Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pas masih gagal selesai isu tanah
- Rumah mampu milik: Pas Kelantan dibidas
- Pemilik restoran digesa letak tanda harga jika tidak mahu dikompaun
Pas masih gagal selesai isu tanah Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 7 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan masih gagal menyelesaikan masalah permohonan tanah di negeri ini sehingga sebanyak 48,000 fail masih tertunggak biarpun isu itu sering dibangkitkan sebelum ini. Jajahan Kuala Krai mencatatkan jumlah fail tertunggak tertinggi iaitu sebanyak 20,927 permohonan diikuti Gua Musang (12,307), Jeli (6,610) dan Tanah Merah (4,652). Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebanyak 72,000 fail permohonan tanah di seluruh negeri ini telah diselesaikan. Beliau berkata, permohonan yang begitu banyak menyebabkan masalah tersebut gagal untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat. "Selain itu ia juga perlu mengikut proses secara berperingkat sehingga menyebabkan mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan. "Untuk menyelesaikan masalah ini kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas dan telah mula menunjukkan kesan bagi mengatasi masalah ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan, Datuk Ramzi Ab. Rahman (BN-Dabong) (gambar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini hari ini. Sebelum ini, penduduk di kawasan hulu Kelantan terutama Kuala Krai dan Gua Musang sering mengadakan demonstrasi berhubung isu tanah di negeri ini. Mohd. Amar yang juga Pengerusi Pembangunan Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli negeri, kerajaan Pas Kelantan memandang serius masalah tersebut dan langkah untuk mengatasinya sedang diambil. "Kita sedang mengkaji peringkat-peringkat untuk kelulusan tanah ini supaya masalah ini dapat diselesaikan. "Kerajaan juga memantau dengan teliti setiap masalah yang berbangkit dan jika perlu kita akan tambah jumlah kakitangan," katanya. |
Rumah mampu milik: Pas Kelantan dibidas Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT KOTA BHARU 7 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan dibidas kerana lebih banyak 'bercakap' mengenai rumah mampu milik daripada melaksanakannya. Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) berkata, Kerajaan Pas Kelantan berjanji membina rumah mampu milik sejak 10 tahun lalu namun sehingga kini tidak diketahui sejauh mana pelaksanaannya. Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya melaksana projek tersebut, bukan hanya bercakap atau mengadakan 'promosi murah' melalui papan iklan di merata-rata tempat untuk mengelirukan rakyat. "Saya lihat ada 'billboard' (papan tanda) yang besar tentang janji bina rumah mampu milik ini, ada di simpang empat Jambatan Sultan Yahya Petra, 2,000 rumah mampu milik dijanjikan. "Kita mahu tahu apakah program rumah mampu milik masih di peringkat mempunyai hasrat dan perancangan atau telah melangkah ke depan dan kalau sudah mula berapa banyak di peringkat permulaan dan berapa banyak yang sudah siap," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini hari ini. Ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Kerajaan Pas Kelantan melancarkan rumah mampu milik di Kampung Atas Paloh di sini, namun sehingga kini tidak diketahui perkembangannya. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood ketika menjawab soalan tersebut berkata, sebanyak 4,113 buah rumah kos rendah dibina oleh Kerajaan Pas Kelantan sejak memerintah negeri ini sehingga sekarang. "Rumah mampu milik sedang berjalan dan ada telah siap, kita sedang mengadakan temuduga di Labok, Pulai Chondong dan Gua Musang. "Mengenai data-data yang dikehendaki saya tidak ada sekarang tetapi sehingga hari ini kita sudah membina 4,113 buah rumah kos rendah," katanya. |
Pemilik restoran digesa letak tanda harga jika tidak mahu dikompaun Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT Pegawai PPDNKK melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah restoran di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai kerana tidak meletakkan tanda harga. KOTA BHARU 7 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengingatkan semua pemilik restoran di negeri itu supaya meletakkan tanda harga untuk kemudahan pelanggan atau berdepan dengan kompaun sehingga RM100,000. Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab. Ghani Harun berkata, ia adalah peraturan yang perlu dipatuhi setiap pemilik restoran dan kegagalan melakukannya membolehkan mereka didakwa di bawah Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993. "Jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan kompaun justeru saya mengingatkan mereka supaya lakukan tanggungjawab yang diberikan," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah restoran di Pengkalan Chepa di sini yang menerima banyak aduan daripada orang ramai kerana tidak meletakkan tanda harga. Menurut Ab. Ghani, hasil pemeriksaan di restoran tersebut mendapati beberapa aduan yang diterima terbukti benar apabila lauk yang dijual tidak diletakkan tanda harga selain harga makanan yang dijual terlalu mahal. Sehubungan itu, katanya, surat amaran telah dikeluarkan terhadap pemiliknya dan kertas siasatan turut dibuka dan jika didapati bersalah pemilik restoran itu bakal didenda sehingga RM100,000. "Perbuatan pemilik restoran ini tidak mengikuti peraturan selain tidak beretika apabila dia didapati mengambil kesempatan meletakkan harga yang mahal apabila mendapati pelanggannya ramai pada waktu tertentu," tegas beliau. Sementara itu, Ab. Ghani berkata, Operasi Harga telah dijalankan sejak Jun lalu dan sehingga kini sebanyak 300 kes telah dilaporkan kepada pihaknya berhubung kegiatan terbabit. "Pihak PPDNKK akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengesan mana-mana premis yang gagal meletakkan tanda harga. Saya nasihatkan kepada peniaga agar mematuhi arahan yang dibuat manakala pengguna pula diminta memberikan kerjasama dengan membuat aduan," katanya. Dalam pada itu, mengulas isu berlainan, beliau memberi jaminan PPDNKK tidak akan berhenti melakukan kawalan di sempadan untuk memastikan kegiatan penyeludupan barang subsidi seperti petrol dapat dibendung. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |