Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Meningkatkan kerjasama Beijing-KL Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Presiden Xi Jinping dan isterinya Peng Liyuan tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk lawatan rasmi selama tiga hari. PRESIDEN China, Xi Jinping tiba di Malaysia dalam lawatan pertama kali bersama isterinya, Peng Liyuan selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Oktober. Kehadiran pemimpin berusia 60 tahun itu bakal disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus mengimbau sejarah lawatan bapanya, Tun Abdul Razak ke Beijing bertemu dengan Perdana Menteri pertama China, Zhou Enlai pada 28 Mei 1974. Lawatan Jinping ke negara ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China dalam pelbagai sektor. Lawatan itu juga dilihat sebagai satu daripada usaha China untuk terus mengukuhkan hubungannya dengan negara-negara ASEAN, selain bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Pemimpin APEC Ke-22 pada tahun depan. Berikut adalah jawapan bertulis wawancara Presiden Xi Jinping dengan media Indonesia dan Malaysia. China dan Malaysia telah membentuk kerajaan baharu pada tahun ini. Apakah pendirian Tuan Presiden terhadap perkembangan hubungan China-Malaysia pada masa ini, dan apa harapan kepada hubungan dua hala ini pada masa akan datang? Hubungan China-Malaysia telah mencapai perkembangan yang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan kini mengekalkan perkembangan yang menyeluruh, stabil dan bersifat pragmatik. China merupakan rakan dagang yang terbesar bagi Malaysia dalam tempoh empat tahun berturut-turut. Malaysia pula merupakan rakan dagang yang terbesar bagi China dalam kalangan ASEAN bagi tempoh lima tahun berturut-turut. Jumlah perdagangan dua hala mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu AS$94.8 bilion pada tahun 2012. Malaysia dijangka menjadi negara ketiga di Asia yang jumlah perdagangan tahunannya dengan China mencecah AS$100 bilion selepas Jepun dan Republik Korea. Taman Perindustrian China-Malaysia di Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan telah merintis usaha penubuhan taman perindustrian peringkat negara antara China dengan negara-negara ASEAN. Kerjasama China-Malaysia dalam bidang kewangan juga mencapai perkembangan yang pesat. China dan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang yang bernilai 180 bilion yuan RMB, sekali gus meletakkan jaminan yang kukuh kepada kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Di samping itu, jumlah pertukaran lawatan antara warga China dan Malaysia telah mencecah dua juta orang dalam tempoh tiga tahun berturut-turut. Kini, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran antara satu sama lain pula mencecah 15,000 orang. Kerjasama antara China dengan Malaysia telah mencapai permuafakatan bestari. Kerajaan kedua-dua negara kini memberikan keutamaan kepada usaha memperbaiki kehidupan rakyat dan memajukan negara. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha mewujudkan masa depan yang cerah. Saya menanti-nantikan untuk mengadakan perbincangan yang mendalam dengan pemimpin Malaysia bagi meningkatkan kerjasama yang menyeluruh antara kedua-dua negara, di samping membentuk kerangka yang stabil perkembangan hubungan dua hala yang sihat dalam tempoh yang panjang. Saya yakin dengan usaha bersama kedua-dua pihak, kerjasama strategik China-Malaysia akan meningkat ke satu tahap yang baharu dan terus memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. Baru-baru ini, pasaran kewangan beberapa entiti ekonomi baru muncul di rantau Asia Pasifik telah mengalami pergolakan, malah menghadapi semakin banyak faktor yang tidak menentu dalam pertumbuhan ekonomi. Di samping itu, kelajuan pertumbuhan ekonomi China juga menjadi perlahan. Sehubungan dengan itu, timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa terhadap prospek ekonomi Asia Pasifik dan ekonomi China. Apa pandangan Tuan Presiden mengenai perkara ini? Baru-baru ini, pergolakan pasaran kewangan didapati muncul di beberapa entiti ekonomi baru di rantau Asia Pasifik. Punca utama yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah faktor luar yang telah mempengaruhi jangkaan pasaran antarabangsa dan mengakibatkan modal antarabangsa ditarik balik daripada entiti-entiti tersebut. Kami menyarankan supaya entiti-entiti ekonomi maju yang besar mengamalkan dasar ekonomi makro dengan sikap bertanggungjawab dan mengelakkan kesan limpahan negatifnya. Pada masa yang sama, entiti-entiti ekonomi baru muncul juga perlu meningkatkan pencegahan terhadap risiko serta kemampuan untuk mengatasi risiko tersebut. Saya juga ingin menekankan bahawa hasrat bersama Asia Pasifik dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan pembangunan tidak berubah. Trend Asia Pasifik yang prestasi dan peranannya semakin meningkat di arena politik dan ekonomi dunia tidak akan berubah. Peneraju dan potensi pertumbuhan ekonomi yang berterusan di rantau Asia Pasifik juga tidak berubah. Kita seharusnya yakin kepada prospek pembangunan rantau Asia Pasifik pada masa depan. Anggota-anggota APEC perlu mendorong Asia Pasifik supaya terus memainkan peranan sebagai panduan dalam pemulihan ekonomi global dan pertumbuhannya yang sihat. Kadar pertumbuhan ekonomi China mencatat 7.6% pada setengah tahun pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Angka ini lebih rendah berbanding masa-masa sebelum ini. Ini hasil daripada tindakan kawalan proaktif yang diambil oleh kerajaan China. China komited untuk menstabilkan pertumbuhan ekonomi, mengubah suai struktur ekonomi dan mendorong pembaharuan. Dalam pada itu, Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bukanlah satu-satunya indeks bagi menilai hasil pembangunan negara, manakala kualiti dan keefisienan pertumbuhan ekonomi bakal menjadi tumpuan. Pengubahsuaian ini bertujuan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat, berkualiti dan berterusan pada masa depan. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi China tidaklah perlahan, malah masih mengekalkan tempat terdepan di rantau Asia Pasifik, malah di seluruh dunia berbanding dengan entiti ekonomi yang lain. China amat yakin akan mewujudkan pembangunan ekonomi yang berterusan lagi sihat. Pembangunan ekonomi China yang berterusan lagi sihat ini akan menjadi peneraju kepada pemulihan ekonomi global, dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan dan kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik. Integrasi ekonomi Asia Pasifik kini semakin mendalam, pelbagai jenis perjanjian FTA seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) turut timbul. Apa pandangan Tuan Presiden terhadap integrasi ekonomi di rantau ini? Apa peranan yang boleh dimainkan oleh APEC dalam proses ini? Integrasi ekonomi rantau Asia Pasifik telah menggambarkan prospek cemerlang di rantau ini, iaitu integrasi dan kerjasama ekonomi berkembang secara mendalam. Ini merupakan tugas bersama anggota-anggota APEC dan juga sasaran pembangunan Asia Pasifik. Kini, pelbagai perjanjian FTA turut timbul, yang menunjukkan kemajuan positif integrasi serantau. Kita patut meningkatkan keterbukaan pasaran dan integrasi ekonomi serantau melalui pelaksanaan perjanjian-perjanjian FTA tersebut. Menurut pepatah China, yang maksudnya orang seharusnya mempunyai minda yang terbuka seperti laut yang menerima air dari ratusan sungai. China selalu secara aktif menyokong dan menyertai proses integrasi rantau Asia Pasifik, dan bersikap terbuka terhadap segala rancangan atau mekanisme yang bakal memberikan manfaat kepada integrasi tersebut. Sementara itu, China berpendapat bahawa pelbagai pihak perlu memegang prinsip yang terbuka, toleransi dan ketelusan, untuk menyediakan lebih banyak pilihan dan lebih fleksibel kepada entiti-entiti ekonomi yang tidak sama taraf pembangunannya untuk menyertai proses integrasi. Sebagai pertubuhan kerjasama ekonomi yang peringkatnya paling tinggi, bidangnya paling luas dan pengaruhnya paling besar di rantau ini, APEC perlu memainkan peranan sebagai pemandu dan penyelaras bagi meningkatkan pertukaran maklumat, ketelusan dan keterbukaan pelbagai FTA, menggalakkan mereka saling menimba pengalaman, saling mendorong bahkan saling melengkapi, akhirnya menyediakan syarat bagi mewujudkan integrasi ekonomi di Asia Pasifik. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 penjalinan hubungan rakan strategik China-ASEAN. Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, hubungan kedua-dua pihak mencapai perkembangan pesat. Masa depan hubungan China-ASEAN, termasuk bagaimana menangani isu Laut China Selatan telah menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa. Apa pendapat Tuan Presiden terhadap prospek hubungan China-ASEAN dalam tempoh 10 tahun akan datang? China dan pelbagai negara ASEAN bukan sahaja bersambung dari segi geografi, tetapi juga mempunyai pertalian darah, dan seperti sebuah keluarga. Persahabatan antara kedua-dua pihak telah bersejarah lama. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya hubungan rakan strategik China-ASEAN. Prinsip saling menghormati, sama kedudukan, berjiran baik dan saling menguntungkan selalu disanjung tinggi dalam perkembangan hubungan kedua-dua pihak dalam 10 tahun yang lalu, malah hubungan China-ASEAN telah melebihi hubungan bilateral dan mempunyai makna penting bagi rantau ini dan seluruh dunia, serta telah menjadi asas bagi kedamaian dan kemakmuran di Asia Timur. China mengekalkan dasar luar yang memelihara hubungan persahabatan dengan negara-negara jiran dan berusaha berkongsi hasil pembangunannya dengan negara-negara berhampiran. ASEAN selalu diutamakan dalam hubungan luar China. China akan tetap mempererat hubungan rakan strategik dengan ASEAN, bekerjasama dengan ASEAN bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau, termasuk kawasan Laut China Selatan. Merujuk beberapa pertikaian dan perselisihan dengan beberapa negara, China sentiasa menyokong penyelesaian sewajarnya melalui perundingan dan dialog, dan akan terus berusaha untuk matlamat tersebut. China juga akan terus menyokong pembangunan ASEAN dan Komuniti ASEAN, menyokong ASEAN memainkan peranan utama dalam kerjasama di Asia Timur. Sebagai negara pasaran baru muncul di Asia, China dan ASEAN bukan sahaja mempunyai masa depan yang saling berkait rapat, tetapi juga telah menjadi harapan bagi kawasan serantau bahkan dunia untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Sebagai entiti ekonomi membangun, tugas utama yang dihadapi oleh China dan ASEAN ialah pembangunan ekonomi dan penambahbaikan kehidupan rakyat. Kerjasama antara kedua-dua pihak bukan sahaja akan menyediakan ruangan yang luas dan peluang perdagangan yang berterusan kepada pembangunan masing-masing, tetapi juga akan memberikan sumbangan lebih besar kepada kemakmuran dan kestabilan dunia. Hubungan China-ASEAN masih mempunyai potensi perkembangan dan ruang kerjasama yang besar. Pada masa depan, kedua-dua pihak patut mengutamakan beberapa perkara seperti perikut: Pertama, mengekalkan lawatan peringkat tinggi antara satu sama lain, meningkatkan komunikasi strategik bagi memperkukuh rasa saling mempercayai. Kedua, menaikkan taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), terus membuka pasaran, meningkatkan kebebasan dan kemudahan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain. Ketiga, menggalakkan kesalinghubungan, membentuk platform pelaburan dan pembiayaan untuk pembinaan infrastruktur di Asia, dan menghapuskan halangan dalam usaha tersebut. Keempat, menggunakan Tabung Kerjasama Maritim China-ASEAN bagi menggalakkan kerjasama maritim yang pragmatik. Kelima, memperdalam kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, menyempurnakan mekanisme Mesyuarat Menteri Pertahanan antara kedua-dua pihak, menggalakkan pertukaran antara jabatan berkenaan, serta bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan serantau. Keenam, meningkatkan pertukaran pelbagai lapisan rakyat, khususnya dalam kalangan orang awam bagi meningkatkan saling persefahaman, memperkukuh asas hubungan persahabatan dan jiran baik antara China dengan ASEAN. Ketujuh, meningkatkan penyelarasan dalam isu antarabangsa dan serantau, serta bersama-sama memelihara kepentingan negara-negara membangun, dan mendorong proses demokrasi dalam hubungan antarabangsa. |
GPEC Asia 2013 bantu perluaskan industri keselamatan Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Oleh AZMI ABDUL MALEK KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mulai semalam menganjurkan program General Police and Special Equipment Exhibition & Conference Asia (GPEC) 2013 sehingga 6 Oktober ini dalam usaha memberi peluang kepada beberapa pengusaha tempatan dan lebih 20,000 orang awam melihat sendiri barangan promosi membabitkan industri keselamatan polis di dalam dan luar negara. GPEC Asia 2013 merupakan program dwi-tahunan yang asalnya dianjurkan di Jerman bagi mempromosikan industri keselamatan dalam negeri. Penganjuran GPEC Asia 2009 di Malaysia mencatatkan sejarah apabila program itu pertama kali dianjurkan di luar Jerman dan buat julung kalinya diadakan di Asia. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, KDN sebelum ini menjadi hos penganjuran GPEC Asia 2009 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur manakala GPEC Asia 2011 pula berlangsung pada 27 hingga 29 Jun 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Program GPEC Asia 2013 kali ini berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) dan Marina Putrajaya. GPEC Asia 2013 kali ini melibatkan pameran barangan industri keselamatan dan kelengkapan pasukan keselamatan negara, persidangan berkenaan keselamatan dalam negeri, sesi dialog, kunjungan hormat para pemain industri dan juga delegasi rasmi bersama Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri. "Program merupakan platform terbaik untuk berkongsi maklumat dan kepakaran pasukan keselamatan antara negara-negara yang terlibat. Seiring dengan landskap keselamatan dan jenayah merentasi sempadan yang semakin mencabar, teknologi dan industri keselamatan dalam negara sentiasa dipertingkatkan di samping memantapkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara lain yang terbabit," katanya menerusi satu kenyataan berhubung GPEC. GPEC Asia 2013 membabitkan lawatan delegasi negara-negara ASEAN dan 16 negara lain di samping penyertaan pameran penggiat industri keselamatan daripada 15 negara. Antara negara yang terlibat dengan program/pameran/persidangan ini adalah Amerika Syarikat, China dan negara-negara Eropah. Sembilan pemimpin negara anggota ASEAN termasuk Menteri, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah Penjara turut hadir. Sebanyak 16 Ketua Polis dari Australia, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, polis antarabangsa (Interpol), ASEAN Sekretariat, Arab Saudi, Amerika Syarikat, United Kingdom, Bangladesh, Turki, Lesotho, Timor Leste, Ameriah Arab Bersatu dan Kuwait dijangka turut serta. "Setakat ini lebih daripada 100 buah syarikat dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan dalam pameran ini," kata Abdul Rahim. Ada kelainan antara GPEC Asia 2013 berbanding GPEC Asia 2009 dan GPEC Asia 2011 kerana GPEC Asia sebelum ini hanya membabitkan pemain industri daripada kalangan delegasi yang menyertai program ini sahaja, manakala GPEC kali ini, KDN dan penganjur membuka peluang kepada orang awam untuk turut sama menyertai program ini dengan mengunjungi pameran dan pertunjukan PDRM di Marina, Putrajaya. Pelbagai aktiviti dan demonstrasi aset-aset pasukan keselamatan negara diadakan. Penyertaan negara-negara luar juga semakin meningkat dalam ketiga-tiga program ini. GPEC Asia 2009 membabitkan pempamer 80 syarikat dari 16 buah negara atas tapak seluas 1,350 meter persegi dengan kehadiran pengunjung seramai 6,940 orang. Pada program GPEC 2011, jumlah pempamer (121 syarikat), 19 buah negara atas tapak seluas 1,702 meter persegi dan pengunjung (13,492 orang) manakala GPEC 2013 jumlah pempamer dilaporkan meningkat kepada lebih 120 buah syarikat atas tapak seluas 3,441 meter persegi dan menjangka pengunjung hadir seramai 20,000 orang. Abdul Rahim berharap GPEC kali ini dapat meningkat dan memantapkan perkembangan industri keselamatan dalam negara di samping mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara jemputan. "Ini juga akan menjadi medium perkongsian maklumat dan kepakaran di samping merangka kerjasama yang boleh diperkukuhkan antara keselamatan negara terbabit," katanya. Katanya, usaha ini juga dapat meningkatkan prasarana dan kelengkapan agensi-agensi penguat kuasa negara dengan adanya bantuan peralatan serta perkakasan yang terkini dan canggih. Menurutnya, GPEC 2013 juga dijangka mampu menjelaskan usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras serta mengekalkan keselamatan negara di samping meletakkan Malaysia dalam peta antarabangsa kerana berjaya menganjurkan program terkemuka seumpama ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |