{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


NFCorp: Mahkamah tolak permohonan Mohamad Salleh

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail untuk menukar syarat jaminan asal berhubung kes pecah amanah yang dihadapinya membabitkan sejumlah RM49.7 juta empat tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas mendengar hujahan yang dikemukakan peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohamad Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili pihak pendakwaan.

Dalam permohonannya, Mohamad Salleh memohon penjamin asal iaitu anak lelakinya, Wan Shahinur Izmir, ditukar kepada isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan wang jaminan RM500,000 dikembalikan dengan diganti cagaran sebuah tanah bernilai RM2.5 juta di Bukit Damansara, di sini.

Dia turut memohon pasport antarabangsanya yang kini dalam simpanan mahkamah dilepaskan secara kekal.

Wan Shahrizal berhujah, nilai tanah yang dicadangkan itu adalah lebih besar berbanding jaminan asal berkenaan malah lebih daripada jumlah tawaran dan memadai untuk mahkamah mengambil kira sebagai jaminan kehadiran Mohamad Salleh ke mahkamah.

Katanya, pemohon tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri dari negara ini atas faktor umur yang kini berusia 65 tahun, anak-anaknya yang dibesarkan di Malaysia serta isterinya yang merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

''Pemohon adalah pemilik bersama tanah berkenaan justeru wujud alasan munasabah untuk mahkamah mengambil kira permohonan ini,'' katanya.

Walau bagaimanapun, Awang Armadajaya membantah permohonan tersebut dengan alasan nilai cadangan RM2.5 juta yang dikatakan lebih besar berbanding RM500,000 adalah tidak tepat kerana jaminan asal itu berserta pasport yang tidak ternilai.

''Adakah wujud sebab luar biasa mengapa pemohon boleh dan wajar diberi layanan istimewa kerana berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak sama rata, dalam kes ini kesamarataan itu terpakai,'' tegas beliau.

Katanya, setelah melihat semua afidavit yang menyokong permohonan itu pihak pendakwaan mendapati tiada sebarang sebab khas bagi membolehkan syarat-syarat jaminan berkenaan dipinda.

Pada 12 Mac 2011, Mohamad Salleh mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit kondominium One Menerung dan memindahkan sebahagian wang tersebut ke akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd. bagi kegunaan syarikat itu.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965 kerana melakukan kedua-dua transaksi tersebut tanpa kebenaran mesyuarat agung NFCorp pada tarikh dan tempat yang sama.

Penganggur dituduh bunuh pengusaha salun

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Toh Kian Peng (depan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam atas tuduhan membunuh seorang pengusaha pusat kecantikan, dua minggu lepas. - BERNAMA

JOHOR BAHRU 30 Ogos - Kematian seorang pengusaha salun kecantikan yang mayatnya ditemui dalam keadaan ditikam dan dikelar berakhir dengan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh mangsa, hampir dua minggu lalu.

Toh Kian Peng, 37, didakwa membunuh Liew Oi Mei, 39, dengan menggunakan sebilah pisau di Cinderella Beauty Centre di nombor 25, Jalan Indah 1/1, Taman Bukit Indah di sini pada pukul 11.30 pagi, 17 Ogos lalu.

Tertuduh dari Pekan Nanas, Pontian dan mempunyai seorang anak perempuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Beliau turut menetapkan sebutan kes pada 30 September ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Ashraff Mohd. Diah.

Memetik laporan akhbar, wanita itu ditemui mati terlentang dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dan dikelar di premisnya kira-kira pukul 11.30 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa ditikam sebanyak dua kali di perut dan turut dikelar empat kali di leher serta masing-masing satu di belakang badan serta pergelangan tangan kanan.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar