{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


AP kereta jadi sasaran

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Zainuddin Abdul Rahman

Hari ini, dasar Permit Import (AP) terbuka kepada bumiputera menjadi isu yang didebatkan dengan paling terbaharu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Roland S. Folger yang mendakwa dasar AP mengakibatkan harga kereta import menjadi lebih mahal di negara ini.

Apa yang berlaku ini adalah 'perang' antara pemegang AP terbuka dengan AP francais iaitu syarikat-syarikat besar sama ada berstatus tersenarai persendirian atau tersenarai milik kerajaan (GLC). Perang ini begitu serius kerana kerajaan dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing dalam kalangan pembuat kereta, kelihatan menuruti tuntutan MAA dan memutuskan dasar AP terbuka dihapuskan pada 2015.

Di pihak pemegang AP terbuka, tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membelakangkan matlamat asal DEB, sekali gus menamatkan pembabitan bumiputera dalam industri automotif.

Kritikan umum yang berleluasa ialah dasar AP terbuka itu hanya menguntungkan segelintir bumiputera, apatah lagi telah terbukti beberapa kes pendakwaan terhadap segelintir pemegang AP terbuka yang mengamalkan 'ali baba' dengan menjual AP tersebut kepada syarikat bukan bumiputera.

Realitinya, kerajaan belum mengemas kini Dasar Automotif Negara (DAN) bagi menjelaskan apakah prosedur dan kaedah hendak digunakan untuk mengimport kereta terpakai selepas 2015, di sebalik tekanan banyak pihak agar harga kereta di Malaysia diturunkan.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Folger ialah syarikat-syarikat francais Mercedes-Benz terjejas jualannya disebabkan oleh pengimportan kereta terpakai jenama tersebut oleh pemegang AP terbuka.

Mengikut peraturan MITI, pengimportan sesebuah kereta terpakai dibenarkan bagi kereta yang berusia minimum dua tahun.

Contohnya model C-Class 250 CGI Avantgarde serba baharu dijual pada harga atas jalan RM295,888 (tanpa insurans) seunit. Nama kod bagi model generasi ketiga C-Class ini ialah W204 yang dihasilkan pada 2011. Bermakna mulai sekarang, pengimportan kereta terpakai model ini sudah bermula sekarang.

Secara umumnya, pemegang AP terbuka akan menjual kereta terpakai pada harga yang lebih rendah daripada harga serba baharu, mungkin sekitar RM190,000 hingga 200,000 seunit. Murah hampir RM100,000 berbanding serba baharu. Tidak semua 'orang kaya' bersedia membeli kereta serba baharu, terutama dengan hakikat faktor susut nilai tahunan yang tinggi. Golongan ini memilih untuk membeli kereta 'recond'.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyifatkan dakwaan Folger itu sebagai 'sama sekali tidak tepat'.

"Faktor harga kereta import lebih mahal bukan disebabkan oleh dasar AP tetapi struktur duti import sebanyak 200 peratus yang dikenakan oleh kerajaan. Harga mahal kereta import tiada kena mengena dengan dasar AP," kata Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia.

Malah, beliau berkata, penghapusan AP terbuka hanya akan mengakibatkan harga kereta meningkat kerana tanpa persaingan dalam perniagaan akan membolehkan pemegang AP francais meletakkan harga sesuka hati mereka. Kewujudan pengimport kereta terpakai juga kata beliau, memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki kereta idaman mereka pada harga yang mereka mampu bayar.

Tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan terhadap pemegang AP amat mendukacitakan, seolah-olah mengancam perniagaan pemegang francais sedangkan hakikatnya, AP terbuka hanya 6 peratus atau 36,000 unit setahun daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

''Dasar affirmative action ini telah memberi sumbangan yang besar kepada negara dan pembangunan ekonomi bumiputera, dan tidak benar mengatakan ia hanya menguntungkan segelintir orang," ujarnya.

Zainuddin berkata, sejak dasar AP terbuka diperkenalkan 30 tahun lalu, pihaknya telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 78,400 orang dengan kebergantungan isi rumah seramai 313,600 orang.

Seandainya kerajaaan meneruskan hasrat untuk menamatkan AP pada 2015 kata beliau, ramai akan kehilangan mata pencarian dan tiada jaminan mereka boleh diserap ke syarikat bukan bumiputera yang mengenakan pelbagai syarat diskriminasi.

''Daripada segi hasil kepada negara, kami telah menyumbang sebanyak RM2.425 bilion dalam bentuk cukai import dan duti eksais kepada Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan fi RM10,000 bagi seunit AP kepada MITI untuk Dana Automotif Bumiputera yang sehingga kini tidak disalurkan kepada pemegang AP.

''Kami juga telah melabur dalam industri sebanyak RM7.752 bilion seperti bilik pameran dan cawangan, bengkel baik pulih, latihan kakitangan dan sebagainya. Dari segi industri hiliran, kami menyumbang RM5.238 bilion setahun," jelas beliau.

Zainudin berkata, angka-angka di atas jelas menunjukkan wujud kitaran ekonomi yang sihat dan membuktikan sumbangan pemegang AP kepada negara berbanding syarikat asing yang tentunya keuntungan dibawa balik ke negara asal mereka.

Pekema telah mengemukakan surat terbaharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan tidak menghapuskan dasar AP terbuka yang ternyata telah memberi sumbangan kepada peningkatan usahawan bumiputera dalam sektor automotif negara.

Zainuddin menegaskan, pemansuhan AP jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri semasa membentangkan dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September lalu, yang menggariskan perihal Artikel 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjaga kepentingan kaum bumiputera, termasuk Melayu.

"Datuk Seri Najib menyebut bahawa Melayu dan bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.

''Pemberhentian dasar AP terbuka boleh dilihat sebagai ancaman yang menggugat penglibatan kaum bumiputera dalam industri penjualan kereta," kata beliau.

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia antara lain, menggariskan perlunya menjaga kepentingan bumiputera yang lain seperti tanah rizab Melayu, biasiswa pendidikan dan kuota dalam perkhidmatan awam.

"Sebarang perubahan di dalam artikel tersebut perlu mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Maka Pekema berpendirian MITI tidak berhak menukar apa-apa dalam dasar AP," kata Zainuddin.

Persoalannya, benarkah dakwaan pemegang francais bahawa kewujudan industri kereta terpakai ini menjejaskan perniagaan mereka? Atau apakah sekadar persepsi? Apakah kerana AP terbuka dimiliki oleh kaum bumiputera maka sektor ini mudah dijadikan sasaran, berbanding AP lain yang dikuasai oleh bukan bumiputera?

Pemilihan MIC: Parti atau individu?

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh ANBUMANI BALAN
anbumanibalan@gmail.com
PENULIS ialah penganalisis politik dan perunding media.

Presiden MIC, G. Palanivel (dua, kanan) mengangkat tangan bersama Timbalan Presiden MIC, Dr. S. Subramaniam (tiga kiri) selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu di Wisma MIC, Kuala Lumpur pada 16 November lalu.

Seperti mana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, Malaysian Indian Congress ataupun MIC akan berdepan dengan proses pemilihannya untuk jawatan tiga Naib Presiden dan 23 ahli jawatankuasa pusat (CWC) pada 30 November ini di Melaka. Pemilihan parti ini kali ini disifatkan sebagai satu pertarungan yang cukup 'dramatik dan sensasi' dalam sejarah parti itu sejak ditubuhkan pada 1946.

Pemilihan kali ini juga membuka satu lembaran baru untuk parti itu di bawah kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel selepas hampir 30 tahun pemilihan parti itu dikuasai bekas bosnya Datuk Seri S. Samy Vellu dengan gaya dan rentak politiknya yang tersendiri.

Cukup berbeza sekali 'irama politik' kedua-dua pemimpin tersebut terutamanya dalam soal 'pengurusan politik'.

Palanivel sering mendahulukan nilai prestasi, perkhidmatan dan perlakuan dalam memilih 'profil' politiknya. Baginya, tindakan dan perbuatan segelintir ahli politik yang asyik mahu mengejar glamour adalah umpama pelakon politik yang bersandiwara untuk 'syok sendiri'.

Justeru, pemilihan MIC di bawah era Palanivel turut mencuri tumpuan umum. Ahli-ahli MIC di peringkat akar umbi termasuk seramai 1, 500 yang bakal membuang undi pada hujung minggu ini sudah mula membuat pelbagai spekulasi dan ramalan.

Namun, ramai yang akur, pertandingan kali ini cukup sengit, mencabar dan panas. Tidak ada ruang untuk mendabik dada kerana situasi politik MIC tidak sama seperti dulu.

Selepas Palanivel dan Timbalannya Datuk Seri S Subramaniam menang tanpa bertanding, tumpuan kini tertumpu untuk jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertarungan lapan penjuru.

Dua penyandang, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S. K. Devamany akan dicabar bekas Naib Presiden Datuk S. Sothinathan, bekas Ketua Pemuda Datuk S. A. Vigneswaran dan Datuk T. Mohan. Pencabar lain ialah Ketua Bahagian MIC Johor Baharu Datuk S. Balakrishnan, Bendahari Senator Datuk Jaspal Singh dan Timbalan Ketua Bahagian Bukit Bintang TC. James Selvaraja.

Untuk jawatan ahli jawatankuasa pusat, seramai 88 calon telah menawarkan diri untuk bertanding 23 kerusi yang dipertandingkan.

Penampilan semula Sothinathan ke kancah politik MIC dan percubaan S Balakrishnan yang juga merupakan Bendahari MIC Johor untuk kali kedua turut menjadi tumpuan.

Selain itu, kehadiran empat calon baru iaitu S. A. Vikneswaran , T. Mohan, Jaspal Singh dan James Selvaraja turut mengamatkan suasana pemilihan Naib Presiden kali ini.

Persoalannya sejauh mana pemilihan MIC kali ini mampu merubah landskap politik parti itu ?

Masyarakat umum termasuk generasi muda sedang memerhatikan, memantau dan meninjau dengan serius setiap perkembangan yang sedang berlaku dalam MIC ketika ini yang menjadi wakil tunggal masyarakat India dalam Kabinet dan kerajaan BN.

Masyarakat India mahu melihat kepimpinan MIC mengambil pendekatan politik yang lebih 'rasional' dan 'berani' yang dapat membuka mata dan hati politik mereka sekiranya mahu menjulang nilai 'perubahan' dalam parti itu untuk terus kekal 'relevan dan dinamik' dalam kancah politik nasional.

Justeru, setiap undi yang yang berada di tangan 1,500 perwakilan perlu mengambil kira harapan dan aspirasi masyarakat India di negara ini untuk memilih barisan kepimpinan parti yang lebih berwibawa yang dapat membantu Presidennya Palanivel melaksanakan segala proses transformasi politik dalam parti serta untuk masyarakat India.

Kemenangan tanpa bertanding Palanivel sebagai Presiden MIC yang kelapan secara rasmi pada 1 September selepas memangku jawatan tersebut daripada S Samy Vellu melalui proses peralihan kuasa pada 6 Disember 2010 telah meletakkan parti itu dalam keadaan yang lebih kemas, terurus dan terancang.

Palanivel sering menceritakan mengenai setiap 'pancaroba politiknya' kepada penulis ketika mempunyai masa untuk bersembang. Antara pegangan politiknya yang mendakap hati penulis ialah kenyataannya yang menyebut: " Saya bukan seorang yang popular kerana saya tidak mahu menjadi popular. Saya hanya mahu menjadi seorang insan, pemimpin yang ikhlas dan jujur. Saya hanya mengutamakan masa depan parti dan masyarakat".

Tidak dinafikan, sejak mengambil alih kepimpinan MIC, Palanivel terpaksa merentasi pelbagai rintangan, halangan dan krisis yang cukup mencabar dalam karier politiknya untuk mengembalikan semula zaman "kegemilangan politik" parti itu yang mula tercalar selepas keputusan PRU-12 pada 2008.

Di bawah kepimpinannya, MIC berjaya memenangi empat kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU-13 yang lepas, ia satu pencapaian yang lebih baik jika dibandingkan dengan PRU-12.

Beliau perlu membina semula kekuatan untuk MIC dan keyakinan masyarakat India. Beliau juga perlu menguruskan segala faktor persepsi masyarakat terhadap parti itu. Untuk itu, beliau memerlukan satu pasukan yang 'berkualiti dan berkredibiliti' yang mampu menjamin harapan rakyat dan parti.

Namun, setiap detik pengorbanan dan perjuangan politik MIC tidak boleh diukur dengan sekelip mata disebabkan sikap dan tingkah laku segelintir pemimpin dalam parti yang terlalu rakus mahu mengejar jawatan untuk kepentingan diri sendiri.

Golongan seperti ini menggunakan MIC untuk melindungi diri mereka bagi mencari kuasa dan kekayaan. Budaya seperti inilah yang menyebabkan parti keramat masyarakat India itu kini berada di satu persimpangan politik yang amat kritikal.

Realitinya, kesetiaan, sokongan dan keakraban masyarakat India terhadap MIC tidak sama seperti mana dulu. Pemimpin MIC dan ahlinya di peringkat akar umbi perlu akui 'hakikat' tersebut secara terbuka, ikhlas dan jujur. Mereka juga perlu sedar bahawa sudah wujud jurang perbezaan antara masyarakat India dan MIC.

Sejak 2008, laungan 'perubahan' telah menjadi satu kempen politik dalam parti itu sehingga sekarang. Pada pemilihan parti 2009, banyak pihak menawarkan diri bertanding untuk jawatan tertinggi turut melaungkan slogan yang sama. Selepas empat tahun, kempen kali ini turut menyaksikan aksi dan adegan yang hampir sama.

Memang cukup seronok, berpesta dan berwarna-warni apabila ramai calon menawarkan diri untuk bertanding. Macam-macam yang 'masuk' ketika musim pemilihan.

Sekiranya semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding mahu menggunakan kesempatan dan kebebasan politik era Palanivel untuk bertanding, maka mereka juga perlu sedar mengenai kedudukan sebenar MIC ketika ini.

Jangan sampai pemilihan MIC dijadikan sebagai satu lagi 'agenda' politik untuk memperkayakan diri bagi mengejar jawatan dan gelaran.

Perlu diingat, pemilihan parti tidak semestinya boleh menjanjikan perubahan yang mendadak dalam parti sekiranya pemimpin yang dipilih hanya mahu menggunakan jawatan parti untuk meraih 'prestij' politik.

Dengarlah suara dan bisikan hati masyarakat India sekiranya para perwakilan mahu melihat MIC menjadi sebuah parti yang dominan mewakili masyarakat India negara ini.

Mungkin sekumpulan pemimpin boleh membeli undi perwakilan kerana terlalu ghairah mahu mempertahankan dan merebut jawatan dalam parti tetapi anda tidak sama sekali boleh membeli undi seramai 1.8 juta masyarakat India di negara ini bila tiba masanya nanti.

Seperti mana yang disarankan Palanivel baru-baru ini, pilihlah satu pasukan terbaik untuk mengurus parti di mana anggota perwakilan perlu memilih pemimpin yang memiliki bakat, berkelulusan baik dan berpengalaman dalam politik untuk memegang jawatan.

Kuatkan semangat perjuangan, berfikirlah secara rasional dan bertindak secara bijak untuk memilih barisan harapan rakyat dan negara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat