Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
- Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen
- Ceongsam kontemporari Tahun Kuda
- Rozita kongsi rahsia awet muda
Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen Posted: Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen Oleh ALIF ABU BAKAR DI sebalik rentetan kejayaan peragawati terkenal, Amber Chia, tersimpan episod kesusahan, kedaifan dan kekecewaan yang amat menyentuh hati untuk dikongsi bersama. Pelajaran setakat tingkatan tiga mengheret ikon berusia 32 tahun itu menjadi dewasa pada zaman remaja. Setiap hari Amber membantu bapanya menjual ikan di sebuah pasar di Tawau, Sabah. Pada sebelah malam pula, dia menjadi juruwang di pasar raya tempatan. Membesar sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, zaman kanak-kanak Amber tidak semewah kini. Dulu, pakaian baharu hanya diperoleh setahun sekali, itupun apabila Tahun Baru Cina menjelang. "Sebab itu Tahun Baru Cina terlalu istimewa untuk saya dan adik-beradik. Kami tahu, ibu akan membawa kami ke pasar raya untuk membeli baju baharu," kongsi wanita ini sambil memutar memori termanisnya itu tatkala bergelar kanak-kanak kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika kecil juga Amber menanam hasrat untuk bergelar seorang peragawati. Sejak menonton rancangan fesyen di televisyen dan membelek majalah yang menghimpunkan model-model anggun, beliau sudah tahu arah tuju masa depannya. Berbekalkan cita-cita itu bersama wang tunai RM300, Amber terbang ke Kuala Lumpur pada umur 17 tahun. Tanpa seorang pun kenalan di bandar raya itu, beliau memberanikan diri mencongak tuahnya dalam bidang peragaan. Teksi Iklan uji bakat dalam surat khabar menjadi teman akrab wanita ini. Malah, dia tidak ralat menyewa sebuah bilik bersama beberapa orang gadis tidak dikenali di Kuchai Lama dengan kadar sewa RM50 sebulan. Duit simpanan yang kian surut hampir mencemaskan Amber. Namun, ketabahannya berbayar apabila dia diterima sebuah agensi model bebas. Pada awalnya, dia diminta untuk membayar yuran bagi mengikuti kursus latihan tetapi memandangkan masalah kewangan yang dihadapi sangat kritikal, Amber dibenarkan untuk membayar kos tersebut menerusi potongan wang daripada setiap pertunjukan fesyen.
Fasa awal memang menguji kesabaran Amber. Dia perlu belajar berjalan dengan kasut tinggi yang sebelum itu langsung tidak pernah membaluti kakinya. Malah sepatah perkataan bahasa Inggeris pun tidak diketahui wanita tersebut, sekali gus menyulitkan komunikasi. Enggan patah semangat, Amber berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi agar tapak yang dibina akan terus utuh. "Pernah sekali, saya menaiki teksi untuk menjayakan satu pertunjukan fesyen. Bila saya tengok meter tambang mencecah RM2.30, saya minta pemandu teksi itu berhenti kerana banyak itu sahaja wang yang saya ada. "Saya meminta arah ke lokasi pertunjukan daripada pemandu tersebut dan berjalan kaki kira-kira 11 kilometer. Saya tiba di tempat pertunjukan dua jam awal dan terpaksa menumpang orang selepas kerja selesai," imbas ibu kepada seorang anak lelaki itu. Apa sahaja kepayahan hidup yang tidak pernah dilalui Amber pada permulaan kerjayanya? Setiap keperitan termasuk berlapar seharian juga direntasi tanpa rungutan. Bak katanya, ketika muda, semua cabaran dapat diatasi kerana semangat mengatasi segala-galanya. Selepas setahun mencuba nasib sebagai model peragaan, Amber disunting sebuah agensi model ternama tanah air, Andrewsmodels. Dua tahun berpayung di bawah agensi tersebut, kerjaya Amber mula berkembang apabila khidmatnya ditagih hampir setiap pertunjukan fesyen. Wajah Amber memenuhi majoriti majalah fesyen. Meskipun tempoh dua tahun pertama kerjayanya tidak direstui penuh ibu bapanya, namun kesungguhan dan keikhlasan membantu keluarga keluar daripada takuk kemiskinan membenarkan dia meneruskan cita-citanya. Kerja keras Amber dalam tempoh melebihi satu dekad juga melayakkannya digelar supermodel negara. Sampai satu tahap, orang mula muak atau mengelaskan beliau sebagai wajah terlebih promosi dalam industri fesyen tanah air. Tenang dengan kenyataan tersebut, Amber menyifatkan bahawa dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dia sedar, tidak semua komen yang diterima adalah positif tetapi setiap kritikan diterima untuk memperbaiki diri.
"Kalau saya tak promosikan diri, tidak mungkin orang kenal Amber Chia hari ini. Komen negatif orang ramai terutama di laman sosial memang kadang-kadang buat kita geram tetapi saya tidak ambil serius," bersahaja Amber meluncur kata. Potong rambut Transformasi Amber tidak hanya terlihat pada peningkatan kariernya. Malah baru-baru ini, model terkemuka itu mengambil langkah berani memotong pendek rambutnya yang telah disimpan selama 25 tahun. Dedah Amber, kali terakhir dia berambut pendek adalah ketika berumur lima tahun dan selepas itu dia selesa berambut panjang. Katanya: "Paling pendek pun saya potong setakat paras bahu." Keputusan Amber itu dibuat selepas dipelawa jenama penjagaan rambut antarabangsa, Vidal Sassoon (VS) bagi menjayakan kempen #GetSassooned. Menerusi gerakan tersebut, rambut Amber diberi gaya potongan five point yang moden. Bagi Amber, memotong rambut pendek adalah suatu ketakutan kepadanya. Dia bimbang gaya tersebut tidak bersesuaian dengan bentuk wajah, tambahan pula rambutnya jenis leper. "Dulu kena sikat, ikat dan gunakan banyak produk rambut seperti gel dan penyembur. Paling kurang pun ambil masa satu jam setengah untuk siapkan solekan dan dandanan rambut. "Bila berambut pendek, ia banyak menjimatkan masa solekan dan mendandan rambut. Kini saya hanya memerlukan 45 minit. Saya juga tampak lebih muda, segar dan bergaya. Siapa tahu, mungkin saya tidak akan menyimpan rambut panjang lagi," berderai tawa Amber menyerlahkan keramahan bersahaja dalam dirinya. Keluarga Sementara itu, menyentuh rutin perayaan Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, dia akan pulang ke rumah keluarga suami, Adrian Wong pada hari pertama sambutan seperti yang telah ditetapkan dalam tradisi kaum Cina. Hanya pada hari ketiga, dia sekeluarga akan pulang ke Tawau untuk makan malam beramai-ramai. Detik itu sahaja Amber dapat berkumpul bersama semua adik-beradik dan anak-anak buahnya tanpa ada seorang pun tercicir.
Tambahnya, setiap kali perayaan, dia akan berdoa agar keluarganya diberikan kesihatan. Kesenangan lain baginya akan datang kemudian. Meskipun sibuk mengurus kerjaya, Amber sentiasa memastikan akan pulang ke kampung halaman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun. Bagaimanapun, ibu bapanya juga kerap turun ke Kuala Lumpur untuk melawatnya sekeluarga. "Bapa saya masih bekerja walaupun perniagaan menjual ikan telah diambil alih abang saya," kongsi Amber. Mendambakan seorang anak perempuan, ibu kepada Ashton Wong, 3, itu menikmati setiap momen bergelar ibu. Setiap apa yang dimiliki kini dihargai penuh syukur. Tiada sasaran tinggi untuk dicapai, sebaliknya mahu meneruskan langkah di atas pentas peragaan selagi terdaya. | |||
Ceongsam kontemporari Tahun Kuda Posted: Ceongsam kontemporari Tahun KudaOleh NIZHA PERIASWAMY
TAHUN Baru Lunar cukup sinonim dengan pakaian tradisional Cina, ceongsam dan kemeja yang bermotif tradisi. Menjadikan ceongsam sebagai pakaian pilihan Tahun Baru Cina pada tahun ini, Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur mengetengahkan beberapa koleksi segar ceongsam dan kemeja lelaki yang bercirikan elemen Malaysia. Selain mengekalkan elemen ceongsam tradisional seperti baju paras lutut, potongan pada bahagian sisi dan rekaan corak tradisional pada bahagian tengkuk ceongsam, elemen tempatan turut disuntik untuk memberikan pilihan yang unik. Pembantu jualan di Karyaneka, Amiruddin Awang memberitahu, semua koleksi Tahun Baru Cina menggunakan kain kapas dengan motif batik sama ada yang dicetak atau diwarnakan bagi koleksi wanita dan dilukis tangan bagi koleksi lelaki. Menariknya, baju ceongsam yang diperaga menampilkan motif flora, sama seperti kain batik sarung dan motif abstrak warna pelangi juga tidak terlepas daripada motif batik kontemporari. Bagi motif batik sarung misalnya, elemen corak flora tradisional menekankan warna rona sama atau padanan beberapa warna. Semua baju ceongsam dihasilkan dengan corak dan warna yang berbeza. Bahagian kepala sarung pula dipaparkan di hadapan supaya ia memberi efek menonjol pada helaian ceongsam yang dipakai. Dalam pada itu, Amiruddin juga mengakui, pihak Karyaneka tidak banyak mengubah rekaan dan potongan asli ceongsam tetapi banyak melakukan pembaharuan dan kelainan pada motif dan warna.
Kain kapas "Walaupun warna merah dan oren merupakan warna wajib untuk Tahun Baru Cina, kami juga mendapati warna pelangi seperti biru dan ungu turut menjadi perhatian. Sehubungan itu, sebagai memenuhi permintaan pelanggan muda, kami menampilkan warna-warna kontemporari dengan rona abstrak dan kombinasi yang berani," ujar Amiruddin. Baju ceongsam material kapas daripada Karyaneka dijual pada harga bermula RM100. Selain pilihan kain kapas, pihaknya turut memperkenalkan material sutera dalam masa terdekat dengan harga jualan bermula RM500. Bagi kemeja lelaki pula, ia didatangkan secara berpasangan agar memudahkan pelanggan mencari tema yang sesuai. Semua kemeja lelaki daripada Karyaneka yang dihasilkan khas sempena Tahun Baru Cina menggunakan warna-warna terang dan berani agar ia berpadanan dengan mod festival. "Pereka fesyen di Karyaneka bertanggungjawab menghasilkan semua rekaan dan kami memastikan ia mengikut trend semasa. Kombinasi warnanya juga dalam pelbagai rona," tambah Amiruddin. Kebanyakan pakaian kemeja lelaki mempunyai imej abstrak dan pelbagai warna di samping mengekalkan potongan standard. Sama seperti baju ceongsam, kemeja juga didatangkan dalam satu rekaan sahaja setiap satu. Kemeja lelaki ini boleh diperoleh pada harga bermula RM90 ke atas bagi kain kapas serta RM300 ke atas bagi kain sutera yang juga akan diperkenalkan tidak lama lagi. Semua baju ini juga boleh dibeli di butik Karyaneka di seluruh negara antaranya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Langkawi, Kuantan dan Seremban selain Karyaneka di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur. | |||
Rozita kongsi rahsia awet muda Posted: Rozita kongsi rahsia awet muda
MENGAMBIL kira elemen cantik secara menyeluruh dan berterusan, wanita harus senantiasa peka terhadap rejim penjagaan wajah, khususnya antipenuaan seiring dengan aspek peningkatan usia dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kelak. Safi Rania Gold, formulasi nano emas 24 karat (k) diperkaya dengan manfaat Amino Peptida bersama aktres, usahawan dan ibu, Rozita Che Wan berkongsi rahsia awet muda dengan produk berasas pupur emas. "Disiplin adalah kunci kecantikan. Lahir dalam keluarga yang menitikberatkan penjagaan penampilan diri, saya memulakan rejim penjagaan kulit wajah seawal usia belasan tahun. Saya bersihkan muka daripada bekas solekan dan mengamalkan rawatan wajah asas sebagai penjagaan wajib seharian," kata Rozita. Mengakui faktor persekitaran dan tekanan seharian menjadi sebab utama kulit wajah mengalami proses penuaan dengan lebih cepat, Rozita percaya, manfaat nano emas 24k diperkaya amino peptida daripada Safi Rania Gold sebagai solusi yang boleh dipertimbangkan. Jelasnya, penggunaan berterusan produk tersebut berjaya mengurangkan kedutan dan garisan halus sehingga 55 peratus serta mengembalikan keanjalan kulit. Ia juga membaiki tona kulit lebih sekata dari dalam sebanyak dua kali ganda lebih pantas dalam masa tiga minggu digunakan.
Produk wajib Pembersih wajah lembapan mendalam, serum dan Krim BB SPF30PA ++ daripada Safi Rania Gold menjadi produk wajib penjagaan kecantikan Rozita. Menerangkan secara lebih lanjut, Rozita berkata, pembersih wajah lembapan mendalam membersihkan kotoran pada muka, terutamanya solekan dengan amat berkesan. Struktur cecair produk yang pekat meresap merawat kulit dan kotoran pada wajah hilang dengan sekali cucian. Selain itu, serum daripada Safi Rania Gold dengan formulasi partikel nano emas 24k dengan amino peptida berfungsi merawat dan menganjalkan sel kulit dari dalam. "Kali pertama saya menggunakan produk ini, dalam masa tiga minggu sahaja saya sudah mula merasai perubahan serta mengurangkan kedutan dan garisan halus," kata Rozita dalam satu kenyataan akhbar. Terbaharu dalam koleksi penjagaan kecantikan Safi Rania gold ialah Krim BB dengan perlindungan SPF30PA++. Ia berfungsi sebagai pelembap dan asas solekan, sekali gus menghalus, menganjalkan dan menyamaratakan tona kulit. Tekstur krim amat ringan dan sesuai untuk solekan natural. Lebih menarik, krim BB tersebut juga didatangkan dengan manfaat pelindung kulit daripada sinar ultra ungu. Semua produk Sari Rania Gold boleh didapati di pasar raya besar, pasar raya dan farmasi pada harga yang berpatutan. Produk Safi Rania Gold juga dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |