{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Nasib malang Jalan Chan Sow Lin

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Sampah yang dibuang di tepi jalan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur ini bukan sahaja menyakitkan mata memandang tetapi turut menyebabkan kenderaan tidak dapat diletakkan di situ.

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sampah dan berhabuk adalah keadaan biasa yang dihadapi apabila melalui Jalan Chan Sow Lin, apatah lagi bagi mereka yang bekerja di situ.

Udara yang menyesakkan paru-paru dan pemandangan yang menyakitkan mata itu diburukkan pula dengan perbuatan pengusaha premis barangan lusuh yang meletakkan barangan terpakai di tepi jalan, di hadapan premis masing-masing.

Pengusaha itu turut 'menghiasi' premis mereka dengan tin-tin minuman yang digantung di hadapan premis mereka.

Kemudian, kehadiran 'lori siput' membawa simen konkrit yang ulang-alik dari Jalan Lima ke tapak pembinaan. Sudah beberapa kali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membersihkan simen yang berciciran dan membaiki jalan, namun seperti tindakan sia-sia kerana keadaan akan kembali buruk tidak beberapa hari kemudian.

Lori-lori lain yang membawa muatan besar yang lalu-lalang di situ turut dipandu laju sehingga mengundang bahaya.

Jika pemandangan di Jalan Chan Sow Lin sudah begitu teruk, apatah lagi di jalan-jalan rantingnya seperti Jalan Lima dan Jalan Enam yang kelihatannya terlepas pandang daripada mata pihak berkenaan.

Di dua jalan itu, sampah boleh dilihat di merata tempat, seolah-olah kawasan ditinggalkan lagaknya kerana seperti tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan. Daun-daun kering berkumpul di bahu jalan, bercampur aduk dengan sampah plastik, tin minuman dan sebagainya.

Di dalam Sungai Kerayong, boleh dilihat sampah terapung atau tersangkut pada beting pasir manakala tebingnya menjadi mangsa premis barangan lusuh meletakkan 'harta benda' mereka.

Sungai itu, jika dijaga dan diawasi oleh pihak berkuasa, manakala tebingnya diperindahkan sebenarnya boleh menjadi kawasan yang menyenangkan mata memandang kerana terdapat deretan pokok yang ditanam tersusun.

DBKL juga seharusnya tidak membenarkan premis barangan lusuh beroperasi berdekatan sungai itu kerana bukan asing bagi mereka yang bekerja di kawasan berdekatan melihat pekerja-pekerja premis itu membuang sampah ke dalamnya.

Amat menyedihkan apabila sungai yang mengalir dicemari dengan sampah yang dibuang oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Di hujung Jalan Enam pula terdapat tong sampah di bahu jalan, tetapi sentiasa penuh, dan kayu alas bersusun di sebelahnya.

Sebenarnya, kawasan Jalan Chan Sow Lin kini menjadi tumpuan syarikat menjual kereta menempatkan bilik pameran mereka yang cantik di situ, sesuai dengan matlamat menjadikan kawasan itu sebagai 'auto city'.

Beberapa buah bilik pameran kereta berjenama antarabangsa sudah mula menempati kawasan itu sejak beberapa tahun lalu, tetapi sayang kerana kawasan itu sendiri seperti tidak sesuai dengan taraf kenderaan yang dijual oleh mereka.

Baki sembilan lagi setinggan dirobohkan

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

PENDUDUK mengumpul barangan mereka selepas rumah setinggan di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang mereka duduki dirobohkan semalam.

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Baki sembilan buah rumah di tapak setinggan Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul akhirnya dirobohkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) pagi tadi.

Operasi roboh yang sepatutnya dijalankan serentak bersama 15 buah rumah yang masih dalam pembinaan pada 1 Ogos lalu mendapat penangguhan sehingga 12 Ogos lepas.

Wakil penduduk tersebut, Norzambri Johari berkata, mereka kini buntu untuk mencari tempat perlindungan selepas satu-satunya tempat berteduh bagi mereka dirobohkan.

"Buat masa sekarang memang kami tidak boleh fikirkan ke mana hendak dituju dan ada antara kami akan terus tinggal di sini tanpa bumbung dan lantai.

"Tambahan pula, barang-barang rumah masih berada di sini kerana tiada tempat untuk diletakkan biarpun buat sementara waktu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Pengarah PPTGWP, Yahaya Mohamad berkata, baki pemilik rumah yang belum dirobohkan itu sudah bersetuju untuk mengosongkan rumah masing-masing sebelum 12 Ogos.

Malah, kerja-kerja meroboh 15 buah rumah lain yang sedang dalam pembinaan dilakukan bagi menghalang projek tersebut diteruskan di tanah milik kerajaan itu.

Tambah Norzambri, penduduk redha dengan tindakan tersebut dan kini hanya mengharapkan agar pihak berkaitan dapat membantu mereka mencari penempatan baharu.

"Kami faham ini bukan tanah kami, tetapi memang tiada pilihan lain buat kami untuk tinggal di sini.

"Bukan kami mahu mengambil kesempatan apabila rumah dirobohkan, minta rumah, tetapi kami memang tiada tempat tinggal lain," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi berkenaan mendapati beberapa penduduk sedang sibuk mengemas barangan rumah yang dikeluarkan sebelum operasi meroboh dijalankan.

Cuaca hujan membuatkan mereka menghadapi kesukaran dalam memastikan harta benda masing-masing dapat dilindungi.

Naik taraf masjid lama siap 2016

Posted: 29 Aug 2013 11:46 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sebanyak 22 buah masjid lama di sekitar ibu kota sedang dinaik taraf yang prosesnya dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016 melibatkan kos bernilai hampir RM300 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkembangan itu diyakini dapat memberikan persepsi positif, sekali gus menjadikan masjid-masjid di ibu negara sebagai lokasi terbaik untuk umat Islam melaksanakan aktiviti di ibu kota.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan tahun lalu dengan setiap masjid mengambil masa selama 30 bulan untuk disiapkan.

"Usaha menaik taraf infrastruktur itu akan turut diperluaskan kepada surau-surau dan sekolah agama di ibu kota termasuk pembinaan semula kemudahan tandas di kedua-dua kawasan tersebut.

"Inisiatif berterusan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ini tidak akan berjaya direalisasikan tanpa sumbangan besar bekas Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali yang selama ini begitu peka dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Jasamu Dikenang sempena tamat tempoh perkhidmatan Che Mat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Che Mat yang menjadi Pengarah Jawi merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 23 Februari 2005 menamatkan perkhidmatannya pada 6 Ogos lalu.

Jawatan Pengarah Jawi kini dipangku oleh Timbalan Pengarah Operasinya, Ibrahim Deris.

Mengulas mengenai dakwaan sebuah syarikat hiburan di Pulau Pinang dipercayai menggunakan lambang masjid untuk mempromosikan arak, Jamil Khir meminta pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk segera mengenal pasti dan menyiasat perkara itu.

Jelasnya, tindakan sewajarnya perlu bagi membanteras kejadian seumpama itu daripada terus berlaku.

Sementara itu Che Mat berkata, Jawi komited mengkaji keperluan untuk meningkatkan jumlah surau-surau yang berstatus surau Jumaat di pusat-pusat komersial tumpuan ramai selaras ke arah memperkasa institusi tersebut.

Jelasnya, langkah proaktif itu perlu bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadat terutama solat Jumaat dalam keadaan selesa walau di mana sahaja mereka berada.

"Sehubungan itu, Jawi menjangkakan dapat menaik taraf lebih banyak surau di jabatan-jabatan, pusat perbankan, pasar raya besar mahupun hentian bas bagi kemudahan ramai," katanya.

"Setakat ini katanya, antara surau Jumaat yang telah dinaik taraf termasuk di Institut Jantung Negara (IJN), Menara Maybank dan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL)," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat