Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Atlet paralimpik pamer peningkatan walau tidak capai sasaran Posted: 19 Jan 2014 08:50 PM PST NAYPYITAW 20 Jan. - Walaupun gagal mencapai sasaran 50 pingat emas, atlet paralimpik negara mempamerkan peningkatan prestasi di temasya Sukan Para Asean ketujuh di sini, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Abdul Jalil Abdullah. Mengikut catatan tidak rasmi MSN, kontinjen negara menamatkan saingan lima hari di sini dengan mengumpul 49 pingat emas, 50 perak dan 36 gangsa. "Walaupun sasaran kita kurang hanya satu pingat, ia bukanlah menunjukkan kemerosotan atlet kita di sini. Sebaliknya, pencapaian mereka amat membanggakan. "Kebanyakan atlet yang membawa cabaran negara di sini bukanlah atlet sepenuh masa yang berpusat di MSN. Kita juga mengetengahkan lebih ramai atlet-atlet muda di sini dan pencapaian mereka amat membanggakan," kata Abdul Jalil pada sidang akhbar merumus pencapaian atlet di temasya dwitahunan itu. Turut hadir ketua kontinjen negara ke Sukan Para Asean Myanmar Datuk Zakaria Musa. Skuad olahraga menjadi penyumbang pingat terbanyak Malaysia dengan 36 pingat emas, melepasi sasaran awal mereka iaitu 32 pingat emas. Malaysia turut meraih pingat emas melalui acara renang dengan enam pingat emas, manakala ping-pong satu pingat emas. - BERNAMA |
Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK Najib Tun Razak mengalungkan pingat kepada Lee Chong Wei yang menewaskan Tommy Sugiarto dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - Utusan/Aizzul A.Majid KUALA LUMPUR - Pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berjaya memenuhi matlamatnya untuk merangkul gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia buat kali kesepuluh semalam, tetapi kemudian memberi isyarat dia mungkin bersara pada Disember depan. Skuad negara mengutip dua kemenangan pada hari terakhir Siri Super Premier yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Satu lagi kejayaan diraih oleh pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah, tetapi peminat badminton terpaksa bermuram apabila Chong Wei menyatakan hasratnya untuk bersara ketika sidang akhbar. Chong Wei tidak mempunyai masalah untuk merangkul kemenangan selepas mudah mengalahkan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-19, 21-9 dalam tempoh 47 minit tetapi kenyataannya ingin bersara lebih mencuri tumpuan. "Mungkin ini Terbuka Malaysia terakhir yang saya sertai, selepas Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea Selatan) Oktober ini, saya tidak tahu akan terus bermain atau tidak. Jika keadaan saya tidak bagus saya akan bersara tahun ini pada Disember," katanya kepada wartawan. Katanya, dia akan menilai prestasinya di Sukan Asia dan juga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan jika masih bebas daripada kecederaan mungkin dia akan meneruskan karier seperti biasa. "Saya akan cuba dan fikirkannya semula kerana kita tidak tahu bagaimana prestasi saya selepas itu. Saya juga mempunyai banyak masalah peribadi, saya akan cuba sebaik mungkin tetapi tunggu hingga Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia berakhir. "Tidak ada tekanan, bagi saya mungkin lebih kepada masalah peribadi, saya akan habiskan dulu aksi di beberapa kejohanan besar tahun ini kerana sebelum ini saya memang tertekan. Sekarang saya sudah mempunyai keluarga. Saya meninggalkan isteri (Datin Wong Mew Choo) dan anak (Kingston Lee) berbulan-bulan untuk menyertai kejohanan," katanya. "Saya akan cuba untuk beraksi di Sukan Olimpik 2016 tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana tiga tahun dari sekarang adalah tempoh yang lama, biar saya habiskan kejohanan besar yang bakal ditempuhi terlebih dahulu," katanya. Ditanya mengenai kejuaraan Terbuka Malaysia semalam, Chong Wei berkata, dia berasa agak tertekan sepanjang seminggu kejohanan berlangsung kerana sangat teringin untuk muncul juara buat kali kesepuluh. "Selepas menang saya berasa teruja. Walaupun pada set pertama Tommy mendahului, tetapi selepas menang set pertama saya sudah fikir akan menang mudah di set kedua. Bukan mudah untuk meraih kejuaraan kesepuluh, tambahan pula tahun ini (Terbuka Malaysia berstatus) Siri Super Premier. "Isteri dan ibu saya melihat sendiri bagaimana muka saya begitu tertekan untuk muncul juara Terbuka Malaysia, saya sudah cuba yang terbaik dan selepas menjadi juara saya berasa bahu ini sungguh ringan kerana hilang tekanan," katanya. Chong Wei membawa pulang AS$37,500 (RM123,637) manakala Tommy pula meraih AS$19,000 (RM62,643). Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sementara itu, pemain China, Li Xuerui muncul juara perseorangan wanita selepas menumbangkan rakan senegara, Wang Shixian 21-16, 21-17 untuk membawa pulang RM123,637. Dalam acara beregu wanita, gandingan Bao Yixin-Tang Jinhua juga dari China mengetepikan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-19, 14-21, 21-13 untuk meraih AS$39,500 (RM115,424). Penguasaan negara Tembok Besar dilengkapkan dengan kemenangan beregu campuran, Xu Chen-Ma Jin yang menumpaskan gandingan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 21-11, 17-21, 21-13 untuk meraih hadiah wang tunai RM115,424. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |