{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Penyelidikan bantu naikkan imej jati

Posted: 07 Oct 2013 12:05 AM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
sains@utusan.com.my

Basirun Bakar memberi penerangan berkenaan dirian jati yang ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPS).

JATI atau nama saintifiknya Tectona grandis merupakan antara pokok balak yang terkenal dengan kecantikan ira (urat) kayunya apabila dijadikan perabot dan ukiran klasik.

Selain ira kayu yang cantik, jati juga boleh dikategorikan sebagai kayu balak sederhana berat menjadikan kayunya lasak dan mampu bertahan lama jika dijadikan sebagai perabot dan perhiasan.

Taburan jati kebiasaannya lebih tertumpu di kawasan utara tanah air, membawa sehingga ke Thailand dan Myanmar berikutan suhu serta iklim yang sesuai untuk pokok tersebut.

Selain dua negara tersebut, Indonesia juga turut memiliki dirian jati yang banyak, malah negara tersebut juga banyak mengeksport perabot berasaskan kayu jati ke Malaysia.

Oleh kerana potensi kayu jati amat tinggi di pasaran, kerajaan menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) telah menjalankan kajian sejak tahun 1953 lagi.

Menurut Pengurus, Stesen Penyelidikan FRIM Mata Ayer (SPF Mata Ayer) Mohd. Ramly Mohd. Salleh, pohon jati hanya hidup subur di bahagian utara tanah air kerana kawasan tersebut mengalami musim panas, kering serta lembap yang nyata dalam setahun.

Ujarnya, oleh kerana Perlis merupakan antara negeri yang berada paling utara di samping keadaan iklimnya yang sesuai untuk pembiakan jati, sebuah stesen khas FRIM, (SPF Mata Ayer) telah dibina pada tahun 1974.

"Tujuan stesen ini ditubuhkan adalah untuk menjalankan penyelidikan dan pengumpulan maklumat berkenaan pokok jati.

"Stesen ini juga turut menyokong aktiviti membaik jati bagi penghasilan bahan tanaman berkualiti tinggi," katanya ketika ditemui di SPF Mata Ayer, Perlis baru-baru ini.

Jelas Mohd. Ramly, pada asalnya stesen tersebut ditubuhkan di bawah Program Membaikbiak Benih Pinus caribaea di Hutan Simpan Mata Ayer, Perlis.

Hutan simpan tersebut meliputi kawasan seluas 455 hektar (ha) dan telah ditanam dengan dirian jati pertama pada tahun 1953 sebagai tanaman percubaan.

"Memandangkan potensi serta keadaan cuaca yang sesuai, satu perladangan berperingkat telah ditubuhkan beberapa tahun berikutnya.

"Kini terdapat hampir 300 hadirian jati telah ditanam dari pelbagai wilayah serta negara seperti Thailand, Indonesia, India, Papua New Guinea, Trinidad dan Sabah," katanya.

Antara penyelidikan yang dilakukan di stesen tersebut adalah penghasilan bahan tanaman berkualiti tinggi bagi jati dan spesies-spesies selain pokok plus dan klon-klon terpilih.

Selain itu, SPF Mata Ayer tersebut turut memiliki plot-plot pertumbuhan dan penghasilan jati, Araucaria spp., acacia, khaya, mahogany, yemane, shorea roxburghii, pokok sungkai dan buluh.

Namun, tumpuan diberikan kepada jati yang mana kajian turut meliputi penubuhan kawasan penghasilan biji benih, fenologi, perosak dan penyakit serta ujian pancang untuk mengetahui ketahanan kayu.

Selain itu, SPF Mata Ayer turut memiliki sebuah bank klon jati untuk aktiviti kacukan dan pembiakan baka baharu jati.

Pokok jati seperti mana yang kita ketahui memiliki nilai pasaran yang tinggi kerana kayunya berwarna perang keemasan, berkualiti dan sangat kukuh.

Dalam pembuatan perabot dan ukiran kayu, jati dikenali berdasarkan daya ketahanannya serta sejarah kayu tersebut yang sering digunakan dalam proses pembuatan kapal.

Ketinggian pokok jati mampu mencecah 30 hingga 40 meter dan ukur lilit batangnya boleh mencecah satu meter.

Spesies jati tergolong dalam keluarga Verbenaceae, berdaun lebar sekitar 30 hingga 40 sentimeter (sm) dan akan meluruh apabila tiba musim kemarau.

Bunga jati berwarna putih, bersaiz kecil manakala buahnya berwarna kuning serta mempunyai kelongsong keras mengandungi satu hingga tiga biji benih.

Dari segi perubatan serta khasiat, daun jati yang berwarna kekuningan didakwa mampu merawat penyakit kencing manis, sakit sendi, dan juga darah tinggi.

Mengikut amalan tradisi, daun tersebut akan dibersihkan dan direbus sebelum airnya diminum tiga kali sehari.

Pembiakan dan perladangan jati di Perlis telah dijalankan sejak sekian lama, malah kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah menubuhkan hampir 625 ha ladang jati atau lebih dikenali sebagai Kebun Jati di Sungai Cuchuh, Mukim Titi Tinggi, Jalan Padang Besar (U), Hutan Simpan Mata Ayer, Perlis.

Bagi memudahkan usaha penyelidikan dilakukan, SPF Mata Ayer turut dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur yang mencukupi untuk kakitangan, penyelidik serta pelawat.

Antara kemudahan yang disediakan adalah tapak semaian, bahan tanaman bagi spesies terpilih untuk tujuan penyelidikan dan jualan.

Antara lain, SPF Mata Ayer juga turut memiliki petak demonstrasi, kawasan perkhemahan, titian kanopi, bangunan penginapan dan juga bilik seminar serta mesyuarat.

Ayam kampung organik

Posted: 07 Oct 2013 12:05 AM PDT

Ishamuddin Idris memeriksa keadaan kesihatan ayam ternakan di ladangnya di Bentong, Pahang.

WALAUPUN keputusan tersebut memberikan impak besar terhadap dirinya, dorongan dan semangat daripada keluarga membuatkan dia nekad berkecimpung dalam projek penternakan ayam kampung.

"Asalnya, menceburi bidang penternakan ini sekadar hobi, lama-kelamaan melihat kepada permintaan ayam yang meningkat secara mendadak terutama menjelang musim perayaan, saya bersama dua rakan kongsi memutuskan untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung," katanya.

Lebih mengujakan, ladang ternakan yang mempunyai keluasan lima hektar (ha) dan mampu menampung sebanyak 12,000 ekor ayam agak berlainan berbanding projek lain kerana diusahakan tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.

Bermula hari pertama anak ayam menetas, ia akan ditempatkan di sebuah reban selama 14 hari sebelum dilepaskan dalam kawasan ladang.

Ayam itu dibiarkan mencari makanan sendiri walaupun pihaknya memberi makanan empat kali sehari.

Secara umumnya, ayam kampung ini dipelihara secara lepas bagi membolehkannya bergerak bebas dan bukan dikurung di sangkar yang sempit.

Tambahan pula, ayam merupakan haiwan omnivor yang memakan daging dan tumbuhan.

Ayam memakan apa sahaja, daripada bijian ke daunan dan serangga. Namun ayam ternakan biasanya diberi makanan khas seperti bijirin dan sumber protein.

"Pada kebiasaannya, kami akan memberi makanan rumput jenis azola dan kiambang itik, sekali gus tidak memerlukan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk membesar. Pengguna boleh makan ayam ini tanpa rasa was-was," jelasnya.

Ishamuddin ditemui semasa menerima kunjungan wartawan MEGA diladangnya di Bentong, Pahang baru-baru in. Yang turut hadir ialah rakan kongsinya, Mohd Khairul Redza Kamaruzaman.

Kaedah penternakan yang diperkenalkan Ishamuddin menjelaskan ayam akan dibiarkan secara bebas di kawasan ladang yang luas bagi memastikan ayam bebas berkeliaran.

Di samping itu, tumbuhan liar dibiarkan tumbuh dan hidup secara semula jadi bagi membolehkan ayam kampung organik ini mendapat makanan organik di mana-mana sahaja kawasan persekitaran ladang.

Sumber seperti protein, karbohidrat, dan mineral yang diperlukan oleh ayam-ayam tersebut boleh didapati secara semula jadi di kawasan ternakan yang luas.

Dalam pada itu, ayam kampung organik ini hanya dijual selepas berusia 100 hari iaitu setelah mencapai tahap matang dan berat sekitar 1.3 hingga 1.4 kilogram seekor.

Malah, bagi memastikan pembesaran ayam kampung organik ini mencapai tahap maksimum, pihaknya menghasilkan antibiotik secara semula jadi melalui penggunaan tumbuhan herba yang ditanam sendiri.

Hakikatnya, Ishamuddin tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan suntikan seperti yang biasa dilakukan ke atas ayam daging kerana kosnya tidak terlalu tinggi.

Campuran herba hempedu bumi, daun patawali, daun betik, kunyit dan halia digunakan sebagai antibodi untuk melawan penyakit.

Ia bertujuan memastikan ayam tersebut melalui proses pembesaran secara semula jadi.

Katanya, makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah yang betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit.

Oleh itu, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar.

Penternakan secara semula jadi itu membolehkan ayam-ayam berkenaan membekalkan nutrisi yang tinggi kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ishamuddin juga menyifatkan ayam kampung organik asli kerana ia diternak di kawasan hijau selain air yang dibekalkan tidak tercemar.

Air untuk penternakan ayam daging diletakkan dalam kuantiti yang banyak di dalam satu reban.

Ishamuddin mendakwa, cara tersebut menjadikan ayam daging hidup dalam persekitaran yang kotor dan kekurangan zat makanan.

Menurutnya lagi, kaedah penternakan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang penternakan dari dalam dan luar negara selain mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Tambahan pula, ladangnya turut mengunakan penggunaan mikroorganisme efektif (EM) untuk memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.

Menyentuh mengenai rasa daging ayam, katanya , ayam kampung organik mempunyai rasa yang berbeza berbanding ayam di pasaran kerana ia lebih lembut, pejal dan tulang-tulangnya juga lembut.

"Rasanya yang lebih manis dan lembut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya pelanggan berbangsa Cina," katanya.

Ishamuddin turut memberitahu, perniagaan yang diusahakan ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan atau pinjaman daripada mana-mana bank.

"Saya menggunakan modal sendiri yang ada untuk membangunkan perniagaan menternak ayam kampung organik ini, tambahan pula amat sukar bagi mereka yang terbabit dalam bidang pertanian untuk memohon pinjaman daripada pihak bank.

Ditanya mengenai perancangannya, Ishammudin menyasarkan untuk menambah empat buah kedai menjual ayam kampung organik ini di samping mempunyai kemudahan tempat penyembelihan sendiri.

"Saya sudah pun mempunyai beberapa cawangan yang dibuka di Ampang, Damansara serta Bangi untuk membekalkan ayam kampung organik ini terus kepada pembeli.

"Dengan permintaan yang memberansangkan, saya yakin untuk membuka lebih lagi kedai-kedai membekal ayam kampung organik ini tidak menjadi masalah lagi," katanya. - MASZUREEN HADZMAN (agro@utusan.com.my)

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat