{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Perkenalan singkat ke jenjang pelamin

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
Gambar GAIE UCHEL

HASIL perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Siti Aisyah (tengah), Mohd. Luqman Hakim (kiri) dan Rayyan Hakim.

ERKENALAN kami singkat, namun saya nampak kesungguhan Norizam untuk menjadikan saya teman hidupnya walaupun pada usia yang sangat muda."

Demikian pengakuan ikhlas Suraina Abd. Rahman, 34, isteri kepada bekas pemain bola sepak Melaka dan skuad Olimpik Kebangsaan, Norizam Ali Hassan, 37.

Bibit-bibit percintaan Norizam dan Suraina bermula sejak di bangku sekolah yang mana ketika itu, dia belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Umbai.

Ketika itu, Suraina baru menginjak ke usia 16 tahun manakala Norizam pula 19 tahun, namun mereka tidak begitu mengenali antara satu sama lain.

Tidak dinafikan Norizam mempunyai perasaan terhadap Suraina walaupun dia sibuk menjalani latihan skuad bola sepak Melaka.

''Saya tertarik dengannya kerana dia sangat rajin dan sering menolong ibunya berniaga di kedai makan.

"Bermula dari situ, saya bersama beberapa rakan sering singgah di kedai makan milik keluarga Suraina di Kampung Serkam Darat setiap kali selesai menjalani latihan bola sepak di Stadium Kubu (kini Stadium Hang Tuah)," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Sifat rajin yang ada pada Suraina membuatkan Norizam makin terpaut hati dan sudah membayangkan untuk menjadikannya sebagai isteri.

Ditambah pula kemesraan dan layanan baik ibu bapa Suraina, membuatkannya tambah yakin untuk meluahkan perasaannya terhadap gadis yang berjaya memikat hatinya kala itu.

Namun begitu, bukanlah sesuatu yang mudah bagi Norizam untuk mendekati Suraina kerana ketika itu dia masih bersekolah dan sibuk membantu ibu bapanya di kedai makan.

Melihat keadaan itu, Norizam mula mendekati Suraina dengan langkah pertama adalah bertukar-tukar nombor telefon.

Selepas Suraina menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Norizam tidak mengambil masa panjang dan terus melamar gadis manis ini.

Ketika Norizam mendapat tawaran bermain bola sepak dengan skuad Perlis, justeru keluarga kedua-dua belah pihak mencadangkan agar perkahwinan antara mereka dipercepatkan.

Tanggal 21 Februari 1996, Norizam dan Suraina diijabkabulkan menjadi suami isteri yang sah selepas tidak sampai enam bulan mereka mengikat tali pertunangan.

Norizam bersyukur kerana perkahwinannya dipermudahkan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua pihak walaupun ada beberapa pihak tidak bersetuju dengan tindakannya berkahwin di usia muda kerana boleh menjejaskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Saya ingin membuktikan bahawa perkahwinan pada usia muda tidak semestinya menjejaskan atau menyebabkan saya gagal dalam profesion bola sepak," katanya.

Belia menambah, selepas berkahwin, kehidupannya lebih terurus dan mendapat pelbagai tawaran untuk mewakili beberapa lagi pasukan lain termasuk Kedah, Perak dan Terengganu.

"Malah, ketika mewakili Perak dalam saingan Liga Super pada 2001, saya turut menjadi pemain yang menjaringkan gol terbanyak sepanjang musim dan menerima Anugerah Kasut Emas yang saya simpan sehingga kini," ujarnya.

Bercerita tentang perkenalannya, Suraina memberitahu bahawa dia langsung tidak menyangka Norizam adalah seorang pemain bola sepak mewakili Melaka ketika itu.

"Semasa di awal perkenalan, saya selalu nampak dia memakai pakaian sukan dan kasut bola setiap pagi, namun tidak terfikir apakah kerjanya sehinggalah diberitahu oleh rakan Norizam yang sering bersamanya datang ke kedai makan keluarga saya.

"Selepas mengetahui perkara itu, saya semakin bersemangat untuk mengenalinya. Lebih mengujakan apabila Norizam sering datang ke rumah bertemu ibu bapa dan meminta saya masak untuknya.

"Norizam juga pernah memberitahu, dia mahu mengahwini saya kerana saya pandai masak dan dia seorang yang suka makan," katanya sambil ketawa.

Kata Suraina lagi, walaupun faham dengan kerjaya suaminya yang sentiasa sibuk dengan latihan dan perlawanan sebagai pemain bola sepak, dia boleh menerima kesibukan itu.

Sementara itu bagi Norizam pula, tidak menjadi masalah baginya untuk mendekati keluarga terutama ibu bapa Suraina kerana dia boleh dianggap pelanggan tetap kedai makan keluarga itu.

"Selepas mendekati ibu bapanya dan mesra dengan mereka, barulah saya pikat anaknya pula dan saya bersyukur kerana ibu bapa Suraina tidak menghalang perhubungan kami.

"Saya juga sering membawa Suraina dan keluarganya ke stadium untuk menyaksikan saya bermain bola sepak, sehingga keluarga Suraina menjadi peminat utama sukan tersebut," ujarnya sambil bergurau.

Ditanya mengenai sikap masing-masing Suraina berkata, suaminya itu seorang yang peramah, bertanggungjawab dan pandai mengambil hati ibu bapa.

"Sikapnya yang matang dan begitu mengambil berat tentang saya dan keluarga walaupun pada usia muda menambat hati saya.

"Saya bersyukur kerana kami bahagia menjalani kehidupan rumah tangga sehingga kini," ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang pemain bola sepak, terlalu banyak hadiah yang diberikan oleh suami kepada Suraina seperti jersi, baju dan lain-lain, namun apa yang paling disayangi dan disimpan sehingga kini adalah surat cinta pertama daripadanya.

"Surat cinta pertama itu sangat istimewa kerana Norizam bukanlah seorang yang rajin menulis dan mengirim surat kepada saya," jelasnya.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Siti Aisyah, 16, Mohd. Luqman Hakim, 12, dan paling bongsu, Rayyan Hakim, 4.

Anak keduanya, Mohd. Luqman turut menjejaki bakat bapanya dalam sukan bola sepak apabila dipilih mewakili Melaka dalam sukan tersebut sejak berumur enam tahun.

Norizam berkata, walaupun sudah bersara daripada menjadi pemain bola sepak, minat terhadap bidang itu tidak pernah luntur dan tanggungjawabnya kini berubah daripada seorang pemain menjadi penolong jurulatih Pasukan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Namun begitu, Norizam akan sentiasa mencari masa terluang untuk bersama keluarga walaupun dia sibuk bekerja.

Aktiviti yang paling digemari keluarga bahagia ini adalah melancong, membeli-belah dan beriadah.

Ayah 'pisahkan' kami supaya suami sedar silapnya

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

RAMAI yang selama ini menyangka kepuasan bekerja terletak pada gaji lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada maknanya gaji yang tinggi apabila kita tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan melalui suasana kerja yang tegang.

Gaji lumayan dan kemudahan yang dimiliki hanya memberikan kepuasan jangka pendek. Ya betul! ada kerja ada gaji, tetapi jika terlalu kerap bertukar pekerjaan, adalah sesuatu yang merugikan diri sendiri.

Ada segelintir orang bekerja kerana organisasi tempat dia bekerja mempunyai pekerja yang ramai serta nama yang besar. Hakikatnya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan minat.

Bagaimana pula jika anda mengahwini seorang lelaki yang suka bertukar-tukar pekerjaan kerana inginkan kepuasan dan pujian orang keliling sehinggakan akhirnya tidak ada kerja dan terpaksa berbohong dengan isteri?.

Hana (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca berkaitan mukadimah saya minggu ini. Kita ikuti cerita Hana.

"Saya berusia lewat 20-an bekerja sebagai seorang penjawat awam dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Adi (bukan nama sebenar) yang bercita-cita tinggi dalam hidupnya.

"Kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Saya akur dengan realiti hidup bahawa setiap perkahwinan akan diduga dalam mencari keberkatan hidup bersuami isteri.

"Ketika masih menuntut di IPTA, emak mengingatkan saya supaya 'sambil menyelam minum air'. Saya faham apa yang emak inginkan, sambil belajar kita kena cari calon teman hidup.

"Ketika di tahun akhir pengajian, saya diperkenalkan oleh rakan sekuliah kepada abangnya yang telah pun bekerja. Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana cinta saya disambut dan mendapat restu keluarga masing-masing.

"Tiga bulan kemudian kami bertunang dan bulan berikutnya kami bernikah. Alangkah bahagianya saya ketika itu, impian menjadi kenyataan.

"Menjadi ratu dan raja sehari adalah kenangan yang paling indah bagi semua pasangan pengantin. Sehingga kini gambar kami ketika bersanding di atas pelamin masih tersusun kemas di atas meja di dalam kamar tidur kami.

"Segalanya adalah kerana cinta dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Adi, seorang suami yang prihatin dalam semua urusan dan saya sangat bersyukur dan rasa disayangi.

"Setahun kemudian, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan kasih kami bertambah erat. Kami tiada masalah dalam urusan penjagaan anak kerana emak mentua saya sanggup menjaga cucunya.

"Rumah kami tidak berapa jauh dari rumah mentua saya, jadi senang untuk kami berulang-alik menghantar anak pada waktu pejabat sahaja. Hujung minggu, kami bergilir-gilir bertandang ke rumah mentua dan emak saya.

"Suatu hari, saya mengambil cuti kecemasan kerana anak kurang sihat dan perlu dibawa ke klinik. Adi memberi alasan banyak kerja dan tidak dapat menemani saya bersama anak ke klinik.

"Saya langsung tidak pernah fikir yang Adi akan berlaku curang terhadap saya. Hinggalah segala-galanya terbongkar pada hari itu setelah saya melihat Adi bersama seorang gadis berpegangan tangan di sebuah kompleks membeli-belah semasa saya membawa anak ke klinik.

"Sedihnya hati bila mata saya melihat suami yang saya sangka pergi bekerja rupa-rupanya mengambil kesempatan menduakan saya. Mereka nampak sangat mesra.

"Saya mengambil kesempatan menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan aksi mesra mereka dan terus meninggalkan tempat itu dengan linangan air mata.

"Hancurnya hati ini sukar untuk digambarkan dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya tidak berhenti menangis. Mengenangkan si kecil yang tidak sihat, saya kuatkan semangat untuk melawan kesedihan saya.

"Dalam hati, saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan kenapa Adi sanggup berubah kasih kepada perempuan lain yang sebaya dengan saya?

"Usia perkahwinan kami masih muda tetapi Adi telah menunjukkan belangnya yang selama ini disembunyikan daripada saya. Nampak di depan pijak semut tak mati, di belakang? Mengenangkan perangai Adi, saya menjadi kecewa dan sedih yang teramat.

"Terpandang wajah anak, saya menangis sungguh-sungguh tetapi reda akan takdir yang tersurat. Saya masih boleh mengawal emosi kerana tidak mahu mencetuskan perkara yang boleh mengeruhkan lagi suasana.

"Terfikir juga saya, mungkin itu saudara suami yang saya tidak kenal tetapi kenapa perlu sampai pegang tangan dan peluk? Saya tidak putus-putus berdoa semoga tidak terjadi sesuatu perkara yang boleh memisahkan saya dan suami.

"Saya tidak pernah bersuara atau mengadu hal ini kepada keluarga. Sakit hati saya ubati sendiri sambil berdoa agar suami akan berubah dan insaf dengan perbuatannya.

"Saya mohon Allah selamatkan kami sekeluarga dan memberi petunjuk kepada Adi dalam melayari bahtera rumah tangga sebagai suami dan ayah kepada anak kami yang masih kecil.

"Hari-hari yang dilalui seperti tiada sengketa antara kami, masing-masing berlakon, Adi dengan romantisnya sebagai ketua keluarga dan saya juga begitu kerana tidak mahu dia mengesyaki apa-apa terutama isu saya nampak dia bersama perempuan itu tempoh hari.

"Segala yang saya lakukan semata-mata untuk menyelamatkan maruah kami. Saya tidak mahu kami bergaduh dengan isu yang boleh meranapkan kasih sayang kami yang masih mentah dalam alam rumah tangga.

"Perbelanjaan rumah tangga, saya dahulukan sebab alasan suami, gajinya disimpan untuk membeli rumah yang lebih selesa. Baguslah ada cadangan untuk memiliki rumah yang lebih selesa…" sambil tersenyum saya zahirkan pandangan itu kepadanya ketika kami sedang makan malam.

"Dunia ini terlalu kecil untuk kita sembunyikan pergerakan kerana banyak mata yang akan memandang dan dalam sekelip mata segala maklumat akan tersebar. Allah Maha Mengetahui, kebenaran akan terserlah tanpa diminta.

"Diringkaskan cerita, satu hari ayah saya sendiri ternampak menantu kesayangannya itu sedang bersantai dengan kawan-kawannya di sebuah warung pada hal ketika itu, sepatutnya dia ada di tempat kerja.

"Sekarang waktu pejabat, kenapa tidak masuk bekerja? Tiba-tiba ayah saya muncul di hadapan Adi yang kelihatan terkejut dengan kehadiran bapa mentuanya secara tiba-tiba.

"Dia tidak berkata apa-apa kerana terlampau terkejut. Kawan-kawannya semua lari meninggalkan dia terpinga-pinga seorang diri menahan malu disergah ayah saya.

"Tanpa menunggu jawapan, ayah saya terus meninggalkan warung tersebut dan menceritakan kepada emak apa yang dilihatnya. Kita tunggu Hana dan Adi pulang ke rumah dan tanya mereka hal yang sebenar, kata emak yang cuba menenangkan ayah yang ternyata amat marah.

"Pada malam itu, emak dan ayah bertandang ke rumah kami. Saya tidak tahu apa puncanya kedatangan mak dan ayah pada malam itu sehinggalah tercetus soal jawab antara mentua dan menantu.

"Pelbagai alasan diberikan oleh Adi dan saya hanya mendiamkan diri walaupun saya tahu kisah sebenar. Sebagai isteri, saya sedih dan malu dengan perlakuan Adi yang tidak matang dan tidak bijak walaupun telah berkeluarga dan telah menjadi seorang ayah.

"Lebih memalukan saya apabila Adi memberitahu dia sudah tiga bulan berhenti kerja kerana pekerjaan tersebut tidak serasi dengannya. Ini belum lagi cerita perempuan yang dibawa berjalan ke hulu ke hilir yang telah menjadi bualan jiran yang sering ternampak mereka.

"Saya tidak menafikannya kerana bukti tersimpan rapi dalam telefon bimbit yang dirakam tetapi saya tidak mahu timbulkan pada malam itu kerana bimbang kemarahan ayah akan bertambah.

"Saya jadi buntu memikirkan apa yang terjadi dan mungkin ini ujian untuk saya. Saya harus menerimanya dengan penuh kesabaran. Saya masih waras untuk bertindak memilih jalan mudah dengan cara menuntut cerai.

"Atas nasihat ayah, kami 'dipisahkan' untuk sementara waktu sehingga Adi bekerja semula dan mengubah sikapnya yang suka berfoya-foya.

"Muhasabah diri awak dan cari kerja jika mahu mendapatkan kembali isteri dan anak kamu, ayah memberi kata dua kepada Adi dengan nada suara yang tinggi.

"Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana saya sendiri pernah melihat perlakuan Adi yang melukakan hati saya. Tiga bulan kami berpisah sementara. Saya dan anak pulang ke rumah mak walaupun timbul kekecohan di antara mentua dan keluarga saya yang masing-masing bertelagah dengan apa yang terjadi.

"Dengan bantuan seorang jiran yang prihatin, suami saya telah mendapat pekerjaan yang gajinya lebih kecil daripada sebelum ini. Syarat untuk bersama keluarga terpaksa dipenuhi walaupun pekerjaannya yang dahulu lebih lumayan daripada sekarang.

"Bumi ini terbentang luas untuk kita mencari rezeki kurniaan Allah jika kita rajin berusaha. Bak kata pepatah jika ringan tulang akan berat perut,"itu kata-kata ayah kepada Adi.

"Hubungan dengan perempuan itu juga sudah putus dan saya sendiri bersama ayah dan mak bersemuka dengan perempuan itu untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga saya. Adi juga telah meminta maaf di atas kecurangannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya itu.

"Segala yang terjadi ada hikmahnya untuk Adi supaya dia insaf dan muhasabah diri. Alhamdulillah Adi telah kembali ke pangkal jalan dan saya gembira dengan perubahan dirinya, menjadi suami dan ayah yang boleh dibanggakan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ayah dan emak yang telah 'mendidik' suami saya dan menyelamatkan rumah tangga kami.

"Tanpa bantuan dan nasihat daripada ayah dan emak, tidak mungkin rumah tangga kami dapat diselamatkan. Mereka adalah kaunselor yang hebat, tempat saya dan suami bergantung hidup dan mendapatkan nasihat.

"Sekali lagi terima kasih ayah mak. Juga kepada mentua yang memahami masalah saya. Terima kasih abang kerana sedar kesilapan dan kembali menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab. Semoga Allah kekalkan hubungan kami hingga ke syurga, itu pinta dan doa saya," Hana menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, itu yang dapat saya suarakan dengan kisah yang dikongsi oleh Hana dengan kita semua. Menarik bukan?

Saya amat kagum dengan sikap kedua-dua orang tua Hana dalam menangani isu rumah tangga anak dan menantu mereka. Inilah contoh mentua yang kita perlu jadikan teladan. Mentua yang faham masalah anak menantu dan berfikiran positif untuk membantu menyatukan semula anak menantu agar terus bahagia.

Syabas juga kepada Hana yang tabah menghadapi dugaan ini dan menerima semula suami dengan penuh kasih sayang. Setiap orang perlu diberi peluang kedua atas setiap kesilapan yang dilakukan. Selebihnya berdoa dan mohon petunjuk Allah.

Saya doakan keluarga Hana akan sentiasa dalam peliharaan Allah dan dirahmati-Nya sepanjang hayat.

Salam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat