Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT EKSPEDISI Jalur Gemilang, larian triathlon atlet veteran Ariffin Ali dan cabaran berjalan kaki oleh Darshini dan Rubhini, antara usaha yang dilakukan rakyat Malaysia sebagai tanda cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56. HARI Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun amat bermakna kepada rakyat Malaysia. Walaupun kemuncak sambutannya diadakan pada tanggal 31 Ogos, namun kemeriahannya sudah dirasai sebulan sebelum itu apabila pelbagai aktiviti diadakan sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, organisasi kerajaan atau swasta serta orang perseorangan. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menganjurkan aktiviti khusus. Ada yang memecah rekod dan ada yang menguji keupayaan diri. Bagi pasangan kembar Azhar dan Ahmad Ariffin, 43, tahun ini adalah kali keempat mereka meredah pesisir pantai negara bagi menjayakan Ekspedisi Jalur Gemilang. Bukan sahaja berdepan perit getir dan cabaran lautan luas, namun pasangan yang berasal dari Taiping, Perak itu berkorban wang, masa dan tenaga bagi menjayakan ekspedisi berkenaan. Pesara guru, Azizan Ali, 66, pula terus membuktikan usia lanjut bukan penghalang untuk dia meraikan hari kemerdekaan dengan cara tersendiri iaitu berlari, berbasikal dan berenang. Bagi adik beradik R. Nithya Darshini, 11, dan kakaknya, R.Nithya Rubhini, 14, mereka memilih berjalan kaki sejauh 1,373 kilometer untuk meraikan hari kemerdekaan. Program Merdeka Walk 2013 yang diilhamkan oleh bapa mereka, R. Ragu melalui 64 persinggahan dalam tempoh 25 hari sebelum berakhir di Perlis pada Khamis lalu. Bagi menyelami semangat yang ada pada insan-insan istimewa itu, wartawan S2, HAMDEN RAMLI, SHOLINA OSMAN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR serta jurugambar ZULKARNAIN SAIDIN dan MOHD. IQBAL ROSLI bertemu mereka baru-baru ini. Yang pasti meskipun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan mengerah keupayaan diri pada tahap maksimum, apa yang dilakukan adalah tanda cinta mereka kepada negara. Semoga Malaysiaku Berdaulat yang menjadi Tanah Tumpahnya Darahku terus aman, makmur dan maju jaya. |
Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT AZHAR menyiapkan bot ekspedisi Jalur Gemilang 2013, Belacak 43 di Manjung, Lumut, Perak, baru-baru ini. KETIKA anda sedang membaca rencana ini, dua adik-beradik kembar Azhar dan Ahmad Ariffin, 43, bersama dua krew tetap dan empat peserta jemputan mungkin sedang dilambung ombak. Atau jika tidak pun, mungkin mereka sedang bergelut dengan hentakan badan bot serta disimbahi cahaya matahari terik ketika meredah laut di pesisir pantai negara dengan satu matlamat, menjayakan Ekspedisi Jalur Gemilang 2013. Ekspedisi yang bakal menyaksikan kumpulan itu belayar mengibar bendera keramat Jalur Gemilang di sepanjang pesisir pantai negara bermula di Pulau Langkawi pada Jumaat, 30 Ogos menuju ke Pengkalan Kubur Kelantan, sebelum ke Sematan di Sarawak dan seterusnya ke Tawau, Sabah. Secara keseluruhannya, pasukan itu akan belayar sejauh 4,900 kilometer selama 17 hari dalam usaha mereka menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Apa yang menarik, ekspedisi kali ini akan menyaksikan sekali lagi mereka merentasi Laut China Selatan menggunakan bot yang dilengkapi dua enjin sangkut, masing-masing berkuasa 200 kuasa kuda (HP) dari Mersing di Johor ke Sematan, Sarawak. Menurut Azhar, ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian. "Kali pertama kami berjaya merentasi Laut China Selatan menaiki bot adalah pada Ekspedisi Jalur Gemilang kedua iaitu pada 2010. Masa itu... lagi mencabar kerana kami menggunakan bot kecil dengan panjang 7.3 meter dan lebar 1.5 meter serta hanya dilengkapi satu enjin" jelasnya yang berasal dari Taiping, Perak. Walaupun tidak memiliki ilmu dalam dunia pelayaran, beliau bertuah kerana kembarnya, Deputi Supritendan Ahmad yang berkhidmat bersama pasukan Polis Marin memiliki kepakaran dalam bidang navigasi laut. Apa yang lebih membanggakan, mereka bukan sekadar pelaksana ekspedisi tetapi bertanggungjawab di peringkat awal, bermula dengan membina bot termasuklah merekabentuk, membuat acuan, melapis gentian kaca, sehingga kerja-kerja akhir. Selain itu, mereka juga mencari dana penajaan dan semua itu dilakukan sendiri tanpa ada bantuan syarikat perunding atau seumpamanya. "Sebenarnya tahun ini merupakan Ekspedisi Jalur Gemilang keempat. Kali pertama pada 2009 membabitkan pelayaran dari Sandakan ke Lumut Perak menggunakan bot 7.3 meter panjang, 1.5 meter lebar dan satu enjin 200HP. "Bagaimanapun percubaan kali pertama itu terpaksa dibatalkan sebaik tiba di Kota Kinabalu kerana dilanda taufan Morakot,'' katanya yang bertugas sebagai Pengurus di Telekom Malaysia (TM). Kegagalan itu amat mengecewakan kerana ekspedisi tersebut bukan perancangan sehari tetapi telah dirancang sejak 2006 apabila idea mengenai projek itu timbul. Namun halangan khususnya kekurangan modal menyebabkan projek tersebut tertangguh sehingga 2009. Gagal pada 2009 akibat serangan taufan Morakot menyebabkan dua beradik kembar ini kembali pada 2010 bagi menyempurnakan impian yang tidak tercapai. Menggunakan bot sama yang dinamakan Belacak 24, mereka memulakan perjalanan dari Sandakan ke Lumut, Perak. Meskipun dilambung pelbagai dugaan seperti tangki minyak pecah dan diserang awan berlapis tiga dan kehabisan minyak di perairan Teluk Kemang, mereka cekal sehingga berjaya menamatkan pelayaran di Pelabuhan Klang. Ekspedisi 2010 membabitkan pelayaran sejauh 2,607 km itu melakar kejayaan manis apabila mereka berjaya merentasi Laut China Selatan menggunakan bot kecil yang digerakkan dengan hanya satu enjin. "Kejayaan ini membuktikan bahawa sebenarnya Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Srawak tidaklah terlalu jauh seperti disangka selama ini," ujarnya yang juga merupakan penerima Anugerah Inovasi Negara 2009. Kejayaan ekspedisi kedua itu tidak menghentikan semangat Azhar dan Ahmad untuk terus mengibar Jalur Gemilang di sepanjang perairan negara. Berehat pada 2011 untuk mengumpul dana, mereka kembali ke laut tahun lalu. Kali ini menggunakan bot lebih besar dengan panjang 11.3 meter, 2.3 meter lebar serta dilengkapi dua enjin masing-masing 200HP. "Tahun lalu jarak lebih jauh iaitu 4,061 kilometer dari Tawau ke Kuala Perlis. Ekspedisi ini tidak kurang mencabar apabila bot kami pecah ketika berada di perairan Miri. "Ini menyebabkan bot terpaksa dibawa naik ke daratan untuk dibaiki sehingga menyebabkan jadual perjalanan terlewat selama lima hari" katanya. Menurut Azhar, pendekatan ekspedisi menggunakan bot digunakan kerana usaha seperti itu belum dilakukan orang. "Kita biasa mendengar konvoi Jalur Gemilang menaiki kereta tetapi tidak jika menggunakan bot. Berdasarkan sambutan masyarakat pesisir pantai, mereka amat menghargai ekspedisi ini kerana ia secara tidak langsung membawa kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan terus kepada mereka," tambahnya. Ditanya apa yang mendorong mereka untuk terus turun ke laut, katanya, "ini adalah cara kami meraikan Malaysia, setahun sekali." "Lagipun, bersama kembar, apabila kami bergabung, kami menjadi lebih kuat, bertambah kreatif untuk melakukan yang terbaik," katanya. Menurutnya, apa yang dilakukan oleh dia serta adiknya sejak lima tahun lalu tidak akan berjaya tanpa sokongan kawan-kawan yang meminjamkan peralatan seperti enjin dan kelengkapan membuat bot dan majikan yang membenarkan dia mengambil cuti tanpa gaji bagi meneruskan misi menyemarakkan ulang tahun kemerdekaan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |