{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Waspada pakej murah umrah

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 13 Nov. - Umat Islam perlu berwaspada dan tidak terpedaya dengan pakej murah ibadat umrah yang ditawarkan ejen atau syarikat pengurusan pelancongan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Edros Yahaya berkata, kebanyakan pakej ditawarkan di bawah RM4,000 menjadi pilihan umat Islam yang pertama kali berhasrat untuk ke Tanah Suci tetapi hakikatnya harga tersebut tidak munasabah.

"Sejak kebelakangan ini kes penipuan membabitkan pakej umrah semakin menjadi-jadi dengan nilai kerugian yang dicatatkan di Tribunal Tuntutan Pengguna sejak 2009 berjumlah RM6.9 juta.

"Jadi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha menganjurkan Kempen Kesedaran Industri Pelancongan-Pakej Umrah Berlesen sebagai usaha menyedarkan umat Islam daripada terlibat dalam kes penipuan melibatkan pakej umrah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perlesenan Pelancongan KPK, Mahathir Bujang dan Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK, Badrul Hisham Khalid.

Menurut Edros, kempen itu melibatkan semua pihak berkaitan dengan ejen atau syarikat pelancongan terutama pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam masjid dan guru agama yang menjadi sasaran utama kes penipuan tersebut.

"Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dan mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan tawaran menarik dari agensi pelancongan tidak sah yang menjalankan pakej haji, umrah dan ziarah.

"Selain itu, peserta kempen turut didedahkan dengan isu berkaitan dengan pelesenan pelancongan yang patut diketahui dan taktik terbaharu penipuan seperti ganjaran pakej umrah daripada peraduan gores dan menang," katanya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh mengunjungi laman web KPK atau datang terus ke pejabat pelancongan negeri bagi mendapatkan senarai syarikat atau agensi pelancongan yang sah.

"Syarikat atau agensi pelancongan yang sah akan sentiasa mempamerkan nombor lesen pada setiap iklan yang dibuat dan menampal salinan lesen di setiap premis mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, daripada 114 syarikat pelancongan berlesen di negara ini hanya 10 syarikat layak dan sah menawarkan pakej haji, umrah dan ziarah.

Lembah Tembeling pengeluar gaharu terbesar

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Wan Amizan Wan Abdul Razak (dua dari kiri) melawat sebuah gerai pameran agensi kerajaan sempena Program Hari Bersama Komuniti Felda 2013 di Felda Padang Piol, Jerantut, Pahang, kelmarin. - utusan/haris fadilah ahmad

JERANTUT 13 Nov. - Lembah Tembeling di daerah ini bakal menjadi pengeluar pokok gaharu terbesar di negara ini apabila projek sentuhan kasih bakal dimajukan di kawasan seluas 2,800 hektar tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, projek perintis itu bakal menjana pulangan lumayan dalam bentuk saham kepada 115 penduduk dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, projek berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada belia termasuk penduduk tempatan yang menjalankan tanaman itu secara kecil-kecilan di Kampung Pagi, Kampung Gol, Kampung Selimbar dan Felda Padang Piol.

"Projek berkenaan juga mengubah kehidupan belia berkeluarga di kampung tradisional dan tanah rancangan Felda di kawasan Tahan apabila bakal memperoleh pendapatan tinggi menerusi tanaman pokok tersebut sekali gus menjadi pemacu dalam sektor pertanian moden.

"Kerajaan negeri dan Felda akan menggunakan khidmat kepakaran mereka yang berpengalaman dalam pengeluaran pokok tersebut dari sebuah universiti di Itali yang turut dibiayai kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bersama Komuniti Felda anjuran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Padang Piol, dekat sini semalam.

Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ketiga di peringkat antarabangsa sebagai pengeluar dan perdagangan gaharu selepas India dan Indonesia.

"Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjangkakan Malaysia mampu menjadi pusat pengeluar gaharu terbesar dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

"Pendapatan gaharu boleh mencecah RM20,000 sekilogram atau menghasilkan pendapatan sebanyak RM800,000 bagi keluasan 0.4 hektar tanaman ini," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, FRIM kini menerusi bantuan kajian serta kepakaran luar berusaha menjadikan negara ini sebagai pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia.

Malam minggu di UTC ceria

Posted: 13 Nov 2013 10:13 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

KALANGAN pengunjung yang tertarik dengan sistem bunyi yang dipamerkan di tempat letak kereta UTC, di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 13 Nov. - Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini membawa manfaat kepada orang ramai apabila mereka dapat melakukan urusan dengan mudah berikutan terdapat pelbagai agensi kerajaan yang beroperasi di situ.

Tempat tersebut turut menyediakan gelanggang futsal dan kawasan tempat letak kereta yang luas membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan seperti pasar malam minggu dan pasar tani.

Keadaan tersebut membolehkan tempat itu menjadi tumpuan sekali gus menjadikan bandar Kuantan tidak sunyi pada setiap minggu.

Bagaimanapun, suasana malam minggu di tempat letak kereta UTC berubah apabila kalangan peminat kereta berkumpul di situ bagi mempamerkan kehebatan jentera masing-masing dengan pelbagai sistem bunyi.

Suasana ceria menyelubungi waktu malam apabila masing-masing memasang sistem audio sehingga memukau pengguna jalan raya di situ.

Pelbagai muzik dimainkan oleh pemilik kenderaan terbabit sehinggakan ada di kalangan pengunjung terpegun melihat kecanggihan sesuatu kereta yang dihiasi dengan pelbagai aksesori termasuk menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED).

Penggunaan sistem bunyi yang canggih dan lampu LED yang dipasang di kenderaan mereka memukau orang ramai yang lalu lalang di sekitar UTC.

Aktiviti sedemikian mampu mencegah mereka terjebak dalam gejala negatif yang sering dibelenggu oleh golongan remaja dan belia pada masa kini.

Seorang pemilik bengkel mengecat kenderaan, Sabri Husin, 34, berkata, aktiviti sebegini bertujuan untuk menarik golongan belia mencuba hobi baharu itu selain menjana pendapatan.

Menurutnya, sebelum terlibat dalam hobi tersebut, setiap kali malam minggu dihabiskan dengan keluar bersiar-siar tanpa tujuan.

"Dulu saya memang selalu keluar pada malam minggu tetapi kesudahannya duit saya cepat habis kerana banyak mengisi minyak.

"Semua itu berubah apabila mula berjinak dengan memilih hobi sistem bunyi dan mendapat perhatian daripada pemilik kenderaan lain yang mahukan kereta mereka turut diubah suai mengikut cita rasa masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sabri memberitahu, dia menghabiskan kira-kira RM50,000 untuk mengubah suai kenderaannya iaitu Perodua Alza dan memberi kepuasan terhadap dirinya.

Bagi seorang pemilik kereta Proton Wira, Mohd. Azra Nordin, 34, minatnya terhadap sistem audio bermula setelah dia sering mengalami kerugian kerana banyak melakukan pengubahsuaian enjin jenteranya.

"Saya cuba beralih kepada hobi baharu iaitu sistem bunyi dan ternyata membawa kepuasan apabila ramai yang tertarik dengan kereta saya," katanya yang menghabiskan RM15,000 untuk sistem bunyi kenderaannya.

Menurutnya, hobinya itu turut membawa keuntungan setelah ramai kenalannya turut berminat menggunakan khidmatnya dalam mengubahsuai kenderaan tersebut.

Jelasnya, pemilihan tempat letak kereta UTC amat tepat kerana mempunyai kawasan lapang yang luas dan terletak di tengah bandar.

"Kalau kami memasang muzik dengan kuat, kami yakin tidak mengganggu ketenteraman orang lain kerana kawasan kediaman terletak jauh dari bandar," ujarnya.

Bagaimanapun, seorang lagi pemilik kereta terbabit, Mohd. Hafizullah Abd. Halim, 33, berpandangan bahawa mereka yang ingin berjinak dalam hobi itu perlu meminta nasihat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya pengubahsuaian kenderaan mematuhi peraturan.

Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Rizal Jumaat 31, berkata, dia tidak menyangka terdapat aktiviti tersebut diadakan di bandar ini memandangkan perkara itu telah lama wujud di bandar-bandar besar lain.

"Biasanya suasana ini boleh dilihat di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak. Saya terkejut apabila melihat aktiviti tersebut turut berada di bandar ini dan yakin akan lebih ramai datang mengunjunginya.

Katanya, aktiviti sedemikian mampu menghindarkan mereka terjebak dalam gejala sosial kerana mereka hanya menghabiskan masa dan duit terhadap minat masing-masing.

Seorang remaja, S. Subramaniam, 20, dia berbangga kerana aktiviti tersebut wujud di bandar ini dan yakin lebih ramai datang mengunjunginya.

"Saya minat motosikal. Namun selepas dua tiga kali datang tengok kereta-kereta ini saya sudah mula berhajat memiliki sebuah kereta dan mengubahsuainya suatu hari ini'' katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat