Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST Oleh ZULHISHAM ISAHAK OPS Bersepadu melibatkan pelbagai agensi di Jalan Muar-Tanjung Gading, Ledang, Johor, baru-baru ini. LEDANG 3 Nov. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 898 kenderaan dan mengeluarkan 287 saman dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di empat lokasi utama di sekitar daerah ini dan Muar kelmarin. Pengarah JPJ Johor, Johari Yusof berkata, motosikal merupakan kenderaan paling tinggi dikenakan saman iaitu 164, diikuti kereta (89), kenderaan berat (18), kenderaan persendirian (10), bas (tiga), kereta sewa (dua) dan teksi (satu). "Motosikal adalah kenderaan paling banyak diperiksa iaitu 360 buah diikuti kereta (240), kenderaan berat muatan 5,000 kilogram (143), kenderaan persendirian (80), bas (35), teksi (25) dan kereta sewa (15). "Kesalahan paling tinggi dilakukan ialah berkaitan lesen memandu terutama tamat tempoh iaitu 75 kesalahan membabitkan motosikal, kereta (19), kenderaan berat (12), kenderaan persendirian (empat) dan teksi (satu)," katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Makan Malam Penguat kuasa JPJ Negeri di Stesen Penguat kuasa Kesang dekat sini malam kelmarin. Ops Bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi termasukpolis trafik, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sekatan jalan raya dilakukan di Jalan Muar-Melaka-Tanjung Gading hala ke Melaka; Batu 2, Parit Bunga, Ledang hala ke Muar; Kilometer 4, Parit Bunga, Ledang hala ke Tangkak dan Jalan Pintasan Muar-Bakar Batu hala ke Muar. Johari berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak sembilan kenderaan turut disita iaitu enam motosikal dan tiga kereta. "Kami turut mengesan 373 kesalahan dilakukan oleh pengguna jalan raya iaitu 197 kesalahan membabitkan motosikal, 131 kereta, 16 kenderaan berat dan 29 lagi lain-lain kenderaan," katanya. Dalam pada itu katanya, polis trafik turut mengeluarkan 64 saman hasil pemeriksaan terhadap 161 kenderaan dan SPAD memeriksa 78 kenderaan dan mengeluarkan 21 saman. Beliau berkata, AADK yang membuat ujian air kencing terhadap 91 pemandu pula mendapati 12 daripadanya positif dadah, pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen pula membawa kepada penahanan lima warga asing dan Puspakom mencatatkan satu kes. |
SWM peruntuk 19 jentera baharu Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST JOHOR BAHRU 3 Nov. - SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) memperuntukkan sebanyak 19 unit jentera baharu bagi melancarkan lagi operasi dan kerja-kerja pembersihan di bawah kawasan pentadbiran Majlis Daerah Segamat (MDS) baru-baru ini. Pengurus Besar Kumpulannya, Adnan Ibrahim memaklumkan, jentera baharu tersebut berupa lapan unit kompaktor, lima unit lori RORO (Roll On Roll Off), dua unit road sweeper dan empat unit jentera pembersihan. "Pelaburan yang bernilai jutaan ringgit ini merupakan antara perancangan dan usaha SWM ke arah mempertingkatkan lagi perkhidmatan menjelang penswastaan penuh perkhidmatan pada tahun hadapan. "Pelaburan-pelaburan lain termasuklah pembelian kenderaan pembersihan seperti ultra whack, water jet dan road sweeper," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut Adnan, SWM turut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang dipasang pada semua kenderaan kompaktor baharu bagi memastikan kerja-kerja pengutipan sampah menepati jadual yang ditetapkan. Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, sebanyak 38,000 unit tong sampah beroda akan diserahkan secara berperingkat-peringkat kepada penduduk di bawah kawasan pentadbiran MDS pada tahun hadapan. Katanya, segala program dan pelaburan yang dijalankan oleh pihaknya itu diharap dapat meningkatkan lagi imej dan kebersihan di negeri ini termasuklah di Segamat pada masa akan datang. |
Murid SKTNP1 juara pertandingan ejaan BI Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST MOHD. Nadzari Bachek (kanan) beramah mesra dengan Muhammad Izz Zakaria (tiga dari kanan), Gauthama Rueben (dua dari kiri) serta Nurul Najwa Barni dalam Pertandingan Ejaan Bahasa Inggeris Sekolah Pintar di Kota Iskandar, Johor, baru-baru ini. NUSAJAYA 3 Nov. - Dua wakil Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1 (SKTNP1) mengungguli pertandingan ejaan Bahasa inggeris (BI) membabitkan Sekolah Pintar UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) yang berlangsung di Kota Iskandar, baru-baru ini. Murid tahun enam sekolah tersebut, R. Gauthama, 12, mengetepikan peserta lain, sekali gus muncul juara manakala rakan sepasukannya, Muhammad Izz Zakaria, 11, meraih tempat kedua. Tempat ketiga pula dimenangi murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Nusantara, Nurul Najwa Barni, 12, manakala 17 peserta lagi menerima hadiah saguhati. Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM500, pingat emas dan sijil penyertaan, manakala kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM350 dan RM200 beserta sijil penyertaan. Gauthama yang ditemui mengakui telah menjalani latihan bersama rakan-rakannya selama dua minggu sebelum pertandingan berlangsung. "Kami membuat latihan secara berpasukan dan akan merujuk kepada guru sekiranya terdapat perkataan yang sukar selain turut membuat rujukan melalui buku Bahasa Inggeris dan kamus ketika berlatih di rumah. "Tidak dinafikan, terdapat perkataan yang sukar diberikan, namun saya berasa gembira apabila banyak perkataan yang diberikan, telah saya dengar dan berlatih sebelum ini," katanya yang mengakui begitu meminati subjek Bahasa Inggeris, malah menjadi bahasa pertuturan keluarganya. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan UEM Sunrise, Mohd. Nadzari Bachek berkata, pertandingan yang masuk tahun ketiga itu disertai 90 peserta membabitkan murid dari sembilan sekolah rendah Pintar UEM Sunrise di sekitar Gelang Patah. Menurutnya, pertandingan berkenaan merangkumi tiga peringkat iaitu sesi ujian bertulis, ujian lisan dan spelling bee iaitu cabaran baharu yang diperkenalkan. "Pada peringkat saringan, kesemua 90 peserta berdaftar dikehendaki menjalani ujian bertulis berpandukan perkataan diberikan oleh juri. Seramai 20 peserta terbaik dipilih untuk ke pusingan kedua iaitu ujian lisan. "Seramai 10 peserta terbaik turut berpeluang melangkah ke peringkat akhir untuk diberikan ujian spelling bee. Satu markah diberikan apabila berjaya mengeja dengan tepat dan markah tambahan turut diberikan jika peserta memilih perkataan lebih rumit," katanya. Mohd. Nadzari berkata, pertandingan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan UEM Sunrise untuk membangun dan melahirkan masyarakat mahir Bahasa Inggeris khususnya golongan pelajar Sekolah Pintar UEM Sunrise. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |