Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 1,500 penduduk Panji derita
- Bekas penjaga gol juara lagu nostalgia
- TNB bantu 200 pelajar sekolah di DUN Nenggiri
Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Oleh ROSMIZAN RESDI Sebahagian penduduk mengadakan demonstrasi secara aman berhubung masalah air yang dihadapi mereka sejak empat bulan lalu di Taman Desa Kujid, Panji, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 29 Dis. - Kira-kira 1,500 penduduk Taman Desa Kujid, Panji di sini kecewa dengan Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana gagal untuk membekalkan air bersih dengan sempurna ke kawasan tersebut sejak empat bulan lalu biarpun hanya terletak kira-kira tujuh kilometer dari ibu negeri ini. Bekalan air di kawasan tersebut sering terganggu, malah kadangkala berlarutan sehingga dua minggu dalam tempoh itu. Paling mengecewakan apabila aduan penduduk di talian hotline PINTAS, 1300 88 2572 tidak pernah mendapat maklum balas positif. Ekoran daripada itu, penduduk kawasan perumahan itu terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi semata-mata untuk menadah air, namun masih tidak mencukupi bagi kegunaan harian memandangkan tekanan air pada waktu tersebut amat rendah. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Mazlan Yaacob berkata, keadaan tersebut sekali gus memaksa mereka mengeluarkan duit poket untuk membeli makanan setiap hari kerana tidak dapat memasak, malah terpaksa menghantar pakaian ke kedai dobi. Beliau berkata, masalah tersebut telah lama berlaku dan rayuan sudah dibuat kepada pihak berwajib, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini. "Air adalah keperluan asas yang cukup penting, namun disebabkan kegagalan AKSB untuk menyediakan bekalan air, telah menjejaskan kehidupan seharian kami semua. "Aduan beberapa kali dibuat tetapi keadaan tetap sama. Kami tidak dapat mencuci pakaian serta memasak," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sementara itu, seorang penduduk, Dr. Syed Abdul Khalid Syed Abdul Hamid, 32, berkata, pihak AKSB harus bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera. Katanya, AKSB sering memberi jawapan kepada pihaknya bahawa tidak mempunyai maklumat tentang masalah bekalan air di kawasan itu. "Saya berharap kerajaan negeri dan pemimpin setempat lebih prihatin pada kebajikan serta permasalahan yang membelenggu penduduk di sini," katanya. Masalah sama turut dialami oleh Nur Diara Yusof, 42, yang kesal dengan perkhidmatan AKSB sehingga menyusahkan penduduk di kawasan tersebut. "Masalah air yang berlarutan sejak sekian lama ini amat membebankan kami sekeluarga untuk menguruskan kehidupan seharian memandang saya mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU). "Keadaan ini juga memberi kesan kepada perbelanjaan harian kerana kami tidak dapat memasak dan terpaksa membeli makanan di luar," katanya. Seorang lagi penduduk, Dr. Lim Boon Huat, 56, berkata, kerajaan negeri perlu memainkan peranan supaya mendesak AKSB menyelesaikan masalah itu dengan segera. "Bekalan air amat penting dan saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membekalkan air secukupnya," katanya. |
Bekas penjaga gol juara lagu nostalgia Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Wan Abu Bakar Omar (tengah) bersama pemenang dalam Pertandingan Bintang Lagu-Lagu Nostalgia 2013 di Hotel Permai, Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 29 Dis. - Lebih 30 tahun lalu, nama Mamat Embong, 60, pernah meniti di bibir peminat bola sepak di negeri ini kerana ketangkasan mengawal gawang gol daripada dibocori pihak lawan setiap kali turun beraksi. Pernah mewakili Terengganu sekitar pertengahan 70-an, datuk kepada tiga orang cucu itu tidak menyangka namanya kini menjadi sebutan semula, namun bukan melalui sukan yang digemarinya itu sebaliknya melalui bidang nyanyian. Mamat dinobatkan selaku juara Pertandingan Bintang Lagu-Lagu Nostalgia 2013 anjuran Hotel Permai di sini kelmarin selepas mengecewakan 19 peserta lain apabila lagu dendangan beliau, Kasih Jauh di Mata yang pernah dipopularkan Allahyarham A. Ramlie berjaya memikat hati juri. "Sebenarnya menyanyi tidak lebih daripada hobi sahaja buat saya selepas tidak lagi bermain bola sepak. Sebab itu persiapan yang saya lakukan untuk pertandingan ini pun ala kadar saja. Tapi itulah tak sangka pula saya boleh menang. "Terima kasih kepada semua pihak yang beri sokongan sepenuhnya kepada saya khususnya anggota keluarga yang sanggup datang bersama malam ini," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Jamal kerana sering mendendangkan lagu milik bintang pujaan ramai, Datuk Jamal Abdillah sebelum ini. Selaku juara, Mamat membawa pulang hadiah wang RM1,000, trofi, sijil penyertaan serta pakej penginapan dua hari satu malam di Hotel Permai. Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Wan Abu Bakar Omar. Dalam pada itu, Ahmad Abdul Razak, 67, yang membawa lagu Perigi Biru dendangan Datuk M. Daud Kilau pula dipilih sebagai pemenang tempat kedua sekali gus membawa pulang trofi, sijil penyertaan, sejumlah wang tunai serta pakej penginapan dua hari satu malam di Hotel Permai. Lenggok tari Ahmad serta persembahan mantapnya yang seakan penghibur yang digelar Raja Gelek Malaysia turut melayakkan anak kelahiran Kampung Hiliran, Kuala Terengganu itu untuk memenangi anugerah Persembahan Terbaik pada malam tersebut. Sementara itu, Che Amar Mohd. Fadzil yang menyanyikan lagu Gelombang yang pernah dipopularkan oleh Salamiah Hassan memenangi tempat ketiga dan membawa pulang trofi, sijil penyertaan, sejumlah wang tunai serta pakej penginapan dua hari satu malam di Hotel Permai. Persembahan kesemua peserta pada malam itu diiringi secara live oleh kumpulan pemuzik khas dari Hotel Permai dan diadili oleh beberapa juri profesional termasuk dari Kuala Lumpur. |
TNB bantu 200 pelajar sekolah di DUN Nenggiri Posted: 29 Dec 2013 10:42 AM PST Mat Yusoff Abdul Ghani (tiga dari kiri) dan Md. Yuslan Md. Yusoff (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada penerima di SK Tengku Bendahara, Jerek, Gua Musang, semalam. GUA MUSANG 29 Dis. - Seramai 200 murid dari sembilan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini menerima bantuan persekolahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bendahara, Jerek di sini hari ini. Kelengkapan persekolahan iaitu pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani. Yang turut hadir, Pengurus Besar TNB negeri, Md. Yuslan Md. Yusoff dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, Zahari Othman. Md. Yuslan berkata, program kembali ke sekolah itu diadakan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan. "Bantuan ini bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam membuat persediaan anak-anak mereka untuk kembali sekolah pada 2014. "Penerima bantuan yang berusia tujuh hingga 12 tahun ini dipilih berdasarkan taraf hidup keluarga mereka yang kurang berkemampuan," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut. Md. Yuslan berkata, pihaknya berharap bantuan persekolahan itu dapat mendorong murid tersebut supaya berusaha lebih gigih untuk berjaya pada masa depan. "Pihak TNB berdoa agar anak-anak ini berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak kerana mereka ini adalah pewaris kepemimpinan negara kepada masa depan," katanya. Selain bantuan persekolahan, Md. Yuslan berkata, TNB turut menganjurkan satu lagi program khidmat masyarakat iaitu Baiti Jannati untuk membaik pulih atau membina rumah baharu bagi golongan yang tidak berkemampuan. "Projek ini dilaksanakan sejak 2008. Sepanjang tahun ini, empat rumah dibina di negeri ini dengan kos RM120,000," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |