Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Posted: Kepentingan penjagaan mataOleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA SELEPAS dua minggu melahirkan bayi pertama pada Ramadan lalu, penglihatan Siti Sarah Abidin, 25, tiba-tiba terjejas apabila kelihatan tompok-tompok hitam di sebelah mata kanannya. Terkejut dan bimbang dengan perubahan itu, Siti Sarah segera berjumpa dengan pakar untuk pemeriksaan mata. Menurutnya, doktor memberitahu bahawa dia disahkan mengalami retinopati diabetes yang menyebabkan saluran darah retina dalam matanya pecah, sekali gus membentuk tompokan hitam pada penglihatannya. "Ia merupakan sejenis penyakit kerosakan retina yang disebabkan diabetes.
"Penglihatan saya mula terjejas apabila terdapat kesan tompokan hitam dan imej yang terbentuk sangat kabur," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Retinopati diabetes adalah sejenis penyakit kerosakan retina mata yang menyebabkan daya penglihatan merosot akibat penyakit diabetes. Mengulas lanjut mengenai punca penyakit itu, Siti Sarah memberitahu, dia sememangnya menghidap diabetes sejak kanak-kanak dan ia merupakan satu penyakit keturunan. "Penyakit keturunan ini telah menyebabkan saya dan ibu mengalami masalah kesihatan mata yang sama. Seperti saya, penglihatan ibu juga terjejas dengan kesan tompokan tetapi ia melibatkan kedua-dua belah matanya," ujar beliau. Siti Sarah memaklumkan, kini penglihatan ibunya telah kembali normal selepas mendapatkan rawatan laser. "Doktor juga telah memberikan rawatan laser yang sama kepada saya bagi mengecut dan menghilangkan saluran darah yang mudah pecah. "Sehingga kini saya telah menjalani empat sesi rawatan laser dan alhamdullilah, penglihatan saya beransur normal,"katanya. Dalam pada itu, Siti Sarah memaklumkan dia terpaksa membelanjakan lebih RM5,000 untuk memulihkan kembali penglihatannya. DIABETES boleh dikawal dengan gaya pemakanan yang betul. " Sebanyak RM1, 000 dibelanjakan untuk satu sesi rawatan laser dan kira-kira RM4,000 telah digunakan bagi memulihkan mata dan membeli ubat-ubatan yang diperlukan," jelasnya. Beliau berkata, dia sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah penglihatan dan hanya memakai cermin mata untuk membaca. Acap kali kita diperingatkan mengenai bahaya penyakit kencing manis atau diabetes yang boleh mengundang penyakit jantung, namun jarang dikaitkan dengan punca menjadi buta. | ||
Pendidikan diabetes dari kecil Posted: Pendidikan diabetes dari kecilOleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA BERSEMPENA dengan Hari Diabetes Sedunia, Gleneagles membawa dua watak adiwira, Boboiboy dan Yaya ke sekolah untuk mendidik kanak-kanak tentang bahaya diabetes. SORAKAN anak-anak memenuhi ruang di dewan Sekolah Kebangsaan St. John, Kuala Lumpur apabila dua watak adiwira animasi tempatan, Boboiboy dan Yaya muncul di atas pentas. Anak-anak cilik yang begitu seronok dan teruja dengan kedatangan Boboiboy terus menghadiahkan tepukan gemuruh sehinggalah sesi pengenalan majlis tentang diabetes dimulakan. Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur (GKL) sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November ini. Melalui kedua-dua watak kartun popular itu, GKL mengajak kira-kira 600 kanak-kanak berusia 7 sehingga 12 tahun mengenali dan memahami penyakit diabetes dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Antara aktiviti tersebut ialah tayangan klip video, kuiz, senaman dan pembelajaran mengenai penyakit diabetes. Mohd. Irfan Firdaus Mohd. Indera, 11, berkata, selain sangat teruja dengan kedatangan Boboiboy dan Yaya, program itu juga membantu dia memahami penyakit diabetes. "Selain gembira dengan kehadiran Boboiboy dan Yaya, hari ini baru saya tahu diabetes dan kencing manis adalah penyakit yang sama," katanya. Punca Katanya lagi, punca diabetes adalah dari makanan dan minuman yang banyak minyak serta gula. MURID-MURID yang berjaya menjawab soalan dengan betul diberikan pingat penghargaan. "Ayam goreng dan minuman bikarbonat boleh menyebabkan diabetes. Seperti yang diberitahu tadi, snek seperti gula-gula boleh ditukarkan kepada jagung dan kentang putar. "Saya sememangnya akan memesan air kosong jika makan di luar kerana ibu bapa beritahu minuman manis boleh mengakibatkan kencing manis," jelasnya. Begitu juga dengan Mohd. Aiman Baqir Shamshokmar, 11, yang memberitahu, dia cuma mengetahui penyakit kencing manis tanpa menyedari ia turut dikenali sebagai diabetes. "Saya tahu penyakit kencing manis semasa melihat drama di televisyen apabila kaki seseorang itu terpaksa dipotong. "Bagaimanapun, kini saya telah mengetahui punca dan cara merawat penyakit diabetes. Antara punca penyakit itu ialah kegagalan badan menghasilkan hormon insulin untuk mengawal tahap keseimbangan glukosa dalam darah," jelasnya. Mendidik kanak-kanak Menurut Pengurus dan Pendidik Pusat Penjagaan Diabetes, Choo Khee Ling, acara tersebut diadakan bagi mendidik kanak-kanak tentang bahaya diabetes dari peringkat sekolah rendah lagi. MURID-MURID Sekolah Kebangsaan St. John berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab soalan tentang diabetes. "Ramai masih tidak tahu apa itu diabetes dan hanya kira-kira lima peratus daripada mereka tahu mengenainya. "Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi 2011 telah menunjukkan peningkatan statistik penghidap diabetes untuk remaja Malaysia berusia 18 tahun ke bawah meningkat sebanyak 20.8 peratus berbanding 14.9 pada 2006. Ini menunjukkan tahap pemahaman kanak-kanak dan remaja Malaysia mengenai diabetes masih lagi lemah dan tidak diambil berat," ujarnya. Khee Ling memaklumkan, antara faktor penyebab peningkatan jumlah tersebut adalah kerana kekurangan aktiviti senaman dalam kalangan kanak-kanak. "Arus moden pada hari ini telah menyediakan pelbagai mainan video yang menyebabkan anak-anak malas untuk bergerak dan cuma duduk di depan televisyen. "Mereka kurang melakukan senaman dan cuma bergantung kepada pendidikan jasmani yang dilakukan di sekolah," katanya. Tambah beliau, disebabkan itu, GKL mengambil inisiatif untuk mengajar beberapa tip pemilihan makanan dan minuman serta senaman mudah yang boleh mereka amalkan. Kami percaya amalan gaya hidup sihat lebih berkesan jika ia dilatih dari peringkat kanak-kanak lagi. "Kami yakin ia berkesan kerana pada waktu ini mereka mudah untuk dibentuk dan diajar mengenai kepentingan pengamalan gaya hidup sihat. "Jika dipraktikkan gaya hidup sihat ini pada setiap hari, ia akan menjadi tabiat, sekali gus dapat menjaga kelestarian kesihatan masyarakat Malaysia," ujarnya. | ||
Posted: Mengenang masa laluMENYAMBUT tahun baru sepatutnya membawa perubahan signifikan pada diri individu kerana kita tidak tahu bila ajal akan mengundang. SELAMAT Tahun Baru Hijrah. Kita meninggalkan tahun 1434 hijrah dan menyambut kedatangan tahun baru hijrah 1435. Secara amnya, ia hanya perubahan nombor yang tidak membawa makna besar. Masa datang dan pergi tetapi apa yang pasti, masa tidak akan kembali. Setiap saat yang ditinggalkan semakin jauh meninggalkan kita. Hari esok juga masih misteri pada setiap manusia. Kematian juga tidak mengira waktu. Sesaat yang baru berlalu masih segar dalam ingatan tetapi sesaat kemudian, mungkin nama kita bakal tersimpan dalam kenangan. Begitulah roda kehidupan yang sentiasa bergerak selari dengan perubahan masa. Semalam pasti tidak sama dengan hari ini. Misalnya, semalam anak perempuan saya belum mencapai akil baligh tetapi hari ini dia sudah menjadi anak yang perlu menanggung sendiri dosa dan pahala. MasyaAllah, Subhanallah, Allahuakbar. Bayangkan jika semalam anak itu tidak menutup auratnya dengan sempurna kerana belum akil baligh, secara tiba-tiba dia perlu bertanggungjawab melaksanakan perintah wajib tersebut pada hari ini. Mampukah beliau? Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak diberatkan solat lima waktu sehari semalam, juga kerana belum mengecap akil baligh dengan tiba-tiba perlu melaksanakan amalan wajib yang menjadi teras utama agama Islam. Mampukah beliau? Lantas, mampukah seorang bapa mengajak anak lelaki yang baru menginjak dewasa bersama-sama menunaikan solat subuh di masjid? Pasti anjakan rutin itu menjadi sukar. Ia akan bertambah sukar jika bapanya juga tidak diajar semasa waktu kecilnya dan sehingga menyambut tahun baru hijrah 1435, dia masih belum mengenal tangga masjid untuk solat berjemaah. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Mampukah kita sebagai ibu bapa yang diamanahkan Allah SWT membentuk anak daripada sehelai kain putih kepada pelbagai warna yang berbeza-beza mencapai damai di hati? MasyaAllah, saya terkenang bagaimana baginda Rasulullah SAW berpesan melalui hadis yang direkodkan oleh Imam Abu Daud yang bermaksud: "Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur sepuluh tahun." Hakikatnya, menyambut tahun baru hijrah sepatutnya membawa perubahan signifikan bagi membentuk hati yang damai. Ia satu perasaan yang boleh memandu kita ke syurga Firdaus. Ia benar-benar hijrah yang perlu dikejar. Maknanya, bagi mereka yang mahu berfikir, kedatangan tahun baru boleh dilihat daripada pandangan sisi. Masa berbaki bagi menyambut kedatangan saat-saat kematian berkurang lagi setahun menandakan kehidupan kita semakin suntuk. Saya fikir adalah sangat relevan bagi setiap orang memikirkan masa lampau yang telah dilalui untuk memulakan hijrah (perubahan) sempena kedatangan tahun baru. Misalnya, setiap kali berseorangan terutamanya ketika satu pertiga malam masih bersisa dan mengenang kisah semalam, saya tidak dapat mendustakan nikmat masa yang telah dikurniakan Allah. SETIAP mukmin harus bersyukur dan terus mendekati Yang Maha Esa di atas segala rahmat yang diberi-Nya. Dia masih memberi ruang masa untuk kita berfikir dan merenung masa yang akan hadir. Banyak pertanyaan, jika ditanya, tidak mampu dijawab dengan lega dan memberikan rasa damai di hati. Barangkali ramai yang berpura-pura tidak mahu berfikir dan membiarkan hari-hari berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Misalnya jika ada yang bertanya: "Adakah tuan berkesempatan solat lima waktu di masjid? Adakah tuan membaca al-Quran dan memahami bacaan tersebut? Berapa banyakkah tuan memberi pinjaman (sedekah) kepada Allah SWT? Adakah tuan bangun malam bertahajud dan bermunajat? Adakah tuan berpuasa sunat? Sudah hilangkah rasa cemburu di hati melihat rakan sejawat dinaikkan pangkat?" Tahun depan usia saya genap 50 tahun. Jika ditakdirkan saya dijemput pulang pada atau sebelum tahun 2015, maka jawapan kepada kesemua soalan di atas adalah seperti berikut: "Tidak, saya tidak terfikir pun untuk solat berjemaah di masjid. Tidak, saya tidak mengenal huruf, tidak tahu membaca al-Quran dan saya tidak terfikir untuk membaca terjemahannya. Tidak, pendapatan saya tidak mencukupi dan pinjaman kad kredit tidak pernah sifar. Pinjaman Bank Rakyat dan koperasi kakitangan masih berbaki, maka tidak perlulah saya bersedekah (memberi pinjaman kepada Allah SWT). "Saya tidak tahu pun wujudnya puasa dan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sangat mencabar. Tidak, saya tidak mampu bangun malam kerana saya berjawatan tinggi dan perlukan tidur yang mencukupi untuk bekerja di siang hari. Saya juga tidak mahu jawatan tertinggi yang mampu dicapai dipegang rakan sejawat yang juga lawan kepada saya. Saya mahu menjadi yang terbaik." Kehidupan dunia sentiasa mempesona dan melalaikan. Malah ia seringkali menjarakkan kita dengan Allah SWT. Kita sering terlupa bahawa pada suatu ketika, ia akan ditinggalkan dan kita akan berdepan kehidupan yang kekal abadi. Masa berlalu pantas. Allah SWT telah berpesan kepada hamba-Nya melalui ayat 114, surah al-Mu'minun yang bermaksud: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)." Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |