Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Ke Kota Bharu atau Kuantan? Segala ramalan dan persoalan itu hanya akan terjawab selepas berakhir Piala Malaysia edisi ke-87 pada malam ini di Stadium Shah Alam antara dua pasukan dari pantai timur, Kelantan dan Pahang. Atas kertas, sememangnya Kelantan wajar dilabelkan sebagai favourite untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu. The Red Warriors mempunyai banyak kelebihan di segenap aspek, namun kekuatan serta semangat dimiliki Pahang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Berbekalkan penampilan keempat dalam tempoh lima tahun, tiada siapa mampu mengetepikan faktor pengalaman beraksi di pentas akhir pasti akan menjadi aset terbaik Kelantan untuk muncul juara buat kali kedua berturut-turut. Dibarisi beberapa pemain yang dianggap antara terbaik negara buat masa ini seperti Mohd. Badhri Mohd Radzi, Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, The Red Warriors dijangka mendominasi pergerakan tengah berbanding Tok Gajah. Penyerang import, Dickson Nwakaeme juga pasti akan memberi kesukaran kepada pertahanan Pahang ekoran mempunyai kekuatan fizikal yang tiada tolok bandingnya dan dia pernah menjadi pemusnah Tok Gajah dalam saingan peringkat kumpulan apabila meledak jaringan hatrik di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk membantu kemenangan 4-0 dan ia tidak mustahil berulang sekali lagi pada malam ini. Kelantan juga beruntung kerana mempunyai penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat untuk mengawal gawang dan seandainya kemungkinan perlawanan ditentukan sehingga sepakan penalti, kelebihan dijangka berpihak kepada skuad kendalian Bojan Hodak. Cuma satu sahaja kelemahan yang pasti menggusarkan Hodak, iaitu barisan pertahanannya yang turun tanpa Obinna Nwaneri dan dia pasti menagih khidmat Nik Shahrul Mohd. Azim yang akan digandingkan bersama Azizi Matt Rose. Mengintai kekuatan skuad Tok Gajah, semangat anak-anak buah Dollah Salleh cukup berkobar-kobar bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia sejak tahun 1992, apatah lagi mereka kempunan sebanyak tiga perlawanan terakhir - 1994, 1995 serta 1997. Pahang sudah tentu mahu meneruskan rentetan kekecewaan berterusan buat kali keempat dan kesempatan kembali beraksi di perlawanan akhir tidak boleh dilepaskan begitu sahaja memandangkan kekuatan mereka sebenarnya tidak terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan Kelantan. Dipacu oleh kelajuan di bahagian sayap yang dikemudi oleh dua R iaitu R. Gopinathan dan R. Surendran, corak permainan serangan balas pasti akan menjadi senjata paling ampuh bagi meleburkan keegoan The Red Warriors. Ditambah ketajaman penyerang dari Argentina, Matias Conti dan aksi yang tidak kenal putus asa oleh Azamuddin Akil atau lebih dikenali dengan nama panggilan Alex, Pahang ada ramuan tersendiri untuk menjinakkan Kelantan. Biarpun masih mentah di peringkat tertinggi, aksi penjaga gol ketiga, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid boleh dipuji dan dia dijangka menjadi aset terpenting kepada Pahang esok bagi menangani serangan bertali arus lawan. |
Tok Gajah dapat suntikan ekstra Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Dollah (kiri) memantau latihan skuad Pahang di Kelana Jaya, semalam. Pahang akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN KUALA LUMPUR - Sekali pun skuad Tok Gajah turun sebagai pasukan bukan pilihan pada malam ini, anak-anak buah Dollah Salleh diingatkan jangan sama sekali mengaku kalah sebelum berjuang. Serapkan semangat perjuangan tahun 1983 yang telah membawa Pahang muncul juara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan Piala Malaysia. Itu pesanan orang lama Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail yang merupakan ketua pasukan pada tahun 1983 selain turut menjadi pengurus pasukan pada tahun 1992 yang menyaksikan Pahang muncul juara buat kali kedua. Tambahnya, tiada apa yang mustahil bagi Pahang mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia walaupun kemungkinan Kelantan dijangka tidak berdepan sebarang masalah mempertahankan kejuaraan mereka sekali lagi pada malam ini di Stadium Shah Alam. Berdasarkan pengalamannya yang mengetuai pasukan Pahang pada tahun 1983, tiada siapa yang memilih mereka untuk muncul juara ketika Selangor pada masa itu cukup digeruni berdasarkan reputasi gah mereka yang telah menang sebanyak dua kali berturut-turut pada tahun 1981 dan 1982. Namun, tanpa diduga mereka mampu mengetepikan segala ramalan yang dibuat sebelum awal perlawanan dan berjaya mencipta sejarah memenangi Piala Malaysia setelah sembilan kali terkandas di saingan separuh akhir dan beliau yakin skuad bimbingan Dollah Salleh kali ini mampu mengulangi sejarah yang sama. ''Situasi yang Pahang lalui pada kali ini hampir sama seperti tahun 1983, di mana ramai tidak memperkatakan apa-apa mengenai pasukan Pahang dan lebih cenderung memilih Selangor untuk menang. ''Bayangkan Selangor pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh serta ramai pemain kebangsaan lain, mereka dilihat cukup kuat dan tidak mungkin Pahang mampu menang. ''Walaupun begitu, kami membuktikan yang perkara itu tidak mustahil untuk dicapai biarpun tanpa pemain berstatus bintang apabila kami menundukkan mereka 3-2 pada masa tambahan," katanya yang ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini. Bukan mahu memandang rendah Kelantan tetapi Jamal menganggap Pahang pasti lebih bersemangat mahu menang kerana kali terakhir mereka beraksi di pentas akhir pada tahun 1997 sedangkan Kelantan baru sahaja memenangi Piala Malaysia pada tahun lalu. ''Dalam soal ini, saya dapat rasakan Pahang lebih berkeinginan mahu menang kerana jarak 21 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap dan mereka sudah pasti mahu menang. ''Sedangkan buat Kelantan, saya rasa mereka mungkin tidak terlalu teruja kerana telah menang dua kali dalam tempoh terdekat ini pada tahun 2010 dan 2012," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |