Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
SPM terakhir di SMT Perdagangan JB Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST Oleh AZIZI MAJID Calon SPM bersalaman dengan guru sebelum memasuki dewan peperiksaan. JOHOR BAHRU 6 Nov. - Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perdagangan Johor Bahru yang dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru mempunyai misi tersendiri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Pengarahnya, Zanariah Ahmad berkata, seramai 370 calon sekolah tersebut menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini berbanding 386 calon pada tahun lalu. "Sekolah ini telah dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional pada tahun ini dan ada daripada pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma. "Oleh itu, SPM pada tahun ini adalah yang terakhir kerana akan ditukar menjadi sebuah kolej vokasional sepenuhnya pada tahun depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan SPM tahun ini yang bermula hari ini hingga 5 Disember ini. Daripada jumlah itu, seramai 51,170 merupakan calon sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama kerajaan negeri, sekolah swasta dan individu persendirian. Zanariah berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai program akademik dan latih tubi sebelum peperiksaan berlangsung dengan harapan mencatat kejayaan lebih cemerlang. "Selama lapan tahun berturut-turut pencapaian sekolah ini mencatatkan peningkatan dengan tahun lalu kita memperoleh GPS (gred purata sekolah) 2.87 dan pada peperiksaan kali ini kita menyasarkan GPS 2.67. "Sudah semestinya kita mengharapkan agar keputusan SPM yang terakhir ini adalah yang terbaik kita peroleh dan menjadi hadiah yang paling bermakna," katanya. Sementara itu, seramai 57,090 calon di negeri ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh negeri mulai hari ini hingga 5 Disember ini. Jabatan Pendidikan negeri dalam kenyataan di sini memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 51,170 adalah calon sekolah kerajaan, manakala selebihnya calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta dan individu persendirian. Sebanyak 382 pusat peperiksaan dibuka bagi calon menduduki peperiksaan tersebut dan melibatkan seramai 3,682 petugas yang terdiri daripada Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas dan Pengawas Peperiksaan. Seramai 21,139 calon turut menduduk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai hari ini sehingga 2 Disember ini di 338 pusat peperiksaan yang dikawal selia oleh 582 petugas di seluruh negeri ini. |
30 wakil media sertai cari harta karun JCorp Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST Peserta terdiri daripada pengamal media dilepaskan semasa menyertai pertandingan mencari harta karun dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media di Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 6 Nov. - Pertandingan mencari harta karun atau treasure hunt bukan asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini. Malah, pelbagai pihak menggunakan penganjuran acara itu untuk memeriahkan sesuatu sambutan atau program yang dianjurkan. Bagi Johor Corporation (JCorp), syarikat milik kerajaan negeri ini, penganjuran program mencari harta karun itu diadakan saban tahun. Namun, kali ini sedikit berbeza apabila kumpulan sasar adalah wakil media yang bertugas di negeri ini. Seramai kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada wakil media serta kakitangan anak syarikatnya JCorp seperti Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Kulim Berhad dan Hotel Puteri Pacific 'didera' dalam Program Riadah dan Rekreasi JCorp Bersama Media 2013 yang diadakan di sekitar bandar raya ini dan Pasir Gudang baru-baru ini. Nyata program bersifat rekreasi itu begitu menyeronokkan dan berjaya mengembalikan nostalgia pengamal media ke zaman kanak-kanak. Program dimulakan dengan pertandingan pencarian harta karun apabila para peserta yang dilepaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini dikehendaki mencari ejen rahsia JCorp yang 'berkeliaran' di Terminal Larkin. Di situ, peserta terpaksa menebalkan muka untuk mendekati orang ramai dan bertanyakan sama ada mereka ejen rahsia yang dicari hingga menyebabkan beberapa orang awam yang disapa menjadi terpinga-pinga. Setelah berjaya menjejaki ejen rahsia yang merupakan seorang wanita yang berpura-pura sibuk menelefon, para peserta bergegas pula ke Kolej Antarabangsa KFCH di Bandar Dato' Onn, di sini untuk mengambil gambar yang kreatif di hadapan pintu masuk kolej berkenaan. Selesai tugasan kedua, para peserta terus menuju ke pusat bandar Pasir Gudang untuk menyelesaikan tugasan terakhir di situ sebelum menamatkan misi di Hotel Selesa Pasir Gudang. Tidak berakhir di situ, pada sebelah petangnya pula para pengamal media perlu mengharungi cabaran sukaneka seperti mencari gula-gula dalam tepung, lari berpasangan dengan kain batik, memasukkan air dalam botol serta belon air. Suasana di padang Hotel Selesa Pasir Gudang yang turut menjadi lokasi penginapan dan makan malam penghargaan serta penyampaian hadiah bertukar menjadi riuh rendah terutama apabila belon air yang gagal dibaling kepada ahli kumpulan terjatuh dan 'meletup'. Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi JCorp, Zulkifli Ibrahim dalam ucapannya turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program itu yang dilihat dapat merapatkan lagi hubungan antara JCorp dan anak-anak kumpulan syarikat tersebut bersama pengamal media. "Kerjasama antara JCorp dan media kebiasaannya adalah atas dasar kerja, sebab itulah program ini dianjurkan kerana pada waktu inilah kita dapat bersama-sama dalam suasana yang cukup santai. "Tidak dinafikan pihak media banyak membantu kejayaan syarikat ini dan berharap hubungan dan kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang," katanya dalam majlis makan malam. Yang turut hadir, Naib Presiden Divisyen Khidmat Korporat JCorp, Kamaruldzaman Salleh dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak. Pada majlis sama, Zulkifli turut menyampaikan hadiah kepada pasukan RTM Johor yang muncul juara pertandingan pencarian harta karun manakala tempat kedua dimenangi Astro Awani dan tempat ketiga diraih Utusan Malaysia. JCorp turut menyumbang sebuah televisyen kepada Kelab Media Johor untuk digunakan di Rumah Kelab yang terletak di Taman Merdeka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |