{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Ekonomi 2014 dijangka lebih baik

Posted:

Ekonomi 2014 dijangka lebih baik

Ekonomi 2014 dijangka lebih baik

BEKERJA sebagai pembantu perpustakaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Norlilawati Mohd. Shah, 30, menjalani kehidupan sederhana sama seperti jutaan rakyat Malaysia yang lain.

Berbanding dirinya yang memilih untuk bekerja di sektor kerajaan, suaminya, Mohd. Khairil Anuwar Mustakim, 30, pula lebih gemar bekerja sendiri untuk menampung kehidupan berkeluarga.

Perkongsian hidup selama lima tahun, pasangan bahagia ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Khaliq Al-Qayyum, 4, dan Qhalif Al-Raziq, 2.

Memiliki pendapatan bersama mencecah RM5,000 sebulan, Norlilawati mengakui, perbelanjaan bulanan keluarganya mempunyai graf turun dan naik.

"Menyentuh tentang soal kewangan keluarga, adakala mencukupi dan ada ketikanya ia melebihi daripada keperluan berbelanja.

"Faktor kenaikan harga barang, tanggungjawab memenuhi keperluan anak-anak yang semakin membesar dan kekerapan pulang ke kampung untuk menziarah ibu bapa menyebabkan kami perlu menyemak semula belanjawan ini.

"Tambahan pula, pengumuman kerajaan tentang kenaikan tarif elektrik baru-baru ini turut menjadi kebimbangan buat kami sekali gus perlu merancang perbelanjaan secara berhemah dan bijak," jelas Norlilawati ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam, Selangor.

Kukuhkan kewangan

Menurut wanita yang murah dengan senyuman itu lagi, disebabkan pendapatan keluarganya tidak mencukupi untuk memenuhi syarat kelayakan membeli rumah, dia mengambil langkah alternatif membeli tanah di kampung yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan untuk dibuat rumah satu hari nanti.

"Secara jujurnya, memang kami merasai kesan dan terbeban dengan kenaikan tersebut yang secara tidak langsung meningkatkan lagi kos sara hidup di bandar. Namun, kami tetap positif dengan apa yang berlaku.


KENAIKAN tarif elektrik turut meningkatkan kos sara hidup rakyat terutama yang menetap di bandar.


"Sehubungan itu, kami sedaya upaya mengelak daripada terbeban dengan hutang seperti kad kredit dan pinjaman bank.

"Alhamdulillah, setakat ini kewangan kami masih stabil. Apa-apa pun kami tetap berharap dapat mengukuhkan kewangan dan kerjaya yang stabil agar dapat memperbaiki taraf hidup pada masa akan datang," tutur Norlilawati yang turut mengusahakan perniagaan menjual kuih semperit secara kecil-kecilan bagi menampung pendapatan keluarga.

Sifat positif yang dimiliki Norlilawati dalam menghadapi cabaran hidup sempena tahun 2014 ini seharusnya dicontohi ramai individu lain.

Meskipun rata-rata rakyat terbeban dengan pelbagai kenaikan yang meningkatkan kos sara hidup masing-masing, namun mereka perlu berlapang dada dengan apa yang berlaku.

Bagi Mafidz Mohammad, 49, yang sudah melalui jatuh bangun dalam dunia perniagaan dan pemasaran melalui internet selama 19 tahun, dia tetap yakin dengan rezeki kurniaan Allah.

Justeru, katanya, usaha perlu diteruskan untuk meraih pendapatan yang tinggi bagi memenuhi keperluan keluarga. Apatah lagi, anak tunggalnya sudah memasuki alam persekolahan tahun ini.

"Dahulu, saya pernah hidup mewah di kota raya Kuala Lumpur dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan. Tetapi, putaran kehidupan tidak menjadikan kita selalu di atas.

"Banyak dugaan yang menimpa terutamanya apabila kita menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Risiko untuk ditipu amat besar. Jadi, kita perlu bersedia mental dan fizikal," kata Mafidz yang bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memahami dan sanggup berkorban untuk keluarga.


JANGKAAN kenaikan tol dipercayai akan menaikkan kos sara hidup golongan yang sering menggunakan kemudahan tersebut.


Menurut Zakiah Sabri, 45, sebelum berkahwin dengan Mafidz pada tahun 2000, dia pernah bekerja di Bursa Saham Kuala Lumpur dengan gaji sekitar RM1,700 sebulan. Namun, atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa mengambil tawaran skim pemberhentian sukarela (VSS) selepas sedekad bekerja.

"Kemudian, kami mengambil keputusan pulang ke kampung di Tampin, Negeri Sembilan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik memandangkan kos sara hidup di bandar amat tinggi.

"Buat masa ini, saya turut bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji RM30 sehari untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," ungkap Zakiah yang sentiasa merekodkan perbelanjaan bulanan.

Jangkaan optimis

Pada 2 Disember lalu, kerajaan mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan berkuat kuasa Januari 2014.

Selain itu, kerajaan juga dijangka menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya yang pasti memberi kesan besar terhadap aliran kewangan rakyat Malaysia.


PENGURANGAN subsidi petrol menyebabkan harga minyak dinaikkan pada September lalu.


Ironinya, berbaki enam tahun menjelang 2020, masih banyak perkara yang perlu dilakukan setiap rakyat negara ini agar status negara maju berjaya dicapai. Dalam pada itu, Ketua Penyelidik Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd. (RAM), Dr. Yeah Kim Leng berkata, ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2014.

"Ini berdasarkan peningkatan faktor luaran dan pengekalan permintaan domestik disebabkan pelaburan dari sektor swasta yang kukuh dan berterusan serta peningkatan perbelanjaan secara sederhana oleh isi rumah meskipun berlakunya kenaikan harga tahun depan.

"Kami meramalkan ekonomi negara akan mencecah tahap yang tertinggi dengan purata 5.0 ke 5.5 peratus yang diunjurkan oleh kerajaan berdasarkan jangkaan optimistik terhadap pemulihan dalam eksport Malaysia dan keteguhan aktiviti pelaburan swasta," ujar Kim Leng ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut pakar ekonomi itu lagi, dengan kadar inflasi mencecah 2.9 peratus pada November lalu, pihaknya menjangkakan tekanan harga yang lebih tinggi akan menyebabkan Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat sekitar 3.0 ke 3.5 peratus dengan kecenderungan peningkatan bergantung sama ada terdapatnya pengurangan subsidi terutama petrol.

"Faktor sampingan ini juga bergantung kepada sejauh mana usaha membendung pengambilan untung berlebihan dan kesan harga pusingan kedua berjaya kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak.

"Ini termasuklah usaha oleh firma-firma untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti bagi menghadapi tekanan kos dan tidak menaikkan harga dengan cara yang tidak munasabah.

"Selain itu, isi rumah juga perlu bijak dan berhemah dalam berbelanja manakala kerajaan pula bertanggungjawab membantu industri untuk mengurangkan kos yang ditanggung bagi menjalankan perniagaan mereka," terang beliau.

Rawatan pelik pulih pesakit dirasuk jin

Posted:

Rawatan pelik pulih pesakit dirasuk jin

Rawatan pelik pulih pesakit dirasuk jin


KUBUR-KUBUR penghuni pusat pemulihan yang meninggal dunia boleh dilhat dari dalam bilik kurungan.


AKIBAT bertengkar dengan bapanya, Muhammed Din dikurung di dalam bilik kecil di sebuah tempat suci Afghan. Dia turut dirantai dan hanya diberi makan roti untuk 40 hari.

Muhammed dipaksa untuk menjalani perubatan tradisional di pusat pemulihan, Mia Ali Baba yang terletak di perkampungan Samar Khel di pinggir bandar Jalalabad, bagi memulihkannya daripada rasukan jin.

Walaupun selepas sedekad bantuan kewangan antarabangsa dan pakar perubatan disalurkan kepada Afghanistan, kebanyakan penduduk tempatan masih mempercayai kaedah perubatan tersebut.

"Saya bertengkar dengan bapa kerana saya mengambil duitnya untuk membeli sebuah motosikal," kata lelaki muda berbadan kurus yang duduk di atas selimut kotor dengan pergelangan tangan dan buku lalinya dirantai.

"Saya amat marah dan tidak berpuas hati dengannya kerana meletakkan saya di sini," katanya.

Halau semangat jahat

Muhammed dikatakan mempunyai lima parut di badannya yang diperoleh ketika berkhidmat dalam pasukan tentera Afghan. Dia ditempatkan di pusat tersebut yang mempunyai 20 bilik kecil diperbuat daripada batu.

Struktur siling dan dinding tidak berplaster, cuaca lembap serta tiada kipas angin menjadikan keadaan di tempat tersebut bertambah buruk.

"Para pesakit akan dirantai selama 40 hari dan hanya diberi makan roti bersama lada hitam. Ia bertujuan untuk menghalau semangat jahat di dalam badan mereka," kata Malik yang merupakan penyelia pusat tersebut.

KANAK-KANAK dari kawasan berhampiran turut dibenarkan mengunjungi pusat pemulihan Mia Ali Baba.


Pemulihan tersebut telah berjalan sejak 360 tahun lalu dan dipercayai ribuan pesakit berjaya dipulihkan. Pada peringkat akhir pemulihan, para pesakit akan diberi minum air rebusan kepala kambing untuk melengkapkan proses pemulihan.

Kesemua penghuni pusat pemulihan tidak bercakap antara satu sama lain kerana keletihan selepas mengikuti kaedah rawatan yang ketat semasa proses pemulihan. Ia juga menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merosot.

"Saya tidak mahu masuk ke sini, abang memaksa saya masuk. Dia kata mahu membawa saya berjumpa doktor dan meminta wang sebanyak 5,000 Afghani (RM293) daripada saya. Tidak lama kemudian, saya berasa pening dan mula sakit kepala," kata seorang lagi pesakit, Abdul berumur 30-an yang tidak mampu menjelaskan punca dia dihantar ke pusat pemulihan itu.

Keadaan bilik kurungan Abdul sangat menjijikkan. Ia berbau busuk dan dipenuhi sampah sarap. Kanak-kanak yang melintasi kawasan tersebut selalu mengetawakannya sebelum mereka melarikan diri.

Mengurung pesakit

Menurut pengarah dan juga seorang doktor di Hospital Psikiatri Kabul, Dr. Shah Temor Mosamim, dia tidak bersetuju dengan kaedah rawatan tersebut kerana ia tidak mempunyai rujukan asas mengikut aspek penyelidikan sains.

"Tidak kira berapa agresifnya seseorang pesakit, jika tidak memberinya makanan dalam tempoh 40 hari mereka akan lemah," katanya.

Menurutnya, di Afghanistan, terdapat beberapa rawatan tradisional untuk merawat pesakit mental iaitu merantai dan mengurung di dalam bilik atau menghantar mereka ke pusat pemulihan.

MUHAMMED dikurung di pusat pemulihan Mia Ali Baba selepas mengambil duit bapanya untuk membeli sebuah motosikal.


Kumpulan kempen Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa pusat pemulihan tersebut ditutup yang turut mendapat reaksi sama daripada aktivis hak asasi tempatan.

"Pusat pemulihan ini perlu ditutup kerana mengamalkan kaedah rawatan yang tidak sesuai dengan hak-hak asasi manusia," kata penyelidik HRW, Heather Barr.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Afghanistan, Rafiullah Bidar mempersoalkan tindakan keluarga yang sanggup membiarkan ahli keluarga mereka hidup di sana.

"Mereka fikir, ia pilihan terakhir... kita tidak boleh menolak kenyataan ini. Keluarga tersebut tidak berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan, sebab itu mereka bergantung kepada perkhidmatan pusat pemulihan berkenaan.

"Persekitaran tempat tinggal pesakit di pusat pemulihan itu tidak sihat, mereka membuang air besar dan kencing di dalam bilik kecil masing-masing. Saya masih ingat keadaan bau busuk dan suasana yang tidak sihat di pusat pemulihan itu ketika saya melawatnya dahulu," katanya.

Bagi Muhammed dan Abdul, ketakutan terbesar apabila berada di sana ialah kematian dan bukan sembuh daripada penyakit masing-masing.

Dari bilik kurungan, mereka boleh melihat kubur-kubur mereka yang telah meninggal dunia.

"Sesetengah keluarga tidak datang semula melihat pesakit sehingga mencecah enam hingga lapan bulan dan adakalanya pesakit tersebut meninggal dunia. Kami mengebumikan mereka di sana," kata penjaga pusat pemulihan itu, Mir Shafiqullah sambil menunjukkan satu kawasan perkuburan di luar pusat pemulihan itu. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat