Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Kim Swee ambil pendirian positif Posted: Kim Swee ambil pendirian positifOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
DATUK Ong Kim Swee tetap komited untuk melaksanakan tugasnya sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Malaya. Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat calon lain bakal menyandang 'kerusi panas' bagi menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal, Kim Swee mengakui fokusnya tidak terjejas berhubung perkara itu. "Sudah jelas sebelum ini saya hanya dilantik sebagai pengendali sementara Harimau Malaya. Jadi, sepatutnya tiada sebarang spekulasi timbul mengenai perkara ini. "Jika sudah ada calon sesuai (pengendali tetap Harimau Malaya), masanya pasti tiba tidak kira cepat atau lambat dan saya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara itu," katanya kepada Kosmo! semalam. Kelmarin, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih kelahiran Perancis, Philippe Omar Troussier merupakan antara calon dari Eropah yang paling hampir untuk dipertimbangkan bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya. Tengku Abdullah dilaporkan berkata, hanya faktor kewangan semasa FAM yang mengekang hasrat pengambilan segera Troussier sebagai jurulatih tetap Harimau Malaya. Ini kerana Troussier dilapor menuntut gaji lebih RM416,000 sebulan sehingga menyebabkan FAM memerlukan suntikan kewangan dari pihak penaja bagi memenuhi tuntutan jurulatih itu. Senario itu juga dilihat seakan-akan menutup ruang buat Kim Swee mengendalikan skuad Harimau Malaya secara tetap biarpun beliau antara calon popular dalam kalangan peminat tempatan bagi menggantikan Rajagobal yang tidak lagi disambung kontrak oleh FAM. Selain Troussier, antara nama-nama jurulatih asing yang disebut-sebut menyandang 'kerusi panas' itu termasuklah bekas penolong jurulatih Liverpool, Alex Milner; Marcel Desailly (Perancis); Bobby Houghton (England) dan juga bekas pengendali Singapura, Radojko Avramovic. Kali terakhir skuad kebangsaan menerima sentuhan jurulatih asing ialah pada 2004 di bawah kendalian jurulatih kelahiran Hungary, Bertalan Bisckei. Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu buat masa ini beliau belum membuat sebarang perancangan buat Harimau Malaya menjelang aksi terakhir kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen pada Mac tahun depan. "Masih terlalu awal terutamanya mengenal pasti senarai pelatih dan sebagainya. "Buat masa ini, semua pemain juga sedang bercuti, jadi berkemungkinan besar sesi latihan akan diadakan dalam tempoh seminggu dua lagi," jelas Kim Swee yang masih diberi kepercayaan membimbing skuad Harimau Muda A. Sebagai rekod, mendiang Bertalan Bicskei merupakan jurulatih asing yang terakhir membimbing skuad negara iaitu dari 2004 hingga 2005. Sebelum Bicskei, antara jurulatih luar yang pernah membimbing skuad negara ialah Alam Harris dari England, Hatem Souissi (Tunisia) dan Claude Le Roy (Perancis). | |
Posted: Angkat berat ada alasan gagalOleh SHANIKA ABDULLATIB FAIZ (kanan) dan Nor Khasidah menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi pada temasya Sukan SEA di Myanmar baru-baru ini. KEM angkat berat negara hampir dimalukan pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar yang berakhir Ahad lalu. Bagaimanapun, Mohd. Faiz Musa dan Nor Khasidah Abdul Halim muncul penyelamat apabila masing-masing membawa pulang satu pingat gangsa. Menurut pengurus skuad angkat berat negara, Abdullah Awang, kekurangan kejohanan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa menjadi antara penyebab anak-anak buahnya gagal menyerlah di Myanmar. "Terlalu sukar untuk mencari bakat untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa terutama atlet wanita. "Dengan jangka hayat yang agak pendek seperti mempunyai komitmen keluarga, pencarian bakat juga terhad kepada saingan pada Sukan Malaysia (Sukma). "Jika kejohanan peringkat kebangsaan atau negeri, memang tidak banyak, malah hampir tiada kecuali di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. "Jadi, bagaimana kami mahu mencari pelapis andai ruang dan peluang mengadakan pertandingan di peringkat tempatan sendiri hampir tidak ada," ujar Abdullah. Abdullah menambah, jika ada kejohanan di peringkat Asia sekalipun, kebanyakan peluang itu ditutup dengan pelbagai 'masalah teknikal'. "Bukan alasan tetapi inilah hakikatnya. Bukan tiada atlet negara yang bagus tetapi tanpa pengalaman dan pendedahan, mana mungkin mereka dapat menyaingi atlet Thailand, Indonesia dan Myanmar yang sering saja bertanding," tambahnya. Pada temasya di Myanmar, Mohd. Faiz dan Nor Khasidah masing-masing meraih gangsa dalam kategori 94 kilogram (kg) dan 69kg. Atlet negara yang turut mengambil bahagian ialah Mohd. Hafifi Mansor bagi kategori 69kg, Muhammad Aznil Bidin (56kg), Constantine Clement (62kg), Azizah Fadzil (53kg), Frenceay Titus (58kg) dan Elyone Matin (63kg). | |
Arsenal tutup tirai 2013 di puncak Posted: Arsenal tutup tirai 2013 di puncakJARINGAN Giroud (tengah) menerusi tandukan berjaya membantu Arsenal menewaskan Newcastle 1-0 semalam sekaligus meraih tiga mata penuh untuk kekal sebagai pendahulu Liga Perdana England. LONDON – Arsenal menutup tirai 2013 dengan bergaya apabila kekal sebagai pendahulu Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle United pada aksi terakhir Liga Perdana England tahun 2013, malam tadi. Kemenangan tersebut menyaksikan The Gunners berjaya memintas Manchester City sekaligus kembali menghuni tangga teratas. Penyerang antarabangsa Perancis, Olivier Giroud muncul wira buat Arsenal selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan yang berpunca daripada sepakan percuma Theo Walcott pada minit ke-65. Walaupun Newcastle terus memperhebatkan serangan bagi mencari gol penyamaan namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel perlawanan tamat. Tiga mata berharga itu ternyata penting buat skuad kendalian Arsene Wenger dalam usaha memburu kejuaraan trofi pertama dalam tempoh lapan tahun. Sementara itu, Everton turut melakar kemenangan dengan menewaskan Southampton 2-1 dalam satu lagi aksi Liga Perdana England di Goodison Park, semalam. Everton terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kesembilan perlawanan menerusi Seamus Coleman menjadikan kedudukan 1-0 buat tuan rumah. Namun, penyerang Sunderland, Gaston Ramirez berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol pada minit ke-71. Berselang tiga minit kemudian, penyerang pinjaman Everton daripada Chelsea, Romelu Lukaku menjaringkan gol kemenangan skuad kendalian Roberto Martinez itu untuk membolehkan mereka melonjak ke tangga keempat liga. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |