{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Menu tradisi dari Terengganu

Posted:

Menu tradisi dari Terengganu

Menu tradisi dari Terengganu

SATU per satu kaki lembu dibelek dengan teliti seorang wanita berusia 50 tahun di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, Terengganu.

Tanpa mengendahkan waktu berlalu, ibu kepada lima orang anak ini tekun melihat kaki-kaki lembu yang bakal direbus untuk dijadikan makanan yang sinonim dengan masyarakat negeri ini.

Sekilas pandang, riak wajah Mek Wook Endut kelihatan tenang meskipun penghasilan makanan tradisi yang dikenali sebagai rojak kateh itu menuntut waktu yang panjang dalam menuai hasil pendapatan bagi wanita ini.

Mek Wook memberitahu, dia akan membeli kaki-kaki lembu tersebut daripada peniaga atau pengusaha lembu tempatan.

"Pada kebiasaan, saya akan menggunakan kaki lembu luar negara kerana saiznya yang lebih besar berbanding lembu tempatan.

"Bagaimanapun, kaki lembu tempatan tetap digunakan dalam pembuatan rojak ini sekiranya stok kaki lembu import tiada," katanya.

Wanita yang sudah mencecah dua dekad mengusahakan perniagaan rojak kateh ini menambah, peniaga-peniaga pada kebiasaannya akan menjual empat batang kaki lembu pada harga RM30.

" Ia lebih mahal berbanding sedekad lalu yang dijual pada harga RM10 sahaja," keluhnya.

Dalam pada itu, Mek Wook memberitahu, kateh dalam loghat Pantai Timur membawa maksud kaki.

"Justeru, rojak kateh diperbuat daripada bahagian-bahagian kaki lembu termasuk tulang rawan yang merupakan tisu perantara pada sendi haiwan itu.

MOHD. FAIZAL sentiasa memantau kaki-kaki lembu yang direbus agar tidak menjadi lembik.


"Ia turut menggunakan urat yang tebal menghubungkan otot dengan tulang kaki lembu," ujarnya.

Selain kaki lembu, dia menambah, kaki kerbau turut digunakan dalam pembikinan rojak kateh ini.

Mek Wook berkata, pembuatan rojak kateh memerlukan tahap kesabaran dan tenaga yang tinggi memandangkan ia memakan masa yang banyak.

"Seawal subuh, saya akan memulakan proses membuat rojak ini dengan menyediakan kuah.

"Ia tidak memerlukan banyak ramuan tetapi hanya cili kering, gula dan cuka," ujarnya.

Mutu kuah

Menjelas lanjut, dia berkata, cili kering dikisar dan dimasak selama 30 minit.

Menurutnya, cili berkenaan perlu dimasak dengan teliti bagi memastikan mutu kuah yang terhasil, di samping mengelakkan ia cepat basi.

Selepas itu, Mek Wook memaklumkan, gula akan dimasukkan dan dimasak bersama cili berkenaan selama 30 minit lagi.

"Cuka akan dimasukkan kemudian iaitu ketika proses membungkus rojak kelak," jelasnya.

Sementara itu, anak bongsu Mek Wook, Mohd. Faizal Awang, 25, memberitahu, dia akan membantu ibunya merebus kaki-kaki lembu yang digunakan dalam pembuatan hidangan tersebut.

"Rebusan kaki-kaki lembu ini hanya menggunakan air biasa.


MEK WOOK menyediakan kayu api untuk merebus kaki-kaki lembu yang diperoleh daripada peniaga tempatan.


"Bagaimanapun, ia mengambil masa yang agak lama iaitu kira-kira empat hingga enam jam, bergantung kepada saiz kaki-kaki lembu ini," ujarnya.

Tambahnya, proses merebus kaki-kaki lembu tua boleh mengambil masa sehingga enam jam kerana ia lebih keras.

Elak pembaziran

Kata Mohd. Faizal, keadaan kaki lembu yang sedang direbus juga harus dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan ia terlebih masak sehingga tidak boleh digunakan untuk membuat rojak berkenaan.

"Semasa merebus, kami hanya menggunakan kayu api bagi mengelak pembaziran. Bagi kami, penggunaan dapur gas tidak berbaloi memandangkan ia memakan masa yang begitu panjang untuk merebus kaki-kaki lembu ini.

"Saya akan memindahkan kaki-kaki lembu yang telah disiap direbus daripada tong besi yang menjadi medium rebusan ke dalam sebuah raga," ujarnya.

Mohd. Faizal, yang kelihatan berpeluh akibat mengendalikan bara api rebusan menambah, kaki-kaki lembu yang telah direbus akan disejukkan selama satu jam sebelum Mek Wook memisahkan urat-urat dari tulang.

Dalam pada itu, Mek Wook berkata, dia akan menggunakan pisau tajam untuk memisahkan urat-urat pada bahagian kaki lembu berkenaan.

"Saya turut akan mengasingkan lemak daripada urat-urat ini untuk memastikan kualiti rojak kateh tidak terjejas," jelasnya.

Mek Wook memberitahu, proses memasak yang panjang itu juga menyebabkan kuku kaki lembu dapat ditanggalkan dengan mudah dan hanya perlu diumpil dengan pisau bagi membolehkan urat pada bahagian itu diambil.

"Selepas selesai proses pengasingan urat, ia akan dipotong kecil dan dibersihkan sebanyak empat hingga lima kali," ujarnya.

Dia menambah, selepas itu, urat-urat berkenaan akan dibungkus bersama kuah rojak sebelum diedarkan kepada para peniaga di Pasar Besar Kedai Payang.

Menurutnya, seekor lembu ataupun empat batang kaki lembu mampu menghasilkan kira-kira 100 bungkus rojak kateh.

"Saya akan menjual rojak kateh pada harga RM1 dan menghantar dalam 50 hingga 60 bungkus kepada peniaga, bergantung kepada permintaan mereka iaitu sama ada sehari atau seminggu.

"Namun, ada juga sesetengah pembeli yang akan mendapatkan rojak ini apabila menganjurkan majlis di rumah mereka. Ini sekali gus meningkatkan lagi pendapatan kami," katanya.

URAT lembu dicampur bersama kuah sebelum dijual.


Makanan pilihan pengunjung

Seorang peniaga di Pasar Besar Kedai Payang, Mohd. Nasir Mahmud, 47, memberitahu, permintaan rojak kateh juga agak tinggi semasa musim cuti persekolahan.

"Kadangkala saya mampu menjual sehingga 200 bungkus sehari. Ia lebih banyak apabila berlangsungnya majlis-majlis keraian.

"Rojak kateh bukan sahaja diminati penduduk setempat tetapi juga pelancong luar yang datang ke sini," ujarnya.

Mohd. Nasir memberitahu, dia menjual rojak itu pada harga RM1 sebungkus dan ada kalanya, terdapat pelanggan yang membeli sehingga lebih 10 bungkus.

Seorang lagi peniaga, Nafikah Mohammad, 70, memberitahu, cara pembuatan rojak kateh memainkan peranan penting kerana ia boleh menentukan ketahanan rojak kateh.

"Terdapat rojak kateh yang mampu bertahan sehingga seminggu. Justeru, adalah penting bagi para penguasa memberi tumpuan terhadap pembuatan hidangan ini," katanya.

Peninju ubah masa depan negara

Posted:

Peninju ubah masa depan negara

Peninju ubah masa depan negara


NI OO (kanan) berjaya menewaskan pesaingnya dari Filipina pada peringkat akhir tinju wanita kelas 57 kilogram.


TEGAP, gagah dan tumbukan tangan kiri yang padu, pemenang pingat emas acara tinju dari Myanmar, Nwe Ni Oo berjaya merubah imej wanita di negara konservatif itu.

Linangan air mata peninju berusia 19 tahun itu pada majlis penyampaian pingat Sukan SEA 2013 di Naypyidaw baru-baru ini telah menyentuh hati ramai pihak. Dia memenangi pingat emas setelah berjaya menewaskan pesaingnya dari Filipina pada peringkat akhir tinju wanita kelas 57 kilogram.

"Ia suatu yang mengujakan kerana sebelum ini, saya tidak pernah bersaing dengan warga asing. Saya gembira dapat berlawan di hadapan penyokong tempatan," katanya.

Kejayaan remaja yang dilihat membuka jalan kepada atlet wanita lain untuk mewakili Myanmar di kejohanan-kejohanan sukan serantau. Sebelum ini, sejak tahun 2001, Myanmar gagal memenangi pingat emas ekoran kekurangan sokongan kewangan semasa era pemerintahan junta dan sokongan awam.

Keluar daripada bayangan pemerintahan tentera, Myanmar berbangga dengan reputasinya sebagai sebuah negara yang mempunyai kesaksamaan jantina dalam sebuah rantau yang dibelenggu dengan keganasan terhadap wanita.

Anak tempatan yang juga merupakan pemenang Anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi dan wanita lain di negara berkenaan diberi hak sama rata di bawah undang-undang baharu, menikmati status sosial lebih tinggi berbanding wanita di India dan China.

Namun demikian, kaum wanita masih perlu mengharungi cabaran besar di negara miskin itu.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dua pertiga daripada wanita di Myanmar tergolong dalam tenaga buruh kurang mahir dengan upah rendah, sementara hanya 18 peratus mendapat pendidikan peringkat menengah dan tinggi sekali gus menghalang prospek masa depan mereka.

Myanmar yang berpegang teguh pada ajaran Buddha dan tradisi menuntut kaum Hawa untuk berpakaian sopan, terutamanya di kawasan-kawasan desa.

Rentetan itu, pihak penganjur Sukan SEA ke-27 di negara itu mengecualikan acara gimnastik dan bola tampar pantai atas kepercayaan disebabkan pakaian yang dikenakan oleh atlet sukan tersebut terlalu seksi.

Pujian

Atlet wanita telah menerima pujian di atas pencapaian yang diperoleh dalam acara sukan yang mereka ceburi, daripada sukan tradisional Myanmar seperti Chinlone mahupun bola sepak.

Namun, pasukan tinju wanita telah mendapat pujian khas apabila memperoleh satu emas, satu perak dan dua gangsa bagi membantu pungutan pingat keseluruhan Myanmar.

Walaupun beraksi penuh bersemangat ketika di gelanggang, Ni Oo merupakan seorang yang sangat merendah diri ketika di luar.

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia menceburi bidang sukan untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk keluarganya yang tinggal di selatan negara itu.


TANGISAN NI OO pada majlis penyampaian pingat Sukan SEA 2013 menyentuh hati banyak pihak.


"Keluarga sentiasa memberikan sokongan moral kepada saya terutamanya, bapa yang berharap saya menjadi peninju terbaik," kata remaja berbadan kecil ini kepada AFP.

Kemenangannya dianggap luar biasa memandangkan dia hanya bergiat dalam sukan itu tiga tahun lalu dan mempunyai berat dua kilogram lebih ringan untuk kategorinya di acara sukan serantau itu.

Bagi pemerhati, kemenangan atlet-atlet wanita dalam Sukan SEA kali ini membawa erti yang lebih bermakna daripada sekadar pungutan pingat.

Kesaksamaan

Menurut aktivis kesaksamaan jantina, May Sabe Phyu, sukan boleh meningkatkan lagi peranan wanita di negara tersebut.

"Apabila wanita memenangi pingat, ia menunjukkan kita juga mampu mencapai kejayaan seperti kaum lelaki," katanya sambil menambah dia mahu melihat keseimbangan yang lebih baik dalam pentadbiran kerajaan.

Pendapatnya juga telah dibentangkan dalam satu taklimat ringkas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan, masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat mewujudkan kesaksamaan gender, antaranya menambah penglibatan wanita dalam masyarakat dan menangani halangan norma-norma budaya.

Dalam pada itu, semasa bercakap dalam satu forum wanita di Yangon baru-baru ini, Suu Kyi berkata, ketika era pemerintahan junta, wanita dibebankan dengan tanggungjawab menjaga keluarga,

"Setelah menjadi sebuah negara terbuka, kaum wanita berazam untuk sama-sama membantu membangunkan negara ini.

"Kami mahu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mengambil peranan yang lebih penting," katanya.

Bagi atlet tempatan, Sukan SEA merupakan peluang bagi kegemilangan peribadi dan memainkan peranan dalam perubahan politik, ekonomi dan sosial.

Kejohanan yang berlangsung sehingga 22 Disember lalu itu membuka ruang baharu bagi peninju-peninju wanita tempatan sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu.

"Wanita Myanmar sangat tradisional dan kebanyakannya tidak pandai bertinju. Saya berasa besar hati kerana diberi peluang membantu wanita bertinju dan bersaing dalam sukan lain," kata Aung San Oo, bekas peninju yang telah melatih Ni Oo dalam kejohanan tersebut. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat