Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Streetfighter Jepun setanding model Eropah Posted: Streetfighter Jepun setanding model EropahOleh SHAWKATH AZDE UMUM diketahui, rata-rata pengeluar motosikal di Eropah bijak memberi sentuhan magis ketika mencipta sebuah jentera streetfighter. Bukan suatu perkara mudah untuk merealisasikan idea rekaan tanpa mengambil kira faktor kejuruteraan binaan sesebuah motosikal. Itu cabaran utamanya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peneraju motosikal di Jepun, Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) berjaya mencuri perhatian global apabila membuktikan kemampuan pasukan perekanya untuk meneroka segmen streetfighter. Streetfighter merujuk kepada sebuah model kategori motosikal sport yang tidak didatangkan bersama komponen fairing. Ada yang mendakwa istilah itu lahir daripada tindakan penunggang muda di Eropah yang melucutkan komponen fairing untuk mengelakkan kerosakan dan meminimumkan kos baik pulih motosikal jika terjatuh. Falsafah Sugomi Trend itu kemudiannya dikatakan menambat hati sebilangan besar pengeluar motosikal khususnya di Eropah dan Jepun sekitar tahun 1980-an untuk mencipta jentera streetfighter bagi mengisi segmen baharu itu. Keluarga streetfighter KHI diwakili oleh siri Z. Bagi mengekalkan momentum persaingan, KHI tampil dengan model Kawasaki Z1000 baharu. Model yang dibangunkan berasaskan falsafah sugomi itu pernah dipamerkan sewaktuINSTRUMEN meter LCD dipasang pada bahagian hendal besar dan futuristik. Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali, November lalu. Secara ringkas, falsafah sugomi menyentuh keseluruhan aspek gayaan dan pendekatan terperinci kejuruteraan motosikal untuk dinikmati sepenuhnya oleh seseorang penunggang. Sebenarnya, pendekatan itu mula diaplikasi pada model Z800 sebelum ini. Bagi Z1000 2014, penampilannya nyata radikal hasil pengenaan garis badan tanpa menghilangkan warisan seni bina siri Z. Rupa paras Z1000 kelihatan seperti sebuah motosikal anime Jepun. Dalam laman motorcyclenews.com, Ketua Pereka Motosikal Kawasaki, Keishi Fukumoto berkata, pihaknya mengambil pendekatan gayaan baharu Z1000 untuk menjadikan sebuah jentera yang mempamerkan elemen ghairah dan emosi sugomi yang menarik perhatian para penunggang. "Dari perspektif gayaan, kami mengetengahkan paras rupa dan perasaan pemangsa yang menanti masa untuk menerkam pada masa sama mengadun kejuruteraan semula berprestasi bagi mengukuhkan posisi Z1000 sebagai peneraju dalam kelas tersendiri," katanya. Jentera satu liter itu nyata memberi tamparan hebat kepada beberapa pesaing streetfighter terkemuka termasuk Ducati Streetfighter, KTM 1290 Super Duke R, Aprilia Tuono V4 dan MV Agusta Rivale. Kawasaki Z1000 2014 masih menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris tetapi telah menerima beberapa modifikasi baharu. Antaranya perubahan komponen aci sesondol untuk melonjakkan hamburan tork pada pusingan enjin (RPM) peringkat rendah hingga sederhana. TRANSFORMASI Z1000 membuatkannya kelihatan seperti jentera dalam anime Jepun. Talaan Semulan Sistem penyaluran udara ke dalam kotak angin ditingkatkan dengan adanya bolong kemasukan bersama penapis udara baharu yang dipasang pada bahagian hadapan jentera. Ia bertujuan memastikan saluran udara kekal stabil pada RPM tinggi. Jurutera Kawasaki memasang empat unit pendikit badan Keihin 38 milimeter untuk menyuntik bahan api ke dalam setiap kebuk pembakaran. Pembaharuan lain dilakukan ialah penalaan semula tetapan unit kawalan enjin (ECU) dan sistem gear Z1000. Keseluruhan rangkaian kuasa Z1000 dilindungi oleh kerangka aluminium yang kelihatan hampir sama seperti yang terdapat pada model Ninja ZX-10R. Kerangka itu telah ditambah dengan alas getah (mounting) untuk mengurangkan kesan getaran enjin sewaktu tunggangan. Keupayaan memberhentikan motosikal juga diperbaharui dengan aplikasi angkup monoblok Tokico yang diperbuat daripada aluminium. Ia menawarkan respons mencengkam piring brek cakera yang lebih baik sewaktu tunggangan agresif. Edisi Z1000 2014 juga didatangkan dengan unit fork baharu iaitu Showa SFF-BP (Separate Function Fork - Big Piston). Batang fork sebelah kiri adalah untuk menyelaras kadar prabeban manakala kadar redaman omboh boleh diubah menerusi fork bahagian kanan. Lengan ayun pula bersambung dengan sistem penyerap hentak tunggal gas/ minyak yang di posisi sedikit mendatar untuk membantu meningkatkan keseimbangan dan kestabilan jentera.
Buat julung kalinya, KHI menggunakan rekaan set lampu utama jenis LED tanpa pemantul bagi model Z1000. Perumah lampu belakang juga mengaplikasi lampu LED untuk pencahayaan lebih terang. Model Z1000 2014 yang diimport dari Jepun bakal diperkenalkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. ke pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat. Bukan itu sahaja, syarikat yang bertanggungjawab untuk pengedaran dan pemasangan produk jenama Jepun itu juga akan memperkenalkan satu lagi model dalam siri Z iaitu Z1000 SX. Nantikan sahaja. | |
Posted: Ford Mustang 2014Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN MUSTANG 2014 didatangkan bersama beberapa pilihan konfigurasi enjin termasuk jenis V8 dan EcoBoost. JIKA tidak kerana James Bond memandu Ford Mustang dalam filem Goldfinger pada 1964, mungkin kereta itu tidak akan menjadi legenda seperti hari ini. Sungguhpun ia sudah hampir 50 tahun diperkenalkan, ikon permotoran Amerika Syrikat itu hanya memperkenalkan Mustang untuk pasaran Eropah pada awal November lalu. Kali ini, Spain Ford Motor Co. yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol diamanahkan untuk memasarkan varian fastback dan convertible yang menjanjikan prestasi serta perincian kelas dunia. 9 juta terjual Naib Presiden Kumpulan Ford, Raj Nair dalam majlis pelancaran itu berkata, reka bentuk Mustang terkini lebih menarik manakala prestasi enjinnya membangkitkan minat ramai walaupun mereka tidak pernah memandunya. "Mustang bukan hanya setakat sebuah kereta tetapi ia adalah hati dan jiwa Ford," kata Nair. Sejak dilancarkan, lebih dari 9 juta unit Mustang terjual, maka tidak hairanlah model itu merupakan kereta yang paling banyak digemari (like) di dalam media sosial Facebook. Populariti Mustang banyak dibantu melalui penampilannya dalam filem, televisyen, muzik dan permainan video. Berikutan itu, kata Nair, Mustang akan menjadi salah satu daripada 25 kenderaan baharu yang bakal Ford perkenalkan di Eropah dalam tempoh lima tahun akan datang. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Reka Bentuk Ford, Moray Callum pula menjelaskan, Mustang baharu dibangunkan mengikut standard prestasi dunia, dinamik pemanduan, kebolehgunaan dan berteknologi insan termaju. "Falsafah reka bentuk Mustang baharu berpijak di bumi yang nyata dan merendah diri walaupun mempunyai reputasi dan jenama yang hebat. "Anda hanya mempunyai satu peluang untuk mempesona pelangan tetapi sebaik mereka melihat kereta ini, serta-merta anda akan merasai karakter Mustang yang kuat dan jujur," katanya. Identiti Mustang jelas terletak pada bonet enjin yang panjang dan bahagian belakang yang pendek. Kali ini warisan tersebut diadunkan dengan cita rasa moden. Pada bahagian dalaman, instrumen diletakkan bertentangan dengan pemandu di dalam ruang kabin yang diinspirasikan daripada kokpit kapal terbang. RUANG dalaman model baharu Mustang mengambil inspirasi rekaan seperti kokpit sebuah kapal terbang. Ukuran lebar dan suspensi belakang yang baharu berjaya memperbaiki ruang bahu serta punggung manakala ruang bagasi yang mampu untuk diisi dengan dua beg golf. Enjin EcoBoost Sebagai sebuah identiti Uncle Sam, Mustang dikuasakan oleh enjin bersesaran 5 liter V8 dengan output 426PS dan tork sekuat 529Nm. Jika ada yang merasakan itu terlalu besar untuk pasaran masing-masing, Ford menyediakan opsyen enjin global 2.3 liter EcoBoost yang berkuasa tinggi tetapi memenuhi keperluan penggunaan minyak dan emisi konsumer Eropah. Enjin 2.3 liter EcoBoost itu menggunakan teknologi pancitan terus, aci (cam) boleh ubah, dan pengecas turbo. Rekaan manifold dan perumah turbo yang unik membolehkan kuasa tinggi dicapai dengan nilai kuasa berjumlah 309PS dan tork 407Nm. Transmisi automatik pula didatangkan dengan tuil penukar gear di stereng untuk pelanggan yang mahukan tukaran gear mudah. Sistem suspensi depan dan belakang Mustang baharu turut dirombak semula. Pada bahagian depan, sebuah subrangka empat segi baharu berfungsi untuk mengukuhkan lagi struktur depan dan mengurangkan pergerakan. Rekaan baharu itu juga turut menjadi sokongan kuat terhadap kawalan stereng terutama dalam mempengaruhi pemanduan. Ford turut memperbaiki roda belakang dengan set baharu suspensi bebas. Selain daripada itu, geometri, pegas gegelung, sesendal (bushing) dan penyerap hentak turut diubah suai dan ditala mengikut gaya Eropah. Sesuai status Mustang sebagai kereta prestasi, Ford juga menyediakan seleksi kategori pemanduan yang diinginkan pelanggannya. Untuk jalan yang berliku atau hari trek pada hujung minggu, pemandu boleh bermain-main dengan suis kawalan pada konsol untuk mengubah talaan ringan dan berat stereng, respons enjin, transmisi dan kawalan kestabilan elektronik melalui Selectable Drive Modes. Sistem kawalan kestabilan juga ditala untuk memaksimumkan dinamik pemanduan seperti pengagihan tork yang membahagi kuasa enjin kepada roda tertentu untuk mengekalkan Mustang pada laluannya. | |
Posted: Pesta PNGL di ManjungOleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR AHLI PNGL tidak melepaskan peluang bergambar bersama sempena himpunan yang mencatat sejarah tersendiri komuniti itu. HIMPUNAN terbesar Pemilik Nissan Grand Livina Malaysia (PNGL) di AEON Seri Manjung, Perak baru-baru ini berjaya mencatat nama komuniti tersebut di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR). Sebanyak 818 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) itu disusun di ruang parkir kompleks membeli belah itu yang datang dari seluruh negara. Pengasas PNGL, Shukri Samar berkata, aktiviti itu merupakan acara kemuncak 2013 yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama pemilik dari seluruh negara. Menurut Shukri, perhimpunan itu bukan sahaja dijayakan oleh pemilik Grand Livina tetapi kelab-kelab bersekutu dari seluruh negara turut menyertai program itu. "Pada perhimpunan ini juga setiap ahli dapat mengenali setiap ahli-ahli yang sebelum ini hanya dikenali dalam alam maya sahaja di samping dapat berkongsi pendapat dan pandangan khususnya berkenaan PNGL. "Pihak kami menghebahkan berkenaan program ini menggunakan saluran media sosial seperti Facebook dan ternyata bilangan kenderaan yang hadir sangat memberangsangkan," katanya. Tambah Shukri, pihaknya akan menganjurkan himpunan seperti itu pada masa akan datang. Aktiviti itu bukan sahaja merapatkan hubungan sesama ahli malah turut menjana ekonomi setempat khususnya sektor pelancongan. GELAGAT sebahagian ahli PNGL yang meraikan kejayaan selepas komuniti itu tersenarai dalam Malaysia Book Of Records baru-baru ini. "Kami diberitahu bahawa hotel-hotel serta inap desa sekitar Manjung telah habis ditempah oleh ahli-ahli PNGL yang turut serta membawa keluarga keluarga sempena musim cuti sekolah dan keadaan ini boleh memacu aktiviti pelancongan negara," katanya. Justeru itu, pada aktiviti akan datang PNGL bercadang untuk melibatkan kerjasama pelbagai organisasi untuk sama-sama turut serta dan memeriahkan pengisian program malah berhasrat menyenaraikannya dalam kalendar pelancongan kebangsaan. Selain dari membuat kiraan untuk catatan MBOR, PNGL juga turut melancarkan tabung kutipan derma untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu melalui kelab-kelab bersekutu dari negeri tersebut. Jelas Shukri, PNGL ditubuhkan sebagai platform untuk pemilik kenderaan itu berkongsi minat, pandangan dan pendapat serta penganjuran aktiviti bersama. "PNGL merupakan sebuah komuniti yang disertai oleh pelbagai kaum dan jantina dengan pelbagai aktiviti penganjuran pelbagai aktiviti bersifat kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan," jelas Shukri. Katanya lagi, PNGL merupakan sebuah komuniti yang berkembang dengan jumlah ahli terkini seramai 5,679 orang tanpa mengira kaum dan jantina dengan penganjuran pelbagai aktiviti bersifat kemasyarakatan, kebajikan serta pendidikan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |