Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST Oleh NOOR FAZRINA KAMAL BAGI yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam dunia media sosial pasti pernah terbaca atau mengetahui tentang Felixia Yeap. Memang benar Felixia tiba-tiba meraih publisiti meluas, malah cerita tentang dirinya menjadi bualan hangat sejak beberapa minggu lalu. Manakan tidak, gadis Tionghua bukan beragama Islam yang kerap memuat naik gambar-gambar seksi ini, tampil bukan saja berpakaian 'penuh' bahkan bertudung litup, menutupi setiap helai rambutnya. Sebelum ini, mungkin satu pemandangan biasa bagi sesetengah wanita bukan Islam selesa berbaju kurung atau kebaya, Namun amat jarang atau belum pernah berlaku yang tampil berhijab penuh sebagaimana Felixia. Wanita berusia 27 tahun ini boleh dikatakan mengalami perubahan gaya hidup hampir 360 darjah. Satu ketika dahulu dia adalah model majalah Playboy edisi Filipina yang tampil dengan pelbagai aksi seksi dan mengghairahkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan perubahan dirinya kini mencetus fenomena dalam dunia fesyen khususnya busana Muslimah. Mega baru-baru ini berkesempatan bertemu dan bertanya wanita berasal dari Ipoh, Perak ini, tentang perubahan pada dirinya yang sedikit mencetus kontroversi terutama dalam kalangan pengikut tegar media sosial sama ada blog, facebook, instagram dan sebagainya. "Memang ramai yang mengatakan bahawa ini semua cara saya meraih publisiti. Tetapi biarlah Tuhan dan masa yang membuktikan bahawa saya ikhlas untuk berhijab. "Semua publisiti yang timbul sama ada baik atau buruk hanyalah bonus yang tidak pernah saya duga sama sekali dan berharap mereka tidak memandang serong terhadap perubahan ini. "Malah ramai yang menghantar mesej dan e-mel kepada saya berterima kasih kerana berani untuk berubah dan berhijab secara terbuka walaupun saya bukan Muslim. "Mereka kata perubahan saya memberi inspirasi untuk mereka mulai berhijab, terutamanya yang lahirnya sudah Islam," kata Felixia yang aktif di facebook dan blog. Dia mengakui, pada awal penampilan dengan imej baru itu, pengikutnya di Facebook jatuh merudum kerana ramai yang dahulunya mengikuti perkembangan Felixia hanya untuk melihat gambar perempuan seksi semata-mata. Keadaan itu, sudah diagak tetap yang tidak terduga olehnya peningkatan jumlah pengikut yang memberi sokongan kuat dan ikhlas untuk Felixia terus menutup aurat dan berhijab. "Saya amat tersentuh dan gembira sokongan tersebut. Mereka juga telah menyedarkan saya bahawa bahawa setiap wanita berhak dihormati dan disayangi sebagai seorang insan, bukan kerana tubuh badan atau rupa parasnya," ujar Felixia yang manis berbaju kurung merah jambu. Saya tidak menafikan daripada riak wajahnya yang ayu dan tutur katanya yang sopan dan lemah lembut ada sesuatu yang pastinya istimewa tentang gadis ini. Felixia membuktikan melalui hujah berhemah dengan susun bahasa Melayunya yang teratur sekali gus menunjukkan ada kesungguhan dengan perubahan positif yang dilalui. Pencetus transformasi Cerita tentang hijab Felixia, sebenarnya bermula secara tidak dirancang. Sejak dari zaman sekolah dia sudah meminati baju kurung, tetapi hanya mula jatuh cinta dengan pakaian tradisional masyarakat Melayu itu pada tahun lepas. "Ketika itu, saya seperti biasa menghadiri sesi uji bakat untuk penggambaran iklan komersial sebuah syarikat telekomunikasi tempatan yang pada masa itu memerlukan model menyarungkan hijab. "Itulah kali pertama dalam seumur hidup saya memakai hijab. Saya masih ingat lagi, terasa amat berbeza sekali apabila melihat ke dalam cermin dalam keadaan berhijab. "Saya berasa suatu ketenangan yang tidak pernah saya rasai dengan pakaian lain. Saya juga merasakan sebenarnya menutup aurat itu lebih cantik, ayu dan anggun. "Beberapa bulan kemudian, saya menerima kerja sebagai model catwalk (peragaan) untuk salah satu pertunjukkan fesyen sempena hari raya yang kebetulan memerlukan saya berhijab. Hati saya ketika itu melonjak gembira dan masa itulah saya sedar yang saya sebenarnya telah jatuh cinta dengan hijab. "Pemilik butik yang menganjurkan pertunjukan fesyen itu pula dapat merasakan yang saya amat meminati hijab, dan terus menghadiahkan sehelai selendang koleksinya dan itulah selendang pertama saya," ujarnya panjang lebar. Sejak dari itu Felixia berjinak-jinak dan mencuba cara-cara memakai hijab tanpa tunjuk ajar atau bimbingan sesiapa. Dia juga memberanikan diri untuk membeli selendang secara online dan mencuba pelbagai jenis selendang. Kali pertama dia menyarungkan hijab dan keluar dari rumah ialah untuk menghadiri kenduri perkahwinan kakak seorang rakan, dan bertemankan seorang rakan Muslimah yang juga telah berhijrah. Selepas itu, Felixia tidak kekok lagi untuk berhijab dan keluar dari rumah walaupun dia bukan seorang Muslimah. Felixia juga mengambil kira adab berhijab dan menutup aurat dengan betul, seperti berhijab melepasi dada dan memakai sarung lengan (handsocks) jika lengan pakaian singkat, selain memakai pakaian longgar dan labuh. Felixia amat bertekad untuk meneruskan imej berhijab dan menutup `aurat' seperti sekarang. Bagaimanapun, buat masa ini cabaran paling susah baginya untuk dihadapi ialah persepsi orang ramai yang sesetengahnya memaki hamun hanya kerana dia seorang model Cina yang memakai hijab. "Sebenarnya ramai yang masih tidak tahu dan tidak faham bahawa ketika ini saya masih terikat dengan kontrak sebagai duta sebuah produk dan memerlukan saya dalam imej seksi. "Saya kini hanya menunggu berakhirnya tempoh kontrak itu dan berharap peminat-peminat saya akan lebih memahami dan bersabar. Ramai juga yang menyuruh dan memaksa saya membuang gambar-gambar sebagai model dahulu walaupun sudah banyak kali saya jelaskan sebab-sebab saya mahu menyimpannya dan mengekalkannya. "Bagi saya gambar-gambar itulah bukti kejayaan saya sebagai model di peringkat antarabangsa dan menunjukkan perubahan saya menjadi sebuah cerita pengajaran yang baik buat semua. "Tentang Islam pula, buat masa ini saya lebih selesa untuk belajar perlahan-lahan dan satu-persatu dari kawan-kawan yang beragama Islam. Apabila sudah betul-betul sedia untuk kelas formal, saya akan mendaftarkan diri," ujar Felixia penuh optimis. Bagi Felixia dia hanya mahukan kegembiraan yang sebenar, ketenangan dari dalam dan tidak mahu lagi digelar ikon seks atau bergelumang dengan orang-orang yang berpura-pura, materialistik, dan gila glamor, yang hanya mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya. Dia juga mengakui serik bertemukan lelaki yang hanya inginkan dirinya sebagai trophy girlfriend dan tidak ikhlas untuk memperisterikannya. "Saya rasa lebih tenang dan gembira sekarang, walaupun hanya hidup secara bersederhana dan low-profile. Saya berdoa untuk dapat terus berhijab dalam semua bidang yang saya ceburi mulai tahun ini, biar di bidang peragaan, lakonan, nyanyian mahupu pengacaraan. "Saya juga berharap untuk mempelajari sesuatu yang baru melalui kursus seperti memasak, menjahit dan sebagainya di samping melebihkan aktiviti-aktiviti kebajikan," ujarnya menutup bicara. Felixia amat suka melihat lelaki yang memakai baju Melayu, kerana nampak lebih segak. |
Ada serius, jenaka dalam dakwah Posted: 07 Jan 2014 08:48 PM PST Oleh ABD. AZIZ ITAR USIA, latar pendidikan agama yang tidak setara tidak menghalang empat finalis Pencetus Ummah ini untuk bersaing secara sihat dalam pertandingan terbitan Astro Oasis tersebut. SETIAP pendakwah terutama generasi muda mempunyai cara-cara yang tersendiri untuk menyampaikan syiar Islam kepada masyarakat. Bakat golongan ini antaranya dicungkil menerusi pertandingan Pencetus Ummah terbitan Astro Oasis yang akan sampai ke peringkat akhir pada Jumaat ini. Empat peserta itu terdiri daripada Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Mohd., Mohd. Zinudin Mohamed Zaini dan Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan. Setiap peserta terbabit mempunyai gaya dan idea penyampaian yang tersendiri. Perbezaan itu dapat dilihat daripada segi isi kandungan yang sering mereka persembahkan setiap kali tampil dalam program Pencetus Ummah. Kelainan yang ditonjol sudah pasti mampu menarik lebih ramai penonton. Gaya penyampaian itu ada yang serius, kelakar dan bersahaja mengikut kecenderungan karakter setiap peserta terbabit. Muhammad Hafiz misalnya, mahu berkongsi pengalamannya sebagai pembimbing ibadah haji dan umrah dalam bahan-bahan penyampaiannya kelak. Pendakwah berusia 32 tahun ini berkata, pengalaman itu diharap boleh menarik perhatian para juri dan penonton. "Pada pentas akhir nanti saya akan membentangkan tajuk Cinta Rasul dan Pendakwah: Untung Dunia, Untung Akhirat. Saya mahu menyelitkan pengalaman-pengalaman saya sebagai pembimbing haji dan umrah selama 10 tahun. Saya juga pernah tinggal di Madinah selama empat tahun. Banyak pengalaman yang saya timba daripada tugasan saya itu. "Boleh dikatakan setiap hari saya akan menziarahi makam Rasulullah di Madinah. Banyak cerita tentang Rasulullah yang akan saya kongsikan bersama-sama para penonton. Antaranya pengalaman Rasulullah di Bukit Uhud yang mana di sana baginda pernah pengsan dan patah gigi kerana terbabit dalam peperangan. "Saya akan ceritakan pengalaman-pengalaman seperti itu dalam persembahan akhir Pencetus Ummah nanti," katanya semasa ditemui semasa sesi fotografi dengan Hits di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut pendakwah berasal dari Klang, Selangor ini dia berasa teruja dan bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang daripada empat finalis pertandingan tersebut. Katanya daripada 12 peserta keseluruhan yang menyertai Pencetus Ummah, masing-masing mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ramai antara mereka juga yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang dakwah. "Itu adalah antara cabaran dan persaingan kami sesama peserta akhir dalam pertandingan ini. Semua itu terpulang kepada penilaian para juri yang mewakili 70 peratus daripada pemarkahan dan 30 peratus lagi markah daripada pilihan penonton," jelasnya. Ternyata perwatakan dan gaya Muhammad Hafiz agak serius dalam penyampaiannya yang mana itu sedikit sebanyak membezakannya dengan peserta lain. Namun, apa yang pasti setiap juri dan penonton mempunyai pilihan atas cita rasa masing-masing. Kajian di Facebook Bagi Mohd. Zinudin pula, dia lebih dikenali sebagai peserta atau pendakwah yang suka membuat kelakar dalam ceramahnya. Dia yang berasal dari Bagan Datoh, Perak dan lebih dikenali sebagai Yeop menganggap lawak jenaka yang diselitkan dalam pertandingan itu mampu menarik perhatian para penonton. Namun, peserta berusia 32 tahun ini tidak membuat lawak sembarangan. Sebaliknya dia mengambil pendekatan dalam ceramahnya yang mengikut aliran terkini dan kemahuan semasa masyarakat pada hari ini. Antaranya, dengan membuat sedikit penyelidikan daripada laman sosial Facebook serta mengambil kira pandangan rakan-rakannya di laman Internet tersebut. "Saya banyak mengambil kira apa yang orang ramai selalu perkatakan dengan cara bergaul dengan ramai orang. Apatah lagi, saya mempunyai pengalaman mengendalikan kursus praperkahwinan yang mana saya banyak bergaul dengan pasangan yang akan berkahwin. "Pengalaman selama empat hingga lima tahun itu banyak membantu saya dalam memberi idea semasa terbabit dalam pertandingan ini. "Sama seperti peserta lain saya juga akan menampilkan cerita-cerita yang jarang didengar tentang Rasulullah dalam tajuk Cinta Rasul yang akan saya bentangkan nanti. Antaranya apakah hikmah Nabi Muhammad itu menjadi penggembala kambing? Saya akan terangkan dalam pertandingan peringkat final nanti," ujarnya. Ternyata Penolong Pegawai Agama, di Jabatan Agama Islam Perak ini bijak menggunakan pengalamannya sebagai penceramah dalam pertandingan yang disertainya itu. Selain mempunyai elemen humor, usia dan penampilan diri juga boleh dijadikan aset dalam memenangi pertandingan itu. Rahmat Ikhsan contohnya, merupakan peserta paling muda iaitu berusia 20 tahun. Sungguhpun paling junior dan diramalkan mampu menarik ramai peminat muda, tetapi itu tidak menyebabkan dia berpuas hati setakat itu sahaja. Sebaliknya, Rahmat terpaksa mengimbangi pengalaman dan ilmu yang dimilikinya itu agar setara dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh tiga pesaingnya itu. Anak kelahiran Segambut, Kuala Lumpur ini, antaranya cuba berkempen menerusi laman sosial Facebooknya bagi menarik lebih ramai sokongan para penonton pada pentas akhir pertandingan itu. "Saya akan menggunakan pengaruh dan sokongan daripada hampir 28,000 kawan-kawan saya di Facebook bagi menyokong saya. Maklumlah saya peserta yang paling muda dan ilmu pun paling sedikit berbanding peserta lain. "Selain bercakap atas tajuk Cinta Rasul saya juga akan membentangkan bahan yang bertajuk Mencari Cinta Kekasih Sehingga Lupa Cinta Yang Maha Esa. Saya akan mencari bahan-bahan yang eksklusif bagi dipaparkan dalam dua tajuk itu yang mana mungkin ramai yang belum tahu akan fakta-fakta yang akan dibentangkan nanti," jelasnya. Tambahnya, Pencetus Ummah bukan setakat pertandingan tetapi mereka akan bersatu selepas berakhirnya pertandingan itu kelak. Katanya, 12 peserta pertandingan itu akan bersatu dan mereka merancang untuk menubuhkan sebuah komuniti bagi menjalankan aktiviti secara berkumpulan. "Apabila adanya komuniti itu nanti kami akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti menerima undangan berceramah. Kami bersedia menerima undangan berceramah di seluruh negara. Malah, setiap peserta juga akan diberi tugasan yang bersesuaian dengan bidang dan karakter masing-masing," tuturnya. Mempunyai diploma dalam bidang Tahfiz Quraan Wal Qiraati. Merupakan Penolong Pegawai Agama di Jabatan Agama Islam Perak. Umur 32 tahun Lebih banyak menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah dan dalam pertandingan Pencetus Ummah. Mahu tubuh Yayasan Al-Filfilani Sementara itu, peserta yang boleh dianggap paling senior iaitu Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Md. pula tidak menganggap itu sebagai suatu laluan mudah untuknya menjuarai Pencetus Ummah. Dia yang lebih dikenali sebagai Shahul tetapi melakukan kajiannya sendiri selain cuba menyelami apa yang dimahukan oleh para juri dalam penyampaiannya di final pertandingan itu nanti. Malah, dia yang turut diberi tajuk tentang isu pendidikan kanak-kanak juga tidak memandang ringan tajuk yang diberikan walaupun itu merupakan kali ketiga diberi tugasan membincangan isu tersebut. "Kalau diikutkan, saya peserta yang paling berumur. Saya juga mula berdakwah pada umur 15 tahun dan setakat ini saya sudah hampir 23 tahun berdakwah sebelum menyertai pertandingan ini. "Tetapi itu bukan bermakna saya mengambil ringan atau memandang sebelah mata tiga finalis yang lain. Pada peringkat alkhir nanti, tajuk yang akan saya bentangkan adalah Ibu Bapa Hebat Anak Keparat yang mana ia tentang pendidikan anak-anak. "Selain itu, saya juga akan bercakap atas tajuk Keunggulan dan Kehebatan Nabi Muhammad. Saya akan cari bahan yang jarang diketengahkan oleh pendakwah lain agar kelihatan lebih eksklusif," jelasnya. Pada masa sama lulusan bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir ini mahu berkongsi hasratnya yang mahu menubuhkan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Al-Filfilani di sebuah kawasan seluas satu hektar di Permatang Pasir, Balik Pulau, Pulau Pinang. Dia kini sedang mencari dana bagi menubuhkan yayasan itu yang antara lain mempunyai sebuah masjid dengan menampung 1,000 jemaah. Selain itu, turut diadakan di situ adalah sebuah sekolah tahfiz al-Quran, rumah orang tua, mualaf dan anak-anak yatim. "Saya telah membeli tanah seluas itu dengan harga RM1.2 juta. Majlis pecah tanah telah diadakan pada 10 Oktober lepas. "Untuk menambahkan lagi dana yayasan itu, saya akan melancarkan skim wakaf sebanyak RM25 untuk sekaki persegi bagi sesiapa yang mahu berwakaf bagi melaksanakan penubuhan yayasan ini," katanya lagi. Dalam pada itu juara Pencetus Ummah akan menerima sebuah kereta Toyota Prius C, wang tunai RM50,000, pakej umrah untuk dua orang, pakej percutian ke China, senaskhah al-Quran Amazing dan trofi sumbangan Astro. Umur 38 tahun Asal Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan sarjana dalam bidang Hadis (al-Quran dan Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pekerjaan sebagai Pengetua Maahad Darul Tahzhib. Masih belajar dan akan meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Alam Sekitar . Umur 20 tahun. Berasal dari Segambut, Kuala Lumpur. Sebelum menyertai Pencetus Ummah rakan-rakan di Facebooknya sekitar 5,000 orang sahaja tetapi kini meningkat lima kali ganda. Merupakan pensyarah bidang Qiraati dan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang, Selangor. Umur 32 tahun Pengalamannya yang kerap menziarahi makan Nabi Muhammad banyak memberi idea dan menganggap amalan itu mampu melahirkan rasa rindu serta kecintaan kepada junjungan besar tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |