Utusan Online - Megabait
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Megabait |
Posted: 10 Nov 2013 05:06 AM PST Bersama Abd. HALIM HADI TALIB KOLEKSI fotografi dari bangunan tinggi atau vertigo rakaman Kamrul Arifin Mansor yang mempamerkan keindahan pemandangan kota raya daripada perspektif berbeza. BERDIRI di tempat tinggi boleh menimbulkan rasa gayat pada kebanyakan orang. Namun bagi penggemar fotografi landskap urban, berada di puncak bangunan adalah peluang terbaik untuk menghasilkan gambar. Lensa Panca kali ini berkongsi keindahan pemandangan ibu kota yang dirakam oleh pembaca Mingguan Malaysia, Kamrul Arifin Mansor dari bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur. Berbeza dengan gambar-gambar yang biasa dipaparkan pada poskad atau risalah, fotografi dari bangunan tinggi yang disebut 'vertigo' menggunakan perspektif-perspektif ekstrem yang kadang-kala agak mencemaskan. Rakaman melalui celah tingkap, tepi dinding penghadang, koridor atau dari dek terbuka seolah-olah memberi gambaran kita sedang melayang atau terjunam. Selain rakaman dari sudut yang jarang dilihat, keindahan fotografi ini turut diperkuat dengan pencahayaan kota raya yang cukup menarik sewaktu matahari terbit atau terbenam. "Kuala Lumpur mempunyai banyak lokasi menarik bagi yang mahu mencuba fotografi vertigo. Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, hotel-hotel utama, tempat letak kenderaan bertingkat, restoran dan pangsapuri di sekitar pusat bandar adalah sasaran terbaik,'' jelas Kamrul Arifin. Bagaimanapun katanya, pemilihan lokasi amat penting untuk memasukkan bangunan-bangunan ikonik sebagai penceritaan lokasi. Bagi menghasilkan gambar yang lebih berimpak, katanya, jaringan jalan raya yang membentuk garisan penunjuk (leading line) serta susunan bangunan boleh digunakan sebagai penguat komposisi. Selain cabaran mendapat akses di bangunan tinggi, fotografi jenis ini mempunyai satu lagi cabaran iaitu sudut pemandangan yang biasanya terhalang, sempit atau mungkin juga terlalu luas. Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau menggunakan teknik vertorama iaitu rakaman menggunakan beberapa keping gambar secara melintang atau menegak sebelum digabung melalui perisian penyuntingan. Untuk kesan terbaik, jurugambar separuh masa dan peguam yang bertapak di Subang Jaya ini mengesyorkan penggunaan lensa sudut luas, pembedik berkabel dan tripod yang stabil. Kamrul Arifin juga aktif menganjurkan kursus dan bengkel fotografi HDR dan video timelapse. Karya-karya beliau boleh dilihat di laman web www.flickr.com/photos/arief_rasa/. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Megabait To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |