{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


840 terima elaun sara hidup

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

TAJUL Urus Mat Zain menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada Roziah Ahmad di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 30 Dis. - Seramai 840 nelayan di kawasan Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka masing-masing menerima RM200 bantuan elaun sara hidup di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika berucap dalam majlis penyampaian itu berkata, wang tersebut sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak.

"Masa depan anak-anak dalam bidang pelajaran perlu diberi keutamaan dan jangan belanja besar dari pendapatan harian," katanya.

Mengenai dakwaan nelayan laut dan sungai tidak menangkap ikan secara serius selepas menerima bantuan, termasuk bot, enjin dan pukat, Tajul Urus berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai, Abdullah Saad berkata, langkah kerajaan menghulurkan bantuan elaun itu berjaya menceriakan setiap penerima kerana pendapatan golongan itu kini terjejas ekoran laut bergelora sejak bulan Oktober lalu.

Menurutnya, pendapatan nelayan hanya akan kembali seperti biasa bermula bulan Februari ini.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Roziah Ahmad, 53, dari Kampung Teluk gembira dengan keprihatinan kerajaan tersebut.

"Sebagai nelayan sungai sejak 10 tahun lalu, saya sanggup melakukan apa sahaja dalam kerja-kerja menangkap ikan untuk mendapatkan wang.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kami," katanya.

Tingkatkan capaian internet luar bandar di Kedah

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

Norsabrina Mohd. Noor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah sempena Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 30 Dis. - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian internet dalam kalangan penduduk sehingga ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha diambil adalah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk memajukan kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.

"Penduduk negeri ini kini mempunyai kemahiran menggunakan teknologi maklumat yang tinggi. Hal ini kerana kebanyakan rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar mempunyai talian internet tetap dan tanpa wayar serta telefon pintar.

"Namun begitu, kita terus berusaha memastikan capaian internet ditingkatkan ke tahap tertinggi.

"Bagi kawasan luar bandar khususnya, kerajaan mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Felda Gunung Bongsu, dekat sini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan WiFi bagi capaian penduduk sekitar.

Tambahnya, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang dikendali oleh pengurus dan pembantu pengurus.

Pelajar Malaysia di Perancis perlu tonjol sikap terpuji - Raja Muda Perlis

Posted: 30 Dec 2013 10:25 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, tengah) dan Ismail Omar (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan Kamarudin Hussin (duduk, kanan) dan Dominique Goutte menandatangani MoU antara UniMAP dan Ensicaen di Caen, Perancis, baru-baru ini. - BERNAMA.

CAEN (Perancis) 30 Dis. - Para pelajar Malaysia di Perancis mesti sentiasa menonjolkan sikap terpuji dan menjaga nama baik negara, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, mereka juga perlu menjadi pelajar terbaik, menjaga susila dan berusaha menguasai bahasa Perancis serta sentiasa mematuhi undang-undang negara itu.

Baginda bertitah demikian kepada Bernama selepas menerima menghadap beberapa pelajar Malaysia di Caen sempena lawatan kerja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Perancis baru-baru ini .

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP mengetuai delegasi universiti itu, termasuk menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) UniMAP dengan Institut Kejuruteraan Caen (Ensicaen) di Caen berkaitan kerjasama akademik dan penyelidikan.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Pengarah Ensicaen, Prof. Dr. Dominique Goutte menandatangani MoU berkenaan.

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar.

Raja Muda Perlis juga berharap, para pelajar Malaysia sentiasa membuktikan kesetiaan kepada negara dengan tidak membabitkan diri dalam apa jua kegiatan yang boleh mencemar nama baik negara.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dengan menjadi pelajar berkualiti dan mampu bersaing, mereka secara tidak langsung memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang damai dengan rakyatnya sentiasa berbudi bahasa.

"Mengikut rekod, terdapat 1,474 rakyat Malaysia yang tinggal di Perancis dan mereka amat disenangi oleh penduduk tempatan kerana sikap ramah-mesra mereka," titah baginda.

Baginda turut berharap, para pelajar dari Kuala Lumpur dapat mendaftarkan diri kepada Kedutaan Malaysia dan sentiasa berhubung dengan perwakilan Malaysia jika berhadapan dengan apa jua masalah.

Antara pelajar Malaysia di Caen yang menghadap baginda ialah pensyarah UniMAP, Syed Zulkarnain Syed Idrus yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Ph.D di Ensicaen sejak dua tahun lepas. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat