Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
- Mazda tampil MPV pertama dengan teknologi Skyactiv
- Proton lancar Suprima S di Australia, Brunei
- Golf dinobatkan sebagai Kereta Tahun 2013 oleh AUTOCAR ASEAN
Mazda tampil MPV pertama dengan teknologi Skyactiv Posted: Mazda tampil MPV pertama dengan teknologi SkyactivOleh AFIFI HAFIZ MOHD.NOR TARIKH 30 Januari 1920 menyaksikan usaha keras anak kepada seorang nelayan, Jujiro Matsuda membuka sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran gabus di Hiroshima, Jepun. Entiti perniagaan itu, Toyo Cork Kogyo Company Ltd. (Toyo Cork Kogyo Company) hanya mampu berkembang mekar selama beberapa tahun sebelum berlakunya detik-detik penguncupan perniagaan. Matsuda selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada masa itu memutuskan untuk menghentikan produksi gabus dan meneroka bisnes penghasilan peralatan mesin. Nama Toyo Cork Kogyo Company diubah kepada Toyo Kogyo pada 1927. Empat tahun kemudiannya, Toyo Kogyo membuat kejutan apabila memperkenalkan kereta tiga roda yang diberi nama Mazda-GO. Toyo Kogyo kemudiannya bertukar nama menjadi Mazda Motor Corporation. Nafas baharu Mazda Populariti Mazda melonjak naik pada tahun 1960 menerusi tawaran kereta penumpang pertama iaitu R360. Senario pasaran di Jepun pada masa itu menunjukkan trend pengembangan secara perlahan-lahan. Percaya atau tidak, model itu menerima tempahan sehingga 2,000 unit setiap bulan. R360 pernah menguasai hampir 65 peratus pasaran kereta sedan kompak pada era itu. Bukan itu sahaja, Mazda juga cukup sinonim dengan penghasilan jentera berprestasi tinggi dan produk keluarannya banyak digunakan dalam dunia perlumbaan. Lihat sahaja siri Mazda RX, ia masih dikenali sehingga hari ini di serata dunia. Di Malaysia, perlu diakui jenama Mazda sememangnya agak tenggelam sekitar tahun 1990-an berbanding pengeluar-pengeluar jenama Jepun yang lain. Bilangan model yang ditawarkan kepada pengguna tempatan boleh dikatakan sebagai kecil. Nasib jenama Mazda diselamatkan pada 2008 apabila Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz Motor) berjaya mendapatkan hak pengedaran eksklusif jenama itu untuk Malaysia. Sejak daripada itu, Bermaz Motor mengatur pelbagai strategi untuk memulihkan operasi perniagaan dan meluaskan rangkaian produk mereka. Sejak menggalas tugas sebagai pengemudian jenama Mazda, Bermaz Motor merekodkan jualan sebanyak 991 unit pada 2008 sebelum melonjakkan angka jualan kepada 6,131 buah pada 2011. Total jualan kenderaan Mazda bagi tahun ini hampir mencecah 10,000 unit. Satu pencapaian yang cukup signifikan. Malah Bermaz Motor juga menjayakan kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn. Bhd. untuk menghasilkan beberapa model pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasiliti pengeluaran di Kulim, Kedah. Ia sebagai satu langkah meluaskan tawaran produk kepada pelanggan tempatan. Antara model CKD yang berjaya menemui pengguna ialah Mazda3 dan Mazda CX-5. PAPAN pemuka Biante menampilkan kemasan reka bentuk yang cukup impresif. Teknologi Skyactiv Memandangkan trend industri global ke arah penghasilan kenderaan jimat bahan bakar dan mesra alam (kenderaan elektrik dan hibrid), Mazda pastinya mahu sehaluan dengan edaran semasa. Strategi untuk merealisasikan perkara itu dilakukan menerusi pengenalan teknologi Skyactiv Mazda yang diaplikasi pada rangkaian kuasa kenderaan dan binaan platform kenderaan. Baru-baru ini, seiring dengan Pameran Motor Mazda di pusat beli-belah One Utama di Selangor, Bermaz Motor dan pemegang francaisnya, Prima Merdu Sdn. Bhd. (Prima Merdu) melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) terbaharu Mazda iaitu Biante. Inilah MPV pertama Mazda yang didatangkan dengan teknologi rangkaian kuasa Skyactiv-G. Mazda Biante yang diimport dari Jepun dijangka memberi saingan kepada beberapa pengeluar kenderaan sekelas dengannya. Sebenarnya, Biante telah wujud di negara matahari terbit itu sejak 2008. Versi yang dibawa menemui pelanggan Malaysia adalah model naik taraf. Rupa paras MPV lapan tempat duduk itu mencerminkan rekaan kejuruteraan yang mirip kepada beberapa produk Mazda sedia ada. Bahagian hadapan jentera yang kelihatan seperti seekor ikan lumba-lumba didominasi oleh gril besar dan set lampu utama yang bersambung sehingga tiang A. Alunan garis tubuh dari hadapan dipanjangkan ke bahagian belakang untuk menyerlahkan susuk tubuh selain menjadikan model itu kelihatan lebih maskulin. Pandangan dari sisi nampak sedikit pelik. Bahagian hadapan mencerminkan gaya lembut beralun tetapi di bahagian belakang, ia berkotak. Ada rasionalnya jurutera Mazda berbuat keputusan sedemikian. Kuasa diperoleh daripada enjin empat silinder Skyactiv-G dengan padanan transmisi automatik enam kelajuan. Kombinasi itu membolehkan MPV itu menghamburkan kuasa maksimum 149hp pada 6,000rpm. Model seberat 1.6 tan itu mampu meledakkan kuasa kilas setinggi 190Nm @ 4,100rpm. Apa yang menarik ialah Biante cekap berhubung soal penggunaan bahan bakar. Mazda mendakwa jentera itu hanya menggunakan purata 6.7 liter petrol bagi perjalanan sejauh 100 kilometer di lebuh raya. Kegunaan di bandar pula adalah sebanyak 8.6 liter. Kombinasi kedua-dua itu memberikan purata penggunaan petrol sebanyak 7.4 liter. Memandangkan ia produk yang disasarkan kepada pembeli berkeluarga, sudah pastinya penekanan lebih ditekankan pada ruang dalaman dan meningkatkan aspek keselesaan untuk para penumpang. Itu sebabnya rekaan bahagian belakang berbentuk seperti sebuah kotak. Susun atur barisan kerusi mengetengahkan format seperti yang ada dalam pawagam. Kerusi barisan belakang lebih tinggi daripada kerusi barisan kedua. Konfigurasi susun atur kerusi boleh diubah mengikut kesukaan anda dan keselesaan para penumpang. Apabila berada di dalam Biante, penumpang boleh melihat paparan panoramik manakala cermin tingkap pada bahagian sisi membuat anda terasa ruangan kabin lebih luas. Kapasiti ruang simpanan barang adalah sebesar 254 liter. PINTU gelongsor elektrik merupakan ciri standard pada Biante yang menawarkan bukaan luas untuk kesenangan penumpang di barisan kedua dan ketiga untuk masuk keluar kenderaan. Pintu gelongsor automatik Biante didatangkan dengan dua pintu gelongsor automatik dengan sensor sentuhan pada bahagian sisi. Sekali dibuka, penumpang barisan kedua dan ketiga tidak perlu berhimpit untuk turun dari kenderaan. Pintu itu sememangnya besar dan bukaannya juga luas. Teknologi itu didatangkan sebagai ciri standard. Biarpun MPV itu berasal daripada sebuah van namun ia juga diberikan sedikit kelebihan seperti sebuah model sedan. Perkara itu dilakukan pada bahagian stereng hidraulik elektro dan talaan sistem suspensi. Ia berbeza dengan Mazda5 dan Mazda8 yang secara terang mewarisi DNA sebuah kereta. Aspek keselamatan yang diberikan untuk kelegaan para pemilik adalah alat penggera keselamatan, dua beg udara, sistem brek antikunci, kawalan brek elektronik, kawalan kestabilan dinamik, TCS serta empat unit set brek cakera untuk menguatkan keupayaan memberhentikan jentera. Selain itu, Biante juga didatangkan dengan penapis Nanoe ion generator dengan antialergenik untuk membunuh bakteria dan menghapuskan bau yang terdapat di dalam ruangan kabin MPV itu. Stereng kenderaan itu juga dilengkapi pelbagai butang kawalan untuk kawalan audio dan paddel shifter. Didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu hitam, unggu, perak dan putih, model itu dijual pada harga atas jalan termasuk insurans sebanyak RM149,781.70 seunit. Tawaran terkini Bermaz Motor membuka pilihan baharu bagi para pelanggan yang ingin memiliki sebuah kenderaan MPV sederhana untuk keperluan seisi keluarga pastinya mengubah landskap segmen sedia ada. Tindakan itu bukan hanya mempelbagaikan pilihan sedia ada tetapi juga satu lagi usaha mengembangkan industri automotif tempatan untuk berkembang lebih maju. |
Proton lancar Suprima S di Australia, Brunei Posted: Proton lancar Suprima S di Australia, BruneiDARI kiri: Pengerusi United Motors, Leftenan Kolonel (B) Datuk Mohd. Ariffin Abd. Wahab; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Awang Sahak Awang Salleh dan Pengarah Urusan United Motors, Simon dan Hisham. PROTON Holdings Bhd. (Proton) meneruskan momentum penerokaan global dengan memperkenalkan model Proton Suprima S ke pasaran Australia dan Brunei baru-baru ini. Awal November lalu, model sama telah dilancarkan di Indonesia. Untuk pasaran Australia, Proton menawarkan dua varian automatik tujuh kelajuan iaitu GX dan GXR. Model dengan transmisi manual enam kelajuan pula akan diperkenalkan awal tahun hadapan. Spesifikasi model yang dilancarkan di Australia sebenarnya adalah sama seperti varian premium Suprima S di Malaysia. Suprima S memperoleh kuasa daripada enjin 1.6 liter Campro CFE yang mampu menjana kuasa kuda dan tork masing-masing sebanyak 103kW @ 5,000rpm dan 205Nm @ 2,000-4,000rpm. Proton Suprima S dilancarkan oleh Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Cars Australia (PCA), Kaye Aimes di Sidney, Australia. Proton Suprima S dijadualkan dijual di Australia mulai 1 Disember. Harga jualan model GX CVT ialah A$20,010 (RM65,204) manakala GXR CVT ditawarkan sebanyak A$24,418 (RM79,567) seunit. Di Brunei pula, Proton hanya memperkenalkan satu varian iaitu Suprima S premium. Majlis pelancaran itu diadakan di Pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Proton Gadong oleh Hisham dan Pengarah Urusan United Motors Sdn. Bhd. (United Motors), Simon Gelan. United Motors adalah pengedar tunggal Proton di Brunei. |
Golf dinobatkan sebagai Kereta Tahun 2013 oleh AUTOCAR ASEAN Posted: Golf dinobatkan sebagai Kereta Tahun 2013 oleh AUTOCAR ASEANPENGARAH Urusan Proto Malaysia, Mark Cooke menyampaikan anugerah AUTOCAR ASEAN kepada Kerschbaumer di PWTC baru-baru ini. VOLKSWAGEN Golf menambah satu lagi pengiktirafan di Malaysia apabila dinobatkan sebagai Kereta Tahun 2013 menerusi majlis penganugerahan AUTOCAR ASEAN. Model yang turut mengungguli kategori kategori sedan sederhana dan hatchback AUTOCAR ASEAN itu telah menewaskan lebih daripada 30 model kenderaan yang dipertandingkan kali ini. Untuk makluman, Volkswagen Golf sebelum ini telah menerima Anugerah Kereta Tahun 2013 Eropah dan Kereta Global Terbaik 2013. Majlis penganugerahan itu telah diadakan diadakan sewaktu pameran Kuala Lumpur International Motor Show 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr. Zeno Kerschbaumer berkata, Golf adalah salah satu daripada kenderaan popular global dan dikenali dengan tahap kualiti dan gayaan mendahului kelasnya. Katanya, model itu menzahirkan falsafah Volkswagen berhubung kemajuan teknologi dan kejuruteraan termaju Jerman. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |