{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Perlukah sejarah ditulis semula?

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

HARI Sabtu ini adalah ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Tarikh yang mengingatkan kita bagaimana jerihnya perjuangan pemimpin terdahulu untuk menentukan haluan negara, dari sebuah negara yang rakyatnya dikatakan tidak mampu membuat sebatang jarum", dalam tekad dan kesungguhan akhirnya Malaysia menuju ke tahap negara maju.

Kejayaan membina negara bangsa yang berdaulat, yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik memerlukan pengorbanan dan kesungguhan, menterjemahkan hasrat rakyat menjadi hasrat negara, adalah satu petunjuk bahawa penglibatan rakyat yang aktif dan berkesan. Tanpa kerjasama setiap rakyat, suatu kerangka yang baik akan bertukar menemui kegagalan.

Rakyat Malaysia boleh meneladani apa yang sedang berlaku di Mesir. Kemerdekaan yang mereka dapatkan dari penjajahan hanyalah kemerdekaan secara simbolik sahaja kerana hakikatnya rakyat tidak merdeka dari suasana negara yang damai dan aman. Kuasa-kuasa luar selalu membayangi perjalanan kerajaan mereka. Tiga presiden Mesir adalah dalam kalangan tentera (Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak) dan Dr. Mohamad Mursi merupakan kalangan orang awam yang pertama menduduki jawatan itu.

Bagaimanapun, hayat pentadbiran Mursi hanyalah kekal selama setahun lima hari, beliau ditumbangkan oleh tentera, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Sebulan sebelum Mursi digulingkan, Amerika Syarikat menyalurkan bantuan lebih satu bilion dolar kepada pihak tentera manakala presiden yang dipilih oleh 61 peratus pengundi pada bulan Jun 2011, masih gagal membawa pelaburan bernilai dua bilion dolar dari negara-negara Arab. Mursi terus dikuasai oleh Ikhwanul Muslimin, akibatnya pada bulan sebulan sebelum disingkirkan, berlaku tunjuk perasaan mendesak beliau mengundurkan diri.

Semasa berucap menerima jawatan Presiden Mesir, Mursi telah berjanji akan membantu memulihkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan yang besar, dan dengan itu rakyat akan memperoleh peluang pekerjaan di samping menyediakan perumahan untuk rakyat.

Sayangnya, semua janji tersebut tidak berjaya dilaksanakan kerana Mursi hanya menumpukan seluruh keupayaannya untuk mengukuhkan kedudukan Ikhwanul Muslimin.

Apa yang dapat kita pelajari bahawa menguruskan sesebuah negara bukanlah satu perkara yang mudah, tidak sekadar boleh berjanji kepada rakyat. Rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji, kerana rakyat memerlukan suasana kehidupan yang lebih baik dan nasib mereka akan berubah.

Berlainan dengan landasan tindakan yang diambil oleh pemimpin Malaysia. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, azam pemimpin ialah membasmi kemiskinan menerusi potensi sumber manusia dengan menggerakkan setiap daripada mereka bersekolah, kerana percaya pengetahuan bakal mengubah nasib seseorang.

Sejak merdeka, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membina infrastruktur, daripada kemudahan kesihatan, pendidikan dan sosial hinggalah mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat bahkan merupakan negara yang paling cepat berjaya melepaskan kemelesetan. Ia didorong oleh pertumbuhan domestik yang mapan dan terus meningkat

Sejak merdeka, Mesir tidak membangunkan pertumbuhan ekonomi domestik yang tinggi, kerana terus mengharapkan bantuan dan sumbangan dari luar. Lebih separuh penduduk Mesir hidup dalam kemiskinan, dan sebahagian besar ekonominya bergantung kepada kemasukan pelancong asing.

Sejak revolusi yang membawa kepada penyingkiran Hosni Mubarak, sektor pelancongan terjejas teruk menyebabkan sebahagian rakyat mula mempersoalkan keberkesanan Mursi memulihkan ekonomi.

Ada setengah pemimpin politik merasakan bahawa ideologi yang mereka bawa itu lebih baik dengan kepentingan politik mereka, didesak agar sejarah nasionalisme negara ditulis semula agar haluan politik kiri yang tidak bersendikan ketuanan Melayu" diterima sebagai dominasi nilai baharu yang bersendikan prinsip kebebasan dan meritokrasi.

Hasrat mereka adalah jelas kerana dengan menghapuskan ketuanan Melayu", negara ini akan memperlihatkan prinsip pemerintahan yang lebih adil dan saksama. Bagi mereka, oleh kerana pertubuhan politik masih berasaskan perkauman, ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang lebih baik dan berkesan.

Pemimpin politik yang berjuang untuk menghapuskan ketuanan Melayu" itu sebenarnya merupakan kelompok yang menikmati kedudukan lebih baik daripada perjuangan pemimpin Melayu sebelumnya, meletakkan dasar dan kepentingan membangunkan ekonomi Melayu.

Misalnya, berdasarkan latar belakang keluarga, Tan Sri Khalid Ibrahim banyak memperolehi kekayaan peribadi menerusi dasar tersebut, daripada seorang sederhana beliau menjadi seorang yang memiliki saham dan aset jutaan ringgit.

Kegagalan Mursi melaksanakan apa yang pernah dijanjikan membawa padah yang besar, kerana usaha Amerika Syarikat untuk kembali mencaturkan politik Mesir dan menjaga kepentingan Israel menerusi dokongan tentera semakin jelas. Amerika Syarikat tetap memerlukan Mesir walaupun dari segi sumber ekonomi, Mesir tidak mempunyai produk yang banyak, Mesir adalah pangkalan strategik menyekat ideologi politik Islam.

Ramai yang percaya ideologi politik yang sedang dikembangkan oleh pakatan pembangkang tidak mampu meraih sokongan sebahagian besar masyarakat, ia dikhuatiri dipengaruhi oleh beberapa pertubuhan asing yang mahu menjadikan Malaysia porak-peranda. Mereka mahukan Malaysia sebagai negara yang mudah dikuasainya kerana mempunyai sumber bahan mentah yang banyak, kesuburan tanah dan flora dan fauna yang boleh menjana sumber ekonomi yang besar.

Usaha yang dilakukan ialah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan politik yang bertentangan dengan parti yang memerintah, menggalakkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengadakan aktiviti pemesongan persepsi, dan yang paling mereka mahukan ialah melunturkan semangat patriotisme.

Bagi melunturkan semangat patriotisme ialah dengan memperkuatkan tindakan menolak ketuanan Melayu" dalam kalangan generasi muda dengan alasan, ia bersifat perkauman, diskriminasi dan zalim kepada kaum-kaum lain.

Sebenarnya, ketuanan Melayu" telah memberikan banyak faedah dan kesejahteraan kepada bukan Melayu, kerana orang Melayu tidak pernah mempersoalkan penguasaan ekonomi bukan Melayu. Kerajaan yang berteraskan politik Melayu, tidak pernah merampas peluang ekonomi dari penguasaan bukan Melayu.

Apa yang kerajaan laksanakan ialah membesar kek ekonomi dan mencipta peluang pertumbuhan dalam bidang baharu, di mana orang Melayu diberikan peluang dan digalakkan menceburinya. Ia adalah sesuatu yang adil, kerana keadilan itu berkait rapat dengan usaha memberikan hak kepada golongan yang berhak, dan bukannya mendasarkan siapa kuat, dia dapat dan yang kaya membolot semuanya.

Dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan ini, setiap rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan pelbagai dakwaan kononnya, kerajaan yang memerintah mahu menggunakan sejarah dan semangat patriotik bagi mengekalkan kedudukan politiknya.

Sebenarnya, mereka yang mempersoalkan pengibaran bendera bukan mencerminkan semangat patriotik itulah yang sebenarnya berjuang untuk menukarkan Jalur Gemilang, kerana mereka benci dengan sejarah buruk yang mereka ciptakan sendiri.

Dengan desakan dan perulangan itulah mereka sedang membina kepercayaan baharu, cuba menukar nilai-nilai buruk kepada positif, termasuk tidak menghormati lambang negara, pemimpin yang pernah berjasa dan ikatan nilai kemesraan antara kaum, dan dengan alasan perlu menulis semula sejarah, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam komuniti imaginasi", sebuah komuniti yang hilang akar budaya dan jati diri.

Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan bertanggungjawab, kita sepatutnya melahirkan rasa syukur yang mendalam. Bahkan, Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud:

Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu)." - Surah al-Maidah ayat 20

Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT supaya kita memperbaiki dan membebaskan diri daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme. Kita sepatutnya boleh memperlihatkan kekuatan semangat untuk meyakini bahawa kerajaan sudah, sedang dan akan melakukan yang terbaik untuk negara, sentiasa menunaikan janji dan menghormati kehendak rakyat.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia.

Menzahirkan hubungan harmoni

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Oleh Saharudin Musthafa

PADA hari-hari terakhir perkhidmatannya di Indonesia, Duta Besar Malaysia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan masih lagi menjalankan tugasnya sebagai wakil negara dengan muncul dalam program bual bicara paling popular di negara ini, Bukan Empat Mata yang dikendalikan personaliti tersohor, Tukul Arwana.

Kemunculan beliau dan isteri, Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail dalam program yang disiarkan secara langsung pada hari Rabu lalu cukup bersahaja dan santai.

Bukan glamor yang dicari Syed Munshe ketika diwawancara oleh Tukul pada malam itu, sebaliknya, beliau terus memainkan peranan meniupkan semangat setiakawan dua negara kepada lebih lapan juta penonton program terbitan stesen televisyen Trans 7 itu.

Berkali-kali Syed Munshe mengajak rakyat Indonesia dan Malaysia untuk saling meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek yang boleh mengakrabkan kedaulatan kedua-dua bangsa.

Jika ada sekalipun terguris kata dan perbuatan, ia saling tidak ubah seperti pergaduhan kecil dua beradik yang boleh diselesaikan dengan penuh santun.

Selama hampir empat tahun berkhidmat di Jakarta, Syed Munshe sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kemakmuran kedua-dua bumi bertuah Malaysia-Indonesia harus dikendalikan dengan bijaksana tanpa perlu didorong oleh amarah yang menebal.

Seperti majoriti rakyat kedua-dua negara, Syed Munshe sependapat, bahawa hubungan kedua-dua negara jiran itu sering diuji dengan pelbagai isu.

Namun, sebagai orang tengah yang diberi amanah untuk membantu memulihkan hubungan dingin itu prinsip Syed Munshe ialah mencari titik penyelesaian dan persamaan untuk meredakan rasa kurang senang mana-mana pihak setiap kali timbulnya masalah.

Kita perlu bercerita tentang kebaikan dan menguruskan keburukan seandainya ada dengan bijaksana.

Kita tidak boleh terlalu mengikut emosi dalam mengendalikan isu, ia hanya akan memberikan masalah pada masa depan," jelas duta yang berkelulusan sarjana dalam bidang perhubungan antarabangsa dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat dalam temu bual sempena tamatnya tugas beliau sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia.

Indonesia dari kaca mata Syed Munshe merupakan sebuah negara sahabat yang sangat penting dalam hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Hubungan Malaysia dan Indonesia tegas beliau, terbentuk dalam acuan yang sangat unik iaitu bermula dengan sejarah silam, landasan ASEAN, aspek ekonomi dan hubungan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Empat dasar landasan hubungan dua hala ini pada Syed Munshe memainkan peranan yang sangat dinamik dan harus dipelihara bagi memastikan bukan sahaja kemakmuran jangka panjang buat Indonesia dan Malaysia bahkan juga untuk kemakmuran serantau.

Seterusnya, Syed Munshe menggariskan juga betapa keberuntungan rakyat dua negara itu juga ialah berdasarkan hubungan kepimpinan negara yang berada dalam kedudukan yang cukup akrab.

Kata Syed Munshe, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan rakannya, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono merupakan dua pemimpin negara saling mementingkan hubungan silaturrahim yang baik antara dua bangsanya.

Apabila hubungan politik dua negara ini berada di landasan yang kukuh, maka rakyat kedua-dua negara akan merasa nikmat kemakmurannya.

Lihat sahaja perkembangan ekonomi Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain. Inilah formula yang akan membawa kejayaan yang besar kepada Malaysia dan Indonesia," kata Syed Munshe lagi.

Selain dua pemimpin negara itu, hubungan menteri-menteri kabinet Malaysia dan Indonesia juga diakui Syed Munshe banyak membantu merapatkan lagi hubungan dua negara itu.

Tempoh tiga tahun lapan bulan menjadi Duta Besar di negara yang didiami oleh lebih 240 juta orang diakui Syed Munshe menawarkan pengalaman yang terlalu berharga untuk dikenang beliau apabila kembali berkhidmat di Putrajaya kelak.

Masakan tidak, menjawab isu TKI yang tidak pernah berkesudahan, menguruskan persepsi kurang senang segelintir masyarakat Indonesia terhadap Malaysia, mendekati menteri kabinet negara itu, berurusan dengan media tempatan, menangani serangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain menyebabkan jiwa Syed Munshe semakin dekat dengan Indonesia.

Semakin lama di Jakarta semakin saya mengenali warna sebenar dan landskap masyarakat di negara ini. Ini negara demokrasi yang medianya cukup sensasi tetapi wartawan-wartawannya sangat mesra dan mudah didekati.

Negara ini juga punya banyak NGO yang berjuang atas nama nasionalisme. Jadi yang pentingnya, bagaimana kita tahu untuk mendekati pihak-pihak ini bagi memastikan Malaysia dan Indonesia mendapat manfaat jangka panjang," jelasnya.

Syed Munshe tidak beranggapan semua itu beban kerana selama berkhidmat di Jakarta, beliau dibantu oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar yang sangat efisien, bijaksana dan banyak membantu menguruskan kesulitan dengan pantas.

Pada masa hadapan, Syed Munshe mencadangkan, hubungan dua hala dua negara ini boleh dipertingkatkan menerusi pelbagai cabang bagi memastikan sahabat sejati semasa susah dan senang ini akan lebih dihormati oleh seluruh masyarakat dunia.

Apa lagi dengan persamaan bahasa dan budaya yang dikongsi ini akan menjadi nilai tambah dalam mengukuhkan lagi tali persahabatan yang sedia ada.

Kita dapat lihat betapa ramai profesional Malaysia yang bekerja di Indonesia. Begitu juga sebaliknya.

Faktor ini akan memberikan nilai tambah seandainya kita sama-sama saling mengembangkan kebergantungan masing-masing. Faedahnya akan dinikmati oleh kedua-dua bangsa itu sendiri pada masa depan," kata beliau menyambung perbualan.

Syed Munshe juga menarik perhatian bahawa dalam konteks perkembangan dua bangsa ini juga perlu diperluaskan di peringkat generasi muda iaitu dengan menjalin hubungan antara pewaris kegemilangan negara.

Ketika hubungan politik berada di landasan yang kukuh, kita jangan terlepas pandang mengenai jalinan generasi muda dua negara.

Banyak mekanisme yang wajar diasaskan bagi memastikan kita tidak tercicir kepentingan generasi muda ini. Idea-idea inovatif untuk mendekatkan generasi muda dua negara ini amat penting untuk masa depan Malaysia dan Indonesia," tegas beliau.

Tidak ketinggalan program pertukaran cendekiawan Islam juga harus berada dalam senarai perancangan masa depan dua negara ini jelas Syed Munshe.

Katanya, agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam perkembangan syiar Islam harus mewujudkan platform yang lebih utuh antara kedua-dua negara bagi mendaulatkan agama Islam di kedua-dua negara sahabat itu.

Begitu juga dengan aspek pendidikan yang disifatkan Syed Munshe sebagai satu bidang yang amat utama untuk membentuk struktur pemikiran anak bangsa yang memerlukan pemerhatian yang kompleks.

Program pertukaran kajian misalnya kata Syed Munshe, wajar diperluaskan memandangkan terdapat ramai pelajar Malaysia di Indonesia dan pelajar Indonesia di Malaysia yang menimba ilmu dalam pelbagai bidang.

Tugas Syed Munshe di Jakarta berakhir secara rasmi hari ini dan kerusi beliau akan diambil alih oleh penggantinya yang diyakini beliau akan meneruskan dasar-dasar yang positif untuk kemakmuran Indonesia dan Malaysia.

Sebelum berangkat pulang Syed Munshe sempat membisikkan satu perkara yang dianggap beliau amat sayang tidak dapat dilaksanakan bersama-sama pegawai, kakitangan dan rakyat Malaysia di Indonesia iaitu menyempurnakan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56 esok.

Andai kata peluang untuk menyambut hari penting bagi Malaysia di bumi bertuah Jakarta diberikan kepadanya, tentu sekali acara itu akan lebih bermakna buat beliau sebagai menutup diari kerjaya beliau sebagai Duta Besar di Indonesia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat