Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Sambutan Merdeka Mia, Rykarl
- Lisa mohon orang ramai tweet perkara positif
- Astrid pentingkan susu badan untuk anak
Posted: Sambutan Merdeka Mia, RykarlBERTEMU dengan kedua-dua pelakon cilik Mia Sara dan Rykarl Iskandar ketika majlis pelancaran drama berjudul Strawberi & Karipap baru-baru ini, terserlah kepetahan mereka berbicara. Apa sahaja soalan yang diajukan mampu dijawab dengan baik, tetapi mereka tetap merujuk kepada bapa masing-masing jika soalan yang diberikan sukar difahami oleh kanak-kanak berusia lapan tahun itu. Meskipun sebaya, Mia terlebih dulu menceburkan diri dalam bidang seni sejak berusia dua tahun menerusi pembabitannya dalam iklan, manakala Rykarl pula hanya mula berlakon pada usia empat tahun. Bagaimanapun, apabila digandingkan, mereka cukup serasi sebagai sahabat. Sempena sambutan kemerdekaan yang jatuh setiap tanggal 31 Ogos, Kosmo! cuba membongkar erti dan pemahaman kemerdekaan buat dua kanak-kanak ini. Tiada perang - Rykarl Ketika berbicara dengan Rykarl atau nama sebenarnya Nor Heidzriq Haikal Norhamizan, tidak terasa sedang menemu bual kanak-kanak berusia lapan tahun. Cara pemikirannya sebelum melontarkan buah fikiran kelihatan cukup matang untuk kanak-kanak seusianya. Apabila disoal tentang pengertian merdeka, tidak berfikir panjang, Rykarl terus menjawab negara aman dan tiada peperangan. "Bagi saya merdeka tiada lagi komunis atau perang seperti yang saya selalu tengok dalam filem atau drama. Saya bebas lakukan apa sahaja yang saya mahu. "Sebenarnya, guru di sekolah pun ada mengajar tentang kemerdekaan sebab itu saya tahu, kalau tidak saya ingat masa dahulu sahaja disambut merdeka, tetapi rupanya kemerdekaan disambut sampai hari ini" katanya. Namun begitu, akuinya jujur, setiap kali sambutan kemerdekaan dia hanya berpeluang menyaksikan perarakan di kaca televisyen sahaja jika mempunyai masa lapang. "Kalau saya tiada penggambaran, saya akan tengok perarakan yang dibuat waktu pagi itu di televisyen sahaja. Tahun ini saya agak sibuk, mungkin hari merdeka saya diisi dengan penggambaran drama," jawabnya.
Idam kerusi pengarah Rykarl yang bersekolah di Sekolah Rendah Islam Seri Pintar Al-Amin, Bandar Sunway menjelaskan cita-citanya apabila dewasa kelak adalah untuk bergelar pengarah atau penerbit drama dan filem. Ujarnya, walaupun penat kerana terpaksa membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran tetapi demi minat yang mendalam, dia tidak kisah melakukan dua kerja dalam masa yang sama. "Saya memang minat berlakon sejak kecil lagi, memang penat sebab bila orang lain tidur saya sibuk berlakon tetapi saya okey sahaja. "Sebenarnya bagus untuk saya terlibat dalam bidang seni pada usia yang muda kerana menerusi cara itu saya dapat memahami bidang ini dengan lebih jelas. "Sememangnya saya bercita-cita untuk bergelar pengarah dan penerbit. Jadi untuk mengejar cita-cita itu, saya harus bekerja keras daripada sekarang," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu lagi. Disoal tentang pembahagian masanya dengan pelajaran, jawabnya, disebabkan dia belajar di sekolah swasta, jadual waktunya lebih fleksibel. "Pelajaran tidak menjadi masalah untuk saya kerana jadual kerja dengan jadual sekolah boleh diaturkan oleh guru. "Bapa saya juga mengajar saya setiap hari untuk memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Walaupun sibuk berlakon tetapi pelajaran tetapi saya utamakan," tuturnya yang meminati subjek Sains di sekolah. Mia sambut Mrdeka Berbeza dengan Rykarl, saban tahun sejak popular, jadual Mia sentiasa padat pada 31 Ogos dengan undangan menghadiri majlis sambutan kemerdekaan di serata negeri. Jika tahun lalu Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan berada di Stadium Nasional Bukil Jalil dan Dataran Merdeka, tahun ini Mia berada di Melaka sempena sambutan Aidilfitri dan kemerdekaan peringkat negeri Melaka. "Saya seronok terlibat dalam sambutan Kemerdekaan sebab dapat jumpa ramai orang. Walaupun saya hadir hanya untuk memeriahkan majlis, tetapi dapat memberi kegembiraan kepada orang lain yang berjumpa dengan saya, itu sudah memadai," katanya. Apabila disoal tentang pengertian merdeka, Mia lebih banyak bergantung kepada bapanya untuk menjawab soalan itu. Walaupun begitu kata Mia, bapanya Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh sering menerangkan pengertian merdeka serta apa yang berlaku sebelum kemerdekaan kepadanya dan adik-beradiknya yang lain. "Bapa saya sering cerita kepada saya dan adik-beradik bagaimana situasi sebelum merdeka dan selepas merdeka. Sedikit sebanyak saya faham yang negara sekarang sudah tidak ada perang," ucapnya. Akuinya, sungguhpun tidak memahami sepenuhnya pengertian merdeka tetapi katanya setiap kali tiba bulan Ogos pasti banyak bendera Malaysia akan berkibar. "Masa merdeka banyak bendera akan dipasang di mana-mana sahaja. Saya juga akan dapat bendera pada majlis-majlis sambutan merdeka yang saya hadiri," ujarnya yang mula dikenali menerusi drama Adamaya.
Mia seronok berlakon Menurut bapanya, Ridhuan, anaknya itu tidak mempunyai banyak kerenah apabila di set penggambaran, bahkan anaknya juga selesa dikelilingi pelakon-pelakon yang lebih dewasa daripadanya. "Sebagai bapa, saya jaga jadualnya supaya pelajarannya tidak terjejas tetapi setakat ini apa yang saya lihat minatnya memang pada lakonan. "Walaupun dia masih kecil, dia boleh sesuaikan diri dalam persekitaran orang yang lebih dewasa. Waktu tidur tidak jadi masalah kerana dia boleh tidur pada bila-bila masa dan apabila tiba babaknya, dia akan berjaga dan berlakon seperti biasa," katanya. Tambah Ridhuan, sebelum sebarang tawaran diterima, dia akan mengkaji skrip, lokasi dan tempoh waktu penggambaran kerana kudrat pelakon kanak-kanak bukanlah seperti pelakon dewasa. "Saya akan teliti semua perkara sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran. Biasanya, saya hanya akan terima satu tawaran pada satu-satu masa sahaja kerana tidak mahu Mia penat," jelasnya. Ceritanya, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu tidak pernah dihantar ke kelas lakonan atau diajar untuk berlakon, bakatnya datang secara semula jadi. "Masa kecil, ramai kata anak saya comel dan saya cuba hantar untuk masuk iklan, tidak terfikir untuk berlakon filem mahupun drama. "Kebetulan jiran sebelah rumah yang hantarkan gambar Mia kepada produksi untuk uji bakat drama Adamaya, sejak itu Mia tidak berhenti berlakon. "Apa yang saya lihat walaupun dia kecil, dia faham sudut kamera dan pandai buat mimik muka. Walaupun, dia popular tetapi di rumah, saya tetap melayannya sama dengan anak-anak yang lain," ujar bapanya. | ||
Lisa mohon orang ramai tweet perkara positif Posted: Lisa mohon orang ramai tweet perkara positifOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA LISA SURIHANI memberitahu, tulisan positif atau tweet yang ditulis di Twitter mampu mengubah sesuatu perkara untuk direalisasikan. MENJADI seorang selebriti, lebih-lebih lagi jika popular bukan satu perkara yang mudah. Ini kerana, segala perilaku diperhatikan dan jika ia tidak disenangi oleh orang di sekeliling, mereka akan dikritik. Perihal yang sama juga terjadi kepada setiap individu. Bagi pelakon jelita Lisa Surihani, dia juga mengakui tidak terlepas dikritik peminat menerusi muat naik status di laman sosial Facebook atau Twitter. Begitu juga jika dia memuat naik gambar menerusi akaun Instagramnya, @lisasurihani23. Bagaimanapun, isteri kepada pengarah Yusry KRU itu melihat setiap apa yang berlaku dalam hidupnya daripada sudut positif. Bahkan, tutur Lisa, sikap positif yang diamalkannya itu diperoleh menerusi penglibatannya dalam kempen-kempen amal yang berbentuk positif. "Saya pernah mendapat kritikan, malah dimarah oleh peminat apabila memuat naik status Selamat Menyambut hari Natal kepada semua ahli keluarga dan kawan-kawan. Saya terkejut dan pelik kerana bagi saya ia sekadar ucapan. Tiada niat untuk menyambut perayaan tersebut. Saya juga pernah memuat naik gambar dan menerima kritikan mengenai gambar yang dimuat naik. "Itu pentingnya kempen-kempen yang menyalurkan mesej-mesej positif ini dilancarkan agar setiap orang dapat membuang sikap negatif dan menerapkan pula sikap positif dalam diri," jelas Lisa ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Hari Merdeka Astro di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengulas lanjut, kata Lisa, sejak kebelakangan ini juga banyak isu perkauman yang timbul dan ia boleh menyebabkan perpecahan antara kaum. Luah Lisa, masyarakat harus membuka mata dan menyedari isu tersebut boleh memberi kesan pada perpaduan kaum.
"Saya memohon agar setiap orang menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Saya sendiri memiliki darah Cina, India dan Bugis dan bila perkara ini terjadi, ia menyedihkan. "Saya seorang yang sentiasa bersikap positif. Disebabkan itu jika ada aktiviti atau kempen yang positif, saya akan berada di hadapan untuk menyokong," luahnya. Mengulas lanjut mengenai kempen tersebut, Lisa juga memohon agar semua orang dapat memuat naik status positif di laman sosial Twitter masing-masing dengan menggunakan hashtag #gobeyond. Ujarnya, orang ramai boleh memuat naik status seperti 'Mari Membersihkan Kuala Lumpur', dan jika status tersebut dimuat naik oleh ramai orang perkara itu akan direalisasikan. "Bukan sekadar memuat naik status yang baik tetapi kita dapat merealisasikannya," ujar Lisa lagi. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56, Astro melancarkan kempen #gobeyond dan #urmalaysianisshowing dan pelancaran muzik video bertajuk Excuse me Sir, your Malaysian is Showing. Melalui kempen itu, rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai kempen #gobeyond dan menggalakkan perkongsian hashtag #gobeyond di media sosial masing-masing. | ||
Astrid pentingkan susu badan untuk anak Posted: Astrid pentingkan susu badan untuk anakOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
JIKA ada sesetengah penyanyi yang mencuba lapangan seni lakonan selepas sukses dalam karier muzik, tetapi lain pula dengan penyanyi seberang yang popular dengan lagu Tentang Rasa, Astrid Sartiasari atau Astrid. Penyanyi berusia 31 tahun itu belum berani untuk berkecimpung dalam dunia lakonan biarpun tawaran tidak putus-putus hadir untuknya. Kata Astrid: "Saya belum berani untuk berlakon. Bagi saya berlakon itu bukan mudah. Mungkin harus ke sekolah (belajar berlakon) dulu." Kata-kata itu diluncurkan Astrid kepada Kosmo! ketika di tanya pada majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Bicara Astrid lanjut, katanya, sejak popular menerusi lagu Tentang Rasa, dia menerima banyak tawaran berlakon. Begitupun, dia masih belum berani menerimanya kerana berasakan tidak berbakat dalam bidang lakonan. Ungkapnya, biarlah dia hanya fokus kepada dunia nyanyian yang dicintanya dulu tanpa mencuba bidang lain seperti bidang lakonan mahupun pengacaraan. Sedih Melihat pada bentuk badannya yang kembali ramping selepas melahirkan anak sulungnya, Alec Djuara Djoewarsa, lapan bulan, pada 24 Disember 2012, Astrid mengakui tidak mengamalkan diet yang ketat. "Sebenarnya saya masih ingin menurunkan berat badan. Berat asal saya sebelum mengandung adalah 47 kilogram, tetapi selepas melahirkan anak adalah 49 kilogram. Saya tidak berdiet ketat cuma mengurangkan pengambilan nasi," jelasnya yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 17 kilogram selepas naik 64 kilogram ketika mengandungkan Alec lapan bulan lalu. Ujar Astrid lanjut, dia juga masih memberi sepenuhnya susu badannya kepada Alec dan berharap agar dia dapat berbuat demikian sehingga anak lelakinya itu berusia dua tahun. Mengakui agak sedih kerana stok susu badannya semakin berkurangan di peti ais, Astrid bagaimanapun masih berterusan mengepam susunya jika perlu ke keluar negara. "Sewaktu awal kehamilannya dahulu, stok susu badan ada berpuluh-puluh botol, tetapi kini semakin berkurangan. Bagaimanapun, saya tetap pastikan jika keluar negara saya mengepam susu agar Alec sentiasa mempunyai susu yang mencukupi," ujarnya dengan semangat. Konsert Kedatangan Astrid ke Malaysia selama tiga hari itu adalah untuk mempromosikan single kedua untuk album baharunya iaitu Mendua. Tuturnya, single Mendua itu turut digunakan sebagai lagu tema dalam drama, Diandra, lakonan Nur Fathia dan Aiman Hakim Ridza. Mengulas mengenai album baharunya, kata Astrid, ia bakal dipasarkan secara serentak di Indonesia dan Malaysia pada bulan Okotber ini. "Album itu merupakan album kedua saya di Malaysia, manakala di Indonesia ia merupakan album ketiga saya," ungkapnya yang berharap single keduanya itu diterima peminat Malaysia sama seperti lagu Tentang Rasa. Astrid yang masih setia menggunakan khidmat komposer Ade Govinda untuk single Mendua memberitahu, terdapat sebanyak 11 buah lagu di dalam album baharunya itu. Disoal sama ada dia berhasrat untuk mengadakan konsert di Malaysia suatu hari nanti, dengan senyuman Astrid mengakui hasrat tersebut sudah lama dipendamnya. Katanya: "Sudah lama saya teringin mengadakan konsert mini di Malaysia. Jika tiada aral, hasrat itu akan menjadi realiti pada bulan Oktober ini sempena pelancaran album kedua saya nanti." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |