Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Khalid 'korban' wayang politik PKR Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST SEMAKIN jelas kini, apa yang dimaksudkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lim Chin Cheh yang menyatakan keputusannya meletakkan jawatan itu ''untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan pakatan pembangkang berkhidmat untuk rakyat Selangor." Ia berikutan langkah itu bertujuan memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon bertanding di kawasan tersebut sekali gus jika mereka berjaya dalam pilihan raya kecil yang diadakan, calon itu bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Ketika ini Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri bersedia 'menurunkan darjat impian itu' dengan menggantikan Abdul Khalid. Perkara itu disahkan oleh Abdul Khalid, semalam dan sekali gus mengesahkan desakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin dalam satu kenyataan akhbar bahawa "berdasarkan pengalaman dan kewibawaan memimpin negara, AMK percaya Anwar ialah calon terbaik untuk bertanding kerusi DUN Selangor dan seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar". '' AMK percaya dengan kepimpinan beliau akan dapat menggerakkan dengan lebih pantas agenda reformasi di Selangor dan menterjemahkan konsensus nasional. ''Oleh yang demikian AMK mengambil pendirian hanya Anwar sesuai menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang,'' katanya. Kenyataan itu sekali gus bermakna rakyat sekali lagi terpaksa menyaksikan satu lagi episod memualkan daripada PKR dalam usaha memenuhi agenda politik mereka. Ia memandangkan sebelum ini sudah berlaku dua pilihan raya kecil yang dicipta dengan sengaja oleh PKR bagi tujuan itu. Kali pertama apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar menguasai semula kerusi itu. Begitu juga di DUN Penanti yang menyaksikan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan pada 2009. Jika benar Anwar hendak bertanding, ia bermakna inilah kali kedua pilihan raya kecil diadakan semata-mata untuk memberi kedudukan kepada beliau. Namun apa yang menarik untuk diperkatakan berhubung kedudukan Abdul Khalid yang akan meneruskan badi kerusi panas Menteri Besar Selangor, apabila terpaksa meninggalkan jawatan itu dalam keadaan kontroversi. Sebelum ini nasib yang sama sudah berlaku kepada Datuk Harun Idris, Tan Sri Muhammad Muhd.Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Datuk Seri Dr.Mohamad Khir Toyo. Kesemua mereka kehilangan jawatan itu dalam keadaan yang boleh dianggap tidak rela atau terpaksa. Kecuali Dr.Mohamad Khir yang tumpas dalam pilihan raya umum, Harun, Muhammad dan Abu Hassan pula terpaksa berundur kerana isu yang dikaitkan dengan mereka. Bagaimanapun kes melibatkan Abdul Khalid lebih unik memandangkan ia berlaku berikutan perbalahan politiknya dengan Azmin Ali apabila ADUN Bukit Antarabangsa itu digugurkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Isu itu ditafsirkan kemuncak perbalahan politik antara Azmin dan Abdul Khalid yang berlanjutan sejak 2010. Biarpun Abdul Khalid sudah menegaskan, keputusan pengguguran itu bukan dilakukan oleh beliau, namun politik adalah berkaitan dengan persepsi. Begitulah juga dalam isu ini, biarpun dokumen sulit mengenai kronologi pengguguran Azmin membuktikan ia bukan arahan kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid tetapi itu tidak bermaksud beliau 'terlepas' daripada persepsi politik. Apatah lagi sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, hubungan Abdul Khalid dan Azmin sentiasa tegang. Azmin merupakan pengkritik tegar kepada kepimpinan Abdul Khalid sejak tahun 2010. Isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dianggap bagaikan 'gunung berapi yang memuntahkan laharnya.' Sejak awal lagi, ramai yang sudah meramalkan Abdul Khalid akan 'terkorban' dalam pertembungan dengan Azmin yang dianggap orang kesayangan Anwar. Biarpun Abdul Khalid cuba 'bermain wayang politik' dengan menggambarkan seolah-olah beliau sedang berusaha mempertahankan kedudukannya namun sandiwara itu tidak kekal lama. Sebaliknya, beliau akhirnya bersetuju untuk berundur asalkan bukan Azmin menjadi Menteri Besar. Keadaan itu membuktikan, kepimpinan PKR tidak mahu melihat perbalahan antara Abdul Khalid dan Azmin berlarutan, justeru salah seorang mesti 'berkorban' atau 'terkorban' dan dalam soal ini, Abdul Khalid dilihat berada di kedua-dua posisi itu. Ia memandangkan cengkaman politik, bekas tokoh korporat itu yang baru menceburi bidang politik kira-kira enam tahun lalu selepas dipilih menjadi calon PKR di DUN Ijok dalam pilihan raya kecil kawasan tersebut pada 2007 semakin longgar. Abdul Khalid semakin terhimpit, terdesak dan tertekan dengan pelbagai serangan politik yang dilancarkan dengan tujuan menyingkirkan beliau daripada kerusi Menteri Besar Selangor. Walaupun pada awalnya ADUN Pelabuhan Klang itu dilihat mahu melawan gelombang yang semakin kuat menghempas perjalanan politiknya, namun akhirnya beliau mengalah. Sudah menjadi lumrah dalam politik, seseorang pemimpin itu mungkin mampu bertahan dengan tekanan luar tetapi beliau tidak akan mampu bertahan jika tekanan berlaku dari dalam. Begitu juga Abdul Khalid, perbalahan beliau dengan Azmin yang tercetus sejak sekian lama mampu menamatkan karier politiknya. Kalau pun tidak sekarang, mungkin akan datang. Justeru Abdul Khalid berada dalam dilema memandang kelompok yang dianggap oleh beliau sebagai tidak bermoral kerana mendesak beliau mengundurkan diri, bukanlah calang-calang kelompok. Mereka terdiri daripada penyokong-penyokong kuat Azmin yang merupakan antara pemimpin paling berpengaruh dalam PKR dan mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Anwar. Abdul Khalid boleh sahaja bertahan bagi mengelakkan diri beliau daripada 'terkorban' dalam konflik yang berlaku tetapi persoalannya sampai bila? Mahu tidak mahu, Abdul Khalid terpaksa menerima hakikat bahawa beliau mempunyai pilihan iaitu berkorban demi mengelakkan daripada dijatuhkan secara tidak terhormat termasuklah kemungkinan menghadapi undi tidak percaya di DUN yang bukannya akan dilakukan oleh pihak lain tetapi oleh PKR sendiri. Bagaimanapun seperti diramalkan oleh banyak pihak, kedudukan Abdul Khalid tidak akan sampai ke peringkat tersebut kerana PKR tidak akan mengizinkannya. Itulah yang berlaku sekarang. Malangnya, dalam menyelesaikan konflik politik dalaman PKR, rakyat diseret sama apabila satu lagi pilihan raya kecil yang akan menelan kos lebih RM1 juta terpaksa diadakan. PKR begitu lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara tetapi hakikatnya mereka lebih buruk lagi kerana sanggup membenarkan satu pilihan raya kecil diadakan demi memenuhi agenda politik parti tersebut. Mungkin ramai yang bertanya di manakah moral politik PKR kerana sanggup berbuat demikian tetapi persoalannya sejak bila pula PKR mengambil berat soal moral? Tepuk dada tanyalah hati! |
Rasionalisme politik Melayu yang kian hilang Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan, budayawan dan bekas Profesor Adjung UUM. DAPATKAH kita buat kesimpulan bahawa rasionalisme dan intelektualisme politik Melayu kian hilang sesudah Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008? Fenomena ini terbawa-bawa sehingga PRU-13. Aspek kewarasan dan kecendekiawanan politik Melayu terasa sangat merosot. Kepemimpinan dan para pengikut parti politik tertentu dukungan Melayu mengambil sikap anti sesama Melayu. Mereka mengambil pendekatan benci, dendam, fitnah dan ada unsur-unsur khianat. Mereka seperti lebih selesa bersekongkol dengan golongan yang anti-Melayu dan anti-Islam. Teknologi informasi dan komunikasi (ICT) menjadi saluran pemikiran negatif. Rakyat naif mudah terikut sama dengan rentak gendang dan tari puak-puak tersebut, membalas dengan menolak kecemerlangan khidmat dan jasa kerajaan membangunkan negara sejak kemerdekaan 1957. Undi protes atau undi geram menjadi gambaran hati yang memilih pembangkang. Sungguhpun pada PRU-13, Barisan Nasional (BN) masih boleh membentuk kerajaan, tetapi BN kehilangan kerusi dan tokoh-tokoh pemimpin yang berwibawa. Jika rasionalisme dan intelektualisme Melayu tidak hilang, masakan pengundi Melayu dan umat Islam merelakan diri memilih kepimpinan yang memusuhi kepimpinan Melayu, mengharubirukan status Islam dan mengamalkan akhlak buruk. Rakyat khususnya umat Islam perlu membelek satu persatu peristiwa demi peristiwa mutakhir ini. Antaranya perbalahan tentang penggunaan kalimah Allah. Kalimah suci hak eksklusif agama Islam sewenang-wenangnya dipermainkan. Sebagai marhaen di bidang agama, saya fikir penganut agama lain, bukannya tidak tahu. Parti politik pembangkang kononnya bersandarkan kepada Islam banyak berdiam diri. Puak penyokong penggunaan kalimah Allah itu pula seperti sengaja mengusik kesabaran umat Islam di Malaysia. Saya berpegang bahawa 'Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam' (Innaddinna 'indallahil Islam). Maknanya bagi sesiapa yang mahu bertuhankan Allah SWT, maka dia mestilah seorang Islam atau masuk Islam. Itu mudah sahaja. Allah itu Yang Maha Esa, tiada beranak dan diperanakkan (Al-Quran: Al Ikhlas 112). Justeru dari segi kepercayaan Yahudi dan Nasrani amat berbeza. Islam adalah agama Tauhid tidak berakidahkan konsep triniti, kecuali mereka itu ada agenda tersembunyi, memurtadkan . Kita hendaklah memahami bahawa "bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku" (Al-Quran Alkafirun: 109:6). Agaknya Malaysia memerlukan seorang Ahmed Deedat untuk dialog Islam-Kristian atau ilmuwan hebat untuk dialog Islam-Barat. Kini di sana-sini kerasulan Nabi Muhammad SAW dipersendakan, Perlembagaan Negara diperlekeh dan institusi kenegaraan seperti kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi bahan sindirian. Bagi saya, kerajaan perlu tegas dan bertindak sebelum terlambat. Gunakan undang-undang yang sudah ada seperti Akta Hasutan. Malahan mungkin perlu dikaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lakukan pembaikan di mana perlu. Kita tidak boleh menggadaikan negara disebabkan segelintir pengkhianat dan penderhaka. Politik Melayu tanpa mengira parti mesti bersatu, bersama mempertahankan kesucian Islam sebagai agama negara dan meneguhkan instiusi-institusi kenegaraan. Rasionalisme dan intelektualisme Melayu kian merosot. Kesatuan fikrah dan akal budi mereka dipengaruhi sehingga gagal membezakan yang hak dan keadilan antara tuntutan negara dengan kepentingan kaum dan perkauman. Jika ini berterusan untuk satu dua dekad lagi, maka dibimbangi Malaysia akan hanya ada pada bentuknya tetapi kehilangan isi. Melayu dan bumiputera yang menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara perlu kekal berkuasa dengan konsep perkongsian kuasa yang akur kepada kontrak sosial. Kenapakah parti-parti politik pembangkang pimpinan Melayu lebih megah mengukuhkan tali ikatan setiakawan dengan parti cauvinistik dan perkauman? Perpecahan dan kelemahan Melayu mengakibatkan mereka tidak lagi disegani, digeruni dan dihormati sebagaimana 30 tahun pertama sesudah kemerdekaan. Rancangan persekongkolan politik baharu pembangkang tiada lain melainkan memenuhi hasrat mahu merampas kuasa politik yang diterajui orang Melayu dan bumiputera, khususnya UMNO. Fenomena ini sudah diulas puluhan kali oleh pakar dan pemerhati politik, agak basi atau klise bunyinya. Soalnya kenapakah sesetengah pimpinan Melayu masih memejamkan mata dan memekakkan telinga? Melayu lebih gemar berpolitik secara taksub, tidak terasa diperkudakan. Kewarasan berfikir atau kekuatan minda politik dibiarkan hanyut dalam arus hasutan dendam kesumat pembangkang atau puak-puak yang antikerajaan. Di manakah pula jiwa dan semangat generasi muda? Orang muda perlu berfikir. Siapakah atau golongan manakah yang ribuan jumlahnya sanggup keluar di jalan raya? Atas nama apa pun, itukah cara terbaik atau itukah cara rakyat Malaysia bertindak meniru seperti yang terjadi di beberapa negara lain ? Orang Melayukah atau orang lain yang sanggup merosakkan harta benda awam dan bertindak di luar batas undang-undang? Apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerajaan 'ditongsampahkan'. Musuh-musuh luar dan dari dalam sedang memerhatikan di lorong mana mereka boleh masuk, cucuk jarum ketidaktenteraman agar memudahkan mereka campur tangan. Ya, generasi muda cubalah renungi dan berfikir sebentar secara rasional selaras dengan kedudukan kalian sebagai orang terpelajar. Cuba bayangkan kalau kuasa politik bertukar tangan atau ada campur tangan kuasa luar atas apa sahaja sebab yang mereka ciptakan, apa akan jadi pada rakyat dan negara tercinta ini? |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |