Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
- Baja kompos organik ciptaan pelajar sekolah
- Penemuan spesies haiwan terbaharu
- Operasi rahsia unit tindakan khas Ghosts
Baja kompos organik ciptaan pelajar sekolah Posted: Baja kompos organik ciptaan pelajar sekolahOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR PROJEK baja kompos yang diusahakan oleh pasukan Eco-Greenator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma di Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara pertandingan Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan. Ternyata usaha gigih pasukan tersebut selama beberapa bulan sejak bulan Mac 2013 tidak sia-sia. Ketua projek, Muhammad Afiq Omaruddin, 16, mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna buat mereka yang menyertai pertandingan tersebut buat kali pertama tahun ini. "Alhamdulillah, rasa amat teruja apabila kami diumumkan sebagai juara pada pertandingan akhir ini. Meskipun pasukan lain juga hebat dengan pelbagai projek pemuliharaan, tetapi tuah memihak pada kami," tutur Muhammad Afiq. Program yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) sebagai satu inisiatif menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar. Ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran dan disokong oleh Affin Bank Berhad (Affinbank). PESERTA dari SMK Bandar Tasik Kesuma memproses baja kompos di sekolah mereka. Enam terpilih Pada peringkat awal, sebanyak 39 pasukan dari sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersaing untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya. Namun, hanya enam sekolah terpilih ke peringkat akhir berdasarkan projek yang diusahakan bagi memelihara alam sekitar yang berlangsung pada 12 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar. Pasukan tersebut terdiri daripada SMK Cheras Jaya, SMK Taman Sea, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Serendah, SMK Wangsa Melawati dan SMK King George V. Menurut Muhammad Afiq, pasukannya berjaya menghasilkan 150 kilogram baja kompos organik daripada bahan buangan taman dan sisa makanan yang diambil dari kantin sekolah. "Kemudian, baja itu kami gunakan untuk menyuburkan taman-taman di kawasan sekitar sekolah. Malah, sebahagian daripada baja tersebut telah dijual bagi membiayai kos untuk meneruskan pelaksanaan projek ini," jelasnya ketika ditemui. Sepanjang program ini berlangsung, setiap pasukan tampil dengan penyelesaian sendiri untuk menghijaukan sekolah dan menggembleng tenaga warga sekolah masing-masing bagi menjayakannya.
Gubah taman Selain itu, para peserta turut dibantu merancang dan melaksanakan projek melalui bengkel latihan yang diadakan oleh pihak penganjur. Pengarah TrEES, Christa Hashim memberitahu, secara keseluruhan, lebih 65 tan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan oleh sekolah-sekolah tersebut. "Setiap pasukan juga kreatif menggubah taman yang ditanam dengan pelbagai pokok untuk mempelbagaikan tumbuhan semula jadi di sekolah masing-masing. "Hakikatnya, melalui pertandingan ini, para peserta dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri, meluaskan pengetahuan, menajamkan kemahiran dan mengenali erti semangat berpasukan untuk meraih kejayaan," ungkap Christa. Antara projek unik yang menarik perhatian ialah pemindahan kelawar yang tinggal di loteng SMK King George V di Seremban, Negeri Sembilan melalui penyediaan sarang kelawar di tempat lain. Meskipun kelawar berguna bagi alam sekitar, tetapi guano atau najis kawanan haiwan itu mampu membahayakan kesihatan warga sekolah tersebut. Contoh baja kompos yang dihasilkan pelajar dalam program YV4C ini. Projek mengusahakan sebuah taman di lereng bukit di SMK Serendah bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah juga harus diberi pujian. "Kami bimbang keselamatan penghuni sekolah jika berlaku hakisan tanah pada cerun-cerun yang curam bersebelahan kantin sekolah ini. Sebab itulah kami sepakat untuk menanam pokok dalam mengekalkan keutuhan tanah di situ," kata wakil pasukan, Teh Ai Yee, 16. Bagi pasukan dari SMK Cheras Jaya pula, kertas sisa dan bungkusan plastik dari kantin sekolah yang dahulunya dibuang kini dianggap sebagai sumber yang berharga. Justeru, mereka bertindak mengitar semula dan menggunakan untuk mengindahkan kawasan taman. Malah, sisa kertas digunakan semula sebagai kantung pelindung sayur-sayuran dan membuat kertas lukisan serta kolaj. Sementara itu, menggunakan sistem membuat kompos yang digelar bokashi, pasukan dari SMK Taman Sea berjaya mengurangkan sisa makanan mentah dari dapur kantin dan sisa makanan yang sudah dimasak tetapi tidak habis dimakan oleh pelajar. Kompos bokashi ini digunakan untuk menyuburkan sepetak tanah kosong yang dijadikan kebun sayur-sayuran organik di sekolah mereka. Usaha ini juga secara tidak langsung mendidik warga sekolah tentang cara menggunakan baja organik untuk menanam buah-buahan dan sayur. Untuk maklumat lanjut mengenai program ini layari laman www.facebook.com/YV4C.TrEES. | ||
Penemuan spesies haiwan terbaharu Posted: Penemuan spesies haiwan terbaharuTAHUN 2013 membawa sinar baharu kepada para saintis alam sekitar kerana menemui beberapa spesies baharu dan unik. Ia membuka jalan kepada kajian yang lebih mendalam mengenai hidupan-hidupan pelik tersebut agar dapat dimanfaatkan pada generasi seterusnya. Antara penemuan yang menarik perhatian ialah mentadak yang menyerupai bunga orkid, cicak berhidung panjang dan lintah berwarna merah jambu. Berikut 10 penemuan spesies baharu yang dicatatkan oleh laman web National Geographic. CYCLOSA membuat sarang palsu untuk memerangkap mangsa dan mengelak serangan musuh. Labah-labah spesies Cyclosa AHLI Biologi Hidupan Liar, Phil Torres menemui spesies baharu labah-labah di hutan Amazon ketika membuat kajian di Pusat Penyelidikan Tambopata, Peru. Berukuran 5 milimeter, labah-labah itu dipercayai daripada keluarga Cyclosa, mempunyai teknik helah tersendiri bagi mengelak serangan musuh. Menurut Torres, haiwan tersebut membuat sarang lima kali lebih besar daripada saiznya sebagai umpan dan sebagai perlindungan daripada musuh. Selain itu, ia akan menyelaputi badan dengan sejenis lendiran membuatkannya kelihatan seperti bangkai serangga yang tergantung di sarang tersebut. Blobfish haiwan paling hodoh TINGGAL dalam kedalaman laut 600 hingga 1,200 meter, ikan Blobfish banyak terdapat di luar pantai Australia. Ia boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dan tidak mempunyai sebarang otot, membuatkan wajahnya kelihatan lembik. Haiwan seperti agar-agar itu menjadi maskot terbaharu kepada Persatuan Perlindungan Haiwan Hodoh berdasarkan undian yang dilakukan dalam laman web kumpulan itu. Timun laut gergasi PARA saintis menemui satu spesies timun laut gergasi yang menggunakan bahagian anus sebagai mulut keduanya. Ia dinamakan Timun Laut California atau Parastichopus californicus yang hidup di laut cetek di luar pantai Pasifik Amerika Utara. Ia bernafas dan makan menggunakan anus kerana tidak mempunyai paru-paru dan bergantung kepada sistem pernafasan tersendiri iaitu satu set tiub panjang yang terdapat pada tubuhnya. Tiub itu mempunyai rongga dengan mulut dan anus terletak pada penghujung badan. Berukuran 50 sentimeter panjang, spesies ini sentiasa bergerak aktif. Ia boleh mengepam tiga hingga empat cawan air dalam masa sejam melalui anus. Seterusnya memindahkan oksigen ke bahagian sistem pernafasan untuk kegunaan sel-sel dalaman. Lintah berwarna merah jambu SPESIES lintah berwarna merah jambu ditemui di pergunungan Kaputar, Australia yang berukuran 20 sentimeter panjang dengan nama saintifiknya, Triboniophorus aff. graeffei. Menurut renjer Perkhidmatan Hidupan Liar dan Taman Negara Australia, Michael Murphy, haiwan berwarna menarik itu mempunyai spesies yang tersendiri. "Berdasarkan kajian morfologi dan genetik yang dijalankan oleh pengkaji, lintah ini berasal daripada keluarga Athorcophoridae dan merupakan spesies asli yang hanya terdapat di Gunung Kaputar," ujarnya. HIDUNG cicak Pinocchio mempunyai struktur yang fleksibel. Cicak berhidung panjang REPTILIA berhidung panjang yang disangka telah pupus ditemui semula di hutan Ecuador. Dinamakan cicak Pinocchio atau nama saintifiknya, Anolis proboscis dijumpai oleh jurugambar, Alejandro Arteaga. "Penemuan ini tidak disangka kerana saya beranggapan cicak berhidung panjang hanyalah sekadar mitos," ujarnya. Para pengkaji mendapati hidungnya yang panjang itu mempunyai struktur fleksibel. Pertama kali ditemui pada tahun 1953, ia dipercayai semakin pupus sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saintis hanya berjaya menyimpan enam spesimen yang kesemuanya berjantina jantan. Babi hutan terbesar ditemui di Uganda SEEKOR babi hutan seberat 275 kilogram yang ditemui di Taman Negara Kibale, Uganda menjadi spesies terberat yang pernah dijumpai setakat ini. Ia mempunyai badan berwarna hitam berduri, pipi bertanduk tajam dan saiznya 2 meter panjang. Ia ditemui oleh penjelajah National Georgaphic, Rafael Reyna-Hurtado bersama sekumpulan ahli ekologi. Reyna-Hurtado menjalankan kajian mengenai habitat haiwan tersebut yang bakal merungkai beberapa misteri seperti cara pemakanan, tempat tinggal, komunikasi antara habitat dan beberapa perkara berkaitan. Tikus kasturi dengan tulang belakang kuat DI Republik Demokratik Congo, saintis menemui spesies baharu tikus kasturi, Scutisorex thori yang mempunyai tulang belakang yang kuat. Ia merupakan sejenis mamalia pemakanan serangga yang mempunyai ekor sederhana panjang, mata kecil, muncung panjang dan tirus, gigi kecil yang banyak dan tajam serta telinga kecil. Menurut Pengarah koleksi dan zoologi di Muzium Chicago, Bill Stanley, spesies yang hampir sama ditemui pada tahun 1910 iaitu S. Somereni turut mempunyai tahap ketahanan tulang belakang yang hebat berbanding hidupan mamalia lain. Pada kebiasaannya, hidupan mamalia mempunyai lima vertebra yang menjadi asas kepada tulang belakang. Namun, tikus tersebut mempunyai 10 hingga 11 vertebra yang memberikan ketahanan tinggi pada tubuhnya. Olinguito ditemui di Colombia SEKUMPULAN saintis yang melakukan kajian di Hutan Simpan La Mesenia, Colombia menemui sejenis mamalia kecil iaitu olinguito. Ia merupakan spesies baharu yang dicatatkan pada Ogos tahun lepas. Mereka mengesahkan ia merupakan spesies karnivor pertama yang dijumpai di Hemisfera Barat selepas lebih tiga dekad. Ia mempunyai saiz kecil dan kuku tajam bagi memudahkan memanjat pokok untuk mencari makanan dan dijadikan tempat tinggal. Selama ini, Olinguito bersembunyi di sebalik dahan-dahan pokok.
Mentadak seperti bunga orkid DUA orang saintis iaitu James O'Hanlon dan Marie Herberstein dari Universiti Macquarine, Australia dan Gregory Holwell dari Universiti Auckland, New Zealand telah berkunjung ke Malaysia untuk mencari mentadak orkid. Sepanjang pencarian itu, mereka menjumpai beberapa jenis mentadak yang melakukan penyamaran persekitaran, tetapi tiada yang melakukan pertukaran sebaik mentadak orkid. Ia melakukan penyamaran bagi memudahkan menangkap mangsa yang hinggap pada kuntuman bunga orkid. Serangga kecil berambut panjang TROND LARSEN yang melakukan ekspedisi biologi di pergunungan tenggara Surinam menemui satu serangga unik yang mempunyai rambut panjang berwarna jernih. Ia sukar untuk ditangkap kerana berkemampuan melompat pantas dengan tubuh kecil berukuran 5 milimeter. Disebabkan itu juga, Larsen tidak berkesempatan untuk mengambil spesimen sebagai bahan rujukan dan perbandingan dengan spesies lain. | ||
Operasi rahsia unit tindakan khas Ghosts Posted: Operasi rahsia unit tindakan khas GhostsOleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI PERMAINAN video penembak pertama (first person shooter) merupakan satu genre yang sering kali diadakan dalam pertandingan dalam talian dan platform mudah alih. Permainan video ini menguji kemahiran pemain untuk menguasai keseluruhan permainan. Siri permainan terkenal seperti Battlefield, Call of Duty, Killzone dan sebagainya kerap dipaparkan di muka utama laman-laman web dan kini, Activision sekali lagi muncul dengan siri permainan video penembak pertama terbaharu mereka iaitu Call of Duty (CoD): Ghosts. Ia boleh didapati pada pelbagai platform termasuk Microsoft Windows, PlayStation 3, Play Station 4, Xbox 360, Xbox One dan juga Wii U. Grafik dan Audio WALAUPUN menggunakan enjin yang sama dengan siri-siri CoD sebelum ini, edisi terbaharu ini menghasilkan grafik yang sangat menakjubkan. Pada peringkat awal permainan lagi, pemain sudah disajikan dengan tahap grafik yang tinggi, raut wajah, teknik bayangan yang digunakan adalah lebih terperinci dan realistik. Bagaimanapun, pemain yang biasa dengan siri CoD pasti boleh mengesan kesamaan grafik CoD: Ghosts dengan siri-siri sebelum ini dengan serta-merta. Dari segi audio pula, tidak ada banyak yang boleh diulaskan. Efek bunyi tembakan, letupan dan lakonan suara secara umumnya adalah bersesuaian dan memberangsangkan. CoD: Ghosts merupakan sebuah permainan video penembak pertama yang mantap selain mengekalkan identiti siri CoD dengan mod baharu "multiplayer" yang telah diperkenalkan. Ia tidak boleh disangkal lagi bahawa Activision ingin terus kekal dalam siri permainan dan akan terus bersaing pada masa hadapan. Plot COD: GHOSTS mengisahkan ahli unit tindakan khas "Ghosts" yang menjalankan operasi di kawasan musuh. Mereka dikatakan sebagai satu legenda kerana kemampuan menumpaskan segerombolan musuh hanya dengan beberapa ahli skuad sahaja. Pada awal permainan, pemain akan diperkenalkan dengan satu sistem pertahanan diri maju yang dinamakan Orbital Defense Initiative atau ODIN. Kebanyakan siri penceritaan plot adalah melalui beberapa watak yang berbeza sepanjang permainan. Mod dalam talian INI merupakan salah satu sebab utama mengapa siri CoD: Ghosts mempunyai nilai permainan semula yang tinggi. Pemain yang bersahaja mungkin tidak peduli tentang mod ini, namun bagi peminat tegar siri CoD akan menggangap mod dalam talian atau pelbagai pemain (multiplayer) adalah poin pelaris bagi permainan video seperti CoD. Tidak seperti siri CoD sebelum ini, CoD: Ghosts membawa beberapa kelainan dan paling ketara ialah mod skuad seramai 10 unit anggota bertempur sama ada secara skuad ataupun gelombang serangan pihak musuh. Dalam mod Safeguard, pemain bersama rakan-rakan lain harus menempuh serangan pihak musuh secara gelombang dan dikenali sebagai mod Survival dalam siri CoD sebelum ini. Antara mod multiplayer yang berbaloi diberi perhatian ialah mod cranked. Dalam mod ini, kumpulan yang berjaya menumpaskan 100 orang pihak musuh dikira sebagai pemenang. Apa yang menarik tentang mod ini ialah pemain yang berjaya menumpaskan pihak lawan akan berada dalam keadaan cranked, sekali gus membolehkan pemain untuk melontarkan bom tangan dan mengisi peluru dengan lebih pantas. Namun jika pemain gagal untuk menumpaskan seorang pihak musuh dalam tempoh yang ditetapkan, pemain yang cranked akan meletup dan kitaran ini akan berulang. Mekanisme Permainan TIDAK banyak perkara baharu yang boleh dihuraikan, selain keupayaan grafik yang telah dipertingkatkan. Mekanisme permainan lain adalah lebih kurang sama, cuma kali ini, ia lebih baik. Heads Up Display (HUD) lebih kemas dengan jumlah peluru, bom tangan dan penanda kedudukan pemain hanya dipaparkan apabila mahu digunakan. Ini bermaksud HUD hanya boleh dilihat ketika dalam pertempuran. Seperti biasa, jika pemain melepaskan terlalu banyak tembakan, skrin akan berlumuran darah dan nafas watak akan menjadi pantas. Namun, kini ia akan hilang secara perlahan-lahan sekiranya pemain mengambil kedudukan yang selamat untuk memulihkan keadaan diri mereka. Bom tangan yang dilemparkan ke pihak musuh juga boleh dilontarkan semula. Apa yang menarik ialah pada satu sudut permainan, pemain boleh mengambil alih kawalan anjing serangan atau attack dog bagi meronda kawasan dan menjalankan intipan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |