memperolehi dua pingat perak di Kejohanan Olahraga Terbuka Melaka, satu pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor serta satu pingat emas di Kejohanan Orienteering Universiti Islam Antarabangsa," kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi anugerah olahragawati UTeM, atlet sukan mendayung, Yeni Ermita berjaya meraih pingat gangsa di Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), pingat emas di kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur dan mewakili negara dalam acara mendayung Sukan SEA Vietnam.

Berikutan kejayaan itu, Nor Fadli merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Yeni Ermita dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi masing-masing menerima hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai RM300 setiap seorang.

Jelas kenyataan itu lagi, anugerah olahragawan kategori kakitangan pula dimenangi Shamsul Sabtu yang cemerlang dalam sukan olahraga dan bolasepak manakala Norashikin Hashim yang cemerlang dalam acara olahraga dan bola jaring menerima anugerah olahragawati.

"Bagi anugerah berpasukan pula, pasukan tenpin boling lelaki memenangi anugerah Pasukan Cemerlang manakala pasukan olahraga lelaki veteran memenangi sama bagi kategori kakitangan," tambah kenyataan itu.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan yang turut dihadiri Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan pengurusan kanan universiti.

UTeM meriahkan Festival Antarabangsa Sungai Melaka

Posted: 03 Jun 2014 12:51 PM PDT

Sebahagian daripada peserta kebudayaan mempersembahkan permainan gendang 24 musim dalam Festival Etnik Antarabangsa anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2014 di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 3 Jun - Festival Etnik Antarabangsa anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2014 yang diadakan di Taman Rempah di sini berlangsung dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung Sabtu lalu.

Pegawai Kebudayaan UTeM, Amir Ali berkata, festival etnik berkenaan merupakan acara pembukaan Festival Antarabangsa Sungai Melaka yang diadakan selama sebulan di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai persembahan menarik dipersembahkan kepada ribuan pengunjung yang memenuhi kawasan tarikan utama pengunjung di Taman Rempah pada hari berkenaan.

"Selain itu, festival tersebut turut dimeriahkan dengan menampilkan persembahan jemputan dari Universitas Karimun dan kumpulan kebudayaan dari Daerah Pulau Meranti, Kepulauan Riau, Indonesia," katanya.

Festival bermula pada pukul 8 malam dan berakhir pada pukul 12 malam itu dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Prof. Madya Dr. Izaidin Abdul Majid dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zainudin Ahmad.

Jelas Amir, antara persembahan menarik yang disajikan kepada pengunjung termasuklah gamelan, orkestra UTeM, gendang 24 musim, tarian tradisional masyarakat Cina dan Portugis serta tarian etnik Sabah dan Sarawak.

"Para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan Dondang Sayang yang dijayakan oleh Kumpulan Dondang Sayang Melaka pada malam tersebut," ujarnya.

Tambah beliau lagi, pihak UTeM amat berbesar hati dan bangga dapat melibatkan diri membantu kerajaan negeri memeriahkan karnival berkenaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung serta mempelbagaikan aktiviti sepanjang karnival.

"Diharapkan UTeM akan membantu memperkenalkan kepada masyarakat terutamanya pengunjung luar negara terhadap keunikan seni dan budaya masyarakat tempatan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat