Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Pasar Chow Kit kembali kotor
- Jaga kebersihan, jangan kejar untung semata-mata - Pengunjung
- Tetap laksana cukai baharu 1 Jan.
Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh SITI AINIZA KAMSARI Bahan jualan yang telah diproses dan dibungkus di dalam beg plastik diletakkan bercampur aduk dengan barangan lain di bawah meja. KUALA LUMPUR 19 Nov. - Tidak banyak perubahan dapat dilihat dalam soal kebersihan di Pasar Raja Bot yang baru sahaja menjalani operasi pembersihan secara besar-besaran apabila premis yang menjadi tumpuan warga kota mendapatkan barang dapur itu nampaknya 'sudah kembali ke keadaan asal'. Baru seminggu lalu operasi itu dilaksanakan, namun keadaan kotor menunjukkan para peniaga di pasar yang turut dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu gagal mengubah sikap mereka dalam soal penjagaan kebersihan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sampah-sarap kembali bertaburan, mengotori lorong-lorong di celah-celah gerai terutama gerai menjual buah-buahan. Sampah seperti kertas, plastik membungkus buah dan kulit buah-buahan yang dibuang merata-rata memberikan gambaran pertama yang kurang enak sebaik sahaja melangkah masuk ke pasar yang dibina pada 1955 itu. Peniaga buah-buahan di pasar itu masih tidak menitikberatkan soal kebersihan walaupun sebahagian daripada mereka 'menikmati' laluan yang baru sahaja diturap oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Orang ramai masih terpaksa bersesak-sesak untuk melalui setiap lorong yang sempit lagi kotor bagi mendapatkan pelbagai barangan yang hendak dibeli. Hujan lebat memburukkan lagi persekitaran pasar tersebut. Bumbung pasar yang bocor di sana sini menyebabkan para pengunjung terpaksa berjalan dalam hujan di samping terpaksa mengelak lecak dan lopak air di dalam pasar itu. Seolah-olah berada dalam sebuah lorong gelap yang pengap tanpa cahaya matahari, kucing-kucing yang berkeliaran pula melepaskan najis di merata tempat termasuk di lantai yang sudah pecah-pecah dan kotor. Namun semua itu tidak menjadi penghalang kepada orang ramai untuk terus mengunjungi pasar tersebut, malah ramai yang menjamu selera di gerai-gerai makan yang kebersihannya juga boleh dipertikaikan. Ini menyebabkan timbul persoalan mengenai tindakan yang sepatutnya diambil oleh Jabatan Kesihatan DBKL bagi memastikan gerai makanan tersebut benar-benar layak untuk dikunjungi dan menjamu selera di situ. Minggu lalu pasar tersebut ditutup selama dua hari untuk membolehkan operasi pembersihan secara besar-besaran dilaksanakan oleh DBKL dan Alam Flora serta para peniaga sendiri yang melibatkan kira-kira 1,000 orang. Kerja-kerja pembersihan itu turut melibatkan penghapusan habitat tikus di sekitar kawasan pasar yang dikatakan menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara. Apabila menuju ke pasar basah yang menjual daging ayam dan lembu, keadaan lebih menjijikkan dapat dilihat. Sisa seperti kepala ayam dan kulit ayam dicampak di sana sini tetapi yang lebih menjijikkan apabila bekalan ayam berbungkus dan tidak berbungkus diletakkan begitu sahaja di atas lantai yang kotor. Namun yang lebih mengejutkan apabila kami terserempak dengan beberapa ekor tikus yang berkeliaran berhampiran gerai menjual daging dan ayam, mungkin disebabkan hujan tikus tersebut keluar dari sarangnya dan berteduh di celah-celah gerai. |
Jaga kebersihan, jangan kejar untung semata-mata - Pengunjung Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST KOTAK dan serpihan potongan daging bercampur aduk di atas meja yang kelihatan kotor di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR 19 Nov. - Pengunjung Pasar Raja Bot atau dikenali sebagai Pasar Chow Kit beranggapan tiada apa yang dapat dibanggakan dengan operasi pembersihan premis itu kerana sikap peniaga masih seperti dahulu apabila mereka melonggokkan sampah di merata tempat. Pengunjung berpendapat, peniaga seharusnya berubah sikap agar lebih menitikberatkan aspek kebersihan dan bukan memikirkan mengenai keuntungan semata-mata. Adnan Che Kassim, 43, berkata, beliau masih kurang berpuas hati mengenai kebersihan di pasar itu terutama sikap peniaga yang hanya mengejar untung tanpa mempedulikan soal kebersihan. "Walaupun saya ada nampak sedikit perubahan, agak bersih jugalah sedikit berbanding yang sebelum ini namun saya berharap pihak Penguat Kuasa DBKL dan lain-lain agensi kerajaan yang berkenaan lebih kerap menegur peniaga supaya mengutamakanlah kebersihan. "Apabila persekitaran lebih bersih, tentu akan menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke pasar ini, maka ketika itu siapa yang akan lebih untung, penjual juga," katanya. Bagi Firza Isa, 29, beliau yang datang dari Kedah buat pertama kali mengunjungi Pasar Raja Bot dan mendapati pasar itu sebagaimana yang sering didengarinya iaitu kotor. "Bagi sebuah nama besar di tengah ibu kota, pasar yang kotor seperti ini sememangnya tidak disesuai untuk dikaitkan dengan kecanggihan Kuala Lumpur apabila melihatkan mentaliti peniaga yang tidak menjaga kebersihan. "Sesetengah pengunjung juga saya lihat turut membuang sampah sesuka hati," katanya. |
Tetap laksana cukai baharu 1 Jan. Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh SITI AINIZA KAMSARI KUALA LUMPUR 19 Nov. - Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menegaskan kadar baharu cukai taksiran kepada warga kota tidak akan membebankan mereka, dan akan tetap dilaksanakan bermula 1 Januari depan. Beliau menegaskan, kadar baharu tidak boleh ditangguhkan lagi pelaksanaannya selepas 21 tahun tidak disemak semula. "Saya sendiri mempunyai harta yang dikenakan cukai pintu oleh DBKL. Saya sendiri tidak mahu terbeban dengan kadar baharu yang tinggi tetapi saya tidak boleh menghalang untuk meletakkan kadar baharu apatah lagi menangguhkannya. "(Cukai baharu) tetap berkuat kuasa pada 1 Januari ini tetapi saya percaya dengan satu kadar yang pastinya mampu dibayar oleh warga Kuala Lumpur kerana kami memahami bebanan yang akan mereka tanggung jika kadar tersebut adalah terlalu tinggi dan dalam keadaan mendadak," katanya. Malah, katanya, pihaknya bercadang untuk menurunkan kadar cukai 12 peratus kepada lima peratus sahaja. "Kadar 12 peratus ini adalah sejak dahulu lagi, kami tidak pernah naik atau turunkan kadar tersebut. Jadi jika dengan semakan yang baharu memerlukan kami menurunkan kadar peratus cukai tersebut, mungkin kami akan turunkan, tidak ada masalah," jelas beliau. Ahmad Phesal berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi DBKL Ke-4 2013 yang bertemakan Inovasi Menerangi Kehidupan di Auditorium DBKL, di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai rungutan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati mengenai cadangan kadar cukai taksiran baharu DBKL yang didakwa bakal membebankan warga kota, terutama pemilik hartanah dan para penyewa. Ahmad Phesal berkata, sudah tentu ada dalam kalangan penduduk yang menerima taksiran cukai antara 200-300 peratus sebagaimana yang telah dimaklumkan menerusi Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian Hartanah yang diedarkan kepada semua pemilik hartanah sebulan lalu. Beliau berkata, kenaikan itu kelihatan tinggi tetapi warga kota perlu bersikap rasional kerana cukai taksiran telah tidak dinaikkan selama 21 tahun, yang membuatkan kadar baharu itu kelihatan naik berkali ganda. "Yang penting sekarang mereka perlu berhubung dan bersemuka dengan pihak DBKL bagi menyatakan bantahan terhadap kadar baharu tersebut. Kami mempunyai barisan panel yang akan membantu bagaimana kadar tersebut dapat dikurangkan mengikut kemampuan pemilik untuk membayarnya," katanya. Tambah beliau, sebenarnya tidak timbul isu mengenai taksiran cukai yang baharu ini semata-mata untuk menentukan nilai hartanah di Kuala Lumpur pada masa kini. "Nilai (hartanah) itu telah ada. Cukai dikenakan mengikut nilai yang ada dan tidak timbul isu kononnya DBKL gagal mendapat perolehan hasil dari sumber-sumber lain sebagai pendapatan sehingga perlu menaikkan cukai, isu seperti itu tidak timbul," katanya. Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya sempena Hari Inovasi DBKL Ke-4, Ahmad Phesal berkata, sebanyak 425 cetusan idea telah diterima oleh DBKL daripada pegawai dan kakitangannya bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada orang ramai. "Setelah ditapis tujuh idea diisytihar sebagai pemenang dan 12 lagi diberi hadiah sagu hati," katanya. Sementara itu Jabatan Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan DBKL atau dikenali sebagi kumpulan BOLT berjaya menerima Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Datuk Bandar dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, trofi serta sijil apabila set penyelenggaraan elektrik rekaan mereka berjaya menarik perhatian juri untuk memenangi anugerah tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |