Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Kekalkan nikmat kemerdekaan
- Zambry bidas Koo Ham
- Tumpu aspek kebersihan makanan sepanjang Sukma - Raja Perlis
Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT Oleh SAHBULAH DARWI MUKHRIZ Mahathir (tengah) bersama para pelajar yang menyertai kayuhan Merdeka MRSM Kubang Pasu 2013 di Alor Setar, Kedah, semalam. - BERNAMA ALOR SETAR 29 Ogos - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mahu setiap rakyat khususnya golongan muda memainkan peranan bagi memastikan nikmat kemerdekaan negara terus berkekalan hingga ke generasi masa depan. Beliau berkata, rakyat perlu memahami kesusahan perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara yang dilalui pejuang-pejuang terdahulu dan dalam masa sama menghargai usaha mengisi kemerdekaan itu. "Golongan muda khususnya perlu memahami bagaimana pentingnya kita hendak mengisi kemerdekaan, memahami apa yang telah dilalui pejuang kemerdekaan sebelum ini dan apa yang kita lakukan setelah mereka. "Tidak kurang penting ialah untuk mempertahankan kemerdekaan itu, apatah lagi sebelum ini berlaku pencerobohan di Lahad Datu, Sabah," katanya dalam majlis pelepasan 47 peserta Kayuhan Merdeka MRSM Kubang Pasu di Wisma Darulaman, di sini hari ini. Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan banyak pihak terutama sekolah menjelang 31 Ogos dan 16 September ini bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan golongan muda. "Aktiviti seperti itu boleh memberi kesan yang berpanjangan kepada para pelajar tentang kepentingan tarikh tersebut kepada negara," jelasnya. Sementara itu, Mukhriz memuji semangat para pelajar MRSM yang menyertai program kayuhan berkenaan kerana boleh memupuk semangat patriotisme sejak awal usia untuk memahami perjuangan kemerdekaan negara. Pengetua MRSM Kubang Pasu, Nik Zainun Nik Abu Bakar berkata, dalam program itu para pelajarnya mengambil inisiatif mengayuh basikal sejauh 48 kilometer dari maktab itu ke Alor Setar. Menurutnya, aktiviti berbasikal itu dapat memupuk semangat dan daya tahan yang tinggi dalam kalangan pelajar sebagai simbolik memahami daya tahan pejuang kemerdekaan negara lalu. Katanya, pergerakan mengayuh basikal memerlukan kecergasan fizikal yang kuat serta semangat untuk menamatkan kayuhan sehingga ke destinasi yang ditetapkan. "Kita mahu pelajar menghayati semangat itu dengan aktiviti berbasikal kerana selaras dengan nilai teras MRSM yang kelima iaitu patriotisme yang memupuk semangat sayangkan negara," katanya. Para peserta Kelab Basikal MRSM Kubang Pasu yang dibimbing dua guru, Muhamad Zahir Yaacob dan Azaidi Abdullah itu melalui Jalan Sungai Korok, Gunung Keriang dan Pantai Johor ke Alor Setar dan berpatah balik ke MRSM dengan melalui Kepala Batas dan pekan Jitra. |
Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT IPOH 29 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membidas Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham kerana berterusan memfitnah dengan menggambarkan beliau 'merompak' tanah rakyat untuk diberikan kepada kroni dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini. Dalam masa sama, Zambry juga kesal kerana pemimpin DAP itu mendakwa kononnya beliau tidak mahu menjawab isu yang dibangkitkan itu dalam sidang DUN sejak tiga hari lalu sedangkan sebagai Menteri Besar, beliau akan menjawab semua isu yang dibangkitkan dalam sesi penggulungan esok. Ekoran itu, Zambry bertemu Koo Ham di luar sidang DUN dan mempersoal tindakannya memainkan isu tersebut kononnya sebagai 'skandal tanah terbesar dalam negara' secara berulang-ulang sejak dua tahun lalu tanpa sebarang bukti. Bercakap kepada pemberita di luar sidang DUN Perak, Zambry berkata, beliau sudah beberapa kali menjelaskan isu tersebut namun Ahli Parlimen Beruas berkenaan terus membangkitkannya dengan niat mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri. "Dua tahun sudah, saya telah ceritakan kepada rakyat. Apabila soalan ditanya (dalam sidang DUN) berapa tanah yang diluluskan, saya kata 68,000 ekar (27,518 hektar) waktu itu dan sebelum pilihan raya umum lalu masih ditanya, maka sudah meningkat kepada 120,000 ekar (48,562 hektar). "Ini menunjukkan kecekapan kita untuk meluluskan tanah kepada rakyat tetapi ia dilihat dalam konteks negatif sebagai satu kerja manipulasi, korupsi, kroni dan sebagainya," katanya. Menurut Zambry, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan pernah menjadi Exco kerajaan negeri 2008 dan beliau sepatutnya mengetahui tujuan kelulusan tanah diberikan. "Sebagai seorang kawan dan beliau pun pernah jadi kerajaan (Exco), kita tahu kelulusan tanah itu termasuk untuk tanah perkuburan, masjid, kuil, tokong, pusat-pusat, sekolah persendirian Cina, sekolah-sekolah Tamil, sekolah agama, pertanian, perusahaan dan sebagainya. Untuk hak milik sahaja, ada lebih 200,000. "Bayangkan beliau hendak saya senaraikan semua. Selama ini, tidak ada masalah untuk cari maklumat (di pejabat tanah). Kamu bayar, dapatlah maklumat itu," katanya. Terdahulu, sidang DUN Perak hari ini kecoh selepas Koo Ham membuat tuduhan keterlaluan kononnya semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) merasakan negara ini selamat kerana mereka mempunyai pengawal keselamatan peribadi, kereta kalis peluru dan rumah besar sedangkan rakyat biasa merasakan sebaliknya. Ekoran itu, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) kemudian bangkit membantah dan meminta Koo Ham menarik balik kenyataan tersebut yang dilihat bertujuan mewujudkan persepsi buruk terhadap wakil-wakil rakyat BN. |
Tumpu aspek kebersihan makanan sepanjang Sukma - Raja Perlis Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT JURURAWAT Hospital Tuanku Fauziah, Rusmira Ramli memberikan penerangan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kanan) dan Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid (dua dari kanan) selepas majlis perasmian Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Utan Aji, semalam. Turut hadir, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah), Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga dari kanan) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (dua dari kiri). - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI KANGAR 29 Ogos - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyarankan supaya aspek kebersihan dalam penyediaan makanan diberi keutamaan bagi menjamin atlet Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 dan pelancong tidak mengalami keracunan makanan sepanjang temasya sukan itu berlangsung. Sehubungan itu, titah baginda, Jabatan Kesihatan Negeri perlu mengambil langkah-langkah yang perlu iaitu pada peringkat sebelum, semasa dan selepas temasya sukan tersebut berlangsung. "Pastikan kebersihan dalam penyediaan makanan berada pada tahap terbaik di samping perkhidmatan perubatan dan kesihatan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkualiti," titah baginda dalam majlis perasmian Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Jalan Raja Syed Alwi, Utan Aji di sini hari ini. Dalam majlis itu juga baginda mengisytiharkan auditorium kompleks tersebut dengan nama 'Auditorium Datuk Dr. Syed Mahmood'. Kompleks yang dibina dengan kos RM18.5 juta itu telah siap sepenuhnya pada Julai 2011 dan mula diduduki pada 18 Ogos 2011. Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Baginda bertitah supaya semua rakyat di negeri ini mengamalkan budaya hidup yang sihat dengan mengisi masa lapang dengan aktiviti beriadah serta bersukan. "Badan yang sihat akan menjana otak yang cerdas," titah baginda. Titah baginda, makanan yang diambil dalam menu seharian juga perlu seimbang. "Beta percaya negeri yang maju bukan sahaja bersandarkan kepada pembangunan material semata-mata," titah baginda. Malah, titah baginda, tahap kesihatan rakyat juga menjadi indikator utama kepada erti tamadun yang dikecapi sesebuah negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |