{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Orkid bawa pesara keliling dunia

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my

CHE Wok Mohd. Amin menunjukkan salah satu jenis orkid yang ditanam di rumahnya di Taman Sri Rambai, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

KOTA BHARU 29 Ogos - Sebut sahaja orkid, pasti kita terbayang bunga yang cukup cantik dengan pelbagai bentuk unik.

Bunga orkid atau anggerik merupakan keluarga terbesar pokok berbunga atau dikenali sebagai Angiosperma.

Dilaporkan terdapat lebih 22,000 spesies orkid di dunia.

Rupa dan bentuk bunganya yang cantik menjadikan orkid antara pokok hiasan pilihan ramai sama ada di rumah mahupun di hotel-hotel terkemuka.

Menanam orkid sebenarnya tidak semudah yang disangka, namun bagi pasangan pesara kerajaan, Sonny Teo, 68, dan Che Wok Mohd. Amin, 65, hobi menanam orkid telah membawa mereka menjelajah ke pelbagai negara di dunia.

Sonny, bekas Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (dahulu Maktab Perguruan Kota Bharu) dan Che Wok, bekas Pegawai Pendidikan Pencegahan Dadah Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu itu pernah ke Perancis, United Kingdom, Bangkok, Singapura dan Jakarta untuk melihat keindahan bunga orkid di sana.

Difahamkan, negara terbabit banyak menganjurkan pameran dan pertandingan bunga orkid dari seluruh dunia termasuk daripada baka kacukan yang jarang ditemui.

Sonny memberitahu, daripada pemerhatiannya, terdapat lebih 2,000 spesies orkid di hutan Malaysia dan sebilangan besar hidup meliar kerana tidak ada pihak yang berminat untuk menanamnya secara komersial.

Katanya, difahamkan bilangan tersebut mewakili kira-kira 10 peratus populasi orkid di seluruh dunia.

"Orkid Malaysia sering menjadi pilihan penggemar orkid dalam dan luar negara kerana kebanyakannya tahan cuaca panas, berbunga besar dan tahan lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Rambai di sini baru-baru ini.

Berbanding tanaman lain kata Sonny, pokok orkid mempunyai keistimewaan tersendiri yang memerlukan penggemarnya mengkaji keunikan tersebut supaya dapat 'menjiwai' pokok itu sekiranya berhasrat mengusahakannya secara komersial.

"Kesesuaian pokok dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca, tanah, baja serta penjagaan yang baik bakal memastikan pokok orkid berbunga sepanjang masa," katanya.

Menurut Sonny lagi, pokok orkid akan 'merajuk' dan tidak mengeluarkan bunga serta berkemungkinan mati sekiranya 'keperluannya' iaitu baja dan lain-lain tidak dipenuhi secukupnya.

Bagi Sonny dan Che Wok, mereka menghabiskan masa kira-kira 30 tahun untuk mengkaji kaedah menanam orkid yang betul.

Namun begitu, Sonny mengakui masih berdepan kesukaran untuk mengetahui secara total ilmu berkaitan orkid disebabkan tidak banyak buku yang membicarakan secara terperinci tentang pokok tersebut.

Sonny dan Che Wok kini mempunyai lebih 30 spesies orkid termasuk daripada jenis kacukan melalui kaedah 'cuba jaya' yang dilaksanakannya sejak beberapa tahun lalu bagi menghasilkan baka yang lebih baik dan mampu mengeluarkan bunga lebih cantik serta tahan lama.

"Kepuasan melihat bunga daripada pelbagai jenis, bentuk, corak dan bauan membuatkan saya dan isteri meneruskan hobi menanam orkid sehingga kini," katanya.

Antara spesies orkid paling diminati Sonny ialah Dandrobium yang apabila berbunga mampu mengeluarkan haruman menggantikan pewangi andainya digantung di tingkap rumah.

Jelas Sonny, spesies orkid terbabit yang berasal dari hutan Sabah itu mampu dijual pada harga RM150 sepokok.

Beliau memberitahu, kebanyakan pokok orkid Malaysia apabila dikacuk mampu berbunga lebih cantik dan sering mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Mengenai orkid luar yang menjadi tarikannya, Sonny memberitahu, antaranya jenis Paphiopedilum Rothschidianum atau dikenali juga sebagai orkid tapak kasut yang banyak ditanam di Taiwan disebabkan faktor cuaca di negara itu.

Sementara jenis Phalaenopsis Amboinesis pula katanya, banyak ditanam di Thailand, manakala orkid kacukan Phaphiopedilum menjadi pilihan penanam di United Kingdom kerana pokok itu boleh mengeluarkan kuntuman bunga yang banyak.

"Jenis Cattelya merupakan spesies hutan, tetapi kini menjadi pilihan ramai kerana mengeluarkan bunga putih berbentuk besar dan cantik," katanya.

Pesara yang juga berminat dalam bidang landskap itu memberitahu, di Malaysia, orkid banyak terdapat di kawasan tanah tinggi terutama di Sabah dan Sarawak kerana cuaca di kedua-dua negeri itu sesuai untuk pembiakan pokok tersebut.

Sonny memberitahu, meskipun pokok orkid mudah ditanam, tetapi individu yang mahu menjadikan menanam orkid sebagai satu hobi, mereka perlu mempunyai minat yang tinggi dan sedikit pengetahuan tinggi pokok berkenaan.

"Dengan minat dan pengetahuan yang ada, dapat memastikan pokok orkid hidup subur dan mengeluarkan bunga dengan baik. Ini kerana, sesetengah pokok orkid memerlukan peneduh bagi mengelak terdedah kepada terik panas matahari. Tanpa peneduh, daun pokok menjadi kuning dan tidak akan mengeluarkan bunga yang cantik," jelasnya.

Menurut Sonny lagi, terdapat sesetengah pokok orkid yang boleh hidup di atas tanah tanpa perlu ditanam di dalam pasu seperti jenis vanda, arandah dan mokara, yang mampu berbunga bagi tempoh panjang setiap tahun.

Mengulas tentang hobinya, Sonny yang mewarisi minat itu daripada keluarganya memberitahu, beliau minat menanam orkid kerana tertarik dengan kecantikan bunga itu dan mampu memberi ketenangan kepadanya.

Antara kaedah atau teknik menanam pokok orkid yang beliau gunakan ialah menggunakan batang paip bagi pokok yang ditanam di atas tanah.

"Bahagian atas paip itu diletakkan botol air mineral yang dipotong bagi menempatkan baja yang akan turun ke pangkal pokok orkid secara perlahan-lahan pada sepanjang masa.

"Kami banyak mempunyai buku dan majalah dalam luar negara untuk rujukan sepanjang terlibat dalam hobi menanam orkid," katanya yang sedia berkongsi minat dengan mana-mana individu.

Pesta buku dijangka tarik 800,000 pengunjung

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

HUSSAIN Awang menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima dalam Pesta Buku Kelantan 2013 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, kelmarin. Turut hadir, Zahari Daud (kiri).

KOTA BHARU 29 Ogos - Sambutan orang ramai terhadap Pesta Buku Kelantan 2013 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak di sini amat menggalakkan apabila kira-kira 800,000 orang dijangka mengunjungi pesta itu yang berlangsung selama lapan hari hingga 1 September ini.

Di samping itu, lebih 50,000 judul buku disediakan untuk orang ramai yang kebanyakan kalangan ibu bapa dan pelajar.

Pesta buku kali ke-38 itu anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (Pustaka) dengan kerjasama Syarikat Muda Osman bertemakan Membaca Budaya 1Malaysia.

Pengarah Pendidikan negeri, Hussain Awang berkata, kesedaran yang tinggi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar tentang kepentingan membaca antara sebab mereka mengunjungi pesta itu.

Katanya, jumlah pengunjung meningkat setiap tahun, pada tahun lalu 650,000 orang mengunjunginya dalam tempoh seminggu pesta berlangsung.

"Tahun ini jumlah buku bertambah dengan pelbagai potongan harga yang menarik," katanya ketika berucap merasmikan pesta tersebut di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Azmi Ibrahim; Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Zahari Daud dan Pengerusi Eksekutif Syarikat Muda Osman, Yusoff Muda.

Hussain berkata, pengunjung kali ini bernasib baik kerana berpeluang membeli pelbagai jenis buku keluaran terbaharu yang memperkatakan tentang Ikhwanul Muslimin dan Syiah.

"Buku rujukan pelajaran, keagamaan dan motivasi pelbagai tajuk disediakan dengan jumlah yang banyak untuk dipilih di pesta buku ini," ujarnya.

Beliau berkata, dengan sambutan yang diberikan itu diharap budaya membaca dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Syiah: Penjawat awam dipantau

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 29 Ogos - Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri akan menggiatkan usaha bagi mengesan penjawat awam yang terlibat dengan fahaman Syiah supaya tindakan segera dapat diambil.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha berkata, usaha sedang dilakukan dengan meminta semua ketua jabatan membuat pemantauan bagi mengesan individu yang terlibat.

"Sekiranya mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat dengan fahaman ini, mereka akan diambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelak terus menular.

"Mereka yang terlibat akan diberi kaunseling dan tindakan seterusnya bakal diambil jika individu tersebut masih terus berdegil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyelewengan dan Bahaya Fahaman Syiah Peringkat Negeri Kelantan, di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini baru-baru ini.

Menurut Makhtar, setakat ini, penularan fahaman tersebut masih berada dalam keadaan terkawal dan hanya segelintir sahaja yang terlibat.

"Dalam pengetahuan saya, terdapat pegawai yang terlibat dengan fahaman ini walaupun tiada angka khusus berkaitan mereka yang terlibat," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Aizam Mas'od berkata, kini penyebaran fahaman Syiah di negara ini sudah menular melalui laman sosial.

"Setakat ini, kita telah mengenal pasti puluhan blog dan Facebook yang masih lagi aktif menyebar unsur-unsur yang berkaitan dengan fahaman tersebut.

"Justeru, pihak Jakim dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang menjalankan pemantauan bagi mengesan pemilik akaun berkenaan," katanya.

Katanya, secara keseluruhannya kerajaan berjaya membendung perkembangan fahaman Syiah di negara ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat