{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pesona

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pesona


Khairunnisa bangkit melawan SLE

Posted:

Khairunnisa bangkit melawan SLE

Khairunnisa bangkit melawan SLE

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

SEBELUM ini, Khairunnisa Ahmad Sabri menjalani kehidupan yang riang bersama keluarga, namun lima tahun lalu kakinya mula membengkak sekali gus mengubah perjalanan kehidupannya.

Ketika itu, wanita berusia 26 tahun tersebut beranggapan kakinya membengkak disebabkan masalah berat badan yang dihadapinya.

Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital swasta dan diberikan ubat, namun masalah tersebut semakin serius, malah bengkak pada kakinya tidak surut.

Rawatan susulan yang dilakukan di hospital tersebut mendapati anak sulung daripada lima adik-beradik itu mempunyai masalah buah pinggang dan bukannya berat badan. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang, Selangor.

"Kali pertama saya didiagnosis menghidap SLE (Systemic Lupus Erythematosus) ialah pada bulan Oktober tahun 2007 apabila doktor mengesan gejala Nephritic syndrome selepas menjalani ujian biopsi.

"Kencing kotor yang berbuih dan mengandungi darah, tekanan darah tinggi mencecah bacaan 179/90, manakala bacaan kolesterol pula 6.9," katanya yang menghidap SLE pada usia 20 tahun.

Tambahnya, dia yang tidak mengetahui mengenai penyakit SLE telah melayari internet dan mendapati penyakit tersebut boleh membawa maut.

"Apabila mengetahui penyakit ini boleh membawa maut, saya menjadi takut dan berputus harap.

"Saya mula merasai kesakitan pada sendi, rambut gugur, sakit lutut, edema (bengkak kaki), mata berdarah dan selalu penat," ujarnya yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ketika mula didiagnosis menghidap SLE pada tahun 2007.

Penyakit kronik

SLE merupakan sejenis penyakit kronik autoimun yang menyebabkan antibodi yang berfungsi melindungi badan bagi melawan penyakit tiba-tiba menyerang sel badan atau organ manusia.

Ia juga dilabel sebagai penyakit pelbagai wajah kerana penghidapnya menunjukkan gejala penyakit lain seperti demam, sakit sendi, keletihan, sakit otot dan ruam kulit.


BERKAT doa dan sokongan keluarga, Khairunnisa berjaya mengharungi saat-saat getir melawan SLE.


Ekoran itu, Khairunnisa berasa sangat sedih malah terpaksa mengambil ubat sehingga 30 biji sehari merangkumi ubat darah tinggi, kolesterol, gout, tulang, kalsium dan steroid.

Sejak itu, berat badannya daripada 70 kilogram (kg) meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencecah 125 kg.

"Syukur kerana keluarga memberikan sokongan emosi yang kuat. Sejak itu saya amalkan gaya hidup sihat, ubah cara makan, bersenam dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan.

"Kini, daripada makan 12 biji pil steroid, saya makan sebiji sahaja dan jumlah ubat yang diambil sekarang ialah lima biji berbanding 30 biji sebelumnya," katanya sambil memberitahu kedua-dua buah pinggangnya masih dalam keadaan baik.

Ketika rakan lain sibuk meneruskan rutin sebagai penuntut di menara gading, Khairunnisa yang pada ketika itu berusia 20 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Arau dan Hospital Serdang secara berkala.

Sungguhpun begitu, gadis berjiwa kental itu berjaya menamatkan pengajiannya dalam Diploma Sistem Maklumat Perakaunan pada tahun 2008 walaupun terpaksa bergelut dengan kesakitan.


PADA peringkat awal penyakit SLE Khairunnisa dikesan, dia perlu mengambil 30 biji ubat sehari dan daripada jumlah itu 12 biji merupakan pil steroid.


Jika dulu Khairunnisa terpaksa 'melapor' diri ke hospital dua minggu sekali bagi memantau keadaan kesihatannya, kini tempoh tersebut dipanjangkan kepada empat bulan sekali untuk tujuan pemeriksaan darah dan urin.

Bersikap positif

Ditanya mengenai reaksi ibu bapanya ketika dimaklumkan doktor mengenai dirinya menghidap SLE, penolong akauntan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia itu memberitahu, ibu bapanya tenang sekali dan tidak langsung menunjukkan tanda kerisauan.

"Secara zahirnya, berita mengejutkan itu diterima dengan hati yang tenang, namun gejolak hati mereka hanya Allah yang mengetahuinya.

"Sokongan mereka membuatkan saya kembali kuat untuk meneruskan kehidupan ini. Sebelum itu, saya pernah bertanya kepada ibu, ada atau tidak kubur di sebelah tok bah untuk saya kerana ketika itu saya terlalu tertekan," ujarnya yang kini reda dengan ketentuan-Nya.

Baginya, setiap yang berlaku pasti ada rahsia dan sebabnya. Apa yang penting, sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit mahupun menempuh kehidupan seharian.

"Ikut nasihat doktor, buat pemeriksaan seperti disarankan, jangan dengar kata orang yang tidak tahu tentang penyakit SLE dan bercampur bersama individu positif sahaja," katanya sambil menitipkan pesanan buat mereka yang senasib.

Walaupun ibunya, Azmawati Ahmad, 51, dan ayahnya, Ahmad Sabri Ibrahim, 53, begitu terkejut dengan penyakit yang dihidapi Khairunnisa, segalanya dihadapi dengan tabah walaupun ada yang secara terang-terangan memberitahu bahawa penyakit itu tidak boleh sembuh dan pengakhirannya adalah maut.

"Hati siapa yang tidak luluh apabila mendengar orang berkata sebegitu. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk menyembuhkan puteri kami.

"Dengar sahaja ada orang pandai mengubat, terus kami pergi," ujar Azmawati yang turut membawa anaknya berjumpa lebih 10 orang pengamal perubatan alternatif.

Doanya tidak pernah putus supaya kesihatan anaknya kembali pulih seperti sedia kala. Walaupun hatinya sentiasa gundah dan air mata terlalu murah tumpah, namun tidak sekali-kali si ibu menunjukkan kesedihan di hadapan anaknya itu.

"Kami sekeluarga memberikan sokongan padu kepadanya dan mahu dia sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi ujian kehidupan.

"Bagi mereka di luar sana yang mengalami situasi yang sama, berilah sokongan kepada ahli keluarga atau kenalan yang menghidap SLE kerana ia mampu mengubah kehidupan mereka dan jangan sesekali abaikan nasihat doktor," pesannya.

Membentuk jiwa merdeka

Posted:

Membentuk jiwa merdeka

Membentuk jiwa merdeka


ERTI merdeka cukup luas dan bukan hanya tertumpu kepada pembebasan negara daripada cengkaman penjajah, malah merangkumi ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup. - Gambar hiasan


MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Perkataan yang asalnya dilaungkan pada tanggal 31 Ogos 1957, bakal dilaungkan seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu pada sambutan kemerdekaan Malaysia yang diadakan pada setiap 31 Ogos.

Tahun ini, Malaysia telah merdeka selama 56 tahun. Alhamdulillah, kita semua dapat hidup di negara yang aman, bebas bergerak sambil menikmati keindahan alam dan mengisi perut dengan aneka hidangan.

Namun, apakah itu cukup untuk memberi erti bahawa kita telah merdeka? Realitinya, terlalu luas maksud perkataan merdeka dan satu persoalan yang menarik, apakah diri kita sendiri turut merdeka?

Jiwa merdeka

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang.

Tidak perlu ada banyak harta atau wang berjuta untuk menjadi merdeka kerana memiliki jiwa merdeka bukan bermaksud bebas melakukan apa sahaja tetapi perlu menepati undang-undang negara.

Malah, sebagai seorang Muslim, paling utama anda menepati kehendak-Nya dengan menuruti setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan-Nya.

Lantas, bagaimana caranya untuk membentuk jati diri dan jiwa merdeka?

Solat

Sebagai seorang insan, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab. Tertunaikah sudah segala kewajipan dan tanggungjawab anda sebagai seorang anak, isteri, suami, kakak, adik, abang, ayah atau ibu?

Selain itu, bagaimana dengan tanggungjawab anda sebagai seorang hamba yang dipinjamkan sementara untuk menikmati hidup di dunia ini? Rata-rata individu pada hari ini, mengabaikan kewajipan terhadap pencipta-Nya.

Kewajipan yang paling nyata sering diambil mudah ialah solat. Semua individu Muslim tahu, kita perlu mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Malangnya, berapa ramaikah yang betul-betul menjalankan kewajipan solat lima waktu sehari semalam itu?

Kajian membuktikan, masalah sosial remaja meningkat kerana pengabaian solat. Bahkan, masalah yang berlaku dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan berlaku kerana pengabaian solat.

Nafsu

Apabila seseorang itu ingkar untuk solat bererti dia berani menentang Allah yang mencipta-Nya.

Dimaklumkan juga, solat merupakan tiang agama dan mampu menjauhkan diri seseorang daripada terjebak dalam perkara yang merosakkan diri.

Lantaran, tidak melaksanakan solat, mana mungkin jiwa akan betul-betul merdeka?

Saya akui, dalam kalangan mereka yang bersolat masih berlaku masalah dalam perkahwinan mereka.

Malah kita seakan-akan biasa mendengar individu bergelar ustaz atau ustazah terlibat dalam perkara melanggar etika dan akhlak.

Jangan lupa, walau ustaz atau ustazah, dia juga manusia yang serba kekurangan dan sering diuji serta digoda oleh syaitan termasuk dihasut oleh nafsu sendiri.

Maksudnya, sebagai manusia dan makhluk-Nya, kita akan sentiasa diuji dan digoda oleh syaitan yang tidak akan berputus asa untuk terus menyesatkan kita.

Malah kita 'dikawankan' dengan nafsu yang hakikat kejadiannya adalah lebih jahat daripada syaitan.

Diriwayatkan, syaitan hanya enggan tunduk kepada Nabi Adam tetapi nafsu yang dimasukkan ke dalam diri manusia enggan mengakui Allah sebagai pencipta-Nya.

Untuk mengekang nafsu yang kekal bermaharajalela 24 jam sehari dan 365 hari setahun termasuk di bulan Ramadan (syaitan dirantai ketika Ramadan), maka kita perlu meningkatkan iman dengan cara mempertingkatkan ilmu dan amal.

Ujian

Kalau kita ada ilmu agama tetapi tidak dipraktikkan, kalau ada pengiktirafan ilmu tapi tidak faham satu apapun, kalau solat tonggeng terbalik tetapi tidak faham apa yang dilafazkan, bagaimana solat kita itu boleh menjadi pelindung diri seterusnya menjadikan kita individu berjiwa merdeka?

Hidup bererti ujian. Ujian Allah kepada hamba-Nya pelbagai bukan saja kesusahan dan penderitaan malah juga kesenangan dan kegembiraan.

Ujian bermaksud sesuatu yang diizinkan Allah berlaku untuk menguji tahap keimanan kita kepada-Nya. Namun, tidak ramai yang menyedari, segala kebahagiaan, kejayaan dan keseronokan itu termasuk dalam ujian daripada-Nya.

Ramai yang merasakan mereka sedang diuji ketika merasai kesakitan.

Reda

Tidak mengapa sakit hari ini kerana percayalah Dia sedang menyediakan penyembuh untuk anda di belakang hari dengan syarat anda hanya perlu reda.

"Reda...senang dilafaz tapi sukar dilaksana." Ramai yang berpendapat sedemikian. Setuju? Memang diakui untuk melaksanakan reda tidak semudah melafazkannya.

Persoalannya, apakah yang menjadikan reda itu sukar dilaksanakan?

Jawapannya hanya satu, terima! Jika anda mahu menerima sesuatu yang berlaku dalam hidup anda sebagai takdir-Nya dengan penuh hikmah, anda mudah untuk reda sebaliknya jika enggan atau sukar untuk menerimanya, nescaya anda sukar untuk reda.

Keadaan tidak boleh menerima inilah yang menjadikan reda itu sukar buat anda. Ini bererti, tidak sukar untuk reda, hanya perlu terima kenyataan tersebut.

Semoga kita tidak sekadar melaungkan merdeka saban tahun tetapi turut mempunyai jiwa yang merdeka!

Ubat kucing ada unsur haram

Posted:

Ubat kucing ada unsur haram

Ubat kucing ada unsur haram


ANDAI kucing anda mengambil ubat yang mengandungi unsur haram, tidak perlu disamak kerana anda tidak menyentuh unsur tersebut secara terus.


SAYA ada seekor kucing dan kerana kucing tersebut mengalami masalah cirit-birit, doktor telah memberikannya ubat makan yang mempunyai kandungan unsur babi. Perlukah saya memberikannya ubat tersebut? Jika saya memberikan ubat tersebut dan kucing kemudian menjilat barang di rumah mahupun anggota badan saya, adakah saya perlu menyamaknya?

JAWAPAN:

SEKIRANYA ubat yang diberikan mengandungi bahan atau enzim babi itu merupakan satu-satunya ubat untuk merawat kucing berkenaan, maka anda haruslah memberikan ubat tersebut. Anda tidak perlu menyamak jika kucing itu menjilat barangan atau tubuh.

Ini kerana ubatan itu telah dihadamkan di dalam perut kucing tersebut dan tiada kaitan dengan lidah dan tubuh haiwan berkenaan. Walaubagaimanapun, jika anda tersentuh babi secara terus, maka perkara itulah yang wajib disamak. Wallahu a'lam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat