Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Misi raih gelaran Piala Asia gagal Posted: Misi raih gelaran Piala Asia gagal
MALAYSIA terpaksa melupakan hajat menjuarai Kejohanan Hoki Piala Asia buat kali pertama selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi. Kealpaan benteng pertahanan sekali lagi memakan diri skuad kendalian Paul Revington itu apabila gagal menghalang India menjaringkan dua gol, masing-masing satu menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan padang. "Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik tetapi jelas nasib tidak memihak kepada Malaysia. "Apa pun kita juga berjaya mencipta beberapa peluang terbaik tetapi masih gagal memanfaatkannya. "Bagi aksi penentuan tempat ketiga/keempat menentang Pakistan Ahad ini, kami akan cuba untuk beraksi dengan lebih baik dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," jelas Revington. Pada aksi malam tadi, gol pertama India hadir menerusi jaringan pakar pukulan sudut penalti, V. R. Ragunath seawal minit kelapan manakala gol kedua hasil sumbangan Mandeep Singh pada minit ke-60. Terdahulu, juara Piala Asia 2009, Korea Selatan menempah tiket ke final selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Pakistan dalam satu lagi pertembungan separuh akhir. Kekalahan itu merupakan tamparan hebat buat Pakistan yang terpaksa melupakan impian beraksi pada kempen Piala Dunia 2014. Kedatangan Pakistan ke Ipoh bertujuan menjuarai Piala Asia bagi menempah tiket secara automatik ke Belanda. Ia merupakan kegagalan pertama Pakistan beraksi pada Piala Dunia sejak edisi 1971 di Barcelona, Sepanyol yang mana mereka pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak empat kali. Jurulatih Pakistan, Tahir Zaman menyifatkan kekalahan tersebut sebagai hari paling malang buat skuad kendaliannya. "Kami amat kecewa kerana tidak dapat beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia," jelas Tahir. Biarpun belum mengesahkan kejuaraan Piala Asia kali ini, Korea Selatan terlebih dulu muncul pasukan pertama dalam 'senarai menunggu' layak beraksi pada Piala Dunia 2014 setelah Argentina menjuarai Piala Pan Amerika bulan lalu. Pasukan kedua 'senarai menunggu' - Sepanyol pula layak setelah Jerman menjuarai Piala Eropah baru-baru ini manakala Malaysia layak ke Belanda jika Australia dan New Zealand menjuarai Piala Oceania pada Oktober depan. Dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, Jepun berjaya menumpaskan Bangladesh 3-0. Oman pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Taiwan 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 70 minit perlawanan sebenar. | |
Posted: Rela bayar gaji pengadilOleh MAZLINA ABDUL MAJID PRESIDEN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka menyatakan kerelaannya untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membayar khidmat pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga M) jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mampu membiayai gaji mereka. Tunku Ismail berkata, kenyataannya bukan untuk memperlekeh sesiapa tetapi apa yang dilakukan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak Malaysia. Pada hemat Tunku Ismail, beberapa cara pengadilan yang dipraktikkan oleh pengadil di negara ini terlalu lemah disebabkan atas dua faktor utama iaitu berpunca daripada kurangnya pengetahuan atau dihantui masalah rasuah. "Saya tiada agenda peribadi dan saya tiada niat untuk menentang FAM tetapi bagi saya, mereka perlu tegas. "Saya percaya orang ramai mahu satu tindakan diambil dan FAM perlu membuktikan integritinya," kata Tunku Ismail pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam. Menurut Tunku Ismail, isu pengadil 'berat sebelah' juga bukan satu perkara baharu dan beliau bertekad untuk terus memperkatakan tentang isu berkenaan selagi FAM tidak mengambil langkah-langkah serius mengatasinya. "Ia bukan satu masalah yang tidak boleh diselesaikan tetapi apabila wujud sifat tidak amanah oleh individu dalaman yang tidak bertanggungjawab, ia sekali gus mampu menghancurkan masa depan arena bola sepak tempatan," ujarnya lagi. Tunku Ismail turut mengingatkan para pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) mahupun Johor agar tidak terjebak dengan gejala bookie dan mengatur perlawanan bagi mengelak diri mereka disingkirkan serta merta. Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail berkata, pihaknya telah menghantar aduan secara bertulis serta bukti dalam bentuk rakaman yang dimuatkan dalam cakera padat kepada FAM berhubung mutu pengadilan. "Namun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diterima. "Jika sudah tidak berminat untuk mentadbir dengan penuh integriti, beri peluang kepada orang lain yang lebih berkelayakan, (pegawai FAM) sila letak jawatan dan biarkan ia diisi oleh individu lain yang lebih layak menjawatnya. "Saya lihat, kualiti permainan oleh para pemain semakin meningkat tetapi sayangnya ia dicacatkan pula mutu pengadilan yang tidak memuaskan," katanya. Mengenai video yang antara lain merakamkan tindakannya memarahi seorang pengadil yang tersebar luas dalam laman sosial baru-baru ini, Tunku Ismail menegaskan, ia merupakan satu tuduhan semata-mata. Tunku Ismail menjelaskan, beliau hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada pengadil terbabit yang pada pandangannya telah membuat keputusan salah ketika mengadili aksi Piala Malaysia antara Johor DT dan Felda United. "Saya bukan memarahi pengadil itu, saya hanya mahukan jawapan atas beberapa keputusan pengadil itu. "Saya yakin keputusan pengadil itu tidak patut dikenakan terhadap pemain Johor DT dan hingga kini saya menunggu jawapan yang sewajarnya dan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya," katanya. | |
Posted: Negeri Sembilan idam kejutanOleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI MODIBO (kanan) bersaing dengan Nwakaeme pada saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Selasa lalu. ATAS kertas, Negeri Sembilan diramal menghadapi misi sukar apabila menentang penyandang juara, Kelantan pada aksi keempat Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. Bagaimanapun, skuad Hoben Jang Hoben itu tidak mahu menyerah awal sebelum bertandang ke gelanggang keramat skuad The Red Warriors. Bagi pengendali sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah, biarpun menyedari Kelantan sukar dijinakkan apabila beraksi di laman sendiri, namun beliau tetap percaya The Red Warriors masih mampu ditumbangkan di hadapan penyokong sendiri. "Saya akui bermain di gelanggang lawan terutama di Kota Bharu adalah tugas yang sukar buat mana-mana pasukan tetapi kami tidak gentar dan kami akan bermain mengikut cara kami sendiri. "Seperti yang kita ketahui, hanya satu atau dua pasukan yang pernah menang di Kota Bharu. "Namun, apa yang penting kami akan mengekalkan corak permainan kami dan berharap ia mampu membuahkan hasil," kata Ridzuan ketika dihubungi Kosmo! semalam. Ridzuan juga menyeru anak-anak buahnya supaya bermain bersungguh-sungguh dan memberi komitmen penuh dalam perlawanan getir itu. "Saya yakin sekiranya semua pemain berusaha tanpa jemu kita mampu memberi saingan dan seterusnya membawa pulang mata berharga. "Apa yang penting para pemain perlu meningkatkan lagi tahap permainan dan prestasi kerana saingan kini semakin sengit," jelasnya. Sebagai rekod, pertemuan antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi minggu lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1. Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Ridzuan memberitahu, benteng pertahanan Negeri Sembilan sedikit pincang ekoran penggantungan pemain pertahanan dari Cameroon, William Modibo selepas mengutip dua kad kuning. "Kehilangan Modibo sudah pasti membuatkan benteng pertahanan kami sedikit goyang tetapi saya sudah mengenalpasti pemain yang mampu mengisi kekosongan itu. "Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadikan alasan itu menjejaskan persiapan kami kerana Kelantan juga dikhabarkan kehilangan penyerang utama mereka, Dickson Nwakaeme akibat kecederaan," jelasnya. Menurutnya, walaupun Kelantan kehilangan penyerang utamanya tetapi The Red Warriors masih mempunyai beberapa penyerang merbahaya yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak buahnya. Negeri Sembilan kini berada di tangga ketiga Kumpulan C di belakang Kelantan dan Pahang selepas mengutip empat mata daripada tiga perlawanan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |