{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Raih lima pingat emas, 15 perak, 10 gangsa

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada penyelidik dan pensyarah yang memenangi pingat dalam Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kegemilangan apabila muncul sebagai institusi penyelidikan paling banyak memenangi pingat dalam Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, pada pameran berkenaan, UTM membawa pulang lima pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa daripada 35 produk rekacipta dan inovasi yang dihasilkan para penyelidiknya.

Beliau berkata, antara produk yang mendapat perhatian ramai ialah ejen pembersihan berasaskan minyak kelapa dara yang diiktiraf sebagai salah satu produk terbaik.

"Produk yang dihasilkan oleh penyelidik daripada Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM itu memenangi anugerah utama Biotechnology Innovation of The Year," katanya.

Menurutnya, antara pingat emas lain yang dimenangi menerusi Prof. Dr. Rer. Nat. Hesham Ali Metwally Ali El-Enshasy dengan produknya 3 In 1 Pellet Fertilizers, Dr. Siti Hamidah Mohd. Setapar dengan Sustainable Horse Feed from Local Grass dan Bioappetizer For Feed Intake Activity dan Prof. Dr. Ir. Eko Supriyanto menerusi produk Integrated Prenatal Monitoring System.

"Kejayaan besar ini diharap akan terus mengorak langkah UTM bagi memastikan hasil-hasil penyelidikan mampu bersaing di peringkat global dengan menghasilkan produk penyelidikan yang bermutu tinggi," katanya.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan sebanyak 126 reka cipta dan inovasi terbaharu dalam bidang bioteknologi dipertandingkan.

Acara tahunan itu dianjurkan bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) dan Protemp Exhibitions Sdn. Bhd serta dikunjungi lebih 10,000 pelawat industri.

Acara itu turut mengumpulkan pakar bioteknologi dunia dan serantau, ahli sains dan pelabur yang bersedia berkongsi pengetahuan mereka untuk meneruskan momentum dalam pertumbuhan bioekonomi.

Pameran ini telah disertai oleh beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Mahasiswa UTM, penuntut Indonesia sertai ICE 2013 bermula hari ini

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Persatuan Anak Felda (Persada) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan program International Culture Exchange (ICE 2013) yang akan berlangsung di Felda Lok Heng, Kota Tinggi bermula esok.

Wakil unit publisiti, Nor Shahera Ezaty Mustafa Kamal berkata, program berbentuk khidmat masyarakat dan pertukaran budaya antara masyarakat tempatan dan penuntut dari Indonesia itu diadakan selama lima hari.

Program tersebut akan disertai oleh 90 penuntut UTM dengan 20 daripadanya adalah ahli Persada dan masing-masing 10 penuntut dari Universiti Prawijaya serta Institusi Sepuluh Nopember dari Indonesia.

"Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang betapa besarnya manfaat khidmat masyarakat dan perkongsian budaya antarabangsa selain untuk memupuk rasa tanggungjawab kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Shahera berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut antaranya Program Anak Angkat, Our Dream Our Action yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim, Cari Dunia Damba Akhirat, 10, 000 Langkah, Simfoni ICE, 1 Heart, Felda Idol, Senaman 1Malaysia dan Karnival Inovasi ICE.

Dengan adanya Program Anak Angkat, para peserta berpeluang mengenali keluarga angkat masing-masing termasuk budaya dan cara hidup mereka secara lebih dekat.

"Mereka juga berpeluang merasai suasana hidup di kawasan Felda yang semestinya berbeza dengan kehidupan mereka, sekali gus menjanjikan pengalaman yang menarik," katanya.

Fiescope 2013 meriah

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Sekumpulan mahasiswa menyertai aktiviti larian Fiescope sempena Fiescope 2013 anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana UTM di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Bagi membentuk jati diri dan merapatkan hubungan silaturahim antara penuntut dan pentadbiran universiti, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan Festival Integrasi Kolej Perdana 2013 (Fiescope 2013) di sini baru-baru ini.

Pengarah program, Nor Seha A. Shukor berkata, program empat hari itu bertujuan mencungkil bakat warga kolej melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan.

Beliau berkata, selain itu, program berkenaan turut bertujuan membentuk jati diri penuntut ke arah yang lebih berwibawa serta membentuk semangat perpaduan antara warga kolej.

"Kita mahu penuntut sedar tentang pentingnya hidup yang bersatu padu, bekerjasama dan toleransi, sekali gus mendukung konsep 1Malaysia.

"Selain itu, program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut tentang dunia pengurusan dan kepimpinan yang berkesan serta melahirkan individu yang berpotensi dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni," katanya.

Program yang berkonsepkan integrasi itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumi) UTM, Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.

Nor Seha berkata, antara acara yang diadakan ialah pertandingan bola jaring, bola sepak jalanan, majlis tahlil dan bacaan Yasin perdana, sukan rakyat, mengukir buah tembikai, pertandingan memasak dan demonstrasi kemalangan dan latihan kebakaran.

"Kita juga menganjurkan program berbentuk kebajikan iaitu program Sehari bersama orang kurang upaya (OKU) yang dapat mendidik setiap penuntut supaya lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dimiliki," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat