{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Kereta ditunda ke kawasan parkir

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 30 Dis. - Polis Pahang akan menunda mana-mana kereta yang diletakkan di tepi jalan secara berlapis ke kawasan tempat letak kenderaan disediakan jika berlakunya banjir gelombang kedua di daerah ini yang diramal bermula sekarang sehingga 6 Januari depan.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, dalam kejadian banjir pada 3 Disember lalu, pemilik kereta meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga pasukan keselamatan sukar melalui laluan tersebut.

Menurutnya, polis melakukan persediaan membuka kawasan tempat letak kenderaan di lokasi yang dilanda banjir supaya semua pemilik kenderaan meletakkannya di situ.

"Sekiranya terdapat segelintir pemilik kereta yang meletakkan kenderaan di bahu jalan, kita akan mengambil tindakan dengan menundanya ke kawasan yang disediakan.

"Langkah ini diambil bagi melicinkan pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan dan diharap masyarakat memberi kerjasama dan mengikut arahan sepanjang proses tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Aziz Ahmad.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain pusat pemindahan yang disediakan, polis juga menyediakan beberapa kawasan tempat letak kenderaan mengikut kawasan kediaman yang dinaiki air.

Jelasnya, kawasan dicadangkan bagi penduduk Permatang Badak, Sungai Isap 1, Sungai Isap Jaya, Taman Guru, Taman Sepakat dan Taman Kurnia ialah di tanah lapang bersebelahan pasar raya Giant, di tepi padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dekat Kemunting dan di sepanjang laluan dari Tanah Putih menghala ke persimpangan lampu isyarat Permatang Badak.

"Bagi penduduk di sekitar Taman Guru, Gudang Rasau dan perumahan Batu 6 boleh meletak kenderaan di laluan masuk ke Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Gudang Rasau dan sepanjang kiri kanan jalan Gambang menghala ke Taman Tas.

"Penduduk sekitar Bukit Rangin dan Pintasan Kuantan boleh meletak kenderaan di laluan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dari arah Bukit Rangin menghala ke Kolej Shahputra dan di tanah lapang berhadapan stesen minyak Shell Jalan Kuantan-Pelabuhan," katanya.

130 pelajar mangsa banjir terima bantuan

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Noraini Ahmad (kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada para pelajar mangsa banjir di Kampung Lamir, Pekan, semalam.

PEKAN 30 Dis. - Seramai 130 pelajar sekolah rendah dan menengah dari tiga kampung di sini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini, menerima bantuan persekolahan sumbangan Hotel Ancasa Royale Pekan.

Pengurus Bahagian Penginapan hotel tersebut, Noraini Ahmad berkata, sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat itu untuk membantu mangsa banjir.

"Walaupun hotel ini belum dibuka, namun ini tidak menghalang kami untuk membantu bagi mengurangkan beban ibu bapa khususnya berkaitan perbelanjaan sekolah anak-anak mereka," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan tersebut di Kampung Temai, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelajar sekolah tersebut merupakan mangsa banjir dari Kampung Temai, Kampung Sawah dan Kampung Pahang Tua.

"Antara bantuan persekolahan yang diberikan adalah beg sekolah, alat tulis dan bekas minuman.

"Saya berharap dengan bantuan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban ibu bapa yang terlibat dengan bencana ini," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd. Izamrullah Mokhtar, 12, berkata, bantuan yang diterima itu boleh sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban persediaan untuk ke sekolah.

"Semasa kejadian banjir, habis semua peralatan persekolahan rosak. Namun syukur sebab ada juga yang hendak membantu. Rasa bersemangat untuk ke sekolah dengan adanya bantuan ini," katanya.

Seorang bapa, Said Bramsa Zainal Abidin, 52, pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan persekolahan yang disampaikan pihak hotel itu.

"Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban pengurusan persekolahan dua anak saya. Masa banjir tempoh hari semua peralatan sekolah anak-anak saya rosak," katanya.

Prestasi pelajar luar bandar meningkat

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

MARAN 30 Dis. - Usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pendidikan pelajar luar bandar menunjukkan peningkatan apabila jumlah pelajar cemerlang kawasan itu kini hampir menyamai mereka di luar bandar.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, perkara itu dapat dilihat dengan pencapaian murid dan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, pencapaian berkenaan membuktikan bahawa pendidikan negara berada pada tahap kelas antarabangsa hasil pelaburan besar kerajaan dalam sektor tersebut.

"Kejayaan itu juga turut disokong dengan komitmen tinggi pelbagai pihak termasuk guru, wakil rakyat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Taraf penyediaan mutu pendidikan terbaik itu secara tidak langsung menyaksikan negara ini menjadi tumpuan serta destinasi pelancongan pendidikan popular di dunia khususnya dari Asia dan benua Afrika," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang memperoleh 5A dalam UPSR serta 7A dan 9A bagi PMR di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sebagai pelajar cemerlang, penetapan matlamat amat penting dalam menentukan hala tuju pembelajaran yang menjadi perintis kepada kejayaan yang lebih besar.

Beliau juga mengingatkan pelajar khususnya beragama Islam supaya menetapkan matlamat selari dengan tuntutan agama dan syariat.

"Matlamat yang ditetapkan perlu seiring dengan penetapan sasaran yang akan menjurus kepada terlaksananya matlamat tersebut," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat