{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Pelancong minta arca dikekal

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Diana Febriyanti merakam gambar rakannya di hadapan arca periuk kera semasa melawat kawasan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempertimbangkan semula cadangan untuk merobohkan pancuran air berbentuk pokok periuk kera yang terletak berhampiran Dataran Merdeka, di sini.

Orang ramai terutamanya pelancong berpendapat arca tersebut wajar dikekalkan kerana menjadi sebahagian binaan yang menarik perhatian mereka datang ke Kuala Lumpur.

Pelancong dari Indonesia, Diana Febriyanti, 24, dari Palembang berkata, periuk kera atau di negaranya dikenali sebagai Kantong Semar adalah spesies yang sangat unik dan sebarang arca yang mewakili tumbuhan itu wajar di kekalkan.

"Kebetulan saya sendiri bertugas sebagai Pegawai Peneliti (Penyelidik) di Kementerian Perhutanan Indonesia Wilayah Palembang dan sangat mencintai kehidupan dan habitat tumbuhan terutama untuk spesies yang semakin pupus, jadi saya sangat berharap agar arca ini tidak dimusnahkan.

"Jika dirobohkan umpama seperti memusnahkan tumbuhan itu sendiri sebagaimana habitat tumbuhan ini di hutan, tinggal lagi yang ini 'tumbuhnya' di bandar," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan DBKL untuk merobohkan arca itu bagi memberi laluan kepada projek Medan Countdown Clock di situ.

Medan itu merupakan sebahagian daripada elemen dalam Projek Jejak Warisan 5 yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, arca tersebut terpaksa dirobohkan dan akan dibina di lokasi lain yang akan ditentukan kemudian.

Sementara itu pelancong dari Katmandu, Nepal, Ralaja Tameng, 30, berkata, dia dan rakan-rakan yang pertama kali melancong ke Kuala Lumpur sangat teruja melihatkan keunikan arca itu.

"Sekurang-kurangnya saya masih dapat mengenali tumbuhan ini melalui arca ini dan menjadi inspirasi kepada saya untuk melihat sendiri tumbuhan ini di hutan suatu hari nanti.

"Jika benar arca ini hendak dirobohkan maka hilanglah keunikan Kuala Lumpur kerana saya percaya arca ini begitu menarik perhatian pengunjung malah patut diperbanyakkan air pancuran berbentuk arca seperti ini kerana sangat menyejukkan mata memandang di samping menambahkan elemen hijau dalam bandar yang penuh dengan 'bangunan-bangunan batu'," katanya.

Pelancong dari Republik Estonia, Akti Remmel, 55, turut berharap periuk kera itu terus dikekalkan malah DBKL perlu mewujudkan satu habitat khas bagi tumbuhan itu hidup di taman berdekatan dengan arca itu.

"Itu yang sewajarnya dilakukan, barulah tumbuhan ini dapat dikenali dengan lebih dekat dan menarik lebih ramai lagi pelancong untuk melihat sendiri habitat semula jadi periuk kera ini.

"Jangan diroboh atau dipindahkan ke tempat lain semata-mata untuk memberi laluan kepada pembinaan projek lain. Saya sangat tertarik melihat arca ini. Di Estonia, tumbuhan seperti ini tidak wujud.

"Saya benar-benar kagum dengan keunikan tumbuhan ini. Lebih-lebih lagi dikenali sebagai periuk kera, apa kaitan antara periuk untuk memasak itu dengan kera?," katanya.

Penduduk harap DBKL turap semua

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Amiruddin Mohd. Ali
Yuli Margaret
DBKL akan menurap semua jalan rosak di Taman Salak Jaya, Kuala Lumpur dalam masa terdekat selepas memperbaiki permukaan beberapa lorong di situ. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menurap semua jalan dan lorong di Taman Salak Jaya di sini berikutan hanya sebahagian jalan di kawasan itu diturap baru-baru ini.

Seorang penduduk, Amiruddin Mohd. Ali, 65, berkata, terdapat beberapa lorong yang permukaannya kurang sempurna tidak diturap sekali gus menimbulkan persoalan.

Amiruddin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk taman itu berkata, kerja-kerja menurap jalan itu dilaksanakan DBKL sebagai persiapan terhadap program gotong-royong mega yang sepatutnya diadakan pada 27 Oktober lalu.

"Tetapi program itu ditunda ke 17 November ini dan apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah penduduk adalah terdapat jalan yang tidak diturap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rohani Kasa, 49, berkata, peralatan menurap jalan juga sudah dialihkan DBKL baru-baru ini menyebabkan mereka tidak pasti sama ada kerja-kerja itu akan disambung semula.

"Banyak lagi lorong yang tidak diturap antaranya Jalan 23, Jalan 29 dan Jalan 30 yang permukaannya tidak elok, jadi kami berharap DBKL dapat menimbang untuk menurap semua jalan di taman ini demi keselesaan penduduk," ujarnya.

Sementara itu, Yuli Margaret, 33, berharap DBKL turut membina beberapa bonggol di lorong-lorong yang berisiko terutamanya di hadapan rumah penduduk.

"Ini bertujuan memperlahankan kenderaan kerana ada yang memandu terlalu laju sehingga mengancam nyawa penduduk lain terutamanya kanak-kanak," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan DBKL Seputeh, Mohd. Yunus Jalaludin berkata, pihaknya tidak mengabaikan beberapa lorong yang tidak diturap kerana sudah ada perancangan untuk memastikan semua jalan di situ dibaiki.

"Tetapi, buat masa ini kami menumpukan beberapa jalan yang teruk dahulu dan Jalan 29 serta Jalan 30 yang dikategorikan teruk juga akan diturap dalam masa terdekat.

"Kami juga terpaksa bergantung dengan keadaan cuaca memandangkan sekarang musim hujan, kalau kerja menurap dijalankan hasilnya tidak berkualiti," katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd. Yunus, program gotong-royong itu kelak dijangka dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Kami memahami rungutan penduduk itu tetapi berharap agar mereka bersabar kerana semua jalan yang rosak di situ akan dibaiki," ujarnya.

1,100 murid tadika khatam al-Quran

Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST

SEBAHAGIAN daripada murid-murid yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana anjuran MAIWP di Masjid Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Sebanyak 1,100 murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyertai majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Negara di sini baru-baru ini.

Kesemua mereka adalah murid di 78 buah Tadika Islam MAIWP yang telah berjaya mengikuti pengajian ilmu al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaffar dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian tinggi terhadap pelaksanaan operasi semua tadika Islam di bawah seliaannya.

Beliau berkata, penekanan tentang aspek pelaksanaan operasi tadika tersebut meliputi tumpuan kepada aktiviti kokurikulum, kurikulum dan penyediaan kemudahan pembelajaran di pusat bimbingan itu.

"Bagi meningkatkan kredibiliti tadika Islam di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya MAIWP telah menaikkan kadar bantuan makanan daripada RM1.50 sehari kepada RM1.80 hingga RM3 untuk setiap pelajar sejak Januari tahun lalu.

"Kos keseluruhan bantuan termasuk pembelian peralatan pembelajaran pada tahun lalu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.36 juta," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MAIWP turut mempunyai rantaian pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak Islam sejak dari usia empat tahun melalui penubuhan pusat asuhan dan jagaan Taska Darul Hannan.

Tambahnya, program yang disusun atur oleh MAIWP itu juga berjaya memupuk minat kanak-kanak untuk terus mempelajari dan menguasai al-Quran sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat