{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Mustaqim intai peluang

Posted:

Mustaqim intai peluang

Mustaqim intai peluang

SEKALI pandang, wajahnya seiras pelakon dan model, Azrel Ismail, mungkin kerana senyumannya. Namun, apa yang membezakan Azrel dan Mustaqim adalah ketinggian mereka.

Kata Mustaqim atau nama sebenarnya, Mustaqim Bahadon, 29, wajah Azrel kalau sekali lihat nampak serupa dengannya tetapi pelakon drama rantaian Jodoh 2 itu enggan disamakan dengan sesiapa.

"Azrel sahabat saya dan kami menyokong karier masing-masing. Lebih manis kerana kami dilahirkan daripada program pencarian bakat majalah sama.

"Kami bersaing secara sihat, biar saya lambat menyerlah berbanding dia tapi mungkin sampai masanya nanti kami akan berdiri sebaris semula.

"Secara fizikalnya, Azrel lebih kelihatan seperti jejaka kacukan Latin tapi wajah saya pula keMelayuan. Begitu juga ketinggian saya yang sedikit berbeza berbanding dia," kata anak kelahiran Kangar, Perlis itu.

Lambat mula

Mendukung peranan seorang lelaki metroseksual, Raja Gufran dalam Jodoh 2, Mustaqim antara lainnya pernah membintangi drama Kalau Itu Jodoh Kita, Kasyaf, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, Lara Hati, Menantu Tiga Rasa, selain filem KL Gangster 2.

"Ini kali pertama saya melakonkan watak lelaki metroseksual yang terlalu cenderung menjaga penampilannya.

"Selain perlu sentiasa memakai lip gloss dan merapikan rambut, saya juga harus mengawal tutur kata saya supaya lebih berlapik apabila bercakap," katanya mengenai watak lakonannya dalam Jodoh 2.

Memulakan karier lakonannya selepas tamat program pencarian bakat sebuah majalah terkenal sekitar tahun 2009, kata Mustaqim, belum terlambat untuk dia mengintai peluang lebih cerah walaupun usianya hampir mencecah angka 30 tahun.

MUSTAQIM BAHADOM mengakui dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang gadis kelahiran Indonesia.


"Memang saya bermula sedikit lambat kerana sebelum ini fokus saya tertumpu kepada keluarga saya. Saya ada strategi sendiri dalam dunia seni tapi saya tidak harus putus asa untuk terus mencuba.

"Mulanya saya susah mungkin kesudahannya akan manis," ujar lulusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektrikal Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah itu.

Hantar tong gas

Mustaqim menyasarkan matlamat sendiri untuk berjaya dalam bidang perniagaan produk kesihatan yang sedang diusahakan secara persendirian, namun dia enggan membataskan diri untuk menceburi semua bidang di depan mata.

"Bukan bermakna saya tamak sampaikan mahu kejar semua benda tapi memandangkan langkah sulung saya bermula agak lewat, saya perlukan alternatif lain.

"Secara kecil-kecilan, saya memang meminati bidang perniagaan kerana seawal usia remaja lagi saya diajar untuk berdikari.

"Malah, demi mencari duit lebih ketika saya berusia 19 tahun, saya pernah bekerja sebagai penghantar tong gas dan membaiki telefon bimbit serentak setiap hari di Alor Setar, Kedah.

"Saya juga bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran ikan bakar dan menjual kain, bantal dan selipar di pasar malam sampai terlupa untuk menyambung pelajaran," katanya.

Lebih menyedihkan apabila bapanya, Bahadon Hamzah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru ketika Mustaqim sedang menduduki peperiksaan akhir di pusat pengajiannya.

FIGURA sasa ini mendedahkan ada produser lelaki mahu memanipulasi dirinya secara seksual.


Ajak ke ranjang

Berbahagi karier antara lakonan dan peragaan, kata Mustaqim, kedua-dua tuntutan itu tidak mengganggu susun atur jadualnya sehari- hari, sementelah dia kini diuruskan oleh pengurus peribadinya, Aina Liza sejak Disember tahun lalu.

"Tahun ini memasuki tahun keempat saya menjadi duta gedung kain Jakel Untuk mengimbangi karier berlakon dan peragaan rasanya tidak sukar kerana waktu saya fleksibel.

"Sepak terajang dunia peragaan tak sama dengan lakonan. Sesungguhnya dengan ketinggian saya yang cuma 184 sentimeter saya tidak mampu pergi jauh.

"Persaingan antara model lelaki yang jauh lebih tinggi terutama dengan model berwajah kacukan yang bukan calang-calang," katanya yang usai penggambaran iklan komersial Tia Amelia dan terbaharu Nescafe Ipoh White Coffee.

Begitu juga dunia lakonan. Pernah ada tawaran nakal daripada produser kepadanya andai mahu melakonkan peranan besar dalam sesebuah drama.

"Ajakan tidur bersama pernah saya terima tapi saya tolak dengan baik. Lebih mengejutkan kerana ada antaranya adalah produser lelaki.

"Andai itu caranya, lebih baik saya berlakon watak picisan saja. Saya kisah kalau lambat naik kalau perlu saya menggadaikan maruah saya untuk naik cepat," tegasnya yang memulakan langkah seiring pelakon sensasi, Shahz Jaszle suatu ketika dulu.

Cinta dua negara

Anak kelima daripada enam beradik itu mempunyai darah kacukan Cina sebelah ibunya dan akui Mustaqim, dia kini masih belum mempunyai teman wanita yang serius.

"Pernah beberapa kali gagal bercinta sebelum ini tapi bukan itu sebabnya untuk saya tiada teman istimewa. Sekarang saya sedang berkawan rapat dengan seorang gadis dari negara jiran, Indonesia.

"Senang cerita saya sifatkan hubungan ini adalah cinta jarak jauh yang sudah terjalin sejak empat tahun lalu dan kami selesa bersama.

"Dia menyenangkan saya dan tempat untuk saya mengadu kalau ada masalah, insya-Allah, kalau ada jodoh siapa tidak mahu berkahwin?

"Cuma, buat masa sekarang fokus saya adalah bekerja dan mengukuhkan kewangan sebelum memikirkan hal rumah tangga," jelasnya.

Preity pertahankan Alia

Posted:

Preity pertahankan Alia

Preity pertahankan Alia

PREITY ZINTA


BARU-BARU ini, pelakon Alia Bhatt menjadi bahan jenaka oleh peminat setelah menjawab Prithviraj Chauhan sebagai Presiden India apabila ditanya oleh Karan Johar menerusi rancangan bual bicaranya, Koffee With Karan.

Presiden bagi negara India sekarang ialah Pranab Mukherjee yang dilantik untuk menerajui negara tersebut pada 22 Julai 2012.

Walhal, Prithviraj Chauhan merupakan seorang raja Dinasti Gurjar Chauhan yang memerintah kerajaan Ajmer dan Delhi sekitar penghujung abad ke-12 lampau.

Walaupun ahli keluarganya tidak menjadikan ia sebagai satu isu yang besar, namun aktres terkemuka, Preity Zinta naik berang ekoran Alia, 21, secara berterusan diserang kerana jawapannya itu.

"Alia melakonkan watak saya ketika kecil dalam filem Sanghursh. Ketika itu dia baru berusia tujuh tahun dan sangat comel.

"Kini, setelah dia semakin dewasa dan berjaya, ramai pula yang mempermain serta mentertawakannya. Mengapa mereka tidak pernah jemu mengutuk Alia?

"Dia dikutuk kerana merupakan seorang gadis yang cantik dan berjaya. Jika dia hanya seorang individu biasa, pasti perkara ini tidak akan timbul," katanya dengan nada berang.

Tambah Preity, kejayaan Alia adalah berdasarkan hasil usahanya sendiri.

"Dia tidak mencederakan sesiapa pun. Dia bekerja keras untuk berjaya dan apa yang diraihnya adalah berdasarkan hasil titik peluhnya sendiri.

"Adakah dia mencuri daripada ayah kamu? Tidak bukan? Jadi, orang ramai harus berhenti daripada terus mengutuk Alia," katanya lagi.

RM20,000 dilarikan pembantu rumah: Fasha tak serik!

Posted:

RM20,000 dilarikan pembantu rumah: Fasha tak serik!

RM20,000 dilarikan pembantu rumah: Fasha tak serik!


FASHA dan suaminya, Jejai akan terus menggunakan khidmat pembantu rumah, namun mereka akan lebih berhati-hati selepas ini.


BERITA dua pembantu rumah aktres popular, Fasha Sandha dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang Jaya, Selangor pada 30 Mei lalu mengejutkan banyak pihak.

Mengikut pertuduhan, dua pembantu rumah warga Indonesia, Nilawati, 39, dan Sri Maniami, 35, didakwa mencuri mata wang rupiah dan wang Ringgit Malaysia berjumlah RM200 milik Rizal Ashram Ramli, 38, yang merupakan suami Fasha di sebuah rumah di Jalan Duta Suria, Ampang Jaya pada 9.45 malam, 12 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka merayu supaya hukuman diringankan kerana ingin menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

Fasha yang dihubungi Kosmo! menjelaskan, dia dan suaminya, Rizal atau Jejai telah kerugian sebanyak RM20,000, namun ketika tangkapan selepas tujuh jam mereka melarikan diri dari rumah dilakukan, polis hanya menemui RM200 serta tiga telefon bimbit pada pembantu rumah tersebut.

Meskipun begitu, pelakon yang sedang sarat hamil anak kedua itu tidak serik untuk menggunakan khidmat pembantu rumah lagi selepas ini. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Fasha.

Kosmo!: Bagaimana Fasha boleh menyedari kejadian kecurian ini?

FASHA: Kejadian berlaku pada 12 Mac pukul 9.45 malam. Ketika itu saya dan suami bersama anak berada di Perlis. Jiran memberitahu suami, rumah kami ditinggalkan tidak berkunci dan dua pembantu rumah tiada di rumah. Polis hanya jumpa RM200 dan tiga telefon bimbit bersama mereka ketika tangkapan dibuat. Sebenarnya anggaran kerugian berjumlah RM20,000 kerana mereka turut mengambil wang Rupiah dan barang kemas.

Adakah barangan tersebut telah berjaya ditemui semula?

Polis berjaya menahan mereka di rumah kongsi di Kajang. Saya yakin pembantu rumah telah menyerahkan wang tunai dan barang kemas tersebut kepada orang lain.

Apa pun, saya kagum dengan kecekapan polis yang berjaya menahan mereka selepas tujuh jam melarikan diri.

Berapa lamakah pembantu rumah ini bekerja dengan anda?

Seorang telah bekerja selama setahun dan seorang lagi baru sebulan. Setelah mereka melarikan diri, saya diberitahu oleh jiran, mereka telah bercinta dengan buruh lelaki Indonesia tidak jauh dari rumah saya. Mereka sering keluar untuk berjumpa lelaki tersebut.

Adakah kejadian ini pertama kali berlaku?

Ya, ini pertama kali pembantu rumah melarikan diri dari rumah saya.

Selepas kejadian ini adakah anda serik untuk menggunakan khidmat pembantu rumah?

Tidak serik. Saya yakin apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya. Saya bersyukur ketika kejadian, anak saya, Putra Rayfal ada bersama saya.

Kenapakah anda merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan media sebelum ini?

Perkara ini berlaku pada bulan Mac tetapi saya tidak pernah berkongsi dan bercerita mengenainya kepada pihak media kerana semuanya masih dalam siasatan pihak polis. Berita ini tersebar di internet kerana ada beberapa pemberita di mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.

Apakah nasihat anda kepada orang di luar sana yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah?

Saya kurang pandai menasihati tetapi apa yang boleh saya kongsikan sentiasa berhati-hati dengan pembantu rumah.

Jangan percayakan mereka walaupun telah bekerja lama dengan kita. Adakalanya pembantu rumah menjadi lalai, leka serta lupa diri apabila mereka mula bercinta.

Boleh kongsikan apakah perkembangan terbaharu anda?

Buat masa sekarang saya sedang sibuk dengan penggambaran drama terbitan Pesona Pictures berjudul Selamat Pengantin Madu sebanyak 13 episod untuk TV3. Saya memegang watak wanita hamil bernama Hanna. - HARYATI KARIM

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat