Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Sasar 1BestariNet di semua sekolah
- PPR Taman Desa Mutiara akan dipulih
- MBJB optimis capai sasaran kutip cukai RM22j tahun ini
Sasar 1BestariNet di semua sekolah Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR Md. Jais Sarday (tengah) beramah mesra dengan guru-guru semasa hadir merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Johor di UTM, Skudai dekat Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 17 Nov. - Semua sekolah di negeri ini disasarkan untuk melaksanakan program 1BestariNet menjelang awal tahun depan sebagai langkah membolehkan pelajar mendapat akses pendidikan secara maya. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday berkata, hingga kini hampir 90 peratus sekolah di negeri ini telah dilengkapi dengan sistem 1BestariNet dan memberi manfaat kepada lebih 500,000 pelajar sekolah menengah dan rendah. Beliau berkata, menerusi inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan itu, proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif. "Kita akui terdapat sekolah-sekolah yang masih belum dapat melaksanakan program ini khususnya di kawasan pedalaman dan perkara ini akan diselesaikan segera kerana pada waktu ini kerja-kerja penyediaan infrastruktur sedang giat dilaksanakan," katanya selepas merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dekat sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif YTL Corporation, Datuk Yeoh Soo Keng dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Hasidin Zaini. Hari Profesionalisme itu merupakan yang ketujuh diadakan selepas Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu dan Perak. Majlis yang disertai kira-kira 3,500 guru besar, pengetua dan guru-guru ICT dari seluruh sekolah di negeri ini bertujuan memberi penerangan serta bimbingan serta kaedah penggunaan 1BestariNet. Md. Jais berkata, penggunaan 1BestariNet membuka peluang kepada semua sekolah untuk mendapatkan kemudahan capaian Internet YES 4G, penggunaan aplikasi Frog VLE dan penggunaan teknologi cloud computing yang merupakan pertama seumpamanya di dunia. Beliau berkata, aplikasi Frog VLE juga membolehkan para pendidik untuk berkongsi segala ilmu yang ada bersama 10,000 sekolah di seluruh negara selain dapat menggunakan bahan-bahan pendidikan dalam bentuk digital. "Kita tidak boleh mengabaikan teknologi atau penggunaan internet dalam kehidupan seharian, begitu juga dalam pendidikan. Saya berharap guru-guru yang terlibat dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam penggunaan teknologi seperti ini bagi membantu melonjakkan prestasi pendidikan di negeri ini. "Saya amat menghargai usaha yang dilaksanakan pihak kementerian kerana secara tidak langsung memberi peluang kepada semua pelajar untuk mendapatkan kualiti pendidikan yang terbaik," katanya. |
PPR Taman Desa Mutiara akan dipulih Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST AbdUL Latiff Bandi (tiga dari kiri ) bersama Ismail Karim (dua dari kiri) dan Maulizan Bujang (empat dari kanan) serta wakil penduduk berbincang mengenai masalah perumahan rakyat di Taman Desa Mutiara, Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 17 Nov. - Kira-kira 2,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini sedikit sebanyak dapat menarik nafas lega apabila masalah berkaitan dengan kediaman yang mereka huni sejak sekian lama mendapat perhatian daripada kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi melawat PPR kedua di ibu negeri itu baru-baru ini, untuk mengenal pasti sendiri permasalahan yang berlaku seperti kebocoran air pada dinding, pendawaian dan kebocoran arus elektrik. "Dalam lawatan itu, kita lihat penduduk tinggal dalam bangunan yang pada peringkat awal dahulu mungkin semasa penyerahannya dalam keadaan tidak berapa berkualiti. Gambaran yang saya nampak di sini, adalah perlunya penambahbaikan bangunan tersebut dan kita akan teliti satu persatu. "Maknanya kita akan minta pihak MC (perbadanan pengurusan) bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk lihat kerosakan yang berlaku dan dari segi bajet selenggara yang boleh dimohon daripada kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini. Yang turut hadir adalah Datuk Bandar, Ismail Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang yang bersama dengan Abdul Latiff dalam sesi lawatan ke salah sebuah blok yang berdepan masalah kebocoran air, pendawaian elektrik, paip air dan kumbahan. Terdahulu, Abdul Latiff bersama Ismail dan Maulizan mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk dalam sesi dialog untuk mendapatkan perincian tentang segala bentuk permasalahan yang berlaku di PPR Taman Desa Mutiara tersebut. Menurut beliau, peruntukan penyelenggaraan tersebut akan dimohon melalui Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) yang dikelolakan kerajaan Pusat dengan 90 peratus daripada jumlah peruntukan sementara bakinya oleh kerajaan negeri. Tambahnya, menjadi harapan kerajaan agar setiap bangunan yang diterima tidak mengalami masalah yang banyak dari segi penyelenggaraan dalam usaha membangunkan projek PPR baharu untuk rakyat yang kurang berkemampuan namun keselesaan hidup PPR yang sudah dihuni juga adalah penting. Salah seorang penduduk, Hamidah Abdullah, 48, berkata, kediamannya sendiri mengalami masalah pada sistem kumbahan sehingga tandas di dalam biliknya hanya boleh digunakan untuk mandi sahaja selain kebocoran air pada dinding sehingga membentuk pepejal keras dipercayai ketulan klorin. "Saya harap dengan lawatan Datuk Abdul Latiff Bandi ini, dapat merungkai permasalahan semua penduduk 22 buah blok di sini. Kami mengharap yang terbaik kerana tidak mampu untuk membaikinya sendiri disebabkan kurang berkemampuan," katanya. Seorang lagi penduduk, Mahadhir Ramli, 32, memberitahu, pelbagai masalah dihadapi penghuni PPR tersebut termasuklah lori yang meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan, dewan dan tempat perniagaan tidak terurus, lampu jalan yang tidak dibuka pada waktu malam dan pengangkutan bas awam. "Ramai yang terpaksa berjalan sehingga ke Kangkar Tebrau untuk menaiki bas ke AEON Tebrau barulah dapat ke pusat bandar, itupun sejam sekali. Kasihan budak sekolah yang berjalan jauh dan segelintir daripada kami terpaksa mengambil teksi walaupun kehidupan susah," ujarnya. |
MBJB optimis capai sasaran kutip cukai RM22j tahun ini Posted: 17 Nov 2013 10:48 AM PST JOHOR BAHRU 17 Nov. - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berjaya mengurangkan tunggakan cukai harta apabila berjaya mengutip sebanyak RM19.5 juta setakat ini, sekali gus optimis untuk mencapai sasaran sebanyak RM22 juta tahun ini. Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim berkata, pihaknya menjangkakan kutipan hasil berkenaan semakin meningkat dalam tempoh dua bulan terakhir iaitu November dan Disember tahun ini. Beliau berkata, kejayaan memungut hasil tunggakan itu turut didorong dengan penganjuran Program Cabutan Bertuah Cukai Harta yang diadakan pertama kali mulai tahun ini. "Bagi penganjuran pertama kali ini, sebanyak 73,352 pemilik harta layak menyertai program tersebut yang menawarkan pelbagai jenis hadiah berupa barangan elektrik dan elektronik serta sebuah kereta Proton Saga FLX bernilai RM50,000. "Walaupun pertama kali dianjurkan, program ini mendapat sambutan baik daripada pemilik harta dan kita merancang untuk menjadikannya acara tahunan dengan menyediakan hadiah yang lumayan," katanya sempena Majlis Cabutan Bertuah di sini baru-baru ini. Dalam majlis itu, Ismail bersama ahli majlis lain melakukan cabutan ke atas nombor pembayar cukai yang bertuah mengikut sistem berkomputer yang lebih telus dan adil. Ismail berkata, program tersebut juga menunjukkan impak positif ke atas usaha yang digandakan MBJB dalam mempertingkatkan lagi hasil kutipan cukai harta bagi 2013 iaitu 92 peratus berjaya dipungut sehingga tarikh tutup pada Oktober lalu. Menurutnya, sejak 2009 hingga kini, MBJB menunjukkan purata bagi trend peningkatan hasil cukai harta sebanyak 11 peratus, sekali gus membuktikan MBJB mempergiatkan usaha dalam membuat kutipan cukai harta dari tahun ke tahun. "Hasil cukai harta inilah yang menyokong kewangan sesebuah organisasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membangunkan kawasan pentadbirannya. "Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pemilik harta dalam kawasan MBJB menjelaskan bayaran cukai harta dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |