Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- 6 keluarga hilang tempat tinggal
- Mangsa kebakaran dipindah ke Dewan Komuniti UMNO
- Pasar Chow Kit habitat tikus, ditutup 3 hari selepas Deepavali
6 keluarga hilang tempat tinggal Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL API dapat dilihat marak dalam kejadian kebakaran tingkat atas Flat PKNS 17 Tingkat di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM KUALA LUMPUR 31 Okt. - Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) adalah antara yang terselamat dalam kebakaran yang menggemparkan penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi, Lembah Pantai hari ini. Saodah Che Mat, 74, yang tinggal di tingkat 13 flat itu mahu menunaikan solat asar apabila dia terdengar bunyi bising pada kira-kira pukul 4.30 petang dan dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh menantunya, Norehan Ramli. Norehan ketika ditemui berkata, ibu mentuanya itu sudah sukar untuk berkomunikasi namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu. "Saya hanya sempat membawa dua orang anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri. Sebaik sahaja tiba di bawah, saya meminta bantuan jiran untuk menyelamatkan ibu mentua saya. "Saya bersyukur kerana semua penghuni terselamat dalam kejadian ini walaupun kebanyakan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini. Kebakaran petang ini menggemparkan penduduk kawasan itu dan orang ramai yang tinggal tidak jauh dari kawasan penempatan tersebut kerana api dan asap boleh dilihat dari jarak 3 kilometer. Seorang lagi mangsa yang merupakan kakitangan syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Ahmad Haziq Mad Shah, 25, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu daripada keluarga yang memaklumkan rumahnya terbakar. "Ini merupakan kali kedua berlaku kebakaran di flat ini. Kebakaran pertama berlaku awal tahun ini melibatkan dua unit rumah. "Setakat ini, kami dimaklumkan kemungkinan kebakaran berpunca dari salah sebuah rumah di tingkat 17 dan kami masih menunggu laporan daripada pihak bomba," katanya. Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.40 petang dan sebanyak 13 jentera dari lapan buah balai dikejarkan ke tempat kejadian. "Jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 4.57 petang dan mendapati api sedang marak di tingkat 17 flat tersebut. "Siasatan awal mendapati enam unit rumah terlibat. Kebakaran dipercayai berpunca dari tingkat 17 dan ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, api sedang marak," katanya. Tambah Khirudin, api dapat dikawal kira-kira pukul 6 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian. Pasukan Forensik Bomba masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami penduduk. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jalan raya berhampiran lokasi kejadian termasuk Lebuh Raya Persekutuan sesak akibat kejadian itu. Walau bagaimanapun perjalanan lalu lintas terkawal dengan kehadiran anggota polis trafik. |
Mangsa kebakaran dipindah ke Dewan Komuniti UMNO Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada penduduk yang rumah mereka terbakar di Flat PKNS 17 Tingkat, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut merasai kesedihan yang dialami penduduk yang terlibat dalam kejadian kebakaran Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 17 Tingkat di Jalan Kerinchi petang ini. Mereka berdua turut melawat lokasi penempatan di tengah-tengah ibu kota itu dan dilihat cuba meredakan kesedihan penduduk yang kehilangan harta benda dan hilang tempat berteduh. "Susulan kejadian ini kerajaan bersetuju memindahkan semua mangsa yang terlibat ke Dewan Komuniti UMNO yang terletak berhampiran flat ini untuk dijadikan penempatan sementara kepada mereka. "Saya juga meminta pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) memeriksa keadaan flat ini sebelum diduduki semula oleh penduduk bagi memastikan kawasan ini selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. Enam buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat 17 flat itu. Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau bergegas ke tempat kejadian. "Selain memberikan penempatan sementara kepada mangsa, kami akan berurusan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan kebajikan untuk membantu mangsa. "Kami difahamkan bangunan ini mempunyai insurans dan berharap pihak berkenaan dapat menjelaskannya bagi mengurangkan beban penduduk," katanya. |
Pasar Chow Kit habitat tikus, ditutup 3 hari selepas Deepavali Posted: 31 Oct 2013 11:28 AM PDT Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) turut menikmati kuih-muih tradisional India di sebuah kedai ketika melawat Bazar Deepavali di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 31 Okt. - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup Pasar Raja Bot selama tiga hari berkuat kuasa selepas Deepavali. Arahan tersebut dikeluarkan ekoran Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara. Menurut Tengku Adnan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengenai perkara itu dan meminta DBKL memandang serius masalah kebersihan di pasar tersebut. "Pasar tersebut dikendalikan oleh DBKL, sekiranya kotor dan menjadi tempat pembiakan tikus bagaimana peniaga-peniaga tempat lain mahu menjadikan contoh. "Saya amat sedih kerana kita telah mengeluarkan notis penutupan sementara kepada premis lain termasuk restoran dan gerai sebelum ini, tetapi tempat DBKL sendiri yang kotor," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Deepavali di Lebuh Ampang di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan. Kata Tengku Adnan, peniaga di Pasar Chow Kit juga perlu akur dengan arahan agar tidak boleh membuka perniagaan mereka dalam tempoh itu. "Peniaga ayam juga diingatkan agar tidak melakukan penyembelihan di dalam pasar sehingga menyebabkan kawasan sekitar kotor dan menjadi tarikan kepada tikus-tikus, " tegasnya. Tambah beliau, Pasar Pudu juga berada dalam perhatian pihaknya, namun arahan penutupan sementara hanya dikeluarkan ke atas Pasar Chow Kit buat masa ini. Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Tengku Adnan mencadangkan infrastruktur di Lebuh Ampang dapat dinaik taraf memandangkan kawasan itu memiliki sejarah tersendiri di samping tempat tumpuan ramai. "Kami akan melihat apa yang boleh diperbaiki dan ditingkatkan di kawasan ini, malah saya amat gembira kerana melihat kedai-kedai di sini bersih dan sebuah restoran menjadi tempat pelancong asing menjamu selera," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |