Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
ROS tidak akan tunduk ugutan DAP - Desmond Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST KUALA LUMPUR 9 Jan. - Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak akan sesekali tunduk atau gusar dengan apa juga ugutan DAP, sebaliknya menasihatkan parti itu mematuhi undang-undang terlebih dahulu. Ia respons kepada tindakan Lim Guan Eng yang jawatan Setiausaha Agungnya belum disahkan, menghantar surat berbaur ugutan agar pertubuhan itu menarik balik arahan menggantung keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Penolong Pengarah Kanan ROS, Desmond Das berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa surat saman seperti yang didakwa oleh pemimpin DAP kepada media sebaliknya hanya mempersoal kapasiti ROS dalam menggantung keputusan pemilihan. Jelas Desmond, DAP turut memberikan kata dua kepada ROS untuk menjawab surat mereka dalam tempoh 14 hari atau parti itu akan mengambil tindakan saman. "Soalnya sekarang, kami merupakan pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab mengendali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik. Tidak ada sebab mengapa kami perlu tunduk dengan ugutan atau permintaan DAP. "Daripada mereka mengugut, saya nasihatkan mereka patuhi sahaja arahan yang telah kami keluarkan untuk bekerjasama sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Tambah Desmond, pihaknya tidak akan sesuka hati bertindak ke atas mana-mana pertubuhan tanpa sebarang alasan yang kukuh, apatah lagi DAP yang sudah dua kali membuat pemilihan semula. Baru-baru ini, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo membuat kenyataan bahawa pihaknya menghantar surat guaman kepada ROS pada 24 Disember lalu. Gobind mendakwa, DAP akan membuat semakan kehakiman untuk mencabar tindakan ROS kononnya di luar bidang kuasa mereka berhubung kesahihan keputusan pemilihan semula. Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya menggantung keputusan CEC DAP kerana siasatan masih dijalankan pada 6 Disember lepas. Tindakan itu diambil berikutan kedegilan DAP yang enggan mengikut arahan ROS untuk menghantar maklumat lengkap berhubung pemilihan semula parti, antaranya senarai cawangan yang mengambil bahagian dan perwakilan. Terdahulu, bekas Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman mengarahkan DAP untuk membuat pengundian semula CEC pada 30 Julai berikutan aduan penyelewengan pemilihan sebelumnya pada 30 Disember tahun lalu. |
DAP Kedah mohon ROS selesaikan segera kemelut Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST Lee Guan Aik (tengah) bersama ahli DAP negeri menunjukkan surat yang diserahkan kepada ROS untuk memohon dibenarkan mengadakan mesyuarat agung tahunan di Alor Setar, Kedah, semalam. ALOR SETAR 9 Jan. - Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik hari ini menyerahkan surat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) memohon membenarkan satu mesyuarat agung tahunan bagi melantik kepimpinan baharu diadakan dengan segera di negeri ini. Guan Aik berkata, hanya ROS yang boleh membantu menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda DAP Kedah memandangkan jawatan pemimpin atasan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP masih belum disahkan ROS. "Kami mahu ROS bantu kami untuk selesaikan mesyuarat agung dan pemilihan kepimpinan baharu bagi DAP Kedah kerana kami rasa memang tidak ada sesiapa yang layak memberi arahan kepada kami sekarang. "Pada waktu ini tidak ada pemimpin yang berkuasa atau berhak menguruskan DAP di seluruh negara selagi ROS belum memberi pengiktirafan kepada CEC DAP. "ROS juga sepatutnya melantik seorang pegawai awam untuk menguruskan DAP sehingga ROS mengiktiraf CEC DAP," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat tersebut di Pejabat ROS, Anak Bukit di sini hari ini. Kata Guan Aik, beliau berbuat demikian kerana mendapati CEC DAP seolah-olah sengaja melambatkan mesyuarat agung dan pemilihan kepimpinan baharu DAP Kedah. "Mesyuarat agung tahunan untuk negeri Kedah sepatutnya diadakan pada Ogos atau September tahun lepas, namun sehingga kini tiada khabar berita mengenainya diumumkan oleh CEC DAP. "Saya nampak mereka (CEC DAP) sengaja melambatkan mesyuarat agung dan pemilihan DAP Kedah, DAP Pulau Pinang dan buat mesyuarat, mesyuarat agung DAP Johor juga akan diadakan tidak lama lagi. "Sebab itu, hari ini saya hantar surat kepada ROS di Alor Setar dan Putrajaya untuk mendapatkan nasihat serta memohon agar ROS membenarkan satu mesyuarat agung tahunan diadakan oleh DAP Kedah," Tambahnya, pemimpin akar umbi juga tidak boleh membiarkan perkara tersebut terus berlaku di DAP Kedah kerana mungkin perkara sama akan berulang di negeri lain. "Kita jangan ambil mudah tentang apa yang berlaku kepada DAP Kedah, bagi kami apa yang berlaku ini adalah salah. "Kita jangan menjadi ahli DAP yang senang diperbodohkan oleh pemimpin tertentu yang menggunakan kuasa mereka walaupun melanggar undang-undang," katanya. Pergolakan kepimpinan DAP Kedah bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lepas, apabila DAP pusat melantik jawatankuasa interim yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari. Bagaimanapun, ROS baru-baru ini mengiktiraf Guan Aik sebagai Pengerusi DAP Kedah yang sah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |