{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Dari pekan koboi ke bandar satelit

Posted:

Dari pekan koboi ke bandar satelit

Dari pekan koboi ke bandar satelit

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
ahad@kosmo.com.my

PAPAN tanda 'Air Jando Pulang' yang dipasang di sepanjang jalan dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah bagaikan memanggil-manggil orang ramai untuk mencuba minuman signatur Negeri Sembilan itu.

Ia merupakan campuran air dan isi kelapa muda halus yang ditambah gula enau. Air jando pulang laris dijual khususnya pada bulan puasa di kebanyakan tempat di negeri Adat Perpatih itu.

Menurut pengkaji sejarah Negeri Sembilan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, air jando pulang disediakan dengan bahagian bawah sebiji kelapa muda ditebuk besar dan dikeruk isinya menggunakan sudu dan dipindahkan ke bekas lain.

Airnya juga dipindahkan dan dicampur nira enau cair secukup rasa. Air yang sudah dikacau sebati itu dimasukkan semula ke dalam buah kelapa yang asal berserta isinya. Kemudian, buah beluluk dalam bentuk halwa ataupun yang sudah diproses turut dimasukkan.

Setelah dikacau di dalam buah kelapa tadi, barulah ia dinikmati seenaknya.

"Proses keluar masuk tadi diibaratkan perpisahan suami isteri hingga isteri bergelar janda tetapi rujuk semula.

"Buah beluluk berperanan sebagai pengimbang rasa bagi mengelakkan air jando pulang terlalu manis atau meloyakan," katanya.

Kuala Pilah bukan sahaja tempat kelahiran Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman, malah daerah itu terkenal dengan warisan budayanya baik dari segi makanan, seni bina mahupun adatnya.

Seorang peniaga, Mohd. Shafie Jalaludin, 33, berkata, laluan di antara Kuala Pilah dan Seremban popular dalam kalangan pengunjung yang mahu mendapatkan hasil kampung seperti daging salai, belacan, petai, gula enau dan telur masin.


MASYARAKAT Negeri Sembilan terkenal dengan makanan unik seperti itik dan daging salai yang banyak dihasilkan di Kuala Pilah.


Produk salai

"Daging, itik dan ayam salai merupakan makanan paling dicari di sini. Ada pelanggan yang mesti singgah di gerai saya setiap kali dia melalui jalan ini untuk pulang ke Pantai Timur. Dia tidak dapat tinggalkan daging salai," ujarnya.

Seorang kakitangan swasta di Kuala Lumpur, Abdul Rahim Ujang, 53, memberitahu, dia sanggup pergi ke Kuala Pilah hanya untuk membeli produk salainya.

Katanya, keistimewan hidangan itu kerana ayam atau itik di situ disalai menggunakan kayu sekali gus membangkitkan aromanya.

Di sebalik deretan gerai tradisional tepi jalannya, gerai Coconut Shake Eden Cowboy boleh dikatakan telah mengubah landskap gastronomi di sepanjang laluan sejauh 15 kilometer dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah. Gerai itu didirikan bersebelahan rimbunan buluh di Tanjung Ipoh.

Coconut shake ialah minuman generasi baharu yang dihasilkan daripada air dan isi kelapa yang selalunya ditambah aiskrim.

Kemunculan beberapa gerai coconut shake itu seolah-olah membayangkan bahawa Kuala Pilah kini sudah mengalami transformasi gaya hidup di samping kemajuan insfrastruktur.

Transformasi pekan Kuala Pilah boleh dilihat menerusi penyediaan kemudahan awam meliputi jalan raya, hospital dan institusi pendidikan.

Pembinaan Hospital Tuanku Ampuan Najihah pada tahun 1995 yang serba moden bagi menggantikan Hospital Kuala Pilah yang berusia lebih 100 tahun adalah antara projek yang bertujuan mensejahterakan rakyat.


TAMAN Rekreasi Ulu Bendul menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.


Pembangunan

Daripada sebuah pekan koboi, Kuala Pilah sudah pun menjadi bandar satelit yang membangun dengan begitu pantas terutamanya setelah jalan baharu Seremban-Kuala Pilah siap dibina beberapa tahun lalu.

Bandar Kuala Pilah boleh dikatakan lengkap dengan infrastruktur moden, apatah lagi kedudukannya begitu strategik dan menjadi tumpuan ramai kerana terletak di antara Bahau dan Seremban. Ia merupakan laluan pengguna jalan raya yang ingin ke negeri Pantai Timur.

Sebuah Klinik 1Malaysia turut dibina di kawasan Melang bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan dengan bayaran yang minimum.

Pembinaan pasar raya seperti Giant dan Econsave serta penubuhan institusi pendidikan di situ juga telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan penduduk.

Antara institusi pendidikan itu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kuala Pilah, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dan Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.

Seorang penduduk, Ali Abd. Rahman, 63, berkata, kewujudan pusat pendidikan itu telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat selain peluang perniagaan.

Katanya, dengan adanya kemudahan seperti itu, anak tempatan dapat memohon pekerjaan manakala peniaga boleh menjual produk tempatan kepada orang luar yang berkunjung ke situ.

AIR jando pulang dianggap minuman signatur Negeri Sembilan. Ia begitu terkenal di Kuala Pilah.


"Kalau dahulu sebuah hotel sahaja yang ada di Kuala Pilah, namun sekarang ia telah berubah kerana semakin ramai pengusaha hotel, inap desa dan gerai wujud khususnya apabila UiTM dan kolej matrikulasi dibina di sini," kata Ali.

Warisan budaya, jalan lama Bukit Putus yang bengkang-bengkok serta air terjun dan hutan tebal yang dimilikinya sering membuatkan jalan raya di Kuala Pilah sesak khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

Dengan perkembangannya sekarang, lagu Apo Nak Dikato nyanyian Blues Gang pada tahun 1980-an yang menggambarkan pekan Kuala Pilah sebagai sunyi sepi kerana tidak ramai orang mungkin tidak lagi relevan. Kuala Pilah terus membangun tanpa meninggalkan warisan budaya kebanggaannya.

Monyet gempur kampung di Thailand

Posted:

Monyet gempur kampung di Thailand

Monyet gempur kampung di Thailand


DUA ekor monyet berlari untuk memasuki rumah di Kampung Khlong Charoen Wai di wilayah Chachoengsao pada 15 Julai lalu.


DI Kampung Khlong Charoen Wai di Thailand, rumah-rumah diceroboh, barang-barang makanan dan ubat-ubatan dicuri oleh sekumpulan monyet.

Kira-kira 150 buah rumah di kawasan penternakan udang di wilayah Chachoengsao, 80 kilometer dari Bangkok diceroboh sekumpulan monyet berekor panjang sejak sedekad lalu.

Haiwan-haiwan yang dikenali sebagai monyet laut itu menceroboh selepas semakin banyak kolam penternakan udang terdapat di kampung tersebut.

Monyet-monyet itu sukar untuk mencari makanan kerana sejumlah pokok ditebang dan hutan telah dibersihkan untuk tujuan pembinaan kolam penternakan udang.

"Sebelum ini, monyet-monyet tersebut mudah mencari makanan tetapi kawasan hutan yang semakin berkurangan menyebabkan haiwan-haiwan itu mencari makanan di dalam rumah," kata ketua kampung, Chatree Kaencharoen.

Dia juga menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa orang penduduk kampung yang memberi makan kepada monyet tersebut.


BEBERAPA ekor monyet duduk di atas jambatan buluh di kampung itu.


Sebahagian penduduk terpaksa memasang jaring di sekeliling rumah mereka dan menutup tingkap walaupun cuaca panas.

"Monyet-monyet itu pernah menjatuhkan sebuah televisyen. Haiwan tersebut juga mencuri periuk nasi sebelum membukanya untuk memakan nasi yang terdapat di dalamnya," kata Chatree.

Menurut seorang penduduk, Chaluay Khamkajit, haiwan-haiwan itu memasuki rumahnya semasa dia sedang tidur.

"Monyet-monyet itu mengambil minyak masak, gula dan ubat-ubatan yang saya sembunyikan di dalam kabinet.

"Kadangkala, beberapa ratus ekor monyet datang serentak terutamanya pada waktu subuh dan senja apabila cuaca semakin sejuk," katanya.

Chaluay berkata, haiwan itu mengambil makanan daripada rumahnya.

"Saya boleh membeli makanan lain. Namun, ubat-ubatan amat penting buat saya," katanya.


SEEKOR monyet memanjat sebatang pokok di kampung tersebut.


Wanita berusia 72 tahun itu menyatakan, dia dan suaminya telah menggunakan pelbagai peralatan buatan sendiri untuk mengusir haiwan tersebut.

Pengarah Pertubuhan Dana Pemuliharaan Alam Semula Jadi (WWF) di Thailand, Petch Manopawitr menyatakan, penduduk telah menceroboh habitat monyet itu.

Menurutnya, pencerobohan itu menyebabkan haiwan tersebut berkeliaran sekali gus meningkatkan tindak balas antara manusia dengan monyet.

"Monyet spesies Macaques boleh mengubah perilaku selain mampu mempelajari sesuatu perkara sama seperti manusia.

"Monyet-monyet itu akan datang ke tempat yang sememangnya diketahui haiwan itu boleh memperoleh makanan," katanya.

Pihak berkuasa cuba untuk mengatasi masalah monyet tersebut dengan melakukan misi pemandulan haiwan tersebut.

Namun, misi itu masih gagal untuk mengatasi masalah pencerobohan haiwan itu kerana tindakan itu gagal untuk menghalang perbuatan monyet itu. - AFP

Pelawak mahir 10 bahasa

Posted:

Pelawak mahir 10 bahasa

Pelawak mahir 10 bahasa

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my


ATHERTON pernah dibaling dengan botol oleh penonton di sebuah kelab malam di London, England pada awal 1980-an.


BERTEMU dan berbual mesra dengan pelawak kelahiran Brisbane, Australia, Jonathan Atherton sebenarnya agak menyulitkan kru Jurnal.

Kesulitan itu bukan berkisar tentang masa temu janji atau lokasinya yang sukar.

Namun, lelaki yang berusia 54 tahun ini tidak berhenti-henti membuat lawak jenaka sehingga penulis tidak dapat menahan ketawa sepanjang pertemuan dengannya di Hotel Ancasa & Spa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ada sahaja ceritanya yang membuatkan penulis tidak kering gusi bila mendengarnya.

Mungkin telatah Atherton itu terbentuk kerana profesionnya sebagai seorang pelawak yang menjadi darah dagingnya selama lebih 20 tahun.

Namun, ada ketikanya, Atherton kelihatan serius.

Kampung

Terdapat keistimewaan pada lelaki yang mempunyai dua orang anak ini.

Walaupun menghiburkan penonton di pentas, dia mampu bertutur dengan baik dalam 10 bahasa termasuk bahasa Inggeris.

"Kelebihannya itu mungkin kerana saya pernah bekerja sebagai pelakon, pengacara, jurubahasa, guru bahasa dan penasihat duta di lebih 10 buah negara seperti Laos, Kemboja, Jepun, India, Thailand dan Indonesia.

"Disebabkan menetap selama beberapa tahun di negara-negara tersebut, saya dapat menguasai bahasa ibunda negara itu dengan baik," ujarnya.

Sepanjang perbualan, Atherson bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan Cina.

Rahsia pelawak itu menguasai bahasa tersebut adalah kerana dia lebih gemar untuk tinggal di kawasan kampung atau luar bandar yang penduduknya tidak mahir bertutur dalam bahasa Inggeris

"Saya mengajar mereka (penduduk luar bandar) bahasa Inggeris manakala saya pula mempelajari bahasa ibunda mereka.

"Win-win situation bukan....," tambah Atherton.

Individu yang pernah menjadi pengacara rancangan Lonely Planet saluran dokumentari televisyen Discovery Channel ini bercadang untuk mengembangkan kerjanya di negara ini.

"Saya merancang untuk menetap di Bangsar, Kuala Lumpur.

"Suasana di sini lebih meriah. Rakyatnya berbilang kaum serta peramah," ujarnya.

Dia juga ingin berkongsi mengenai keistimewaan Malaysia.

ATHERTON dan selebriti Bollywood, Lara Dutta semasa membuat persembahan di New Delhi, India baru-baru ini.


Baling botol

"Saya pernah menetap di Uganda selama empat tahun. Peluang membuat persembahan di Kuala Lumpur turut menemukan saya dengan penduduk dari negara itu (Uganda).

"Sebaik sahaja berbual dengan mereka dalam bahasa Uganda, mereka agak terkejut. Mereka bertanya sama ada saya orang putih atau Afrika," katanya sambil ketawa.

Atherton juga mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Tamil.

Bercerita bagaimana dia boleh bergelumang dengan dunia komedi, lelaki ini yang mempunyai ijazah dalam bidang undang-undang dari University of Queensland, Australia menyatakan, dia gemar membuat lawak jenaka sejak zaman sekolah lagi.

"Ayah inginkan saya menjadi peguam tetapi saya menjadi pelawak pula. Tidak mengapa, asalkan saya masih mempunyai pekerjaan.

"Realitinya, semasa bersekolah, saya sering membuat lawak jenaka kepada rakan-rakan sekolah," katanya.

Berbicara cara-cara menjadi seorang pelawak yang baik Atherton berpendapat, tiada syarat atau petua khusus untuk tujuan itu.

"Mungkin pengalaman bekerja dan mengembara hampir di seluruh dunia telah menyebabkan saya memperolehi 'ilmu dunia' terutamanya tentang cara-cara berkomunikasi secara langsung atau tidak langsung.

"Saya juga sedang giat belajar menghormati adat resam sesebuah negara," katanya.

Tujuan dia mempelajari adat resam itu adalah bagi mengelakkannya bersikap tidak beradab.

Semasa di peringkat awal kerjayanya, Atherton pernah dibaling botol oleh penonton yang menyaksikan persembahannya di sebuah kelab malam di London, Britain pada awal 1980-an.

"Semasa itu pertandingan bola sepak Piala Dunia berlangsung. Saya memperkecilkan pasukan bola sepak England dan melebihkan pasukan Australia.

"Natijahnya, saya dibaling botol sehingga mengenai kepala. Saya terpaksa dibawa keluar dengan beberapa orang pengawal keselamatan melindungi saya.

"Lucunya, bayaran untuk persembahan itu juga tidak dijelaskan," ujarnya.

Sisi manis pula, dia pernah mendapat bayaran RM40,000 hanya untuk sesi komedi selama 15 minit.

"Saya dibayar sebanyak itu oleh seorang hartawan dari Asia Barat yang membuat sambutan ulang tahun kelahirannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur berberapa tahun lalu.

"Pendapatan yang saya terima agak lumayan malah hanya boleh dikatakan saya bekerja untuk satu atau dua jam sahaja. Hebat bukan!," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat